Sunday, February 22, 2009

De Rhu Resort - Kena Tahu Sebelum Ke Sana!

(Biro IT)

Pagi ni saya bercakap-cakap dengan isteri tentang Family Day Papisma di Kuantan nanti. Rasa-rasanya kurang promosi sikit dan perlu promosi... Saya senyap jer... maklumlah pasal promosi ni dia 'teror' dari saya.

7 hb. Mac ni ada X-Ray Course di Kuantan. Dia suruh saya singgah kat resort tu untuk tangkap gambar mana-mana yang patut. Saya kata malaslah... lagipun kursus tu sampai pukul 5 pm. Nak berkejar balik buka klinik pulak malam tu.

Sampai klinik pagi ni, buka komputer, terus terlintas nak tengok resort tu. "Kalau aku promote apa salahnya?" Saya bersoal jawab dalam hati. "Ada jugak bahan nak publish dalam Buletin Papisma Terengganu ni..." So, sayapun buat keputusan untuk promote kat sini... Ala kadar jer....

Untuk makluman semua De Rhu Resort ni adalah bertaraf 4-Star International Class Beach Resort. Kawasannya seluas 6 ekar di tepi pantai. Kalau dari Kuantan, ia menuju ke Terengganu dalam 15 minit perjalanan. Lihat gambar-gambar di bawah.

Hah... ini pemandangan dari sebelah swimming pool.. Biasalah kalu promote resort ke, hotel ke... tentu kolam jadi bahan penariknya... Tapi tengok kolam tu... canggih you... tempat anak-anak pun besar. Maklumlah antara kolam renang yang terbesar di Malaysia. Mak bolehlah nak tumpang sekaki. Tapi bapak tu silalah ke sebelah dewasa ni na... Kalau takpun biarlah salah sorang mengalah dan pergi ke pantai yang cukup cantik dan landai.

Ni kolam kat sebelah lain pulak ni (yer ker?). Nampak tak tempat kolam 'baby' tu? Mungkin yang gambar atas tu untuk remaja dan bapak-bapak dan yang ni untuk baby dan mak-mak... hehehe...

Ni tempat tidur peserta semua. Ada yang 2 katil single dan satu katil double. Ada telefon hari tu, konon-konon nak merasmikan... dia kata yang 2 double pun ada. Presiden boleh duduk situ. Tapi bayarpun double lah...

Room Rate dia macam ni.

Room Type

Tariff Rate

Weekend Rate
Suite RM 600 Nett RM 450 Nett
Deluxe RM 350 Nett RM 240 Nett
Superior RM 300 Nett RM 210 Nett

Room ni dah di'book' secara pakej. Dengan dewan mesyuarat, dewan makan, tempat main dan alat-alatnya sekali dan lain-lain. Bila kalian diterima untuk pergi ke family day ni, semua yang ada kat situ jadi 'milik' kalian. Tapi milik kat situ je yer... jangan bawak balik!

Nak merehat-rehatkan fikiran boleh termenung sorang-sorang kat taman ni. AJK Gatheringpun akan buat program kat sekitar-sekitar sini. Bolehlah tangkap gambar cantik-cantik untuk album kenangan yang dah lama tak berisi tu...

Anak-anak yang selalu merengek-rengek tak tentu pasal tu, sah dia orang dah perasan dengan playground ni. Mak ayah semua tu jangan pura-pura tak tahu pulak yer... bawak je lah ke sini. Senyaplah dia orang tu. Tapi ingat, masa mesyuarat tu janganlah mak ayah semua ditemui bersantai kat sini pulak yer.

Ni mungkin rempat pilihan untuk buat explorace atau telematch. Mungkin Azhan atanpun akan menghiburkan kalian semua kat sini malam tu. Sapa-sapa yang nak ambik autograf juara Akademi Nasyid 1 tu silalah bersedia awal-awal yer... saya dah ambik gambar dengan dia baru-baru ni. Tak ambik autografpun tak apa... siap no telefon lagi dapat ni ha... 017 77656... 2 nombor lagi tu tak bolehlah bagi. Nanti tak dapat tidur la pulak dibuatnya dia tu...

Kalian semua akan mendaftarkan diri kat sini. Lepas tu kalau malam-malam tu mana-mana yang nak bincang-bincang pasal bisnes dengan Biro Ekonomi Papisma Pusat boleh lah mai sini na.. Aman Fuad tentu dah bersedia dengan banyak kertas kerja untuk projek-projek tu...

Cukup lah kot untuk setakat ni. Banyak sangat promote nanti tak muat pulak tempat tu... Ok lah yer jumpa kalian semua di sana. Daftar cepat!!! Sapa cepat dia dapat tau....

Saturday, February 21, 2009

Apa Dan Siapa Derhaka ?

(Insider)

Malam tadi saya berceramah dengan YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Taman Melewar, ribuan manusia menghadiri ceramah anjuran PAS Wilayah Persekutuan tersebut. Ucapan Tok Guru ringkas, tepat, padat dan cukup menarik. Beliau berucap lebih kurang 30 minit sahaja. Dalam ucapan seringkas 30 minit, beliau mengulas juga pergolakan politik di Perak. Antara yang diulas ialah isu MB Perak derhaka kepada Sultan. Menurutnya media membesarkan isu derhaka kepada Sultan, pada hal semua manusia adalah sama di sisi Allah, manusia yang bergelar rakyat apabila tidak mengerjakan suruhan Allah, dia akan berdosa. Manusia yang bergelar raja mahupun sultan juga berdosa, tidak ada keistimewaan di sisi Allah baik rakyat mahupun raja dalam soal yang berkaitan dengan syariat. Kewajipan tetap sama, larangan tetap juga sama. Raja sekalipun kalau minum arak, berjudi, berzina tetap berdosa dan wajib dikenakan hukuman yang setimpal berdasarkan syariat.

