Sunday, January 30, 2011

Isu MC : Jangan Cepat Salahkan Doktor

Biro IT

Surat di bawah telah dikeluarkan di Malaysiakini bagi menjawab isu MC yang dikeluarkan oleh seorang Menteri Kabinet baru-baru ini. Klik sini. Surat yang sama juga boleh dibaca dalam Malaysian Insider dalam versi Bahasa Inggeris. Klik Sini.

Sebagai seorang pegawai perubatan senior yang telah lama berkhidmat dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia, saya terpanggil untuk memberikan komen terhadap laporan akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 27 Januari 2011.

Laporan yang bertajuk "Kesal klinik keluar sijil cuti sakit" mempertikaikan sijil cuti sakit yang telah dikeluarkan oleh seorang pegawai perubatan berdaftar di Pusat Perubatan Keluarga, Jalan Segamat dan Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat.

Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, yang melahirkan rasa curiga dengan tindak tanduk klinik kerajaan terbabit, dan menyatakan seolah-olah terdapat 'isu dalaman' dalam pengeluaran sijil cuti sakit berkenaan, adalah merupakan kenyataan yang kurang profesional dan kurang teliti, juga boleh menyinggung perasaan, sensitiviti, dan kredibiliti golongan profesional kementeriannya sendiri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu teliti dan prihatin dengan apa yang berlaku di kementeriannya dan seluruh anggota KKM perlulah dianggap sebagai keluarga kerana mereka semua bertungkus-lumus siang dan malam berbakti kepada masyarakat yang secara tidak langsung akan mengharumkan nama KKM juga.

Inilah roh profesionalisme yang seharusnya wujud di dalam sesebuah institusi kerajaan!

Seorang yang bertaraf menteri sewajarnya menyiasat terlebih dahulu sesuatu isu yang berlaku sebelum memberikan komen atau teguran secara terbuka, dan bukannya merendah atau mempertikaikan keupayaan kakitangannya dikhalayak ramai secara melulu.

Saya menyatakan demikian berdasarkan penelitian beberapa faktor berikut:

* Sijil cuti sakit (MC) yang di keluarkan bermula 6 - 7/1/2011 dan disambung pada 10 - 23/1/2011 adalah sebelum pengumuman calon di PRK Tenang. Pengumuman calon hanya berlaku pada 16/1/2011.

* Ini bermakna tidak munasabah seorang pegawai perubatan boleh mengetahui seawal 10/1/2011 bahawa En Maarof bin Mutalib akan terlibat dengan kempen pilihanraya kecil kerana isterinya terpilih sebagai calon. Umum mengetahui hatta seorang ahli politik sendiripun tidak tahu siapa calon pilihanraya kecil sebelum diisytihar pemimpin tertinggi parti.

* Sebagai seorang pengamal perubatan berdaftar, kami amat maklum tentang pekeliling Ketua Pengarah KKM mengenai pemberian sijil cuti sakit. Sijil cuti sakit yang diberikan adalah berdasarkan diagnosis yang dibuat, setelah melakukan penyiasatan sejarah pesakit dan pemeriksaan fizikal, mental, dan spiritual yang dirasakan perlu.

* Mempersoalkan sijil cuti sakit yang diberikan adalah perkara yang serius yang mempertikaikan kredibiliti dan integriti seseorang pengamal perubatan terbabit, yang perlu dibuktikan dengan bukti dan alasan yang kukuh.

* Sijil cuti sakit merupakan dokumen sulit yang tidak seharusnya didedahkan kepada umum. Perbuatan mendedahkan dokumen seperti itu kepada umum merupakan suatu kesalahan.

* Perkara ini telah mencabul kehormatan etika kerahsiaan hubungan diantara pesakit dan pengamal perubatan. Mereka sepatutnya boleh diambil tindakan. Persoalannya, bagaimana sijil cuti sakit yang diserahkan kepada seorang pengetua sekolah boleh berada dalam blog?

* Apakah pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri tidak curiga dengan profesionalisme kakitangan kementeriannya yang mendedahkan penyakit pekerja kepada umum?

* Ini adalah sekali lagi pencabulan terhadap hak seseorang individu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Dalam hal ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu bijak dalam mencari punca dan menyelesaikan masalah. Bukan menambahkan lagi kusut persoalan tetapi akhirnya memalukan pihak kementerian sendiri.

