(Kaki Kayu)
Saya pernah mendengar satu kisah dalam suatu peperangan antara tentera Islam dan tentera Rom. Dalam peperangan itu kedua-dua pasukan tiada yang menang dan kalah dalam waktu yang cukup lama. Akhirnya, dengan kuasa Allah SWT, panglima tentera Islam telah menyedari bahawa pasukannya telah meninggalkan bersugi. Lantas beliau memerintahkan tenteranya agar kembali mengamalkan sunah Rasulullah SAW itu dan Allah memberi kemenangan kepada tentera Islam.
Kadangkala sesuatu faktor kemenangan Islam itu dilihat terlalu kecil dan tidak munasabah oleh akal fikiran kita, namun Allah ingin mengajar umat yang beriman bahawa kejayaan itu adalah milik Allah. Sebab itu, jangan pandang remeh dengan sesuatu yang kecil, kerana kadangkala perkara kecil itulah yang dikasihi Allah sehingga membawa kemenangan yang besar.
Begitu juga dengan kes merokok ni. Ia sebenarnya jauh lebih teruk berbanding dengan kes tidak bersugi. Tidak bersugi tidak haram, tetapi hanya meninggalkan yang sunah. Sedangkan merokok adalah haram. Sedangkan yang meninggalkan sunah telah melengahkan turunnya rahmat (kemenangan), bagaimana dengan melakukan yang haram?
Barangkali inilah antara punca terbesar yang menyebabkan Islam masih gagal ditegakkan di Malaysia ini.
Walaupun bahaya merokok kepada kesihatan itu sangat besar sehingga ia menjadi haram, saya lebih melihat bahaya lebih besar merokok ini adalah kerana link dengan Yahudi laknatullah iaitu sumbangan dari segi ekonomi secara langsung dan tidak langsung. Cuma, pada hari ini usaha membenteras kegiatan merokok ini amat sukar kerana tidak dilakukan di peringkat akar umbi.
Cuba kita lihat berbagai-bagai usaha yang telah dilakukan oleh berbagai-bagai pihak antaranya seperti berikut:
1. Meletakkan label “AMARAN OLEH KERAJAAN MALAYSIA MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN” di bahagian tepi kotak rokok.
2. Cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai agar meletakkan amaran kesihatan bergambar yang merangkumi 40 peratus daripada bahagian hadapan kotak rokok dan 60 peratus di bahagian belakang agar kelihatan ngeri kepada si perokok.
3. Kementerian Kesihatan mengendalikan lebih 100 Klinik Berhenti Merokok yang terletak di seluruh negara. Klinik itu yang mempunyai pakar penjagaan kesihatan profesional terlatih yang memberi nasihat (kaunseling) dan ubat (Terapi Penggantian Nikotin atau NRT) untuk membantu perokok berhenti merokok.
4. Cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris supaya menaikkan usia minimum untuk pembelian produk melibatkan tembakau daripada 18 tahun kepada 21 tahun.
5. Cadangan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam agar kerajaan membuat Hari Tanpa Tembakau Se-Malaysia kerana ini mungkin dapat memberi impak dan kesedaran kepada masyarakat Malaysia bahawa tembakau ini wajar dijauhi dan tiada manfaatnya kepada kesihatan.
6. Cadangan agar pihak Kementerian Pendidikan perlu tegas soal permasalahan rokok ini agar guru tidak merokok di hadapan murid.
7. Meningkatkan kempen kesedaran merokok di sekolah kerana sekolah merupakan medium terbaik untuk menjana generasi tanpa rokok.
8. Membuat poster, pamplet, signboard termasuk iklan-iklan di TV, radio dan media-media massa seperti surat khabar, majalah dan sebagainya.
Akibat dari merokok, kerajaan Malaysia telah kerugian lebih RM20 billion setahun akibat
10 jenis kanser seperti paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut serta sakit jantung dan strok. Itu belum lagi kos belanja kempen berhenti merokok.
Bagi saya semua usaha ini akan menemui kegagalan selagi rokok tetap dijual di pasaran. Namun saya tidak dapat mencadangkan agar impot rokok dihentikan dan penanaman tembakau ditukar kepada tanaman lain kerana ia hanya boleh dilakukan kalau saya menjadi Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan. Rokok tidak seperti makanan biasa kerana ia mempunyai kesan ketagihan. Bila seseorang itu ketagih, buatlah kempen macamanapun, ia akan tetap merokok selagi ianya ada di pasaran. Apa yang boleh menyebabkan seseorang itu berhenti hanyalah motivasi diri. Antara motivasi yang boleh menghentikan tabiat merokok ialah sakit jantung, srtoke atau kanser. Moralnya di sini ialah bahawa faktor yang boleh melawan ketagihan rokok ini adalah motivasi dalaman.
Semasa zaman Rasulullah SAW, ketagihan para sahabat terhadap arak melebihi ketagihan terhadap rokok sehingga diberitakan bahawa ada seorang sahabat yang lalai semasa mengimami sembahyang berjemaah lalu turun ayat “Dan janganlah kamu hampiri sembahyang ketika kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu lafazkan.” (An-Nisa’ ayat 43) Tetapi para sahabat boleh terus meninggalkan arak apabila turunnya ayat yang mengharamkannya. Inilah motivasi kepada umat Islam. Sesuatu yang diharamkan oleh Allah meskipun halal secara zatnya seperti makan di siang hari bulan Ramadhan pun mampu ditinggalkan inikan pula jika ianya haram secara zatnya.
Inilah titik kejayaan kepada kempen anti rokok. Bermula dengan Majlis Fatwa, Ulama' yang menjadi pemimpin organisasi samada politik dan bukan politik, para imam di masjid-masjid dan ustaz-ustaz yang mengajar samada di sekolah atau di masjid-masjid semuanya perlu senada bahawa rokok adalah haram dalam Islam.
Barangkali Papisma boleh berperanan menjadi pencetus dan agen pendesak kepada badan-badan berwajib samada dalam kerajaan atau di luar kerajaan.
No comments:
Post a Comment