Di dalam Islam , sesama manusia derhaka ini hanya wujud antara anak terhadap kedua orang tuanya dan isteri terhadap suaminya. UMNO bising isu MB derhaka kepada Sultan, tetapi dalam masa yang sama bahkan sejak UMNO wujud lagi, ia sudah derhaka kepada Allah swt dan berterusan kederhakaannya kepada Allah. UMNO derhaka kepada Allah kerana menolak syariat, menolak Islam, menolak hukum hudud dan sebagainya. Perlakuan derhaka ini diperlihatkan melalui pertuturan dan perlakuan oleh pemimpin-pemimpin mereka, juga melalui dasar dan polisi yang ditentukan oleh mereka bagi menolak perlaksanaan syariat Islam.

Adakah Hj Nizar derhaka hanya kerana tidak mahu meletakkan jawatan, sebaliknya mahu keadilan ditegakkan dan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Dalam menghadapi kemelut politik di Perak apabila Kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi stabil, Hj Nizar sebagai Menteri Besar lebih cenderung memberi kepercayaan dan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baru melalui proses pilihanraya. Pilihanraya hanya boleh berlaku setelah DUN dibubarkan.

Justeru itu, jangan dibesarkan isu MB Perak derhaka pada Sultan, lebih baik kita bicarakan bagaimana besarnya dosa manusia tidak kira Sultan, Menteri, Kerajaan atau sesiapa sahaja yang derhaka kepada Allah swt. Kita betulkan pemimpin-pemimpin yang tidak solat, tidak puasa, tidak tunaikan zakat, berjudi, minum arak, berzina, lawan syariat Islam dan sebagainya. Cara yang paling berkesan untuk membetulkan mereka ialah dengan menjatuhkan kuasa politik yang ada mereka, di atas kejatuhan kuasa politik itu, kita dirikan dan tegakkan keadilan berdasarkan prinsip Islam yang sejagat.

http://misabah.blogspot.com

Friday, February 20, 2009

ASB dan ASN Masih Haram!

(Kaki Kayu)

Saya mengeluarkan surat ini daripada zaharuddin.net kerana kepentingannya kepada seluruh umat Islam. Ramai di antara kita yang tidak mengambil peduli tentang halal dan haram dalam pelaburan. Apatah lagi apabila Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun mengisytiharkannya sebagai halal meskipun dilihat perisytiharannya agak kontroversi dan tergesa-gesa. Jadi, sebagai maklumbalas kepada perisytiharan tersebut, badan yang lebih bertanggungjawab dari hal pelaburan ini dari segi syariah iaitu Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia, telah membuat kenyataan balas bagi menjelaskan kedudukan sekaligus menyelamatkan duit pelaburan umat Islam di Malaysia.

Berikut saya 'paste' tulisan Ust. Zaharuddin Abdul Rahman:

Hari ini saya menerima satu email yang mengandungi satu attachment surat dari Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia kepada Setiausaha, Majlis Penasihat Syariah salah sebuah Bank Islam di Malaysia berkenaan hukum Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Apa yang jelas, telah saya sebutkan sebelum ini berkali-kali, walaupun ia telah disahkan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Namun kaedah dan implementasi ASB dan ASN bercanggah dengan panduan sebuah saham amanah yang diiktiraf PATUH SYARIAH oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia.

Tatkala itu, bolehlah dianggap terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan hukum ASB dan ASN antara dua badan pengeluar hukum yang terbesar di Malaysia. Bagi mereka yang ingin lebih berhati-hati dan menjamin tidak terjebak di dalam yang haram, kerana harta akan menjadi darah daging diri dan ahli keluarga. Saya menyarankan agar melihat dengan lebih teliti keahlian ahli-ahli fatwa dari kedua-dua badan terbabit.

Jika di tanya kepada pendapat peribadi saya, saya lebih cenderung kepada pendapat Majlis Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam hal ini setelah melihat kepada panduan yang diletakkan mereka bagi mengiktiraf sesebuah Amanah Saham yang patuh atau tidak patuh Syariah.

Anda mungkin berkata,

"SAYA TIDAK PEDULI, ASALKAN MAJLIS FATWA LULUSKAN, SAYA AKAN BERPEGANG DENGANNYA KERANA MEREKA YANG TANGGUNG DI AKHIRAT"

Ulasan saya, Allah swt memberikan kita akal untuk memerhati dan meneliti pandangan kedua-dua badan besar ini setakat kemampuan yang ada, berfikirlah. Jika benar-benar telah membaca hujjah kedua-dua pihak, lalu anda yakin dengan salah satu antaranya. Anda telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik. Namun jika sambil malas dan ingin mengambil mudah, lalu terus berpegang dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, tanpa mengendahkan hujah Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Tatkala itu, individu tersebut tidak berada dalam situasi yang sepatutnya.

Perlu difahami bahawa Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dianggotai oleh individu yang sememangnya 'specialist' dan berpengalaman di dalam bidang muamalat dan kewangan Islam. Untuk melihat senarai ahlinya, sila buka di sini .

Berikut adalah salinan suratnya, saya telah memadam nama bank Islam yang ditujukan surat ini kepadanya, kerana apa yang penting adalah isi kandungan surat.

Thursday, February 19, 2009

Krisis Perak - Perlembagaan Akan Tetap Berpihak Kepada Kebenaran

(Insider)

Aku teringat peribahasa Melayu, "Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri". Peribahasa ni menunjukkan kejahatan itu jika diamalkan lama-lama akan menimbulkan semakin banyak kejahatan yang lebih besar.

