Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, July 26, 2010

Mengimarahkan Sya'aban Pada Nisfunya?

(Biro IT)

(Artikel ini telah dikeluarkan pada 10/8/2008 dalam blog ini hasil tulisan Cucu Tok Adam)

"Jangan lupa malam ni tu... bawa kuih sekali deh!" Rahmat mengingatkan kawannya.
"Ada apa malam ni?" Zuki bertanya kerana memang dia terlupa.
"Laa... malam ni kan nisfu Sya'ban. Lepas Maghrib kek gi ada baca Yaasin." Jelas Rahmat lagi dengan loghat kedaerahannya. Zuki mengangguk-angguk kecil sambil berlalu.

Rahmat adalah seorang buruh yang bekerja sebagai tukang rumah. Dia seorang 'kaki masjid'. Meskipun kerjanya menyebabkan pakaiannya berlumuran debu dan peluh, dia jarang meninggalkan sembahyang berjamaah. Dia akan membawa pakaian 'spare'untuk sembahyang. Manakala Zuki seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dia selalu berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Berbeza dengan Rahmat, dia jarang pergi ke masjid. Pada waktu malam, dia hanya akan berehat di rumah. Menghilangkan penat menguruskan perniagaannya.

Zuki dan Rahmat adalah kawan baik dari bengku sekolah lagi. Meskipun dari segi taraf hidup yang berbeza sekarang, tapi persahabatan mereka tetap utuh.

Sebagai sebahagian masyarakat kampung yang akan meraikan nisfu Sya'aban, malam itu sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia, mereka akan membaca Yaasin selepas sembahyang Maghrib sebanyak 3 kali. Yaasin yang pertama adalah untuk memohon keampunan, Yaasin kedua untuk murah rezeki dan Yaasin yang ketiga adalah untuk panjang umur.

Di sini, saya ingin mengajak sahabat/iat berbincang tentang amalan nisfu Sya'aban ini. Persoalan pertama ialah kenapa perlu membaca Yaasin tiga kali? Kenapa tidak hanya sekali sahaja dan memohon kepada Allah untuk keampunan, murah rezeki dan panjang umur? Persoalan kedua ialah kenapa membaca Yaasin? Kenapa tidak surah-surah lain? Persoalan ketiga ialah bagaimana jika berdoa sahaja tanpa membaca Yaasin? Persoalan keempat ialah apakah penetapan amalan ini mengikut sunnah Rasulullah SAW?

Hari Rabu lepas, saya telah menghadiri satu kuliah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman Abdullah, ulama' muda lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang selalu menggantikan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang di Rusila, telah menyampaikan kuliah tentang nisfu Sya'aban. Antara perkara yang disentuh ialah tentang kelebihan bulan Sya'aban yang dinyatakan dalam hadis daripada Usamah bin Zaid katanya:
"Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (HR Al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan oleh Khuzaimah)

Menurut Ust. Kamaruzaman, inilah satu-satunya hadis sahih yang boleh dijadikan pegangan tentang kelebihan bulan Sya'aban. Tiada sebarang penetapan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat kita dalam mengisi Sya'aban bagi mendapat kelebihannya. Dalam menyentuh banyaknya baginda berpuasa, beliau menyebut bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa Sya'aban melebihi 16 hari. Meskipun terdapat hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah pernah berpuasa penuh, namun yang jelas Aisyah r.ha. menerangkan bahawa "Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan." (HR Al-Nasaai)

Seterusnya beliau mengingatkan tentang bahaya bid'ah dalam masyarakat Melayu terutama dalam hal nisfu Sya'aban. Beliau banyak mengkaji dan meneliti hadis-hadis tentang bulan Sya'aban, malangnya tidak ada hadis yang menetapkan supaya membaca Yaasin tiga kali pada malam nisfu Sya'aban ini. Malah sekiranya seseorang itu tidak pernah datang ke masjid dan surau pada malam-malam lain, tetapi datang untuk membaca Yaasin agar dapat keampunan, panjang umur dan murah rezeki dengan i'tiqad itulah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW boleh membawa kepada syirik. Kenapa? Kerana ia menyamai agama Kristian, Budha Hindu dan lain-lain di mana mereka mengi'tiqadkan bahawa Tuhan ada pada ketika-ketika tertentu dan pada masa-masa tertentu sahaja.

Sebagaimana amalan yang sahih daripada Rasulullah SAW dalam bulan Sya'aban ialah berpuasa sebagaimana hadis di atas. Oleh itu, marilah kita memperbanyakan melakukan amalan sebagaimana amalan Rasulullah SAW, iaitu berpuasa dan menggandakan amalan lain yang telah sayugia kita amalkan selama ini kerana bab ibadat ini tidak seperti amalan lain. Ia mestilah mempunyai nas. Ia tidak boleh direkacipta sesuka hati kerana rekaan dalam hal ibadat seolah-olah menyatakan bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu tidak lengkap dan sempurna. Sebagaimana dinyatakan oleh Asy-Syaukaniy:
"Maka, sungguh apabila Allah SWT telah menyempurnakan agama-Nya sebelum mematikan Nabi-Nya Muhammad SAW, bagaimana dengan pendapat orang yang mengada-adakan setelah Allah SWT menyempurnakan agama-Nya?! Seandainya sesuatu yang mereka ada-adakan termasuk dalam urusan agama menurut keyakinan mereka, bererti belum sempurna agama ini kecuali dengan pendapat mereka, ini bererti mereka telah menolak Al-Qur`an. Dan jika apa yang mereka ada-adakan bukan termasuk dari urusan agama, maka apa faedahnya menyibukkan diri dengan sesuatu yang bukan dari urusan agama??

Sunday, January 24, 2010

Al-Quran Manual Kehidupan Manusia

(Biro IT)

"Dalam diri kamu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah, mengapa kamu tidak memperhatikan". Itulah muqaddimah liqa' yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Mokhtar Salleh malam itu.

Bagaimana jika sistem darah yang berlari deras dalam tubuh manusia tanpa henti selama 24jam sehari itu jika ianya terganggu? Katakan jantung berhenti sebentar, ataupun darah membeku di mana-mana, apa akan terjadi kepada manusia itu? Sudah tentu dia akan mati.

Begitu juga dengan sistem pernafasan kita yang berlaku tanpa kita sedari selama 24 jam sehari. Bagaimana jika ianya berhenti sebentar dalam lima atau sepuluh minit. Apa akan berlaku? Sudah tentu manusia itu akan mati.

Kalau kita melihat sel-sel yang lebih kecil dalam tubuh yang berlaku seolah-olah seperti tugas seorang manusia. Contohnya sel-sel di dalam mata yang bertugas menyeimbangkan tekanan dalam mata. Apabila kandungan cecair dalam mata berlebihan, sel-sel ini akan mengangkut cecair itu untuk dibuangkannya ke saluran keluar. Jika sedikit saja sistem ini rosak, maka tekanan dalam mata akan menjadi tinggi (Glaucoma) dan manusia itu akan buta dalam masa yang singkat.

