Wednesday, July 16, 2008

SELAMAT MENIMANG CAHAYA MATA

(Papisma Terengganu)


Untuk sahabat yang baru mendapat cahaya mata kami ucapkan "Selamat menimang cahaya mata" itulah ucapan yang menunjukkan rasa gembira dan syukur di atas kelahiran 'orang baru' dalam keluarga kalian. Kami juga mendoakan kalian dengan doa:

"Semoga Allah memberikan keberkatan ke atas kalian melalui pemberian ini. Dan syukurilah kurniaan itu, penuhkanlah keperluannya dan rezekinya."

Dengan kelahiran permata hati itu, sudah tentu akan bertambah komitmen dan tanggungjawab kalian. Meskipun demikian ia pasti tidak akan membebankan kalian kerana hadirnya cahaya mata itu dalam kehidupan kalian adalah bersama hadirnya rahmat Allah dan limpahan rezeki-Nya ke atas kalian.

Renunglah matanya yang jernih, kulitnya yang lembut, mukanya yang bersih dan dirinya yang suci tanpa dosa. Renunglah masa hadapannya yang gilang-gemilang. Renunglah amalannya yang akan menyelamatkan kalian dari azab kubur dan alam akhirat. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menjadikan semua itu dan menjadikan kita orang-orang yang beruntung.

Bersama-sama ini, ingin kami menyelitkan sedikit beberapa perkara yang berkaitan dengan menyambut kelahiran bayi. Mudah-mudahan ianya bermanfaat untuk kita semua.

Menyambut Kelahiran Bayi
Beberapa perkara telah disyariatkan oleh Islam ketika menyambut bayi diantaranya.

Orang-orang Islam adalah digalakkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada saudaranya atau sahabat-handainya yang baru saja menerima cahaya mata. Amalan ini disyariatkan untuk menghibur saudaranya selain amalan ini juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.

Sekiranya seseorang itu tidak sempat untuk mengucapkan tahniah adalah digalakkan untuk mendoakan kesahteraan kepada saudaranya dan anak yang baru dilahirkan oleh isterinya itu. Antara doanya ialah seperti di atas, atau yang lebih ringkas:


" mudah-mudahan kamu diberkati Allah serta dilimpahi keberkatan ke atas kamu."

Disunatkan Azan Dan Iqamah
Dari Rafi' r.a. katanya:
"Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a." (HR Abu Daud dan Tirmizi)

Melakukan azan dan iqamah ini mempunyai hikmah tertentu, selain dari usaha untuk memohon perlindung daripada gangguan syaitan, azan juga merupakan laungan dan seruan kepada Allah, kepada agamaNya dan beribadah kepada-Nya. Dengan itu jika dilakukan seruan ini akan mendahului seruan syaitan. Azan juga adalah seruan kepada fitrah manusia yang asal sebelum digoda oleh syaitan yang ingin mengalih haluan kepada jalan jalan yang terkutuk dan dilaknati oleh Allah.

Melakukan Tahnik Atau Membelah Mulut
Tahnik ini dilakukan dengan meletakkan sedikit isi kurma di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan-perlahan digerakkan jari itu ke kanan dan kiri mulut bayi. Ini dilakukan sehingga isi buah tamar tadi menyentuh pada keseluruhan mulut bayi berkenaan dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya. Jika tidak ada kurma maka boleh digantikan dengan manisan lainnya seperti gula dan sebagainya. Adalah lebih afdhal kalau kurma itu dikuyah oleh orang alim atau orang soleh untuk mendapatkan keberkatannya. Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abi Musa r.a. katanya:

" Telah dikurnikan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda Rasulullah S.A.W.. baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan untuknya, kemudian baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku"

amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan anggota mulut bayi supaya lebih mampu untuk menghisap susu ibunya.

Mencukur Rambut
Amalan ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahirannya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu:

Dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran.

Dari sudut kemasyarakatan bercukur menggalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza' iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, antaranya adalah untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana ia akan menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.

Berkhatan
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak" (HR Bukhari dan Muslim)

Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan itu hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa".

Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan perbuatan Rasulullah S.A.W. yang melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempoh tujuh hari ( dari hari kelahiran). (HR Al-Baihaqi).

Manamakan Anak
Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan orang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempergaruhi keperibadian anak tersebut.

Sekian.

No comments:

Push-Up Arrow