Hawa nafsu tidak boleh dilawan dengan hawa nafsu. Ia akan menjadikan manusia itu umpama binatang. Siapa yang kuat akan menang. Akan menjadilah hukum itu hukum rimba yang telah pupus ratusan tahun yang lalu. Tetapi kadangkala manusia itu tidak sedar lantaran hawa nafsu yang menguasai, dendam kesumat yang merajai, maka kuasa dan kesempatan yang ada digunakan untuk melunasi hawa nafsu dan dendam tadi.

Di Perak ini, sekiranya mereka yang berkuasa itu terfikir bahawa dengan memijak-mijak undang-undang yang telah termaktub sekian lama itu boleh menjadikan mereka manusia yang hebat, maka lihatlah bahawa mereka tidak akan terdaya mencampakkan semua undang-undang itu ke tepi. Mereka akan tewas dengan peruntukan undang-undang juga.

Malaysia telah dihuni oleh golongan yang berpelajaran. Bukan lagi kaum primitif seperti pada zaman batu. Hukum rimba adalah hukum hawa nafsu yang zalim. Bukan saja ahli undang-undang yang tahu tentang perlembagaan, tetapi kebanyakan warganegara Malaysiapun tahu akan wujudnya perlembagaan itu yang selama ini mempertahankan keadilan. Apatah lagi hakim yang berpegang kepada peruntukan undang-undang, dari serendah-rendah hakim sehingga setinggi-tingginya akan tetap memutuskan mengikut perlembagaan, kerana hakim adalah penegak keadilan berdasarkan undang-undang. Lainlah sekiranya hakim itu sanggup memanipulasi undang-undang demi untuk nafsunya pula. Kezaliman tidak akan mampu menegakkan keadilan.

Dalam kes terbaru Negeri Perak kelmarin, jika Dato' Zambry Kadir (yang telah 'dipecat sementara' dari DUN Perak untuk 18 bulan itu) mengatakan speaker baru akan dilantik mengikut peraturan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, maka beliau perlu membubarkan DUN Perak dengan perkenan Sultan Azlan Shah. Ini adalah kerana mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, speaker tidak boleh ditukar melalui undi tak percaya dan tidak boleh dipecat oleh MB. Jadi, tidak ada bezanya membubarkan DUN hari ini atau semasa YAB Ir. Nizar yang mempersembahkannya kepada sultan. Mungkin bezanya ialah keadaan sekarang ini seluruh dunia tahu bahawa 'tidak retinya' puak-puak pemimpin parti mereka terhadap undang-undang negeri sendiri.

Jadi, barangkali inilah silapnya jika nafsu mengatasi kewarasan berfikir. Mereka tidak pernah memikirkan langkah yang panjang sebelum bertindak. Mereka tidak pernah terfikir bahawa masih ada orang yang berkuasa yang ingin menegakkan keadilan seperti apa yang telah berlaku hari ini kerana otak yang dikuasai hawa nafsu adalah otak yang berfikiran pendek.

Jadi, hanya ada satu cara bagi Dato' Zambry untuk menukar speaker baru ialah melalui “Pembubaran DUN Negeri Perak” sekiranya ingin 'menyahkan' speaker yang ada. Apakah beliau, UMNO atau BN Bersedia untuk berpilihanraya?

Wednesday, February 18, 2009

Krisis Perak - Apa Pelajaran Yang Anda Dapat?

(Insider)

Di negeri Perak yang sedang berkrisis sekarang, anda hanya perlu menilai dan membezakan di antara tiga perkara. Apakah yang benar dan bagaimana kebenaran itu dijulang pejuangnya. Anda tak boleh dan jangan sesekali mengenal kebenaran melalui orang. Kenali orang melalui kebenaran yang telah anda kenali.

Ertinya, anda perlu melihat kepada tiga. Pertama - kebenaran, kedua - pejuangnya dan ketiga - bagaimana ia dibawa.

Jika kebenaran ditemui bersama UMNO, UMNOlah sedang memperjuang kebenaran. Bagaimana ia memperjuangkannya, itu soal ketiga yang tidak akan merosakkan yang pertama walaupun ia boleh memberi kesan kepada yang kedua.

Jika kebenaran ditemui bersama PAS, PASlah pejuang kebenaran. Bagaimana ia diperjuangkan, itu soal ketiga yang terpisah yang tidak akan mengganggu kebenaran.

Jangan nilai kebenaran pada tindakan memboikot majlis angkat sumpah atau tindakan bertahan di rumah MB atau berdemo dan berbaringan di atas jalan raya. Itu cara menjunjung kebenaran. Itu mungkin betul dan mungkin salah caranya. Ia mungkin menambah manis atau mungkin menambah masin. Ia tetap gulai kambing untuk santapan.

Jangan pula menilai kebenaran pada upacara gilang - gemilang di istana yang dipancar langsung di kaca tv atau diulas manis 24 jam. Itu cara menjunjung kebenaran yang didakwa. Ia tetap batil jika ianya sah batil.

Telanjangkanlah kebenaran atau pakaikannya dengan emas berlian, ia adalah kebenaran yang tidak memerlukan apa - apa pun untuk ia kekal benar. Kenapa? Kebenaran itu daripada Allah. Ia tunjang dan neraca di bumi dan dengannya bumi kekal bergerak dan berlayar di peredaran masa.

Adapun pejuangnya, ia adalah perlakuan manusia dan makhluk. Jika gagah makhluk itu, kentallah ia mendakap kebenaran dan cantiklah ia membawa kebenaran.

Ia bukan soal PAS atau UMNO. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam neraca syariah dan agama. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam nerana kemanusian dan keadilan. Di Perak, ia bukan soal PAS atau UMNO.

Ia soal siapa berhak memerintah dan mentadbir negeri Perak daripada sudut kesahihan undang - undang yang termaktub. Kalau BN, BNlah. Kalau PR, Prlah. Jangan anda membodoh diri dengan neraca sendiri yang salah.