Subhanallah... Apakah semua sistem ini berlaku dengan sendiri? Secara kebetulan? Bagaimana mungkin sesuatu yang kebetulan itu boleh terjadi kepada seluruh manusia yang jumlahnya berbilion hingga bertrilion orang itu? Sudah tentu ia ada yang menciptanya malah ada yang menjaganya. Umpama enjin kereta. Bolehkah ia terjadi dengan sendiri secara kebetulan? Bagaimana jika tangki minyak itu kita isi dengan air atau tangki selinder itu kita isi dengan petrol? Kereta itu akan mati serta merta. Sebab sistem yang dicipta itu tidak dipatuhi. Semua ini sudah pasti ada yang menciptanya.

Jadi, sebagai orang beriman, kita yakin bahawa pencipta sistem yang unggul dalam diri manusia itu adalah Allah SWT. Untuk menjadi sihat, sistem itu tidak boleh diubah. Tidak ada manusia yang boleh mengubahnya kecuali sedikit saja perubahan itu akan membawa kerosakan dan kematian.

Setelah Allah menciptakan semuanya, maka Allah juga menciptakan panduannya agar kehidupan itu menjadi harmoni. Ia dipanggil syariat. Ia merupakan manual kepada kehidupan untuk diikuti. Ia merupakan undang-undang. Semua itu di bawa oleh para Nabi dan Rasul yang dipilih oleh Allah. Terdapat kira-kira 125000 orang Nabi dan 25 orang Rasul. Rasul yang terakhir adalah Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam (SAW) yang membawa Al-Quran sebagai manual untuk keharmonian hidup sehingga hari ahirat.

Namun, setelah kita mengakui bahawa pencipta sistem tubuh yang kompleks dan sempurna itu ialah Allah, kita tidak menuruti manual kehidupan yang diturunkan oleh Allah melalui Muhammad SAW iaitu Al-Quran. Kita mengikut manual-manual kehidupan yang lain yang diciptakan oleh manusia. Mengapa?

Kereta Proton kita menggunakan manual Perodua, kereta Honda kita menggunakan manual Toyota dan sebagainya. Apakah kita menganggap manual kehidupan yang dicipta selain dari yang diturunkan oleh Allah itu lebih baik? Sesungguhnya telah berlaku dalam sejarah dan sejarah itu pula terus berulang bahawa sedikit saja manusia lari dari sistem Allah, pasti kerosakan dan kemusnahan akan berlaku.

Marilah kita memikirkannya...


Wednesday, November 26, 2008

Lebih Baik Daripada Abu Zar’in


“Ruang tamu kita elok dicat dengan warna peach atau cappucino?” tanya Ummu Saif.

“Warna mana yang lambat nampak comot? Maklumlah budak-budak ni!”, saya menjawab dengan soalan.

“Lampu tangga nanti, elok yang lekat ke dinding atau yang cantik berjuntai?”, soal Ummu Saif lagi.

“Asalkan cukup terang nampak anak tangga, semua ok aje,” saya menjawab.

“Kabinet dapur tu lebih berseri kalau table top berwarna gelap. Biar kontras!” cadang Ummu Saif.

“Janji cukup kuat untuk kerat ayam dan belah durian,” saya ‘menyokong’.

SEMINGGU DUA INI

Seminggu dua ini ada juga terasa di kepala bagai didera. Dengan segala ilmu pengetahuan yang pernah saya pelajari seumur hidup, kali ini saya diminta mengeluarkan ‘fatwa’ tentang langsir, cat, lampu, kabinet, sofa dan serba serbi benda yang tidak pernah saya pedulikan selama ini.

“Warna langsir rumah kita sekarang ini pun abang tak perasan!” saya berterus terang.

Sudah banyak kali saya memberikan lesen kebebasan kepada Ummu Saif untuk memilih apa sahaja warna, rekaan, corak yang disukainya. Bagi saya, yang penting rumah kami nanti cukup pintunya, elok bumbungnya, dan buku saya tidak ditirikan ke dalam stor. Itu sahaja. Tetapi Ummu Saif tidak pernah jemu bertanyakan pandangan saya tentang ‘perkara-perkara kecil’ berkenaan rumah kami, walaupun banyak cadangan saya berakhir dengan K.I.V (Kept In View!)

Isteri memikirkan keserasian warna dan rupa.

Suami memikirkan fungsi dan praktikaliti penggunaannya.

Tetapi…

11 WANITA JAHILIYYAH

Dalam ketegangan fikiran saya itu jugalah, saya terkenang kembali perbualan Ummu al-Mu’mineen Aisyah radhiyallahu ‘anha bersama suaminya Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Mereka berdua berbual tentang kisah 11 wanita Jahiliah, cerita Aisyah sebagai santapan telinga suaminya.

Sebelas orang wanita telah bersepakat dan berjanji untuk menceritakan perihal suami mereka.

Wanita pertama berkata: Suamiku seperti daging unta yang busuk yang berada di puncak bukit yang tinggi yang tidak dapat untuk didaki. Beliau tidak berlemak dan mudah untuk bergerak.

Wanita kedua berkata: Aku tidak boleh menceritakan mengenai suamiku. Aku takut dan aku tidak boleh memberitahu mengenainya. Sekiranya aku memberitahu mengenainya, bermakna aku membuka aibnya.

Wanita ketiga berkata: Suamiku telah membuat syarat, sekiranya aku bercerita, aku akan diceraikan dan sekiranya aku diam, aku akan dikasihi.

Wanita keempat berkata: Suamiku seperti cuaca di daerah Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), tidak menakutkan dan tidak menjemukan.

Wanita kelima berkata: Suamiku, ketika memasuki rumah seperti seekor harimau bintang (kerana banyak tidur dan malas bertanya), tetapi apabila beliau keluar seperti seekor singa. Beliau tidak akan bertanya perkara-perkara yang bukan urusannya.

Wanita keenam berkata: Suamiku apabila makan, beliau akan menghabiskan makanannya. Sekiranya beliau minum, beliau akan menghabiskan minumannya. Sekiranya beliau tidur, beliau akan berselimut dan tidak memasukkan telapak tangannya kerana beliau tahu akan kesusahannya.

Wanita ketujuh berkata: Suamiku adalah seorang yang lemah syahwat. Walaupun telah berubat tetapi belum juga sembuh. Di samping itu beliau mudah menjatuhkan tangannya.

Wanita kelapan berkata: Suamiku berbau seperti bau Zarnab (sejenis bauan) dan sentuhannya selembut sentuhan seekor arnab.

