(Insider)
Aku teringat peribahasa Melayu, "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri". Peribahasa ni menunjukkan kejahatan itu jika diamalkan lama-lama akan menimbulkan semakin banyak kejahatan yang lebih besar.
Hawa nafsu tidak boleh dilawan dengan hawa nafsu. Ia akan menjadikan manusia itu umpama binatang. Siapa yang kuat akan menang. Akan menjadilah hukum itu hukum rimba yang telah pupus ratusan tahun yang lalu. Tetapi kadangkala manusia itu tidak sedar lantaran hawa nafsu yang menguasai, dendam kesumat yang merajai, maka kuasa dan kesempatan yang ada digunakan untuk melunasi hawa nafsu dan dendam tadi.
Di Perak ini, sekiranya mereka yang berkuasa itu terfikir bahawa dengan memijak-mijak undang-undang yang telah termaktub sekian lama itu boleh menjadikan mereka manusia yang hebat, maka lihatlah bahawa mereka tidak akan terdaya mencampakkan semua undang-undang itu ke tepi. Mereka akan tewas dengan peruntukan undang-undang juga.
Malaysia telah dihuni oleh golongan yang berpelajaran. Bukan lagi kaum primitif seperti pada zaman batu. Hukum rimba adalah hukum hawa nafsu yang zalim. Bukan saja ahli undang-undang yang tahu tentang perlembagaan, tetapi kebanyakan warganegara Malaysiapun tahu akan wujudnya perlembagaan itu yang selama ini mempertahankan keadilan. Apatah lagi hakim yang berpegang kepada peruntukan undang-undang, dari serendah-rendah hakim sehingga setinggi-tingginya akan tetap memutuskan mengikut perlembagaan, kerana hakim adalah penegak keadilan berdasarkan undang-undang. Lainlah sekiranya hakim itu sanggup memanipulasi undang-undang demi untuk nafsunya pula. Kezaliman tidak akan mampu menegakkan keadilan.
Dalam kes terbaru Negeri Perak kelmarin, jika Dato' Zambry Kadir (yang telah 'dipecat sementara' dari DUN Perak untuk 18 bulan itu) mengatakan speaker baru akan dilantik mengikut peraturan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, maka beliau perlu membubarkan DUN Perak dengan perkenan Sultan Azlan Shah. Ini adalah kerana mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, speaker tidak boleh ditukar melalui undi tak percaya dan tidak boleh dipecat oleh MB. Jadi, tidak ada bezanya membubarkan DUN hari ini atau semasa YAB Ir. Nizar yang mempersembahkannya kepada sultan. Mungkin bezanya ialah keadaan sekarang ini seluruh dunia tahu bahawa 'tidak retinya' puak-puak pemimpin parti mereka terhadap undang-undang negeri sendiri.
Jadi, barangkali inilah silapnya jika nafsu mengatasi kewarasan berfikir. Mereka tidak pernah memikirkan langkah yang panjang sebelum bertindak. Mereka tidak pernah terfikir bahawa masih ada orang yang berkuasa yang ingin menegakkan keadilan seperti apa yang telah berlaku hari ini kerana otak yang dikuasai hawa nafsu adalah otak yang berfikiran pendek.
Jadi, hanya ada satu cara bagi Dato' Zambry untuk menukar speaker baru ialah melalui “Pembubaran DUN Negeri Perak” sekiranya ingin 'menyahkan' speaker yang ada. Apakah beliau, UMNO atau BN Bersedia untuk berpilihanraya?
No comments:
Post a Comment