PAS dan UMNO bukan krisis di Perak yang telah bermula. PAS dan UMNO adalah krisis negara. Ia telah lama dan matahari kebenaran telah pun tegak di atas kepala.

Semua tahu kerajaan PR adalah sah semasa ia mengangkat sumpah memerintah negeri Perak selepas menang dalam pilihan raya umum tahun lepas. Hari ini, hak itu telah ditarik dan dilucutkan. Malangnya, ia berlaku secara luar tabi’ie dan penuh kekeliruan. Ia dibayangi komplot politik murahan dan jelik. YAB Nizar dihalau dari pejabatnya. Krisis berlaku. Kedua - dua pihak yang bertentangan masing - masing mendakwa kebenaran.

Itulah krisis yang perlu difahami. Krisis yang sentiasa akan berlaku. Dunia ini memang tempat krisis. Di syurga tak ada krisis lagi. Di neraka, krisis antara penghuninya akan tamat dengan masing-masing disimbah azab panas yang bertambah-tambah. Adapun di dunia ini, krisis sentiasa berlaku dan ia sebahagian kehidupan. Kehidupan berlangsung dengan wujudnya krisis.

Jika tangan manusia tidak melakukannya, tangan Allah pula melakukannya. Krisis kemarau, krisis banjir dan tanah runtuh, malah krisis berbagai-bagai wabak penyakit yang di luar tangan manusia. Kita dihidupkan dengan krisis dan dipaksa berkrisis.

Jika kita memahami ini, kita sebagai seorang muslim pastinya akan lebih mudah menerima hakikat bahawa dalam krisis itu ada hikmat. Ada jawaban yang kita perlukan dalam kehidupan ini. Justeru kita tidak boleh menempelak krisis itu sebagai buruk atau membelakanginya demi kesucian diri. Allah menciptakannya dan setiap ciptaan Allah penuh dengan hikmah dan kebenaran yang tersembunyi dan nyata.

Catatan - Nik Abduh (dengan sedikit pembetulan ayat).Justify Full

Tuesday, February 17, 2009

Mencari Faktor Kemenangan Umat Islam - Bebaskan Dari Rokok

(Kaki Kayu)

Saya pernah mendengar satu kisah dalam suatu peperangan antara tentera Islam dan tentera Rom. Dalam peperangan itu kedua-dua pasukan tiada yang menang dan kalah dalam waktu yang cukup lama. Akhirnya, dengan kuasa Allah SWT, panglima tentera Islam telah menyedari bahawa pasukannya telah meninggalkan bersugi. Lantas beliau memerintahkan tenteranya agar kembali mengamalkan sunah Rasulullah SAW itu dan Allah memberi kemenangan kepada tentera Islam.

Kadangkala sesuatu faktor kemenangan Islam itu dilihat terlalu kecil dan tidak munasabah oleh akal fikiran kita, namun Allah ingin mengajar umat yang beriman bahawa kejayaan itu adalah milik Allah. Sebab itu, jangan pandang remeh dengan sesuatu yang kecil, kerana kadangkala perkara kecil itulah yang dikasihi Allah sehingga membawa kemenangan yang besar.

Begitu juga dengan kes merokok ni. Ia sebenarnya jauh lebih teruk berbanding dengan kes tidak bersugi. Tidak bersugi tidak haram, tetapi hanya meninggalkan yang sunah. Sedangkan merokok adalah haram. Sedangkan yang meninggalkan sunah telah melengahkan turunnya rahmat (kemenangan), bagaimana dengan melakukan yang haram?

Barangkali inilah antara punca terbesar yang menyebabkan Islam masih gagal ditegakkan di Malaysia ini.

Walaupun bahaya merokok kepada kesihatan itu sangat besar sehingga ia menjadi haram, saya lebih melihat bahaya lebih besar merokok ini adalah kerana link dengan Yahudi laknatullah iaitu sumbangan dari segi ekonomi secara langsung dan tidak langsung. Cuma, pada hari ini usaha membenteras kegiatan merokok ini amat sukar kerana tidak dilakukan di peringkat akar umbi.


Cuba kita lihat berbagai-bagai usaha yang telah dilakukan oleh berbagai-bagai pihak antaranya seperti berikut:

1. Meletakkan label “AMARAN OLEH KERAJAAN MALAYSIA MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN” di bahagian tepi kotak rokok.

2. Cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai agar meletakkan amaran kesihatan bergambar yang merangkumi 40 peratus daripada bahagian hadapan kotak rokok dan 60 peratus di bahagian belakang agar kelihatan ngeri kepada si perokok.

3. Kementerian Kesihatan mengendalikan lebih 100 Klinik Berhenti Merokok yang terletak di seluruh negara. Klinik itu yang mempunyai pakar penjagaan kesihatan profesional terlatih yang memberi nasihat (kaunseling) dan ubat (Terapi Penggantian Nikotin atau NRT) untuk membantu perokok berhenti merokok.

4. Cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris supaya menaikkan usia minimum untuk pembelian produk melibatkan tembakau daripada 18 tahun kepada 21 tahun.

5. Cadangan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam agar kerajaan membuat Hari Tanpa Tembakau Se-Malaysia kerana ini mungkin dapat memberi impak dan kesedaran kepada masyarakat Malaysia bahawa tembakau ini wajar dijauhi dan tiada manfaatnya kepada kesihatan.

6. Cadangan agar pihak Kementerian Pendidikan perlu tegas soal permasalahan rokok ini agar guru tidak merokok di hadapan murid.

7. Meningkatkan kempen kesedaran merokok di sekolah kerana sekolah merupakan medium terbaik untuk menjana generasi tanpa rokok.

8. Membuat poster, pamplet, signboard termasuk iklan-iklan di TV, radio dan media-media massa seperti surat khabar, majalah dan sebagainya.