Wanita kesembilan berkata: Suamiku berkedudukan tinggi, seorang yang berjaya, dermawan dan rumahnya berhampiran dengan tempat permainan.

Wanita kesepuluh berkata: Suamiku seorang pembesar dan banyak memiliki harta, sebahagian dari hartanya, beliau memiliki banyak unta. Sebahagian besar unta-untanya pula dibiarkan di halaman rumah, kerana itulah untanya yang hamil sedikit sahaja. Sekiranya unta-unta itu mendengar tiupan seruling mereka mengetahui bahawa mereka akan disembelih.

Wanita kesebelas berkata: Suamiku bernama Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah Abu Zar’in? Beliaulah yang memberikan aku anting-anting pada sepasang telingaku. Beliaulah yang memberiku makanan-makanan berzat sehingga aku kelihatan sihat. beliau suka memuji aku, beliau mengambil aku dari keluarga susah dan menjadikan aku salah seorang anggota keluarga yang kaya. Beliau tidak pernah mencaci aku, sehinggakan aku dapat tidur dengan nyenyak sampai ke pagi dan aku dapat minum dengan tenang.

Selepas itu bagaimana pula bonda Abu Zar’in. Tahukah kamu siapa bonda Abu Zar’in? Beliau memiliki harta simpanan dan rumahnya sangat luas.

Maka bagaimana pula anak lelaki Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak lelaki Abu Zar’in. Tempat tidurnya seperti pelepah tamar. Beliau merasa kenyang dengan makan sebelah kaki kambing.

Maka bagaimana pula anak perempuan Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak perempuan Abu Zar’in beliau sangat mentaati kedua orang tuanya. Tubuhnya montel dan sering menjadi kecemburuan jirannya.

Maka bagaimana pula Jariah Abu Zar’in, tahukah kamu siapakah Jariah Abu Zar’in? Beliau tidak pernah menyebarkan rahsia kami dan sangat jujur sekalipun dalam soal makanan. Beliau tidak pernah membiarkan rumahku kotor.

Setelah itu beliau berkata: Satu hari Abu Zar’in keluar dengan membawa satu bekas daripada kulit yang diisi dengan susu. Beliau bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak. Kedua anaknya itu seperti dua ekor harimau kumbang. Mereka bermain dengan dua biji buah delima di bawah pinggang ibunya. Maka beliau menceraikan aku dan mengahwini wanita itu.

Setelah itu aku berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dan kaya. Tunggangannya adalah seekor kuda terpilih. Beliau membawa aku ke kandang yang penuh dengan binatang ternakan. Kemudian dia berkata: Makanlah wahai Ummu Zar’in dan berehatlah supaya hilang penat lelah. Beliau berkata: Sekiranya aku kumpulkan pemberiannya dengan pemberian Abu Zar’in, nescaya pemberiannya tidak akan sama dengan pemberian Abu Zar’in yang paling sedikit.

Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda kepadaku: Perhubungan aku denganmu seperti Abu Zar’in dengan Ummu Zar’in.

Aisyah radhiyallahu ‘anha membalas: Bahkan engkau lebih baik dari Abu Zar’in.


Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab: Benar! Abu Zar’in menceraikan Ummu Zar’in sedangkan aku tidak menceraikan engkau”


[Riwayat al-Tirmidhi]

HEBATNYA RASULULLAH S.A.W

Subhanallah!

Sabarnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendengar celoteh isterinya Aisyah! Dalam kesibukan dan kegentingan pelbagai isu ummah, sabarnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam melayan kisah 11 perempuan Jahiliyyah yang entah di mana faedahnya itu! Tidak langsung diperlekeh kisah Aisyah. Tidak langsung dimuncungkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mulutnya dengan kisah panjaaaaang lebar isteri kesayangannya itu.

Bahkan setelah berakhirnya kisah 11 wanita Jahiliyyah itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengulas dengan komen yang paling bersahaja lagi romantik, sebagai seorang suami yang terbaik kepada ahli keluarganya.

Maafkan daku sayang. Diri ini tidak sehebat Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, tetapi aku ini pasti lebih baik dari Abu Zar’in kerana sepanjang mana pun celotehmu tentang benda remeh temeh berkaitan rumah kita, dikau tetap menjadi pojaaan hatiku!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Friday, November 21, 2008

Pengajaran Liqa' - Memahamkan Masyarakat Hakikat Islam

(Biro IT)

Banyak kekeliruan yang telah berlaku di dalam masyarakat adalah akibat penerapan yang diberi di peringkat sekolah rendah lagi, termasuklah di kalangan kita para pendokong Islam. Contohnya dalam subjek sains tentang kejadian hujan. Menurut sains, hujan terjadi akibat terkumpulnya wap air yang tersejat dari permukaan bumi. Apabila wap air itu terkumpul, maka terjadilah awan. Setelah awan itu cukup berat, maka terjadilah hujan. Sedangkan hakikat sebenarnya ialah hujan itu telah diciptakan Allah mengikut kadar dan ketetapan-Nya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak makan padanya.” (An-Nahl: 10)

Begitulah antara kupasan yang diberikan oleh penceramah jemputan yang merupakan naqib Papisma Terengganu (muslimin), Ust. Burhanuddin (Bob) malam tadi. Jika teori sains ini benar, sudah tentu tidak berlaku hujan lebat dan banjir di tanah arab seperti yang berlaku di Mekah dan Madinah beberapa tahun lalu - pen. Begitu juga dengan kes malapetaka Tsunami yang berlaku beberapa tahun lalu, ia tidak melanda semua tempat yang terdedah kepadanya, tetapi lebih kepada tempat yang mana di sana telah berlaku maksiat dan kemungkaran yang besar. Ini menunjukkan bahawa semua itu adalah ketetapan Allah. Sebab itu sains perlu diulas agar bertepatan dengan Al-Quran. Jika kita sentiasa menanamkan kefahaman ini kepada masyarakat (pesakit), sudah tentulah mereka akan lebih redha dengan ketentuan Allah dan akan bergantung harap kepada Allah untuk menyembuhkan penyakit-penyakit mereka.

Apabila Allah menurunkan hujan, maka turunlah bersamanya rezeki, sebagaimana fiman-Nya lagi:
"Dia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir" (An-Nahl:11)

Dalam hal ini Allah telah menyebutkan tentang buah zaitun, tamar dan anggur dengan jelas. Ini menunjukkan bahawa khasiat buah-buahan ini terlalu banyak terutama dari segi khasiat dan penyembuhan penyakit. Banyak kajian saintifik telah dibuat terhadap buah-buahan ini dan seharusnya pesakit-pesakit digalakkan mengambilnya mengikut cara Nabi Muhammad SAW agar ianya menghasilkan kesan yang maksimum. Jadi, Ust. Bob mencadangkan supaya jadikanlah buah-buahan ini sebagai 'buah tangan' apabila menziarahi pesakit berbanding limau dan epal. Khasiat anggur kering (kismis) adalah menyamai buah tamar dari segi penyembuhan.

