Friday, February 6, 2009

MB Nizar Tidak Derhaka, Sepatutnya Begini Langkah Badan Berkuasa

(Insider)
Kalau ditanya generasi sekarang antara tindakan Hang Jebat dan Hang Tuah, hampir tidak ada orang yang menyokong tindakan Hang Tuah, kecuali orang-orang tua yang tidak berpelajaran. Kalau adalah sistem perundangan yang adil pada ketika itu, Hang Tuah mempunyai hujah yang kuat untuk melanggar perintah Sultan. Tetapi setelah 5 kurun berlalu, barulah masyarakat mula celik dan faham apa itu kezaliman dan keadilan. Keadilan bukan kerana mematuhi perintah orang yang berkuasa semata-mata, tetapi keadilan itu adalah mengembalikan hak kepada yang empunya diri. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesalahan kecuali nabi, sebab itu menuruti manusia itu perlu di atas dasar keadilan. Seringkali manusia yang lemah imannya akan menjadikan hawa nafsu memimpin dirinya. Akibatnya, masyarakat akan musnah binasa dan kezaliman bermaharaja lela. Sedangkan Sayidina Abu Bakar (r.a) sendiri berpesan, (mafhumnya) bantulah aku jika aku benar dan perbaikilah aku jika aku salah.

Kini Malaysia merupakan kerajaan berperlembagaan. Ertinya kerajaan yang ada undang-undang. Pemimpin dan rakyat akan dipelihara melalui undang-undang. Tidak ada hawa nafsu pemimpin yang dapat menzalimi rakyat. Sudah lebih 50 tahun Malaysia merdeka dan mengamalkan undang-undang, tetapi adalah malang apabila tindakan pihak berkuasa masih mengikuti hawa nafsu seperti zaman Hang Tuah. Benarlah kata-kata 'keramat' Hang Jebat, "Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah". Kata-kata ini bukanlah kata-kata penderhaka, tetapi kata-kata yang menasihati agar segala tindakan perlulah berlandaskan undang-undang.

Menyentuh isu yang berlaku di Perak, manusia normal mana yang tidak tersentuh hatinya. Sepatutnya isu ini dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pihak berkuasa bersedia menuruti perlembagaan. Ia akan menjadi semakin panas dan merendahkan tahap demokrasi di Malaysia yang semakin merudum saat ini. Ia menggambarkan bagaimana mentaliti pemimpin yang menuruti hawa nafsu ingin berkuasa, dan pihak-pihak yang memberikan sokongan secara membuta-tuli. Lalu memberikan label bahawa siapa yang tidak memberikan sokongan adalah penderhaka... Lebih kurang sama seperti mentaliti manusia kurun ke-15.

Bagi saya ada beberapa cara untuk mengatasi kemelut ini supaya ianya berakhir dengan baik. Badan yang berkuasa seperti Institusi Kesultanan dan SPR sepatutnya menggunakan budi bicara dan kearifan mereka berdasarkan undang-undang dan perlembagaan yang ada bagi mengatasi masalah ini.

Antara cara yang terbaik ialah :-

1) Membubarkan DUN berdasarkan kuasa Sultan atas nasihat Menteri Besar.

2) Menunggu keputusan Mahkamah terhadap kes yang difailkan oleh Speaker DUN Perak yang memberikan notis bahawa kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah kosong. Selepas kes ini diputuskan mahkamah barulah keputusan samada mengadakan Pilihanraya Kecil atau perlantikan Menteri Besar dari BN dilakukan. Mahkamah boleh bersidang secepat mungkin kerana ini adalah kes yang melibatkan kepentingan rakyat.

Bagaimanakah seorang Sultan boleh mengisytiharkan BN untuk memerintah negeri dengan mudah sedangkan kalau diambil satu elemen demokrasi sahaja pun sekarang ialah PR 28, BN 28 dan Bebas 3 kerusi? Fikir-fikirkanlah...

No comments:

Push-Up Arrow