Akibat dari merokok, kerajaan Malaysia telah kerugian lebih RM20 billion setahun akibat
10 jenis kanser seperti paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut serta sakit jantung dan strok. Itu belum lagi kos belanja kempen berhenti merokok.

Bagi saya semua usaha ini akan menemui kegagalan selagi rokok tetap dijual di pasaran. Namun saya tidak dapat mencadangkan agar impot rokok dihentikan dan penanaman tembakau ditukar kepada tanaman lain kerana ia hanya boleh dilakukan kalau saya menjadi Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan. Rokok tidak seperti makanan biasa kerana ia mempunyai kesan ketagihan. Bila seseorang itu ketagih, buatlah kempen macamanapun, ia akan tetap merokok selagi ianya ada di pasaran. Apa yang boleh menyebabkan seseorang itu berhenti hanyalah motivasi diri. Antara motivasi yang boleh menghentikan tabiat merokok ialah sakit jantung, srtoke atau kanser. Moralnya di sini ialah bahawa faktor yang boleh melawan ketagihan rokok ini adalah motivasi dalaman.

Semasa zaman Rasulullah SAW, ketagihan para sahabat terhadap arak melebihi ketagihan terhadap rokok sehingga diberitakan bahawa ada seorang sahabat yang lalai semasa mengimami sembahyang berjemaah lalu turun ayat “Dan janganlah kamu hampiri sembahyang ketika kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu lafazkan.” (An-Nisa’ ayat 43) Tetapi para sahabat boleh terus meninggalkan arak apabila turunnya ayat yang mengharamkannya. Inilah motivasi kepada umat Islam. Sesuatu yang diharamkan oleh Allah meskipun halal secara zatnya seperti makan di siang hari bulan Ramadhan pun mampu ditinggalkan inikan pula jika ianya haram secara zatnya.

Inilah titik kejayaan kepada kempen anti rokok. Bermula dengan Majlis Fatwa, Ulama' yang menjadi pemimpin organisasi samada politik dan bukan politik, para imam di masjid-masjid dan ustaz-ustaz yang mengajar samada di sekolah atau di masjid-masjid semuanya perlu senada bahawa rokok adalah haram dalam Islam.

Barangkali Papisma boleh berperanan menjadi pencetus dan agen pendesak kepada badan-badan berwajib samada dalam kerajaan atau di luar kerajaan.

Monday, February 16, 2009

Kuala Terengganu Tumpuan Delegasi Exco Papisma Pusat

(Wartawan Buletin)

Setelah berjaya mengharungi Khidmat 'Kesihatan Perdana' pada bulan Januari yang lalu di Kuala Terengganu, Papisma meneruskan aktivitinya dengan mengadakan mesyuarat dwi-bulanannya juga di Kuala Terengganu.

Barisan Exco telah menetapkan mesyuarat kali ke-4 ini akan diadakan di luar Kuala Lumpur untuk membolehkan mereka 'bertukar angin'. Jika idea ini berjaya, InsyaAllah, mesyuarat-mesyuarat seterusnya akan dilakukan di serata pelusuk tanahair. Ini akan menggalakkan lebih ramai kehadiran Exco sambil menikmati keindahan Malaysia yang masih ada yang belum mengetahuinya atau menikmatinya. Maklumlah, ahli-ahli Papisma ni sememangnya sangat sibuk dengan urusan pekerjaan mereka. Di samping itu, kata pepatah jauh perjalanan luas pengalaman, maka dengan pertukaran tempat seperti ini akan lebih menjana percambahan idea bagi digunakan untuk menggerakkan Papisma ke arah yang lebih hebat dan perkasa.

Kuala Terengganu merupakan lokasi yang sangat sesuai kerana kedudukannya yang di tengah-tengah antara Kota Bharu dan Kuantan dan kebetulan majoriti Exco Papisma adalah dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Jadi, mereka yang berada di Kuala Lumpur, Perak dan Kedah boleh datang dengan berkongsi kenderaan dan ini akan lebih menjimatkan kos perjalanan.

Klinik Ummi sebagi tempat mesyuarat pula merupakan tempat yang sangat sesuai kerana kedudukannya yang mudah untuk dituju bagi mereka yang belum pernah datang sekalipun. Tempat parking yang luas, dan prasarana bilik mesyuarat yang lengkap dan selesa.

Alhamdulillah, mesyuarat telahpun selesai dengan jayanya dengan kehadiran yang besar barisan exco dan buat kali pertama berjaya membincangkan seluruh agenda mesyuarat dengan sempurna termasuk aktiviti utama yang akan diadakan iaitu Sambutan Hari Keluarga Papisma yang akan diadakan di De Rhu Resort, Kuantan pada akhir Mei dan awal Jun nanti.

Mesyuarat ini diserikan lagi dengan Majlis Silaturrahim yang dianjurkan oleh Papisma Cawangan Terengganu dalam bentuk jamuan santai di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu yang merupakan hidangan makan tengahari. Majlis tersebut juga dihadiri oleh beberapa pemimpin penting yang terlibat secara langsung dengan aktiviti Papisma dalam melaksanakan aktiviti Khidmat Kesihatan di Terengganu dan Misi Kesihatan Dan Kemanusiaan di luar negara. Kehadiran yang sangat menggalakkan dari ahli-ahli Papisma Terengganu bagi menyambut dan beramah mesra dengan pimpinan Papisma Pusat tentunya akan meninggalkan kesan yang mendalam dan positif. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan semasa program itu berlangsung.
Mesyuarat Exco sedang berlangsung dengan dipengerusikan oleh Presiden. Kelihatan juga penggunaan alat bantu mesyuarat seperti komputer dan LCD bagi membolehkan ahli mesyuarat yang tidak dapat hadir dapat menggunakan kemudahan video-conference online.
Para Exco sedang memerah otak bagi mencari penyelesaian kepada pelbagai persoalan yang timbul demi memperkasakan Papisma untuk Islam dan masyarakat. Subhanallah...