Ust. Bob juga menyebut tentang bagaimana menambahkan keberkatan ubat dan rawatan yang diberikan kepada pesakit (agar lebih mujarab) iaitu dengan mengamalkan tip-tip rawatan sebagaimana yang diamalkan oleh Bapa Perubatan Islam, Ibnu Sina (rh) seperti berikut:
Sebelum memulakan kerja setiap pagi, ucapkanlah istighfar (3x), selawat (3x), Laa haula walaa quwwata illa billahil 'aliyyil 'adziim (3x) dan Al-Fatihah (1x). Insya Allah akan memperoleh kemudahan dalam mendiagnos dan merawat pesakit.

Thursday, November 6, 2008

Cukupkah Kerja Kita Untuk Jamaah?

(Kaki Kayu)

"Bang... mana pergi. Lama tak dengar berita?" Seorang sahabat menyapaku.
"Lama tak tulis artikel... ingatkan pergi buat haji?" Sapa seorang blogger.

Beberapa minggu ini aku memang sibuk. Sibuk dengan urusan parti, sibuk dengan urusan kerja, sibuk dengan urusan anak... ditambah pula dengan komputerku yang selalu meragam. Kesibukan seperti inilah yang selalu menjadi alasan untuk tidak menginfakkan tenaga untuk Islam dan jamaah. Ramai yang menganggap bahawa aku kerja sendiri, kenapa tak boleh adjust time kerja? Apa guna kerja sendiri kalau dikongkong oleh masa juga. Aku jawab selamba je... kerja sendiri lagi susah. Sebab ada kerja ada 'gaji' tak de kerja tak de 'gaji'. Sapa nak bayar aku?

Sememangnya begitulah bagi sesiapa yang kerja sendiri. Selain dari mempunyai motivasi tinggi dan keyakinan yang tinggi bahawa rezeki itu datangnya dari Allah, rupa-rupanya kerja sendiri juga menuntut pengorbanan yang tinggi iaitu kena buat kerja jamaah 'betul-betul' tidak berbayar... hanya mengharapkan ganjaran Allah di akhirat. Jadi, aku pernah nasihat adik-adik, kalau kalian tidak bersedia untuk pengorbanan itu, jangan cari pasal kerja sendiri. Kecualilah kalian tidak bersedia untuk berkorban bersama jamaah, kalian nak mengumpul kekayaan dan 'bersara awal', kalian pilihlah kerja sendiri.

Aku kadang-kadang rasa pelik juga dengan sikap dan anggapan anggota jamaah kita. Kadang-kadang pimpinanpun macam tu. Mereka boleh terima kalau seseorang yang kerja kerajaan tu beri alasan yang dia kerja atau on-call untuk tidak dapat memberikan tenaga dalam sesuatu program, tetapi tidak boleh terima kalau aku yang kerja sendiri ni memberikan alasan yang serupa. Kadang-kadang terpaksa explain beberapa kali, bahawa orang kerja kerajaan ni boleh ambik cuti untuk terlibat, di mana cutinya ada 30 hari setahun yang tidak menjejaskan gajinya. Tapi aku kena kerja hari ini kerana ada.... begitulah kadang-kadang tanggungjawab kita kepada kerja tu bukan semata-mata tanggungjawab untuk mengisi poket sendiri, tapi ada amanah lain yang terpaksa ditunaikan. Entahlah mereka faham atau tidak... tapi yang nyata dari air muka mereka itu memang jelas tidak puas hati.

Bagi pendokong perjuangan yang juga mempunyai tanggungjawab yang besar di tempat kerja, mereka perlu merancang untuk memberikan kerjasama dari hati yang ikhlas untuk Islam. Hanya dirinya dengan Allah sahaja yang tahu sejauh mana keikhlasannya untuk berkorban untuk agama Allah. Mereka boleh memberikan 1001 alasan untuk tidak bersama, tetapi Allah tahu akan alasannya. Jika alasan yang sengaja diada-adakan, mereka juga tidak beruntung di akhirat kelak. Tidak kira kita siapa dan di mana kita berada, marilah kita ikhlaskan hati-hati kita untuk memberikan semaksima mungkin sumbangan untuk perjuangan. Allah tidak akan mensesiakan kerja-kerja kita untuk perjuangan itu kerana ganjarannya tersangat besar di akhirat nanti.


Lihatlah sedikit peringatan yang sempat aku tuliskan. Pada hari Kiamat nanti Allah akan menolak 4 macam alasan dari 4 jenis golongan manusia iaitu:

1) Allah menolak alasan dari orang kaya kalau sekiranya ia berkata,"Kekayaan yang aku cari dengan usaha titik peluh sendiri telah menyibukkan aku sehingga aku tidak sempat melaksanakan amal ibadat dan kebajikan." Firman Allah kepadanya, "Kekayaanmu tidaklah setanding dengan kekayaan Nabi Sulaiman tetapi dia sedikit pun tidak lalai dan lupa dari mengingati Aku."

2) Allah menolak alasan dari hamba sahaya sekiranya ia berkata, "Aku adalah seorang hamba dan sentiasa terikat kepada suruhan yang menjadikan aku tidak bebas. Oleh sebab itu aku tidak berpeluang untuk beribadat kepada-Mu." Firman Allah kepadanya, "Utusan-Ku Nabi Yusuf juga pernah menjadi hamba tetapi tidak pula ia leka dari mengerjakan ibadatnya kepadaKu."

3) Allah menolak alasan dari orang miskin sekiranya ia berkata, "Kemiskinan dan kekurangan yang kami miliki inilah yang menyebabkan kami tidak berpeluang untuk beribadat kepada-Mu." Firman Allah kepadanya, "Kemiskinan yang kamu rasai tidaklah sebagaimana miskinnya seorang utusanKu iaitu Nabi Isa a.s dan ia tidaklah pula mengabaikan tanggungjawabnya kepada-Ku."

4) Allah menolak alasan dari orang yang sedang menderita sakit sekiranya ia berkata, "Penyakit inilah yang menghalang aku dari melakukan sujud kepada-Mu. Firman Allah kepadanya, "Penyakitmu tidaklah seteruk seperti apa yang dialami oleh hamba-Ku yang mulia iaitu Nabi Ayub a.s. tetapi lidah dan hatinya sedikitpun tidak berhenti dari menyebutkan akan nama-Ku."

Sekian.

