Cucu Tok Adam
Dalam keheningan pagi yang diselaputi oleh rasa ngantuk yang mencengkam. Saya rasa tak boleh buka mata pada pagi itu. Namun saya gagahkan jua melawan cobaan mata ini kerana telah berjanji kepada diri sendiri untuk menghadiri kuliah Ust. Tuan Ibrahim b. Tuan Man. Kelopak mata, yang hanya merupakan satu juzuk kecil dari diri ini, tapi.. Ya Allah.. itupun tidak mampu untuk kebanyakan kita melawannya. Itulah hebatnya syaitan. Berapa ekor yang menarik-narik kelopak mata ini pada pagi itu tak tahulah. Akhirnya sampai juga saya ke tempat yang dituju, iaitu Surau Hijau.
Bila sampai di Surau Hijau itu, ahli jemaah masih belum habis berwirid lagi. Saya telahpun bersembahyang di masjid yang berhampiran. Sambil menunggu itu saya mengambil kesempatan menyandarkan badan pada seat kereta yang saya turunkan sedikit. Sekali lagi rasa malas datang. Ah...duduk sini jelah. Tak payah masuk dalam. Dengar juga dari loud speaker tu. Lepas kuliah boleh terus chow!!! Hebat sungguh godaan syaitan kepada anak Adam... Tapi Alhamdulillah saya seolah-olah ada kekuatan bila memikirkan... bukan senang Ust. Tuan Ibrahim nak datang dari jauh. Tentu ada sesuatu yang penting yang akan disampaikan. Alhamdulillah. Syaitan tewas lagi.
Sebagaimana biasa, gaya Ust. Tuan Ibrahim yang mirip-mirip TG Nik A. Aziz itu cukup-cukup menghilangkan kerinduan saya kepada TG itu. Permulaan kuliah itu beliau menyentuh tentang kelebihan solat berjemaah Subuh yang merupakan solat berjemaah yang paling utama di mana pahalanya seolah-olah kita mendirikan solat Tahajjud sepanjang malam. Kemudian beliau menyentuh tentang parmulaan disyariatkan ucapan "sami'allahuliman hamidah" adalah pada waktu Subuh. Kemudian beberapa kisah-kisah pengajaran lagi dan point terakhirnya ialah tentang 3 jenis amalan manusia.
Jenis pertama ialah amalan untuk diri sendiri sahaja. Amalan jenis ini seolah-olah kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Contohnya seperti solat, wirid dan berzikir. Ganjaran amalan ini tak banyak. Jenis kedua ialah amalan yang orang lain boleh tumpang. Contohnya kita datang awal ke masjid, kemudian kita buka tingkap, hampar sejadah, kita bayar bil api/air masjid. Pahala semua amalan yang dilakukan di dalam masjid oleh orang ramai untuk tempoh sehari atau sebulan itu akan dapat kepada kita. Begitu juga kalau kalau ada kereta, kita boleh tumpangkan orang lain ke tempat kerja dan sebagainya. Dan ketiganya ialah amalan yang sedikit tetapi memberikan pahala berterusan.
Inilah yang yang sangat menyentuh hati saya pada pagi itu. Beliau menyentuh tentang peristiwa di padang Mahsyar. Di mana ada seorang yang diberikan buku catatan amalan oleh Allah... tiba-tiba dia terkejut. Kenapa? Sebab dia mendapati buku amalannya penuh dengan pahala amalan kebaikan sedangkan dia tidak melakukan semua itu. Lalu Allah menjelaskan itulah pahala hasil sedekahnya sebanyak 'RM1.00' untuk masjid. Di mana dengan derma itu telah dibelikan 5 batang paku yang digunakan untuk pembinaan/pembaikian masjid. Hasil daripada itu, semua amalan yang dilakukan di situ termasuk sembahyang, kuliah, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain telah diberikan juga kepadanya. Subhanallah.... Maha Pemurahnya Allah. Bagaimana jika orang tersebut adalah kita tuan-tuan?
Kemudian Ust. Tuan Ibrahim menyebut lagi peristiwa dalam Al-Quran di mana apabila nyawa hampir-hampir tercabut, manusia akan meminta kepada Allah agar ditangguhkan sedikit masa lagi baginya untuk membolehkan dia menambahkan suatu amalan, di mana ketika itu manusia akan menyesal tuan-tuan. Menyesal kerana tak buat atau kurang amalan ni. Amalan apakah itu? Subhanallah... amalan sedekah rupanya. Tetapi Allah tidak akan memberikan tambahan masa walaupun sesaat! Mari kita lihat ayat tersebut:
"Dan infakkanlah sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata (menyesal), "Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian) ku sedikit waktu lagi, maka aku akan dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh. Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan." (Al-Munafiqun : 10-11).
Ya Allah...tuan-tuan, sebanyak-banyak amalan, sedekah rupanya menberikan saham yang cukup besar untuk akhirat. Suatu amalan yang cukup mudah bagi kita di mana Allah telah kurniakan rezeki yang banyak kepada kita. Allah tak minta semua. Allah hanya minta sebahagian sahaja. Tapi selalu kita terlupa, terleka atau terlebih sayang kepada harta. Itulah bijaknya syaitan dalam memperdayakan kita semua. Akhirnya apabila maut datang, datanglah penyesalan hebat yang tidak mungkin akan terubat.
Hari ini sekali lagi kita diberi peluang untuk bersedekah melalui Papisma. Kita boleh lakukan dengan cara yang cukup mudah. Membuat arahan kepada pihak bank untuk membuat potongan bulanan kepada akaun kita. RM1, RM2, RM5 sebulan... terpulang kepada kita. Lebih mudah lagi apabila pengambilan borang akan dilakukan oleh Papisma. Kita tinggal duduk dan tunggu saja. Bila siap isi, pergi bank dan signature saja depan pegawai bank. Semua selesai. Apa yang perlu kita lakukan, beritahu Bendahari tentang persetujuan kita itu. Habis... Cukup mudah kan. Allah sedang membukakan peluang itu untuk kita. Tiap-tiap bulan kita tidak akan menyesal..InsyaAllah. Marilah berlumba untuk merebut peluang ini.
Alhamdulillah, mudah-mudahan ilmu yang dikongsi bersama ini memberikan manfaat kepada kita semua.
No comments:
Post a Comment