Dalam satu hadis disebutkan, daripada Abu Ayyub r.a katanya:
"Rasulullah s.a.w bersabda: Sepagi atau sepetang berada di jalan Allah adalah lebih baik daripada apa yang telah diterbitkan dan diterbenamkan oleh matahari" HR Muslim.

Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”
Ramai di kalangan exco dan ahli-ahli Papisma merupakan pakar-pakar di jabatan masing-masing. Namun mereka sanggup berkorban tanpa upah walau satu senpun demi mengharapkan ganjaran yang lebih baik di akhirat.
Kelihatan juga Mantan Presiden sedang bersama-sama berbincang melalui video-conference meskipun tidak dapat hadir kerana anaknya akan menjalani MRI di HUSM.
Penat lelah berfikir dan memerah otak hilang serta-merta apabila dapat menjamu selera bersama-sama sahabat/iat yang mungkin telah lama tak berjumpa. Sambil menikmati nasi beriani yang tersohor keenakannya, masing-masing cukup berselera menikmatinya sambil dihembus bayu pantai yang nyaman diiringi nyanyian ombak pantai Batu Buruk yang mengasyikkan.
Tidak enak rasanya jika hanya perut yang merasa, tetapi lebih enak jika disulami dengan senda-gurau dan gelak ketawa. Memori lama dekat terasa meskipun telah berlalu bertahun-tahun ditelan masa.
Majlis lebih bermakna apabila Tn. Hj. Husin Ismail yang lebih dikenali dengan nama Cikgu Husin yang merupakan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia memberikan taklimat tentang situasi di Ghazza (Palestin) yang cukup memilukan dan mampu menaikkan bulu roma. Namun kewajipan kita untuk terus membantu dan berdoa, mudah-mudahan Allah berkenan mengganjari kita dengan pahala syahid jikalau atas kelemahan dan keterbatasan yang ada ini tidak memungkinkan kita untuk berjaya menjadi syuhada' seperti mereka.
Semua mata dan telinga memberi tumpuan, sambil otak ligat memikirkan bagaimana deritanya mangsa keganasan Yahudi Israel laknatullah di bumi Palestin, namun dari sudut yang lain, mereka adalah orang yang sangat berbahagia di akhirat.
Sebelah petang mesyuarat diteruskan, sambil bermesyuarat sambil menikmati hidangan ringan bagi menghalau rasa mengantuk yang datang.
Selesai bermesyuarat, dengan wajah yang letih namun perasaan yang puas, barisan exco bersama ahli mesyuarat yang hadir mahu mengabadikan kenangan bagi dirakamkan dalam album memori yang indah bersama catatan sejarah.
Inilah barisan exco yang menunjangi pergerakan dan aktiviti Papisma untuk tahun 2008-2010. Mudah-mudahan Allah merahmati mereka dan persatuan ini demi menuju matlamat suci iaitu keredhaan Ilahi.

Sekian...

Sunday, February 15, 2009

Merokok Di Tempat Awam - Satu Jenayah Syariah

(Kaki Kayu)

Masih membincangkan tentang isu rokok yang memusnahkan diri, keluarga, masyarakat dan umat Islam seluruh dunia. Tulisan ini juga merujuk kepada tulisan saya yang pertama (klik) dan kedua (klik). Oleh kerana isu merokok yang dulunya dilihat sebagai 'simple' sehingga sesetengah ulama' menghukumkan sekadar makruh, tetapi kini ternyata jelas bahawa dari sudut kesihatan dan agama (syariat), ia sangat membahayakan apatah lagi pembekal rokok utama dunia adalah mereka yang terang-terangan memusuhi Islam iaitu Yahudi laknatullah.

Saya tidak mahir tentang dunia perundangan. Namun ia tidak sukar untuk difahami. Oleh kerana rokok yang membahayakan ini, maka umum mengakui bahawa perbuatan membahayakan diri sendiri dan / atau orang lain merupakan suatu perbuatan jenayah. Apakah kesalahan seumpama ini tidak boleh disabitkan di mahkamah? Memang sukar untuk mengakuinya. Namun saya yakin, sekiranya Malaysia diperintah secara adil menggunakan Sistem Islam, gejala rokok dapat dibenteras melalui undang-undang. Udara akan bersih dari asap rokok yang mengganggu keselesaan, dan rakyat Malaysia tidak akan terjebak dalam memberikan saham kepada Yahudi Israel laknatullah dalam memusnahkan umat Islam. Betapa besar pahala pemimpin dalam menyelamatkan masyarakat dan rakyat dalam hal ini.

Cuba kita lihat definisi Jenayah Syariah itu sendiri. Ia adalah suatu tindakan atau perbuatan yang dilarang dan merosakkan, sama ada tindakan ke atas nyawa, badan, harta atau sebagainya. Kesalahan yang mesti dihukum kerana melanggar hak Allah swt dan hak manusia atau makhluk lain. Matlamat utama syariat adalah untuk membawa rahmat kepada seluruh manusia dan semesta alam.

Dalam hal ini, kesalahan merokok boleh dikategorikan ke dalam kategori yang meskipun cukup longgar, namun jelas. Cuba lihat definisi Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (AKJS 1997);

PERBUATAN TIDAK SOPAN DI TEMPAT AWAM (S. 29 AKJS 1997)
- denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau keduanya.