Saturday, September 27, 2008

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI

(Kaki Kayu)

Alhamdulillah. Setelah hampir sebulan kita memberikan tumpuan kepada ibadat Ramadhan, Hanya tinggal 3 hari lagi untuk Syawal menjelang tiba. Sedar-sedar, banyak lagi perkara yang belum terbuat olehku. Sedekah ku belum seberapa, zikirku belum mencapai target, bacaan Al-Quran, meskipun telah khatam, tapi aku tak puas hati dengan tertib dan tartilnya. Qiamullailpun tak terisi dengan sempurna. Doa-doaku kurang untuk memohon keampunan dan syurga sebagaimana yang ditunjuki oleh Rasulullah SAW. Tapi...itulah setakat kemampuanku. Mudah-mudahan Allah terima apa yang kulakukan. Mudah-mudahan Allah redha dengan kemampuanku.

Kini semua orang sibuk dengan persiapan Aidilfitri. Akupun turut sama menyibukkan diriku untuk mempersiapkan serba-sedikit keluarga dan anak-anak bagi menghadapinya. Maklumlah, anak-anak cukup menanti ketibaan Syawal ini. Masa untuk bergembira dan bersukaria. Ya... memang Syawal disunatkan untuk kita bersukaria. Hatiku pun akan turut merasa bahagia dengan kegembiraan anak-anak. Namun, di sebalik itu ternyata masa semakin suntuk untuk 'menebus' masa-masa Ramadhan yang tersia.

Untuk menjadi hamba yang baik di sisi Allah ialah apabila bersalah, dia bertaubat. Itulah pesanan Rasulullah. Jadi, sedikit sebanyak ia menjadi pengubat buatku yang terlalu banyak kelemahan ini. Itulah kemurahan Allah yang mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya. Apa yang sudah berlalu, biarlah ia berlalu. Pergunakan peluang apa yang Allah sediakan pada ketika ini dan hari esok. Jadi, sesungguhnya Syawal juga merupakan suatu peluang untuk meneruskan ibadat dengan cara mengikuti sunnah bagaimana Rasulullah memenuhi Aidilfitri. Ganjarannya cukup besar apabila kita mengikuti sunnah dan keredhaan Allah tersedia untuk mereka yang menegakkan sunnah itu. Oleh itu, aku ingin jadikan paparan di bawah ini sebagai sedikit panduan untukku mencari redha Allah melalui peluang yang Allah sediakan itu. Mudah-mudahan kita tidak melepaskan peluang seperti ini. Marilah kita hayati besama-sama...

(Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu." - Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.


• Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

• Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

• Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." - Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

• Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

"Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

• Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Monday, September 22, 2008

Peristiwa-Peristiwa Di Bulan Ramadhan

(wartawan Bebas)

Selain turunnya wahyu Allah yang pertama di bulan Ramadhan, terdapat beberapa peristiwa besar yang juga berlaku dibulan yang penuh dengan barakah ini. Ketika dahulu, umat Islam yang merupakan umat yang disanjung tinggi dari timur ke barat, kerana terlimpahnya rahmat Allah kesan dari penerapan Islam dalam kehidupan mereka. Namun begitu, pada masa sekarang, setelah runtuhnya entiti penyatuan umat Islam, iaitu Khilafah pada 27 Rejab 1342H (3 Mac 1924), umat Islam dirundung penyakit yang semakin parah. Semoga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir bagi umat Islam berpuasa tanpa Khilafah.

Berikut merupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan:

17 Ramadhan 2H

Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

Ramadhan 5H

Persiapan Perang Khandaq

Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan belahkan pasukan musuh.

20 Ramadhan 8H

Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala

Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.

Ramadhan 9H

Perang Tabuk

Rasulullah SAW tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah.

Utusan Thaif

Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban dan melaksanakan puasa disana.

Utusan Raja Himyar

Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis.

Ramadhan 10H

Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H

Kemenangan tentera Islam di pulau Rhodes.

Ramadhan 92H

Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Frederic of the Visigoths. Musa ibn Husair, Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Frederick. Antara peristiwa yang memotivasikan tentera- tentera Allah ini semasa perang ini ialah, apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan tenteranya membakarkan kapal- kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Frederick. Beliau berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”. Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Frederick, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Spanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

Ramadhan 129H

Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H

Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk Kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Azan turut dilarang daripada dilaungkan dan masjid- masjid disirami dengan arak oleh tentera- tentera Tartar yang biadap ini. Kecelakaan ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H (6 September 1260M) di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata ”Wahai Kekasihku”. Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, ”Janganlah kamu berkata demikian. Kasih lagilah kamu terhadap Islam”. Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan di raih oleh Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.

Banyaknya Risiko Syirik Dalam Negaraku Malaysia

(Dari emel)

Nauzubillah.

Tolong sebarkan kawan2 ku.....

Pesan Professor Datuk Dr Harun Din Al-Hafiz

Seperti yang kite ketahui... Negara kite nie banyak tugu.... Antara yang famousnya ialah Tugu Kebangsaan, Tugu Helang Laut kat langkawi dan sebagainya.. Tahukah kawan2 bahawa pada tahun 1993, Mufti wilayah persekutuan telah mengeluarkan fatwa bahawa " segala tugu-tugu itu serta pembinaannya adalah haram.... ciri-cirinya menyerupai berhala...dan melawatnya juga adalah haram.. "

Setelah fatwa itu dikeluarkan, maka ia digazetkan bermakna tindakan undang2 boleh dikenekan kepada sesiapa yang melawat tugu kebangsaan! Tetapi sayang... pihak atasan tidak suka akan keputusan itu maka disuruhnya pihak mufti menarik balik fatwa itu... Setelah berbincang.. Mufti tersebut tidak mahu menarik balik fatwa itu... Maka pihak atasan telah menarik balik gazet tersebut maka apa yang tinggal ialah fatwa sahaja... tiada tindakan undang2 yang boleh diambil... Menurut kupasan Ust. Harun Din, tugu2 ini boleh mendatang syirik... Beliau berkata... " bawalah dosa anda sebesar langit dan bumi kepada Allah dan Allah mungkin akan mengampunkannya tetapi jika terdapat walau sedikit/sebesar zarahpon dosa syirik maka Allah tidak akan mengampunkan orang itu..." dan kata beliau lagi... "
Walaupun kita tidak pergi ke tugu2 tetapi jika kita 'redha' atau tidak melakukan apa2, berdiam diri, maka kita juga akan mendapat dosa tersebut iaitu dosa syirik..." Contoh kedua yang beliau utarakan dalam perbincangan dosa syirik ini ialah nama negeri perlis iaitu perlis indera kayangan... " Menurut kamus dewan... indera bermaksud nama tuhan hindu manakala kayangan bermaksud tempat di mana tuhan2 bersemayam.. . maka makna sebenar ialah perlis tempat tuhan hindu bersemayam.. " Menurut beliau... Nama perlis ini juga mendatangkan dosa syirik...
Perkara terakhir yang dibincangkan ialah isu perlembagaan negara... Tahukah kawan2 bahawa... Perlembagaan Negara Fasa ke-14 mengatakan bahawamana2 undang2 akan terbatal dan tidak boleh dipakai jika ia bertentangan dengan undang2 yang telah dinyatakan di dalam perlembagaan termasuklah undang2 hudud... iaitu undang2 yang dicipta oleh Allah.

