Saturday, February 21, 2009

Apa Dan Siapa Derhaka ?

(Insider)

Malam tadi saya berceramah dengan YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Taman Melewar, ribuan manusia menghadiri ceramah anjuran PAS Wilayah Persekutuan tersebut. Ucapan Tok Guru ringkas, tepat, padat dan cukup menarik. Beliau berucap lebih kurang 30 minit sahaja. Dalam ucapan seringkas 30 minit, beliau mengulas juga pergolakan politik di Perak. Antara yang diulas ialah isu MB Perak derhaka kepada Sultan. Menurutnya media membesarkan isu derhaka kepada Sultan, pada hal semua manusia adalah sama di sisi Allah, manusia yang bergelar rakyat apabila tidak mengerjakan suruhan Allah, dia akan berdosa. Manusia yang bergelar raja mahupun sultan juga berdosa, tidak ada keistimewaan di sisi Allah baik rakyat mahupun raja dalam soal yang berkaitan dengan syariat. Kewajipan tetap sama, larangan tetap juga sama. Raja sekalipun kalau minum arak, berjudi, berzina tetap berdosa dan wajib dikenakan hukuman yang setimpal berdasarkan syariat.

Di dalam Islam , sesama manusia derhaka ini hanya wujud antara anak terhadap kedua orang tuanya dan isteri terhadap suaminya. UMNO bising isu MB derhaka kepada Sultan, tetapi dalam masa yang sama bahkan sejak UMNO wujud lagi, ia sudah derhaka kepada Allah swt dan berterusan kederhakaannya kepada Allah. UMNO derhaka kepada Allah kerana menolak syariat, menolak Islam, menolak hukum hudud dan sebagainya. Perlakuan derhaka ini diperlihatkan melalui pertuturan dan perlakuan oleh pemimpin-pemimpin mereka, juga melalui dasar dan polisi yang ditentukan oleh mereka bagi menolak perlaksanaan syariat Islam.

Adakah Hj Nizar derhaka hanya kerana tidak mahu meletakkan jawatan, sebaliknya mahu keadilan ditegakkan dan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Dalam menghadapi kemelut politik di Perak apabila Kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi stabil, Hj Nizar sebagai Menteri Besar lebih cenderung memberi kepercayaan dan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baru melalui proses pilihanraya. Pilihanraya hanya boleh berlaku setelah DUN dibubarkan.

Justeru itu, jangan dibesarkan isu MB Perak derhaka pada Sultan, lebih baik kita bicarakan bagaimana besarnya dosa manusia tidak kira Sultan, Menteri, Kerajaan atau sesiapa sahaja yang derhaka kepada Allah swt. Kita betulkan pemimpin-pemimpin yang tidak solat, tidak puasa, tidak tunaikan zakat, berjudi, minum arak, berzina, lawan syariat Islam dan sebagainya. Cara yang paling berkesan untuk membetulkan mereka ialah dengan menjatuhkan kuasa politik yang ada mereka, di atas kejatuhan kuasa politik itu, kita dirikan dan tegakkan keadilan berdasarkan prinsip Islam yang sejagat.

http://misabah.blogspot.com

No comments:

Push-Up Arrow