(Dr. Shafinaz bt. Salehen)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Salam perjuangan dan salam ikhlas penuh ukhuwwah.
Sebagai pembuka bicara, bersama-sama kita rafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat dan rahmatnya yang telah mempertemukan kita semua di dalam Papisma Terengganu ini.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan semoga kita semua beroleh syafaat baginda di akhirat kelak.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 104:
” Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang berjaya.”
Alhamdulillah, dengan izin-Nya impian untuk merealisasikan penubuhan Papisma Terengganu yang lebih tersusun dan mantap telah pun terlaksana. Moga dengan penubuhan organisasi ini, dapatlah kita semua menyahut seruan Allah untuk menjadi ’segolongan umat’ yang dimaksudkan seperti di dalam ayat di atas. Walaupun metod dakwah kita adalah antara perawat dan pesakit, namun matlamat akhirnya masih lagi amar ma’ruf nahi munkar .
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada sahabat-sahabat yang sanggup bersama-sama menggembleng tenaga dan masa untuk memastikan perjalanan gerakerja Papisma Terengganu ini lancar. Kesungguhan sahabat-sahabat sekalian telah menyuntik semula semangat juang yang semakin pudar dalam diri lantaran kesibukan kerja dan keluarga.
Firman Allah SWT di dalam surah As-Saff ayat 4 :
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
Insyaalllah dengan organisasi yang lebih teratur dan terancang segalanya akan tercapai seperti apa yang diimpikan. Ukhuwwah juga perlu dimantapkan kerana tiada jemaah tanpa ukhuwwah.Kenalilah sahabat kita.
Zahirnya perjuangan kita ini tidak mendapat balasan dalam bentuk naik pangkat, naik gaji atau sebagainya yang bersifat materialistik, hakikatnya Allah jualah yang berhak memberikan ganjarannya di akhirat kelak selagi kita ikhlas.
Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah ayat 41:
“ Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan atau merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu pada jalan Allah. Yang demikian itu adalahlebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Semoga kita semua dapat bersama-sama melaksanakan apa yang telah dirancang. Setiap perkara yang baik pasti ada ujiannya. Sentiasalah berdoa agar kita semua diberi kelapangan masa, tenaga ataupun wang ringgit untuk berbakti kepada Islam yang tercinta ini. Ikhlaskan hati untuk bersama berjuang moga kita diredhai-Nya.
Siiru alaa barokatillah.
Wassalam.
SETIAUSAHA PAPISMA TERENGGANU
No comments:
Post a Comment