Kata beliau seterusnya...

Dosa syirik boleh diakibatkan oleh...
1. Mempertahankan perlembagaan serta undang2 ciptaan manusia dan membuatkannya mengatasi undang2 ciptaan Allah iaitu hudud dll.
2. Menyokong mereka yang mempertahankan perlembagaan.
3. Mereka yang berdiam diri.
4. MEREKA YANG MENGATAKAN BAHAWA HUKUM HUDUD ITU ZALIM ( BERMAKNA ALLAH JUGA ADALAH ZALIM)

Thursday, September 18, 2008

KEMULIAAN MALAM LAILATULQADAR

(Dari Emel)

Suatu malam yang sangat dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di dunia ini telah hampir tiba. Debaran jantung dan tachycardianya nadi semakin terasa. Apakah kita antara orang pilihan Allah untuk memperolehinya? Setakat manakah kesungguhan kita untuk mendapatkan Lailatul-Qadar yang sangat dinantikan ketibaannya itu? Untuk lebih menambahkan semangat kita, marilah kita ketahui tentang malam itu. Mudah-mudahan keinginan kita semakin bertambah dengan bertambahnya ilmu mengenainya. Jika kita tidak bersedia menyambut ketibaannya, kita adalah orang yang sangat rugi.

Tulisan oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan di mana ALLAH S.W.T. meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis no: 1079.

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar. Padanyalah diturunkan al-Qur’an yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam. Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Apakah itu Lailatulqadar?

Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu.

Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Sya’ban merupakan malam di mana ALLAH menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku." – Surah al-Dukhan: 3-4.

Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Qadr yang telah penulis paparkan sebelum ini.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:

"ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr." – Surah al-Qadr: 1.

Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah: 185.

Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan." – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.

Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.

Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.

Disebabkan oleh kekeliruan ini, mereka telah menciptakan pelbagai ibadah yang khusus seperti membaca surah Yasin sebanyak tiga kali diselang-selikan dengan doa-doa yang tertentu agar tahun yang mendatang bakal lebih baik dari tahun itu. Ternyata amal ibadah tersebut tidak ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w mahupun para al-Salafussoleh dan sewajarnya dinilai semula oleh semua pihak. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w telah mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:

"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah) serta seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan termasuk kategori bid’ah dan semua bid'ah itu menyesatkan." - Hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya, no: 867.

Bilakah Berlakunya Lalitaulqadar?

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2017.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1165.

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Namun demikian Rasulullah s.a.w. apabila tiba sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda akan menggandakan ibadah baginda maka amalan sebeginilah yang afdal untuk diamalkan kita semua. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang untuk melakukan ibadah sambil beriktikaf di masjid. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h:

"Dari segi bahasa, iktikaf bermaksud membatasi diri pada sesuatu. Sedangkan menurut pengertian syarak, ia bermaskud individu tertentu menetap di dalam masjid dengan cara khusus (menepati sunnah)." - Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fath al-Bari, jil. 11, ms. 538.

Ketika beriktikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain amalan yang soleh.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.

"Sesungguhnya Nabi s.a.w biasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadani sehingga ALLAH mewafatkan baginda." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih nya, no: 2026.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.

Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat):

"Ya ALLAH! Sesungguhnya AKU berlindung dengan keredhaan-MU daripada segala kemurkaan-MU. AKU juga berlindung dengan kemaafan-MU daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. AKU juga berlindung dengan Zat-MU yang tidak terhitung segala nimat dan belas kasihan yang telah ENGKAU berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-MU seperti mana pujian yang layak bagi Zat-MU." – Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad dan selainnya.

Selain dari itu, dianjurkan kan juga untuk berdoa sebagaimana dikhabarkan dari ‘Aishah r.a dia berkata:

Ya Rasulullah, apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan. Rasulullah menjawab:
Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku. - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no: 3840

Semoga Ramadan pada tahun ini kita semua dapat mendapat malam lailatuqadar dan kita dapat mengisi sepanjang bulan ini dengan amal-amal ibadah yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. serta mengerjakan amal-amal soleh. Lantaran dari itu semoga kita semua dapat menikmati segalan ganjaran pahala seperti yang telah dijanjikan oleh ALLAH S.W.T. kepada hambanya yang taat kepada perintah-NYA. Ada golongan yang menyatakan bahawa puasa bagi golongan yang tinggi makamnya adalah mereka yang berpuasa semata-mata ikhlas kerana ALLAH S.W.T tanpa menginginkan ganjaran pahala tersebut. Ternyata pemikiran sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Sememangnya amal ibadah kita perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan pada masa yang sama bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mencita-citakan ganjaran pahala serta syurga daripada ALLAH S.W.T.. Buktinya ALLAH sendiri telah berfirman:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari TUHAN kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa - ‘Aali Imraan (3) : 133

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan kita untuk mengharapkan ganjaran daripada ALLAH S.W.T. sebagaimana sabdanya:

"Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada ALLAH), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.

Monday, September 8, 2008

Bagaimana Mengingati Allah Semasa Bekerja?

(Dari emel)

Satu tulisan yang menarik dari Dr. Yusof Abbas, seorang pakar motivasi Islam yang menulis dalam blognya di sini. Memang sukar merealisasikan teori mengingati Allah dalam pekerjaan. Tetapi rupa-rupanya, ada kaedah yang sangat mudah untuk kita praktikkan bersama dalam dunia yang cukup sibuk dengan pekerjaan ini. Mudah-mudahan ianya akan menjadikan pekerjaan kita benar-benar sebagai ibadah kepada Allah SWT. Berikut adalah tulisannya:

Ketika sibuk menyemak fail-fail di pejabat, sibuk melayan pelanggan di kedai, sibuk bermuasyarat atau sibuk sedang bersukan, timbul persoalan macamana mahu selalu mengingati Allah ketika waktu sibuk urusan dunia tadi? Bila masa pula mahu berzikir subhanallah, Allah’akbar dan sebagainya ketika leka dengan kerja harian yang silih berganti-ganti. Penulis menjemput anda memberikan jawapannya.

Mungkin ada yang memberi jawapan pantas, bukankah semua kerja-kerja duniawi ini juga ibadah dan berpahala, malah senyum itu pun sedekah!!

Persoalannya bagaimana MAHU SELALU MENGINGATI ALLAH DALAM KERJA HARIAN KITA di luar solat, di luar waktu berdoa , di luar zikir?.

