Tuesday, April 12, 2011

SEJARAH PAPISMA

(Insider)

PENTINGNYA SEBUAH ORGANISASI
Umpama kata-kata Sayidina Umar Al-Khattab r.a. yang bermaksud; "Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa wala."

Kepentingan organisasi sangat jelas kerana tanpanya seseorang individu itu tidak akan dapat menggunakan keupayaan dirinya untuk memberi manfaat atau membawa perubahan yang berkesan kepada masyarakat. Presiden Amerika sekalipun, dengan keupayaannya berpidato semata-mata tidak akan dapat memerintahkan walau seorangpun budak pejabat untuk datang kepadanya. Tetapi dengan kekuatan sebuah organisasi, beliau disokong untuk menjadi orang yang sangat berkuasa yang berupaya menggerakkan tenteranya bagi menghancurkan negara Afghanistan, Iraq malah sesiapa sahaja hanya dengan perintah yang sama. Semua orang dan kumpulan hari ini berlumba-lumba untuk menubuhkan organisasi. Dari persatuan penarik beca, persatuan peniaga, persatuan kontraktor, persatuan guru, persatuan ibu tunggal hinggalah kepada persatuan peguam dan persatuan doktor.

Menyedari akan hakikat itu, maka pada pertengahan tahun 1995, Dr. Faizol Fazli yang dikenali sebagai Abang Yeop kerana beliau berasal dari negeri Perak, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Perubatan Swasta di Klinik Izani, Cabang Empat, Tumpat Kelantan telah mengumpulkan beberapa sahabat yang bekerja di Kota Bharu untuk menubuhkan alumni universiti-universiti bagi meneruskan kesinambungan ISP (Ikatan Siswa-Siswi Perubatan/Paramedik). Perjumpaan itu telah diadakan di rumah Dr. Abd. Razak Sulaiman (kini Prof. Madya), di Pasir Mas, Kelantan. Antara sahabat yang hadir ialah Dr. Abd. Razak b. Sulaiman sebagai tuan rumah, Dr. Arif b. Mohd. Nor, Dr. Wan Mohamad b. Gaberan, Dr. Kamal Yatiban, Dr. Roslan b. Yusof dan Dr. Faizol Fazli sendiri. Mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah organisasi yang akan meneruskan kesinambungan ISP bagi meneruskan cita-cita memperkukuhkan Islam di Malaysia dari sudut Kesihatan dan Perubatan. Maka tertubuhlah SPI (Siswazah Perubatan/Paramedik Islam) dengan menjemput Dr. Azmi Samat yang berada di Kemaman, Terengganu sebagai Pengerusi pertamanya. Setiausahanya pula ialah Abang Yeop sendiri. Pada ketika itu pemilihan nama SPI masih belum dilakukan lagi. Nama SPI telah diputuskan dalam mesyuarat agung yang pertama.

Aktiviti pertamanya ialah dengan memperkukuhkan ikatan melalui usrah secara berkala. Antara naqibnya ialah Ust. Nik Mohd Ammar b. Nik Abdullah. Yuran-yuran juga dikumpul bagi menguatkan dana untuk menampung aktivitinya dengan bendahari pertamanya ialah Dr. Wan Mohamad b. Gaberan yang ketika itu bertugas di Klinik Kesihatan Tumpat, Kelantan.

Organisasi ini terus berkembang dengan cepat kerana ianya didokong oleh ahli yang sememangnya telah bersedia untuk meneruskan aktiviti pasca universiti. Perhimpunan pertama telah diadakan di Perdana Beach Resort, Pantai Cahaya Bulan yang merupakan Hari Keluarga SPI dan Mesyuarat Agung Tahunan. Organisasi yang lebih tersusun dibentuk dengan membahagi-bahagikan kawasan mengikut zon iaitu Zon Kota Bharu, Zon Kuala Terengganu, Zon Kemaman, Zon Kuala Lumpur/Wilayah Persekutuan dan Zon Selatan. Jawatankuasa-jawatankuasa diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti bagi memperkasakan persatuan. Alhamdulillah, sehingga hari ini hampir setiap tahun Perhimpunan ini dilaksanakan. Berikut adalah senarai dan tarikh-tarikh perhimpunan tersebut:

1-Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kelantan (1996)
2-Irama Beach Resort, Bachok, Kelantan (1997)
3-Bay View Resort Cherating, Kuantan, Pahang (1-2 Mei 1998)
4-Gem Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu (25-26 Jun 1999)
5-Lembayung Resort, Tronoh, Perak (2002)
6-Batu Buruk Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu (31 Ogos 2003)
7-Agro Resort, Setiu, Terengganu (1-3 November 2004)
8-Gem Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu (19-22 Ogos 2005)
9-Hotel Sri Malaysia, Taiping, Perak (18-20 Ogos 2006)
10-Selesa Resort, Bukit Tinggi, Pahang (17-19 Ogos 2007)
11-Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan (23-25 Mei 2008)
12-De Rhu Beach Resort, Kuantan, Pahang (29-31 Mei 2009)
13-Pantai Merdeka Beach Resort, Sg. Petani, Kedah (29-31 Mei 2010)
14-Bukit Keluang Beach Resort, Besut, Terengganu (29 April - 1 Mei 2011)

Nama PAPISMA (Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia) dipilih melalui mesyuarat exco SPI di Pasir Mas, Kelantan pada 11 Disember 2003 dan diluluskan pendaftarannya sebagai NGO pada 28 September 2004. PAPISMA terus mengorak langkah dengan lebih agresif. Barisan kepimpinannya bertukar ganti yang menggabungkan pelbagai peringkat usia dan kepakaran. Kini cawangan cawangan PAPISMA telah berada di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Keahliannya seramai 519 orang (data Disember 2010) yang telah didaftarkan dan ramai lagi masih menunggu didaftarkan. Nama PAPISMA terus harum dan meniti di bibir masyarakat apabila seringkali kelihatan berada di tengah-tengah masyarakat marhain bagi membantu mereka dalam merawat dan memberi nasihat soal-soal penyakit dan gejala hidup bebas yang merosakkan masyarakat.

Presiden-presidennya ialah Dr. Harmy b. Mohd Yusoff (2004 - 2008, cuti antara 2007-2008), Dr. Suhazeli b. Abdullah (2008 - 2010, memangku tugas antara 2007 -2008) dan Dr. Awisul Islah b. Ghazali (2010 sehingga kini).

Kejayaan PAPISMA sehingga kini ialah menubuhkan Koperasi Amalmedik, Agensi Takaful Amalmedik, penerbitan buku-buku perubatan, kumpulan cerpen, penerbitan majalah, penubuhan skuad kesihatan SMART PAPISMA di Terengganu, menyertai misi-misi keselamatan ke Pakistan, Filipina, China, Acheh, Kemboja dan Ghaza.

Mudah-mudahan PAPISMA akan terus berkembang maju selaras dengan kemajuan teknologi dalam mencari redha Allah untuk bekalan di negeri akhirat.


2 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.