Oleh itu, saya sangat berharap agar perkara seperti ini harus diselesaikan dengan penuh profesionalisme dan tanggungjawab agar memastikan keutuhan kredibiliti dan integriti kakitangan kesihatan dan perubatan tidak tergugat.

Kementerian Kesihatan Malaysia seharusnya sedar bahawa mereka yang menimbulkan isu ini sedang bermain isu politik pada sebuah pilihanraya kecil, maka isu yang tiada kaitan politik seperti ini juga turut dipolitikkan.

Tidak sepatutnya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia juga tiba-tiba terseret oleh politik murahan hasil dari tulisan di sebuah blog yang tidak diketahui siapa penulisnya, yang hanya inginkan publisiti semata-mata.

Akhir sekali, arahan pemindahan seseorang kakitangan kerajaan secara serta merta yang dilakukan oleh majikan dengan alasan berlainan fahaman politik adalah amat dikesalkan dan mencemarkan sistem demokrasi Malaysia di kaca mata dunia, dan bercanggah sama sekali dengan motto Perdana Menteri Malaysia 1Malaysia - "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sunday, January 16, 2011

PAPISMA Terengganu Menyertai Misi Ke Negeri Johor

(Biro IT)

Dalam usaha mengembangkan sayap PAPISMA, Negeri Johor merupakan negeri yang perlu diberi tumpuan kerana potensi dan kesungguhan kepimpinan serta ahli-ahlinya. Oleh kerana fokus PAPISMA ialah melakukan gerakerja secara pro-aktif, maka usaha PAPISMA Johor itu perlu diberikan sokongan dan bantuan oleh PAPISMA cawangan-cawangan yang lain.

Baru-baru ini, tumpuan gerakerja PAPISMA adalah di kawasan-kawasan felda yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di samping budaya dan cara hidup yang harmoni. Jadi, sasaran perkhidmatan PAPISMA adalah lebih besar di kawasan ini.

PAPISMA Terengganu tidak ketinggalan dalam memberikan sokongan dan bantuan tenaga memandangkan kawasan tumpuan kali ini merupakan kawasan felda yang agak hampir dengan Terengganu dan Pahang. Maka keputusan telah diambil oleh PAPISMA Terengganu untuk turut serta dalam misi ini yang melibatkan 5 orang iaitu Mantan Presiden (Dr. Suhazeli Abdullah), Pengerusi PAPISMA Terengganu (Dr. Md. Arif Ibrahim), Dr. Husain Mohamad, Dr. Mat Noh Karim dan Dr. Roslan Yusof.

Perjalanan bermula pada 6 Januari 2011 dari rumah Dr. Md. Arif di Kg. Kijing, Marang tempat peserta-peserta misi berkumpul. Lebih kurang pukul 6.40 petang setelah semua persiapan dibawa, kami bertolak melalui jalan pantai ke Kemaman dengan menaiki kereta Nissan Serena milik Dr. Md. Arif, untuk mengambil seorang lagi peserta di sana iaitu Dr. Mat Noh Karim. Keadaan hujan yang lebat sejak pagi menyebabkan pemanduan agak perlahan. Kami sempat berhenti untuk bersolat jamak taqdim Maghrib dan Isyak di Rantau Abang, Dungun. Perjalanan semakin lambat apabila kami terperangkap dalam kesesakan lalulintas berhampiran Bukit Kuang, Kemaman selama lebih satu jam.

Kami sampai di Kemaman kira-kira pukul 9.40 malam. Kami sempat bertemu dengan bekas Pengerusi ISP pertama iaitu Dr. Azmi Samat dan beliau telah bermurah hati untuk membelanja kami makan malam di sebuah restoran di Kemaman.

Bersama Dr. Azmi Samat (berkopiah menghadap kamera).

Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke Segamat untuk menginap di kuarters seorang muslimat ahli Papisma yang telah disediakan di sana. Alhamdulillah, kira-kira pukul 2.35 pagi kami sampai di rumah penginapan tersebut dengan diiringi oleh dua orang petugas. Tanpa membuang masa, kami terus mandi dan tidur kerana keletihan menempuh jalan yang jauh.

Pengerusi Papisma Terengganu, Dr. Md. Arif sedang nyenyak tidur kepenatan.

Sebagaimana yang telah dirancang, kami keluar keesokannya kira-kira pukul 8.30 pagi, bersarapan di sebuah restoran di Segamat dan terus menuju ke Labis untuk diberikan sedikit taklimat. Kira-kira pukul 10.30 pagi kami sampai ke tempat yang dituju iaitu Felda Cemplak.