Atau kita memikirkan, adakah begini ideal untuk kita sentiasa mengingati Allah dalam semua perkara, dalam semua keadaan? Kita manusia penuh dengan kelemahan!Selalu leka, panjang angan-angan, bercabang-cabang cita-cita!

Idealkah setelah pelbagai nikmat sudah kita kecapi! Nikmat yang tidak tertulis jika lautan menjadi dakwatnya! Tidakkah itu ideal bagi kita untuk semaksima mengingati Allah dimana saja dan ketika mana. Mudah menulis dan menyebutnya, semudah itukah untuk kita sentiasa mengingati-Nya? Atau adakah kemahiran mudah untuk membiasakan hati disampingNya?

Sebelum ini, penulis ada menulis, displin yang tinggi diperlukan dalam semua pekerjaan termasuk displin untuk mengingati Allah. Penulis sudah lama dipesan oleh alim ulamak supaya displinkan tiga(3) sebutan ini sebelum melakukan setiap perkara walaupun kerja itu mudah atau sebentar. Mudah sangat untuk menyebutnya tetapi amat sukar diamalkan jika tidak berdisplin, iaitu sebutan, bis-mil-lah, betul bukan? 3 sebutan sahaja berbanding kalimah penuhnya bismillahirahmanirahim. Sebut bismillah ketika mahu pegang berus gigi, ketika mandi, ketika pakai baju, ketika memegang stering kereta, ketika mahu sms, ketika buka fail, ketika buka komputer, ketika memasak dan ketika-ketika yang lain. Kalaulah displin ini berjaya diamalkan, agaknya berapa kali kita sudah lafazkan bis-mil-lah ini dalam sehari.

Anda tentu pernah membaca kisah orang yang mengamalkan menyebut nama Allah ini, bagaimana karung guni yang dibawa balik oleh suami yang berisi makanan dari hutan, bila dibuka oleh isteri yang kelihatan ialah ketulan emas! Kisah tukang kapal nabi Nuh, yang menebang pokok-pokok untuk dibuat papan, dia meminta makanan yang banyak dari Nabi Nuh kerana banyak mengunakan tenaga, dengan sekeping roti yang dimakan bermula dengan nama Allah , dia kenyang sehingga ke petang.

InsyaAllah kebiasaan 3 sebutan ini, bis-mil-lah ini akan dibiasakan dengan menyebut sepenuhnya iaitu bismillahhirahmanirahim.

Begitu juga displin yang sukar kita lakukan, untuk berdisplin meletakkan matlamat sebenar kita keluar mencari rezeki, sudah terbiasa hari-hari pergi ofis atau apa jua kerja rutin atau kerja sebagai suri rumah, kita biasa lupa matlamat mencari rezeki ini. Orang yang sentiasa ingat matlamat atau objektif , selalunya terarah pekerjaannya. Anda tentu tahu, kegagalan sesebuah organisasi atau badan koperat sekali pun, bila matlamat mereka sudah tersasar apalagi organisasi kecil atau individu.

Jika jelas matlamat mencari rezeki ini KERANA ALLAH, seperti AKUJANJI dalam doa iftitah, ” sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah”. Inilah kemahiran untuk sentiasa mengingatiNya dalam kerja dunia. Dan tentunya setiap musibah atau kegembiraan itu kita segera kembali merujuk kepada Allah SWT. Mudah...tetapi sukar dilakukan jika tidak berdisplin.

Jika anak-anak kita mahir membaca pelbagai doa sejak dari tadika, dari doa bangun tidur, masuk tandas, doa makan, lepas makan sehinggalah tidur semua, agaknay emak dan bapak kepada anak-anak ini berdoa atau tidak? Mudah, tetapi tidak berdisplin, sukar diistiqamahkan, sedangkan inilah kemahiran untuk selalu Allah di hati kita.

Semoga dengan tulisan ini merangsang penulis sendiri mengamalkan 3 sebutan mudah tadi, bismillah, doa-doa ringkas yang anak kecil kita sudah lama hafal dan selalu lekatkan dalam minda matlamat sebenar pekerjaan, amin.

Begitu juga ungkapan yang biasa disebut malah melatah dengan menyebut Subhanallah, Allahu’akbar, asta’firullah biarlah diucap secara sedar dan kita hayati maknaya, dan jangan pula ungkapan insyaAllah yang basah di bibir tetapi di jadikan alasan untuk mengelak dari menerima tanggung jawab atau pelawaan. Mungkin sebahagian dari kita faham, apabila seseorang bercakap insyaAllah bermakna dia sebenarnya bercakap ’no’.

Saturday, September 6, 2008

Niat - Perkara Mudah Yang Dipersulit Oleh Si Jahil

(Petikan Akhbar - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat)

Masalah yang hendak dibincangkan ini adalah perkara penting, kerana ia menyentuh secara langsung terhadap solat. Perkara tersebut ialah masalah 'niat'.

Masalah ini sudah lama menjadi perbahasan dalam masyarakat Islam. Adapun waswas dalam masalah niat berpunca daripada cacat dalam pemikiran atau jahil dalam agama. Takbir berulang kali dengan sebutan serta kekerapan angkat tangan, boleh mengganggu orang lain yang sedang solat, ibarat orang turun naik tangga lantaran hati tidak tenang. Apabila hati tidak tenang akan mengakibatkan gerak-geri tidak tenang juga.

Melaksanakan solat berkehendak kepada hati yang tenang. Supaya hati jadi tenang hendaklah memahami erti 'niat' yang letaknya pada permulaan solat.

Solat itu bermula dengan sebutan "Aa" iaitu permulaan bacaan "Allahu Akbar" dalam takbiratul ihram. Niat letaknya sedikit sebelum ucapan "Aa" itu.

Selepas sebutan Allahu Akbar itu tidak dinamakan niat kerana niat itu sendiri bererti hendak melaksanakan sesuatu sebelum ia dilakukan.

Seandainya seseorang itu tidak memahami kaedah dan kedudukan niat, maka dia akan sentiasa berada dalam keadaan waswas.

Punca waswas ketika hendak solat ialah kerana cacat dan bercelaru dalam pemikiran, atau kejahilan dalam hal ehwal syara' disebabkan tidak mempelajarinya atau solat dalam keadaan sasau.

Menurut pendapat Imam Al-Ghazali jika tidak jahil dan tidak sasau nescaya seseorang itu tidak diganggu waswas, kerana menunaikan ibadat kepada Allah SWT (solat) sama kedudukannya dengan melakukan kerja lain, sama-sama ada niat sebelum melaksanakannya.

Semua gerak-geri manusia dalam melakukan pelbagai urusan mesti didahului dengan niat. Niatnya sama saja dengan niat solat, untuk mengagungkan Allah SWT.

