
Ertinya, anda perlu melihat kepada tiga. Pertama - kebenaran, kedua - pejuangnya dan ketiga - bagaimana ia dibawa.
Jika kebenaran ditemui bersama UMNO, UMNOlah sedang memperjuang kebenaran. Bagaimana ia memperjuangkannya, itu soal ketiga yang tidak akan merosakkan yang pertama walaupun ia boleh memberi kesan kepada yang kedua.
Jika kebenaran ditemui bersama PAS, PASlah pejuang kebenaran. Bagaimana ia diperjuangkan, itu soal ketiga yang terpisah yang tidak akan mengganggu kebenaran.
Jangan nilai kebenaran pada tindakan memboikot majlis angkat sumpah atau tindakan bertahan di rumah MB atau berdemo dan berbaringan di atas jalan raya. Itu cara menjunjung kebenaran. Itu mungkin betul dan mungkin salah caranya. Ia mungkin menambah manis atau mungkin menambah masin. Ia tetap gulai kambing untuk santapan.
Jangan pula menilai kebenaran pada upacara gilang - gemilang di istana yang dipancar langsung di kaca tv atau diulas manis 24 jam. Itu cara menjunjung kebenaran yang didakwa. Ia tetap batil jika ianya sah batil.
Telanjangkanlah kebenaran atau pakaikannya dengan emas berlian, ia adalah kebenaran yang tidak memerlukan apa - apa pun untuk ia kekal benar. Kenapa? Kebenaran itu daripada Allah. Ia tunjang dan neraca di bumi dan dengannya bumi kekal bergerak dan berlayar di peredaran masa.
Adapun pejuangnya, ia adalah perlakuan manusia dan makhluk. Jika gagah makhluk itu, kentallah ia mendakap kebenaran dan cantiklah ia membawa kebenaran.

Ia soal siapa berhak memerintah dan mentadbir negeri Perak daripada sudut kesahihan undang - undang yang termaktub. Kalau BN, BNlah. Kalau PR, Prlah. Jangan anda membodoh diri dengan neraca sendiri yang salah.
PAS dan UMNO bukan krisis di Perak yang telah bermula. PAS dan UMNO adalah krisis negara. Ia telah lama dan matahari kebenaran telah pun tegak di atas kepala.
Semua tahu kerajaan PR adalah sah semasa ia mengangkat sumpah memerintah negeri Perak selepas menang dalam pilihan raya umum tahun lepas. Hari ini, hak itu telah ditarik dan dilucutkan. Malangnya, ia berlaku secara luar tabi’ie dan penuh kekeliruan. Ia dibayangi komplot politik murahan dan jelik. YAB Nizar dihalau dari pejabatnya. Krisis berlaku. Kedua - dua pihak yang bertentangan masing - masing mendakwa kebenaran.
Itulah krisis yang perlu difahami. Krisis yang sentiasa akan berlaku. Dunia ini memang tempat krisis. Di syurga tak ada krisis lagi. Di neraka, krisis antara penghuninya akan tamat dengan masing-masing disimbah azab panas yang bertambah-tambah. Adapun di dunia ini, krisis sentiasa berlaku dan ia sebahagian kehidupan. Kehidupan berlangsung dengan wujudnya krisis.
Jika tangan manusia tidak melakukannya, tangan Allah pula melakukannya. Krisis kemarau, krisis banjir dan tanah runtuh, malah krisis berbagai-bagai wabak penyakit yang di luar tangan manusia. Kita dihidupkan dengan krisis dan dipaksa berkrisis.

Catatan - Nik Abduh (dengan sedikit pembetulan ayat).

1 comment:
...hafizah nie..dapat tak saya punye promosi???tiada paksaan dalam islam..hehe....terpulang pada dr la....ni blog saya...http://www.hafizahazizan.blogspot.com/....baru lg blog ni.....
Post a Comment