Saturday, July 19, 2008

Perbincangan Ilmiah: DSAI Dan DNA - Pendapat Saya

(Kaki Kayu)

Assalamualaikum.

Saya tidak bermaksud mencampuri urusan orang-orang politik. Namun sebagai umat Islam, saya mempunyai rasa hati dan pendirian sendiri terutama dengan akal yang Allah SWT kurniakan untuk meneliti dan menilai lalu menjadikannya sebagai pegangan. Saya melihat isu DSAI ini bukan setakat isu peribadi, tetapi isu negara meskipun ramai profesional kononnya tidak suka membincangkan isu ini kerana menganggap ia sebagai isu peribadi ataupun isu Parti PKR.

Kenapa saya menganggapnya ia isu negara? Sebab bagi saya DSAI adalah 'PM in waiting'. Realitinya DSAI layak dan berjaya memimpin gerakan massa ketika ini yang mampu mengubah lanskap pemerintahan negara. Isu yang diperjuangkan oleh DSAI adalah isu rakyat. Isu kebajikan, isu keselamatan, isu masa depan Malaysia, isu ekonomi, isu keadilan dan pengasingan bidangkuasa, isu kemiskinan dan pengangguran, isu kenaikan harga barang disebabkan kenaikan harga petrol dan gas dan berbagai-bagai isu yang sedang melanda negara.

Saya juga melihat bahawa negara kita ini sedang mengalami kerosakan dan sedang menuju kehancuran yang teruk. Pemimpin kerajaan hari ini sedang melindungi orang-orang yang terbukti bejat moral dan penuh dengan masalah dan penyelewengan. Pemimpin kerajaan sedang menggunakan aparatus kerajaan yang sepatutnya untuk kepentingan rakyat dan negara tetapi ia sedang digunakan sewenang-wenangnya untuk melindungi kepentingan diri sendiri dan kumpulannya. Semuanya ini dilihat oleh rakyat dengan jelas dan 'mahkamah rakyat' sendiri menilai bahawa apa yang dilakukan oleh pemerintah hari ini adalah salah dari segi undang-undang negara dan demokrasi.

Semua ini tidak mungkin akan diubah kecuali oleh suatu pakatan yang mampu disatukan untuk menentang suatu kuasa yang cukup besar. Ya... saya mengibaratkannya seperti Thalut melawan Jalut. Setakat ini kita melihat bahawa DSAI telah berjaya menyatukan suatu pakatan yang mampu mengubah lanskap politik dan pemerintahan tanahair. DSAI merupakan orang yang cukup berwibawa di mana idea serta pandangannya untuk membentuk Malaysia baru yang penuh keadilan itu mampu diterima rakyat kerana beliau adalah 'orang dalam' yang berada di pihak rakyat. Beliau adalah bekas TPM dan Menteri Kewangan. Beliau adalah orang yang paling tahu dan layak bercakap tentang urusan negara dan ekonomi kerana beliau orang yang cukup pengalaman dan pengetahuan tentang semua itu.

Kini, beliau sedang bergelut dengan isu liwat. Sebagai umat Islam, menuduh orang liwat perlu mendatangkan empat orang saksi lelaki yang tidak fasik di mana ia tertakluk di bawah undang-undang khazaf. Tanpa empat orang saksi itu, si penuduh akan dihukum dengan 80 kali sebatan rotan dengan cara Islam, meskipun orang yang dituduh itu mungkin benar melakukan liwat/zina. Penetapan Allah ini dapat mengelakkan dari penyebaran fitnah dan konspirasi serta menjadikan ia sebagai 'barang mainan'. Kalau ia ditakdirkan memang benar-benar berlaku, biarlah Allah yang membalasnya di akhirat kerana ia masalah peribadi/sosial yang hukumnya telah ditetapkan oleh Allah. Jika hukum Allah ini tidak dilaksanakan, ia boleh dipergunakan untuk kepentingan orang-orang tertentu seperti menjatuhkan orang lain dan sebagainya. Bagi saya, memilih tuduhan liwat untuk meraih kepentingan politik adalah suatu kesilapan besar di sisi Islam. Si penuduh akan dihina di dunia dan menerima azab di akhirat.

DSAI telah diberkas polis, ditelanjangkan, diperiksa setiap inci tubuhnya termasuk anggota sulitnya selama lebih 5 jam sebelum dibebaskan semula. Beliau telah menolak untuk diambil sampel darahnya bagi tujuan DNA. Itu satu langkah yang cukup bijak buat masa ini. Bagi saya, kenapa perlu beliau menyerahkan sampel darahnya sedangkan persoalan utama iaitu salinan pertuduhan oleh si penuduh itupun masih belum beliau ketahui. Apakah benar si penuduh itu menuduhnya liwat, atau adakah tuduhan itu sengaja disembunyikan dengan tujuan untuk memerangkap beliau?

Apabila kita melihat keseluruhan 'tragedi' ini, saya sebagai rakyat Malaysia merasa jijik dengan apa yang dilakukan oleh pihak pemerintah yang memperkudakan segala kekuatan yang mereka ada untuk 'membunuh' musuh politiknya. Si penuduh tak diapa-apakan, duduk diam-diam sedangkan yang kena tuduh di'buli' habis-habisan. Dari sudut keadilan, si penuduhlah yang perlu diberkas bagi mendapatkan bukti atas dakwaannya, barulah yang tertuduh boleh didakwa selepas semua bukti disahkan.

Di Malaysia, kita semua melihat bahawa imej polis memang diketahui tidak bebas melalui catatan sejarah yang tidak dapat dinafikan, dan sekarang ketuanya pula sedang didakwa. Hakim yang akan memutuskan kes pula sudah diketahui selama ini juga tidak bebas di mana ketuanya juga sedang menghadapi dakwaan. Cuba bayangkan, apakah mereka yang seperti itu yang kita harapkan untuk menyelesaikan kes DSAI dengan keadilan? Kita rakyat Malaysia yang sedang dahagakan kebebasan dari belenggu pemerintah yang telah mewujudkan keadaan yang cukup susah kepada rakyat selama ini, sudah tentu gelisah sekiranya polis dan hakim seperti itu yang menguruskan kes yang besar ini. Sudah pasti ketidakadilan akan berlaku sehingga mengorbankan 'wira rakyat' yang sedang mengetuai perjuangan membela kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Sudah tentu kita akan kecewa lagi untuk melihat terbitnya mentari keadilan di bumi Malaysia jika DSAI berjaya diperangkap oleh tipudaya jahat seperti ini. Bagaimana pula pandangan anda?

1 comment:

Anonymous said...

Great work.

Push-Up Arrow