Bersarapan pagi di bandar Segamat dengan menu Johor.

Kami terus dibahagikan kepada empat kumpulan. Walau bagaimanapun, kerana kami mempunyai lima orang pegawai perubatan, maka salah satu kumpulan telah dipecahkan kepada dua. Kira-kira pada pukul 11.00 pagi program kamipun bermula. Aktiviti kami adalah menziarahi rumah-rumah pesakit kerana ia lebih menepati sasaran berbanding rawatan statik. Kawasan ini mempunyai golongan warga emas yang ramai. Ramai yang mempunyai tahap kesihatan yang kurang memuaskan dan memerlukan rawatan serta pendidikan kesihatan.

Kami menurunkan beg-beg ubat dan alatan perubatan PAPISMA dengan dibantu oleh dua orang petugas.

Dr. Roslan (kanan) sedang meneliti jadual yang disediakan oleh jawatankuasa program.

Seorang warga emas yang menghidapi penyakit stroke sedang menerima rawatan.

"Makcik ni dah lama tak cek kencing manis. Ubat makan..." Mungkin itulah yang sedang diperkatan oleh seorang pesakit kepada doktor yang merawat.

Kira-kira pukul 12.45 tengahari kami berhenti rehat untuk menunaikan solat Jumaat. Sebelum itu kami dijemput untuk jamuan makan tengahari yang telahpun disediakan di rumah seorang petugas. Kami semua makan nasi bungkus menu Johor yang banyak sayur.

"Makan macam nilah sihat!" Rombongan PAPISMA sedang menikmati jamuan makan tengahari bersama ketua petugas iaitu Dr. Zul (Homeopati - membelakangkan kamera). Kelihatan dari kiri Mr. Husain, Dr. Roslan (terlindung), Dr. Md. Arif, Dr. Mat Noh dan Dr. Suhazeli.

Program rawatan kesihatan disambung semula pada pukul 2.30 petang dan tamat pada pukul 5.30 petang.

Misi hari pertama telah berjaya kami laksanakan. Sebanyak 46 buah rumah telah kami lawati di mana sekurang-kurangnya seorang pesakit terdapat di dalam rumah itu. Misi kami bukan sahaja memberikan rawatan, tetapi juga kaunseling kesihatan, mengenal pasti bantuan kesihatan yang boleh didapati dan diberikan kepada mereka kerana tidak sedikit di kalangan mereka itu yang kurang berkemampuan.

Kami sempat bergambar kenang-kenangan setelah selesai menjalankan tugas.

Selesai program kami dijamu dengan makan malam di sebuah restoran di Pekan Labis kira-kira pada pukul 6.45 petang.

"Ambik-ambik... habiskan semua ya!" Kelihatan Dr. Zul sedang mengambil tomyam. Kelihatan juga Mr. Husain Dr. Md. Arif dan Dr. Mat Noh sedang menikmati hidangan.

Malam ke-2 kami kembali semula ke Segamat. Sebelum itu kami sempat pergi ke rumah abang Dr. Mat Noh di Felda Gerdong yang berdekatan dengan Pekan Labis. Sampai di Segamat kira-kira pukul 9.30 malam. Kemudiannya Dr. Mat Noh terpaksa bertolak balik ke Terengganu dengan menaiki bas yang dijadualkan pada 11.15 malam.

Hari ke-2 kami bersiap lebih awal kerana jadual yang disusun lebih awal. Selepas solat fardhu Subuh berjemaah, kami bergegas turun ke tingkat bawah untuk 'update' ubat-ubatan yang telah habis.

"Haa... PCM cukup dah. Tinggal ubat tahan sakit..." Dr. Md. Arif dan Dr. Roslan sedang sibuk mengemaskini ubat-ubatan yang akan digunakan pada pagi ini.

"Subuh-subuh ni sedap tidur lagi ni." Mr. Husain juga turut sama mengemaskini beg 'house-call'.

Kira-kira pukul 7.45 pagi kami sudahpun keluar dari rumah penginapan itu dengan membawa beg dan pakaian kami kerana petang nanti kami tidak perlu lagi untuk singgah dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Kami bersarapan pagi di restoran yang sama di bandar Segamat itu. Sesudah itu kami terus bertolak ke tempat program untuk menyambung misi kami. Kira-kira pukul 9.20 am kami telahpun sampai dan kira pukul 9.30 pagi kami telahpun bergerak dalam empat kumpulan yang berlainan.