Yang dimaksudkan serupa antara menunaikan ibadat kepada Allah SWT (solat) dengan kerja lain bukanlah serupa dari segenap segi, serupa hanya dari sudut "qasad" (niat).

Sebagai contohnya, sesiapa yang dikunjungi oleh orang alim, lantas bingkas bangun untuk menyambutnya, andainya dia berniat, perlukah dia menyebut beberapa baris ayat seperti: "Saya niat berdiri kerana hendak menghormati orang alim itu dan kuhadap muka kepadanya." Dengan ucapan niat sedemikian nyatalah bahawa orang itu tidak cerdik (safih).

Sebagaimana dimaklumi sejak zaman bilapun orang yang meraikan orang alim itu atau siapa saja, sebaik terpandang orang alim itu muncul di ambang pintu, dengan spontan tercetus di hati hasrat menghormatinya dan secara mendadak bingkas bangun kerana menghormatinya. Kecuali dia bangun kerana ada tujuan lain yang berkebetulan dengan kehadiran orang alim itu. Jika demikian halnya, itu tidak dinamakan hendak menghormati orang alim itu tetapi dia bangun dengan tujuan yang lain ataupun dia bingkas bangun dalam keadaan tidak sengaja.

Timbul pula masalah niat solat itu samada fardhu atau sunat, tunai atau sebaliknya, Zohor atau Asar. Ia adalah serupalah ketika seseorang bingkas bangun dengan tujuan hendak menghormati orang alim yang bertamu ke rumahnya, tiada tujuan selain menghormatinya.

Apabila seseorang mengangkat takbir dengan tujuan hendak solat, apabila solat itu seperti yang dimaklumi, contohnya seperti solat Zohor tidaklah seseorang itu melakukan solat Asar, begitu juga dengan solat fardhu atau sunat.

Setiap orang yang melaksanakan solat, semua perkara itu semestinya telah tersedia di dalam hatinya. Tiada orang yang hendak mendirikan solat dalam situasi tercengang dan termangu, dan tiada sesuatu maklumat mengenai solat yang hendak didirikan. Seumpama seseorang duduk termangu ketika orang alim bertamu ke rumahnya. Jika beberapa ketika kemudian dia bangun juga, maka bangunnya itu tidak dengan niat menghormatinya. Kerana meraikan orang alim tentulah pada awal kedatangannya, tetapi dia tidak berbuat demikian.

Niat menghormati ialah pada awal kehadirannya. Begitulah halnya dengan niat solat. Inilah perkara yang setiap orang telahpun ketahui, kerana ia mesti berlaku secara spontan setiap kali hendak memulakan sesuatu pekerjaan atau ibadat.

Nabi SAW mengajar umatnya rukun solat dengan lengkap, kecuali persoalan niat yang sekadar disentuh secara umum dalam hadisnya yang masyhur; "Setiap amal mesti dengan niat."

Adapun apa yang berlaku ialah takbiratul ihram disebut dengan berjela-jela, lantaran niat kononnya perlu dijadikan suatu susunan perkataan. Bermula dengan menyebut jenis solatnya, fardhu atau sunatnya, jumlah rakaatnya, menghadap kiblatnya dan kerana Allah Taala. Sedangkan niat jika tidak diatur nescaya hadir secara spontan bentuk rangkaiannya dengan lengkap.

Sesiapa yang tidak memahami niat mengikut cara yang dinyatakan ini, seolah-olah dia tidak memahami makna niat itu sebenarnya. Apabila seseorang diajak untuk solat dalam waktu tertentu, lalu dia memperkenan seruan itu lantas berdiri menunaikannya. Sebenarnya itulah yang dimaksudkan dengan "niat', iaitu perasaan yang terbit dari hati hendak melakukan sesuatu perkara.

Begitulah mudahnya niat solat menurut penjelasan Imam Al-Ghazali. Oleh itu jika timbul juga waswas, itu tanda kejahilan menguasai orang tersebut. Ia jadi sukar lantaran diri sendiri menyukarinya.

Disebabkan jahil dalam masalah niat menyebabkan hati bercempera. Waswas akibat memaksa diri memasukkan sesuatu ke dalam hati, iaitu rangkaian perkataan yang disangkanya sebagai niat pada waktu tertentu yang singkat (dalam takbir).

Wednesday, September 3, 2008

BERSAHUR CARA RASULULLAH SAW

(Dari emel)

Setelah kita mengikuti siri-siri kuliah 'copy paste' dari mereka yang berilmu dan ringan tulang untuk berkongsi dengan kita semua, marilah sekali lagi kita baca 'hidangan' ilmu seterusnya berkaitan bersahur pula. Mudah-mudahan ilmu iniakan memberikan keberkatan kepada kita semua dalam usaha mencari redha Allah dan kejayaan di akhirat.

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur." – Rujuk Fathul Baari, Jil. 11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasaahli kitab ialah makan sahur." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." - Surah al-Baqarah: 187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w ." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1920.

Qadi Iyadh r.h berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11, ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Ikutilah Sunah Dalam Berbuka Puasa

(Dari Emel)

Berbuka puasa bagi orang yang berpuasa adalah wajib. Dalam beramal dengan ibadat ini, seringkali kita lupa untuk mencari dan membongkar bagaimanakah ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Kita hanya ikut sahaja apa yang orang ramai lakukan atau orang tua kita lakukan. Sebagai orang yang berilmu, lebih-lebih lagi golongan profesional, sudah tentu kita tidak mahu puasa kita hanya sekadar puasa orang awam. Tetapi kita mahukan puasa yang terbaik. Untuk mendapatkan yang terbaik adalah mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Berikut adalah panduan berbuka puasa yang boleh sama-sama kita ikuti. Mudah-mudahan ibadat kita pada Ramadhan kali ini adalah ibadat puasa yang terbaik, InsyaAllah.

Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:
a. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w.

Ibn 'Umar r.a berkata: "Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(Dzahabaz zhoma u wabtallatil 'uruuqu wa thabatal ajru insyaallah)
– Hadis riwayat Abu Dawud, no: 2010.

Abdullah Ibn 'Umar r.a berkata: "Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
(Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi'ta kulla syai in an taghfirali)"
- Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka." – Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.

b. Menyegerakan Berbuka Puasa.
Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa." – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957.

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T telah berfirman:
"Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.

c. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.
Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi s.a.w. Anas bin Malik r.a berkata:
"Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air." - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.

d. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaantenang." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 674.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, jilid 4, muka surat 208: "Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk."

e. Berbuka Puasa Secara Sederhana.
Firman Allah S.W.T:
"Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas." – Surah al-A'raaf : 31

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi s.a.w:
"Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 2302.

f. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin,anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. Firman Allah S.W.T:
"Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih." - Surah al-Insaan: 8-9.

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda s.a.w:
"Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit." - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 735.
Push-Up Arrow