(Dari Emel)
Di kampus dahulu kami dari kumpulan yang berlainan. Kumpulan kami mempunyai pengikut sendiri. Kami menegakkan ideologi sendiri mengikut idealisme seorang mahasiswa yang perfectionist. Kami sering bertentangan dalam banyak isu kerana ideologi tadi. Dalam kumpulan itu, kami sedaya upaya mengembangkan kumpulan dengan berusaha memperbanyakkan ahli. Dalam usaha memperbanyakkan ahli itu, kami kadangkala terpaksa 'bermuqabalah' kerana berlakunya tarik-menarik ahli. Jika seorang ahli menyeberang, kami merasakan ia suatu kerugian yang besar kepada masa depan perjuangan.
Setiap sesi pengambilan mahasiswa baru yang akan diadakan pada bulan Mei atau Jun, kami menjadi begitu sibuk untuk menyambut pelajar-pelajar baru bagi memastikan adik-adik yang baru mendaftar dapat disambut sedemikian rupa dan seboleh mungkin melakukan follow-up untuk membawa mereka masuk menyertai kumpulan kami. Persiapan biasanya akan dilakukan sejak bermulanya pemilihan MPP kerana AJKO (Ahli Jawatankuasa Orientasi) adalah di bawah kendalian MPP (Majlis Perwakilan Pelajar). Jadi, pemilihan MPP akan jadi sengit dan panas. Alhamdulillah, biasanya kami sentiasa dapat menambah keahlian setiap tahun.
Selain itu, surau desasiswa akan menjadi tumpuan untuk melakukan aktiviti tafahum, ilmu dan memperkasakan ukhuwah ahli. Masing-masing kami akan menonjolkan 'calon-calon' imam yang merupakan imej kumpulan. Pendekata, apa saja method dan ruang yang ada akan kami gunakan untuk menjadikan kumpulan kami lebih prominent dan menjadi pilihan.
Pada pertengahan tahun 1994, saya memulakan satu 'gagasan' atas inisiatif sendiri dengan mendapat persetujuan dari sebahagian ahli Majlis Syura untuk membuat satu gabungan. Saya melihat 'pertentangan' kami selama ini hanya menyebabkan kami semakin jauh antara satu sama lain. Kami mempunyai kelebihan sendiri untuk kepentingan Islam. Mengapa tidak ianya digabungkan untuk kekuatan Islam di kampus? Akhirnya gagasan untuk bersama itu dipersetujui di peringkat kumpulan beliau juga. Tetapi hanya setakat pertemuan untuk beberapa aktiviti seperti riadah dan mengimarahkan surau (kebetulan kedua-duanya memang menjadi favourite kami kerana kamipun adalah football player untuk mewakili batch kami).
Di peringkat surau, beliau merupakan imam yang bagus. Saya suka dengan cara dan gaya bacaannya. Beliau juga seorang pentazkirah yang agak baik, dan tidak suka meleret-leret.
Dari sudut pelajaran tidak pernah kami lupakan. Kami sentiasa menjaga akademik meskipun aktiviti kami di kampus begitu sibuk kerana itu adalah kewajipan kami juga. Akhirnya, Alhamdulillah tahun kami itu iaitu batch ke-10 Medic USM (kalau tidak silap), telah berjaya lulus 100%!! Tidak ada yang gagal termasuklah seorang yang mempunyai penyakit psychiatric pada masa itu dan senior-senior yang repeat year.
Bulan Mei 1995, kami meninggalkan dunia kampus untuk membina kehidupan sendiri sebagai para doktor untuk berada di dalam medan sebenar kehidupan. Setelah tamat 3rd posting di Hospital Kota Bharu (kini HRPZ2) saya sambung lagi dalam bidang orthopedik dan district hospital di Kuala Berang. Sebelum membuka perniagaan sendiri menuruti sunnah Rasulullah SAW.
Pada Tahun 1998, suatu peristiwa besar yang melanda negara dengan pemecatan DSAI sebagai TPM atas tuduhan liwat yang tidak masuk akal. Di situ nama beliau kembali menerjah kotak ingatan kerana abang beliau terlibat secara langsung dengan DSAI dalam menggerakkan reformasi sebagai pendokong dan penyumbang dana di sebalik tabir. Siasah Allahyarham Dato' Fadzil Noor yang menubuhkan Gerak dengan menghimpunkan majoriti badan-badan NGO Islam dan seluruh NGO yang bersimpati dengan DSAI rupa-rupanya telah menyatukan wadah dan matlamat perjuangan kami yang dulunya begitu berbeza di kampus.
26 Julai 2008, kira-kira 13 tahun kami tidak bertemu, saya menerima satu panggilan dari nombor yang tiada dalam database telefon saya. Rupa-rupanya beliau yang berada di talian yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu untuk menghadiri mesyuarat di bidangnya (Pharmachology). Meskipun beliau terpaksa menempuh perjalanan yang 80km lebih jauh, beliau datang untuk menemui saya.
Dalam pertemuan itu, beliau menjadi orang yang jauh berbeza. Perbualan kami begitu senada dan penuh dengan titik persamaan. Beliau bercerita sejarah beliau yang panjang dalam era sebelum reformasi dan selepas reformasi. Beliau juga terlibat secara langsung mempertahankan DSAI kerana beliau ada bersama abang beliau ketika itu di rumah DSAI. Kemudian satu-persatu perniagaan yang beliau ceburi bersama abang beliau telah dianiaya oleh pihak pemerintah yang zalim. Sehingga itu semua menyedarkan beliau bahawa pemerintah hari ini adalah pemerintah yang penuh dengan kelemahan, kezaliman, korupsi dan ia perlu ditukar.
Nah! Itulah yang mengharukan hati saya. Semasa di kampus, inilah titik perbezaan yang tidak dapat mempertemukan kami. Tetapi, Alhamdulillah perubahan yang berlaku telah menyedarkan banyak pihak termasuk beliau. Itulah hidayah namanya.
Saya terfikir, betapa bertuahnya saya berada di dalam kumpulan ini. Sesungguhnya pertemuan dengan sahabat lama itu mengukuhkan lagi keyakinan bahawa perjuangan ini tepat dan benar serta wajib diteruskan melalui keupayaan yang ada demi untuk sebuah negara yang akan mendapat rahmat dan keampunan Allah...baldatun thoiyibatun wa robbun ghofuur..
No comments:
Post a Comment