Monday, July 14, 2008

Selamat Pengantin Baru - Jadilah Ibubapa Kepada Anak Yang Soleh / Solehah

(Dr. Roslan Yusof & Dr. Zaihan Salleh)

"Selamat Pengantin Baru!"
Ucapan ini cukup mendebarkan bagi pasangan yang akan mendirikan rumahtangga. Namun ucapan ini juga cukup memberikan semangat kepada mereka kerana dengan rumahtangga mereka akan mula membina kehidupan yang lebih bermakna. Dengan rumahtangga mereka akan menempuh kehidupan baru. Ya... kehidupan baru. Itulah terma yang terbaik untuk menggambarkan situasi dan perasaan pasangan yang akan membina rumah tangga.

Kebanyakan kita yang telah berumahtangga pasti dapat mengimbas kembali perasaan hebat itu. Malah kerapkali juga perasaan dan peristiwa indah itulah yang dapat membantu mengekalkan kerukunan rumahtangga dalam menghadapi badai dan gelombang yang datang menguji yang sudah tentu syaitan adalah pencetus dan pemain utama di sebaliknya.

Di kesempatan yang cukup terbatas ini, kami ingin mengucapkan tahniah dengan doa "baarokallahulaka wabaaroka 'alaika wajama'a bainakumaa fii khoir" ("Keberkatan Allah ke atas kamu, semoga Allah memberkati kamu dan menyatukan kamu dalam kebaikan"). Sesungguhnya pilihan yang telah kalian lakukan untuk melangkah ke dalam marhalah kedua kehidupan ini telah menyebabkan syaitan menjerit dan berputus asa. Namun dalam kegembiraan yang kalian rasai semoga kalian tidak lupa akan batas-batas syarak dalam urusan walimah. Itulah ujian permulaan dan titik tolak keberkatan yang akan kalian perolehi.

Sebelum terlupa dan terlanjur kata, sukalah kiranya kami ingin mengingatkan kita semua agar dikurniakan oleh Allah SWT anak yang soleh/solehah iaitu suatu matlamat yang kita semua inginkan dalam perkahwinan, seharusnya dimulakan seawal hubungan suami isteri. Di sana terdapat doa khas yang harus dibaca oleh suami isteri sebelum bersama dengan tujuan agar benih yang disemai adalah yang terbaik dan sentiasa dilindungi oleh Allah swt.

Suami atau isteri juga harus sentiasa berdoa, biarpun ketika isteri masih belum mengandung lagi. Dalam hal ini, ada sebuah doa yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim a.s. iaitu :

“Rabbanaa hablanaa min azwaajinaa wa dzurriyyaatinaa qurrata a'yuni waj’alna lilmuttaqiina imaama ” Maksudnya, “Hai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami agar anak-anak dan isteri kami menjadi penyejuk hati kami dan jadikan kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa”

Anak-anak atau pasangan yang akan menjadi penyejuk hati hanya boleh terhasil apabila mereka sentiasa mendahulukan Allah daripada segala sesuatu dan tidak melalui kehidupan yang fasik (durhaka) dan dosa.

Selepas anak itu lahir, sudah tentu bukan bergantung kepada doa sahaja tetapi hendaklah mendidiknya dengan baik dan memperlihatkan akhlak yang cemerlang kepada anak tersebut.

Mudah-mudahan kita dapat sama-sama mengamalkannya agar sentiasa memperoleh kerukunan rumahtangga dan melahirkan anak-anak yang akan membentuk generasi yang soleh/solehah.

Sekian.

No comments:

Push-Up Arrow