"Dah lama sakit makcik ni doktor... Hanya Allah yang tahu..." Dr. Roslan sedang memeriksa seorang pesakit yang dipercayai menghidapi penyakit barah usus.

"Makcik periksa kat luar rumah pun tak apa doktor..." Ni bukan melanggar etika ni... Makcik ni sedang menunggu anaknya pergi ke pasar, tiba-tiba teruja melihat rombongan kami dan meminta untuk diperiksa. Alhamdulillah, beliau sihat...

Pagi ini kami bertugas di Felda Cemplak dan Cemplak Barat. Berbagai penyakit kami temui. Berbagai ragam pesakit kami hadapi. Alhamdulillah pada kira-kira pukul 12.30 tengahari kami telah selesai menunaikan tugas kami. Sebanyak 22 buah rumah telah berjaya kami ziarahi.

Tengahari itu kami dijamu dengan nasi kandar lauk kampung ala Johor yang cukup istimewa. Ia telah disediakan oleh para petugas di sana.

Gambar kenangan pada hari kedua sebelum pulang ke Terengganu.

Sempat mengambil gambar kenang-kenangan bersama En. Mazlan Aliman, Presiden Anak (T-Shirt merah) yang kebetulan berada di Labis ketika kami singgah untuk membeli tempe Johor yang cukup special.

Alhamdulillah, perjalanan pulang tidak terganggu sebarang masalah. Kami sampai di Kuala Terengganu kira-kira pukul 9.30 malam.

*Nota: Gambar pemeriksaan pesakit hanya diperolehi dari sumber Dr. Roslan.

Sunday, January 9, 2011

Tingkatkan Ibadah, Wujudkan Ikon PAPISMA

Biro IT

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP5)

Asm Wbt,

Saudara-saudari ahli-ahli Papisma sekalian.

Sempena ketibaan Ramadhan yang kita nanti-nantikan saban tahun, marilah kita menjengah sedikit tentang kelebihan orang yang berpuasa.

Keutamaan Berpuasa

"Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya" [Bukhari-Muslim]

"Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun" [Bukhari-Muslim]

Marilah kita menghayati kelebihan dan keutamaan yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang berpuasa dan marilah kita dengan penuh semangat mengisi Ramadhan kali ini dengan amal-ibadah yang ikhlas sebagai hiasan-hiasan yang indah untuk Ramadhan kita kali ini.

Marilah juga kita perbanyakkan sedeqah dan sumbangan untuk mereka yang memerlukan dan marilah kita sama-sama memenuhkan TABUNG EHSAN RAMADHAN kelolaan Papisma pada tahun ini. Mudah-mudahan Persatuan kita dapat turut membantu di dalam menyelesaikan tanggungjawab sosial orang yang lebih berada terhadap orang yang memerlukan.

Kolum Presiden kali ini tidak berhasrat untuk bercerita panjang lebar tentang kelebihan dan keutamaan Ramadhan kerana pengisian Ramadhan akan lebih terasa sekiranya kita perolehi ianya daripada surau-surau atau masjid-masjid di dalam program tazkirah atau program ilmu sepanjang Ramadhan daripada hanya membacanya di dalam internet.

Kolum Presiden kali ini mengambil peluang yang ada ini bagi membicarakan pentingnya PAPISMA mewujudkan IKON-IKON dan `public figure’ di kalangan ahli-ahli Papisma yang berketerampilan.

Kenapa perlukan IKON atau Public Figure?

Soalan yang mungkin agak sukar untuk di jawab dan mungkin jawaban yang diberikan pula akan mendapat hujah sanggahan, namun jika kita memerhati sekeliling, kita akan mendapati banyak badan-badan perniagaan, badan-badan politik, badan-badan NGO, badan-badan sukan, badan-badan komersial dan lain-lainnya menggunakan kaedah menampilkan IKON atau `public figure’ ini dalam usaha menonjolkan kewujudan dan keterampilan mereka di dalam masyarakat tanpa sempadan hari ini.

Lihat sahaja air berkarbonat Pepsi misalnya, mereka menampilkan pemain-pemain bola terkemuka masa kini sebagai IKON mereka. Begitu juga dengan syarikat-syarikat pengeluar kereta, mereka menggunakan pelumba-pelumba F1 sebagai IKON mereka. Itu badan perniagaan, badan-badan politik demikian juga. Parti Demokrat di Amerika memaparkan Barack Obama sebagai IKON yang kononnya mereka tidak lagi diselubungi sentimen warna kulit. Demikian juga di Filipina, anak bekas Presiden Beniqno Aquino yang mati dibunuh dijadikan IKON untuk menonjolkan parti mereka sebagai pro-rakyat, pro-keadilan dan anti rasuah.

