Sunday, February 15, 2009

Merokok Di Tempat Awam - Satu Jenayah Syariah

(Kaki Kayu)

Masih membincangkan tentang isu rokok yang memusnahkan diri, keluarga, masyarakat dan umat Islam seluruh dunia. Tulisan ini juga merujuk kepada tulisan saya yang pertama (klik) dan kedua (klik). Oleh kerana isu merokok yang dulunya dilihat sebagai 'simple' sehingga sesetengah ulama' menghukumkan sekadar makruh, tetapi kini ternyata jelas bahawa dari sudut kesihatan dan agama (syariat), ia sangat membahayakan apatah lagi pembekal rokok utama dunia adalah mereka yang terang-terangan memusuhi Islam iaitu Yahudi laknatullah.

Saya tidak mahir tentang dunia perundangan. Namun ia tidak sukar untuk difahami. Oleh kerana rokok yang membahayakan ini, maka umum mengakui bahawa perbuatan membahayakan diri sendiri dan / atau orang lain merupakan suatu perbuatan jenayah. Apakah kesalahan seumpama ini tidak boleh disabitkan di mahkamah? Memang sukar untuk mengakuinya. Namun saya yakin, sekiranya Malaysia diperintah secara adil menggunakan Sistem Islam, gejala rokok dapat dibenteras melalui undang-undang. Udara akan bersih dari asap rokok yang mengganggu keselesaan, dan rakyat Malaysia tidak akan terjebak dalam memberikan saham kepada Yahudi Israel laknatullah dalam memusnahkan umat Islam. Betapa besar pahala pemimpin dalam menyelamatkan masyarakat dan rakyat dalam hal ini.

Cuba kita lihat definisi Jenayah Syariah itu sendiri. Ia adalah suatu tindakan atau perbuatan yang dilarang dan merosakkan, sama ada tindakan ke atas nyawa, badan, harta atau sebagainya. Kesalahan yang mesti dihukum kerana melanggar hak Allah swt dan hak manusia atau makhluk lain. Matlamat utama syariat adalah untuk membawa rahmat kepada seluruh manusia dan semesta alam.

Dalam hal ini, kesalahan merokok boleh dikategorikan ke dalam kategori yang meskipun cukup longgar, namun jelas. Cuba lihat definisi Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (AKJS 1997);

PERBUATAN TIDAK SOPAN DI TEMPAT AWAM (S. 29 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau keduanya.

Cuba lihat beberapa tinjauan dalam menegaskan bahwa rokok adalah perbuatan yang melanggar hak Allah swt dan hak manusia:

1. Merokok merosakkan kesihatan (Yadhurru Linafsih)

Semua orang sepakat, bahwa rokok memiliki kesan negatif terhadap fizikal manusia. Terlebih-lebih jika ditinjau dari segi ilmu kesihatan atau kedoktoran, rokok memiliki kesan yang begitu besar dalam diri insan yang akan menyebabkan berbagai penyakit. Perokok sendiri akan mengakui perkara tersebut. Dan jika demikian, seseorang ketika ia merokok bererti ia memberikan kemudharatan atau merosak bagi dirinya sendiri. Sementara

Allah SWT berfirman (QS. 4 : 29)
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu sendiri; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu."

2. Merokok menzalimi orang lain (Dzalim)

Selain merosak atau merugikan terhadap diri sendiri, rokok juga dapat merugikan atau menzalimi orang lain yang tidak merokok. Sebab, asap rokok yang dihisap si perokok dan dikeluarkan lagi itu memiliki potensi untuk disedut secara langsung melalui nafas orang lain (baca - perokok pasif) yang berada di sekitarnya, yang boleh menimbulkan penyakit-penyakit tertentu. Ini bererti perokok telah menzalimi orang lain yang tidak merokok. Dan Allah sangat membenci orang-orang yang zalim.

Allah SWT berfirman (QS. 42 : 40)
"Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim."

3. Merokok memiliki unsur menghambur-hamburkan harta (Tabdzir)

Selain dua tinjauan di atas, rokok juga mengandungi unsur menghambur-hamburkan wang (baca - tabdzir). Hampir semua pendapat telah sepakat, bahwa rokok merupakan salah satu bentuk perbuatan yang membazir, kerana banyak perkara yang lebih bermanfaat daripada digunakan untuk rokok, seperti membantu fakir miskin, bersedekah kepada kerabat, atau digunakan untuk membeli makanan yang menambah kesihatan, seperti susu, buah-buahan dan sebagainya. Dan jika merokok merupakan salah satu perbuatan tabdzir, maka alangkah kerasnya Allah SWT menegur orang-orang yang membazir.

Allah berfirman (QS. 17 : 27 ) :
"Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya."

Dengan ketiga-tiga perkara yang diutarakan ini, jelas bahawa merokok bukan sekadar perbuatan tidak sopan, ia juga merupakan perbuatan biadap yang mengganggu ketenteraman awam.

No comments:

Push-Up Arrow