Cuba lihat beberapa tinjauan dalam menegaskan bahwa rokok adalah perbuatan yang melanggar hak Allah swt dan hak manusia:

1. Merokok merosakkan kesihatan (Yadhurru Linafsih)

Semua orang sepakat, bahwa rokok memiliki kesan negatif terhadap fizikal manusia. Terlebih-lebih jika ditinjau dari segi ilmu kesihatan atau kedoktoran, rokok memiliki kesan yang begitu besar dalam diri insan yang akan menyebabkan berbagai penyakit. Perokok sendiri akan mengakui perkara tersebut. Dan jika demikian, seseorang ketika ia merokok bererti ia memberikan kemudharatan atau merosak bagi dirinya sendiri. Sementara

Allah SWT berfirman (QS. 4 : 29)
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu sendiri; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu."

2. Merokok menzalimi orang lain (Dzalim)

Selain merosak atau merugikan terhadap diri sendiri, rokok juga dapat merugikan atau menzalimi orang lain yang tidak merokok. Sebab, asap rokok yang dihisap si perokok dan dikeluarkan lagi itu memiliki potensi untuk disedut secara langsung melalui nafas orang lain (baca - perokok pasif) yang berada di sekitarnya, yang boleh menimbulkan penyakit-penyakit tertentu. Ini bererti perokok telah menzalimi orang lain yang tidak merokok. Dan Allah sangat membenci orang-orang yang zalim.

Allah SWT berfirman (QS. 42 : 40)
"Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim."

3. Merokok memiliki unsur menghambur-hamburkan harta (Tabdzir)

Selain dua tinjauan di atas, rokok juga mengandungi unsur menghambur-hamburkan wang (baca - tabdzir). Hampir semua pendapat telah sepakat, bahwa rokok merupakan salah satu bentuk perbuatan yang membazir, kerana banyak perkara yang lebih bermanfaat daripada digunakan untuk rokok, seperti membantu fakir miskin, bersedekah kepada kerabat, atau digunakan untuk membeli makanan yang menambah kesihatan, seperti susu, buah-buahan dan sebagainya. Dan jika merokok merupakan salah satu perbuatan tabdzir, maka alangkah kerasnya Allah SWT menegur orang-orang yang membazir.

Allah berfirman (QS. 17 : 27 ) :
"Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya."

Dengan ketiga-tiga perkara yang diutarakan ini, jelas bahawa merokok bukan sekadar perbuatan tidak sopan, ia juga merupakan perbuatan biadap yang mengganggu ketenteraman awam.

Friday, February 13, 2009

Antara Dosa Para Perokok - Hancurnya Bumi Palestin!

(Kaki Kayu)

Bersambung dari tulisan saya yang lepas tentang rokok.

Kita tidak begitu 'sakit hati' dan geram kalau mereka yang merokok ni hanya membahayakan diri-diri mereka semata-mata. Kita dah beri penerangan dengan berbagai hujah telahpun disumbatkan ke dalam telinga mereka, sehingga bukan sahaja mereka bosan dengar hujah kita, kita juga bosan dengan mengulangi hujah-hujah seumpama itu, namun yang kita rasa panas hati sebab ada di antara mereka ni yang begitu bersemangat untuk memboikot produk-produk Israel, tetapi tanpa disedari merekalah antara penyumbang kepada ekonomi Israel laknatullah.

Cuba kita bayangkan syarikat rokok telah menyumbang 12 % keuntungannya ke Israel setiap tahun. Sedangkan setiap hari umat Islam membelanjakan 800 juta USD untuk membeli rokok mereka, dengan keuntungan purata 10% atau 80 juta USD sehari. JADI sebanyak 9.6 juta USD duit umat Islam telah masuk ke akaun Israel setiap hari termasuk duit para perokok umat Islam dari Malaysia! Duit inilah juga yang digunakan oleh Israel untuk menceroboh dan membunuh umat Palestin tanpa terkecuali kanak-kanak dan wanita. (Sumber - PPIM)

Apakah kalian tidak merasa berdosa dan bersalah? Kalian telah merosakkan diri-diri kalian dengan membelakangkan ajaran Islam (lihat hadis-hadis dan ayat al-Quran dalam artikel yang lalu) dan seruan imam mazhab kalian sendiri iaitu Imam Shafie (rh) yang kalian agung-agungkan? Kini telah jelas, duit yang kalian keluarkan itu sama ada dengan susah atau senang telah merosakkan dan menghancurkan bumi Palestin melalui tangan-tangan kafir laknatullah, Yahudi dan Israel.

Allah Maha Agong dan Maha Pengasih. Barangkali kerana sifat kasih-sayang-Nya telah memperlihatkan kepada kalian dosa-dosa para perokok dan menginginkan kalian kembali sedar akan dosa-dosa itu dan segera bertaubat. Bukankah setiap dosa itu akan dibalas oleh Allah walau sebezar zarah?

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula." (al- Zalzalah:7-8)



Wednesday, February 11, 2009

Awas - Merokok Menjahanamkan Saudara SeIslam

(Kaki Kayu)


“Janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (kecelakaan)”.Al- Baqarah , 2:195

Merenung sebentar nasib umat Islam Palestin. Bumi para anbiya'. Bumi kiblat pertama kaum muslimin yang dipijak-pijak dan dirobek-robek sesuka hati oleh Yahudi laknatullah. Tindakan Yahudi sememangnya begitu kerana mereka yang beragama Yudaisme merupakan agama yang celaka kerana menganggap orang lain seperti binatang dan boleh diperlakukan apa saja malah boleh dibunuh tanpa sebab. Namun yang selalu menggeramkan dan menyakitkan hati ialah mereka yang 'membantu' Yahudi itu dalam menyumbangkan dana untuk mereka memusnahkan umat Islam Palestin secara tidak langsung adalah mereka yang merokok di kalangan umat Islam.

Mengapa kita masih sanggup merokok? Bukan saja kesan kepada kesihatan diri sendiri yang merbahaya, namun kesan yang jauh lebih besar ialah kesan ekonomi kepada Yahudi kafir laknatullah.