Demikian keadaannya di luar negara. Bagaimana dengan keadaan di dalam negara pula? Tidak banyak bezanya jika kita perhatikan secara saksama. Badan perniagaan seperti Ali Café menggunakan pelakon Rosham Nor sebagai IKON dan duta produk mereka. Gudang perniagaan The Store menggunakan Adibah Nor sebagai IKON mereka. Demikian juga produk-produk IKS atau produk menggunakan agen, produk Tok Guru Sebenar menggunakan Ustaz Nik Abduh sebagai IKON perniagaan. Azmil Mustafa juga muncul sebagai duta atau IKON salah satu produk susu kambing.

NGO-NGO juga berusaha untuk menampilkan IKON atau duta kepada pertubuhan mereka. Cikgu Azmi misalnya, adalah sinonim namanya dengan Persatuan Teras Pengupayaan Melayu, Ibrahim Ali disinonimkan dengan Pertubuhan PERKASA yang kontroversi, Dr Harlina Siraj sinonim dengan nama JIM satu masa dahulu, demikian juga nama Dr Daniel.

IKON atau duta kepada satu persatuan adalah ibarat bendera yang berkibar dan diletakkan di tempat yang tinggi di tempat yang strategik di dalam persatuan. Tidak semestinya IKON atau duta itu memegang jawatan penting di dalam persatuan tetapi yang paling penting ialah ia mampu menonjolkan satu perlambangan yang mampu dilihat dari jauh dan dibanggakan oleh ahli-ahli persatuan. Ibarat sebuah kapal yang hendak berlabuh dari jauh, kibaran bendera di puncak kapal telah pun dapat dilihat orang dari jauh dan dapat menimbulkan kesan psikologi bahawa sebuah kapal kepunyaan sebuah persatuan hendak berlabuh, walaupun mungkin anak-anak kapalnya tidaklah terlalu ramai, ataupun mungkin anak-anak kapalnya sebenarnya sedang keletihan…

Bagaimana Mewujudkan IKON dalam Papisma?

Asalkan kita para ahli semua sanggup memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli yang kita rasa wajar dijadikan IKON atau `bendera’ persatuan, maka usaha untuk menonjolkan dan meletakkan mereka di tempat yang mudah dilihat adalah satu keperluan yang tuntas. Pihak yang hendak dijadikan IKON pula perlulah melapangkan masa, menambahkan ilmu dan kemahiran dalam dada serta memahirkan skil-skil komunikasi.

Papisma mempunyai cawangan yang berkembang di seluruh Malaysia dan sambutan di serata pelosok dunia juga adalah memberangsangkan. Seandainya semua cawangan yang ada membantu menonjolkan dan meletakkan IKON kita di tempat yang mudah dilihat maka insya-Allah dalam tempoh yang munasabah IKON atau `bendera’ persatuan ini akan dapat dinaikkan.

Pimpinan-pimpinan Papisma diperingkat cawangan perlu membantu menggunakan medium-medium peringkat nasional untuk menaikkan nama dan kredibiliti IKON persatuan kita. Tujuan kita menaikkan nama IKON ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu meningkatkan usaha dakwah dan meninggikan kalimah Allah di dalam bidang kesihatan dan tidak bermaksud yang lain daripada itu.

Siapakah Yang Wajar Dijadikan IKON?

Sudah tentulah mereka yang mempunyai kredibiliti dan kelebihan tertentu yang wajar kita jadikan IKON. Kolum ini berpendapat kita perlu menonjolkan kebolehan ahli-ahli kita di dalam bidang Fiqh Perubatan, Hospital Mesra Syariah, Hospital Mesra Ibadah dan bidang Kesihatan Wanita. Sebahagian daripada ahli-ahli Papisma memang mempunyai `talent’ untuk ditonjolkan di dalam bidang ini hatta hingga ke peringkat nasional pun.

Kolum ini berdoa dan berharap agar Papisma akan benar-benar dapat membentuk IKON-IKON pilihan di dalam tempoh masa yang munasabah pada masa hadapan.

Salam Ramadhan.

Wassalam.

"HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH"

A.I Ghazali

Presiden Papisma 2010-2012