Hukum Merokok Dalam Islam

1) HUKUM MEROKOK DARI SEGI SYARA’:

Para ulama’ telah memfatwakan bahawa rokok dan tembakau adalah HARAM dari segi syara’ kerana rokok dan tembakau termasuk dalam kategori benda-benda yang KEJI, BUSUK, MEMUDARATKAN dan yang paling buruk mengandungi CANDU yang dikenali sebagai BENDA YANG BOLEH MEMABUKKAN DAN TERNYATA HARAMNYA.

2) GOLONGAN ULAMA’ & FUQAHA’ YANG MENGHARAMKAN rokok &TEMBAKAU

a) Syeikh Muhammad al-Aini mengharamkan rokok kerana:

- Membahayakan kesihatan sebagaimana yang telah ditegaskan oleh para pakar perubatan yang diakui.
- Mengandungi bahan yang memabukkan.
- Baunya busuk dan menganggu ketenteraman orang lain.
- Membelanjakan wang yang bukan pada tempatnya (membazir).

b) As-Syeikh as-Syahir bin Najam al-Izzi (Syafie) mengharamkan merokok dan penghisapnya akan mendapat dosa kecil tetapi akan mendapat dosa besar kerana:

- Berulang-ulang kali melakukanya.
- Memandang ringan, remeh dan tidak memperdulikan hukumnya.
- Merasa seronok dan bangga setelah melakukan dosa tersebut.
- Berbangga pada manusia lain dengan perbuatan tersebut seolah-oleh melambangkan dirinya sudah dewasa atau matang. (riak dan bergaya).
- Amat besar dosanya apabila dilakukan oleh seseorang yang tahu hukumnya.

c) As-Syeikh Abdullah Babatein menfatwakan:

“Kami mengharamkan rokok kerana dua sebab utama”:-

i- Boleh memabukkan apabila dihisap atau boleh mengkhayalkan.
ii- Tembakau atau rokok adalah benda keji, kotor (busuk dan buruk) dan dikategorikan oleh syara’sebagai :

“Benda keji, benda kotor dan boleh membinasakan”, - Benda spt ini nyata diharamkan oleh syara’ sebagai firman Allah yang bermaksud:

“Dan diharamkan bagi mereka (memakan) segala benda yang keji (buruk)”. Al-A’raf 7:1574.

d) Imam as-Syafei telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur Al-Umm iaitu:

“Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengadungi racun yang menyebabkan kematian aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah ‘Azza Wa Jalla mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri mereka sendiri”.

3) MENGAPA SYARA’ MENGHARAMKAN ROKOK ATAU TEMBAKAU?

a) rokok mengandungi berbagai-bagai jenis kimia merbahaya, antaranya ialah nikotin.
b) Syara’ mengatakan setiap yang memabukkan apabila dimakan, diminum, disuntik atau dihisap pada seseorang maka ia diketogerikan sebagai candu atau dadah kerana pengertian atau istilah candu adalah sesuatu bahan yang dikenal pasti sesuatu yang boleh memabukkan.

Pengharaman ini berpandukan daripada hujah-hujah atau nas-nas dari syara’ sebagaimana yang berikut ;

- “Setiap yang memabukkan itu adalah haram”. HR Muslim

- “Setiap sesuatu yang memabukkan maka bahan tersebut adalah haram”. HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud.

- “Apa shj yg pd banyaknya memabukkan, maka pada sedikitnya adalah haram”. HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah.

- “Setiap yang memabukkan itu adalah arak dan setiap arak itu adalah haram (terkategori)”.HR Muslim

- “Pasti akan berlaku dikalangan manusia-manusia dikalangan umatku, meneguk (minum ,hisap, sedut, suntik ) arak dan kemudian memakannya dengan nama yang lain”. HR Ahmad dan Abu Daud

- Telah berkata Ibnu Mas'ud tentang benda yang memabukkan ; “Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan ubat bagi kamu pada benda yang ia telah haram pada kamu”. HR Bukhari

- Telah berkata Waail bin Hujr: “Bahawa Tareq bin Suwid pernah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang pembuatan arak , maka Nabi menegahnya. Maka Tareq bin Suwid berkata: “Aku membuatnya bagi tujuan perubatan”. Maka Nabi bersabda : “Sesungguhnya arak itu bukanlah ubat tetapi penyakit”.” HR Muslim dan Turmizi

- Allah mengharamkan orang-orang yang beriman daripada mencampakkan diri mereka ke dalam perbuatan yang busuk, kotor, keji dan merosakkan kerana ia boleh membawa kepada kecelakaan di dunia dan akhirat. sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (kecelakaan)”. Al-Baqarah , 2:195

4) MENGAPA MASIH ADA YANG MEROKOK WALAUPUN SUDAH SEDIA MAKLUM HUKUMNYA?

a) Kejahilan masyarakat Islam.
b) Berlakunya penyelewengan fatwa dari ulama’ fasiq.

* Ibnu Qaiyim al-Jauzi telah menulis di dalam bukunya Talbisu Iblis tentang orang yang bertaklid:

“Orang yang bertaqlid sebenarnya tidak mempunyai kepercayaan mantap pada apa yang ditaqlidkan. Taqlid merosak kesempurnaan (agamanya) kerana mengenepikan kesempurnaan akal(nya), sedangkan akal dianugerahkan untuk berfikir dan menganalisa. Amat jahil dan buruk sikap orang yang diberi lilin tetapi memadamkannya kemudian berjalan dalam kegelapan”.

Wallahu A'lam…

(I Luv Islam)

SEJARAH PAPISMA

(Insider)

PENTINGNYA SEBUAH ORGANISASI
Umpama kata-kata Sayidina Umar Al-Khattab r.a. yang bermaksud; "Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa wala."

Kepentingan organisasi sangat jelas kerana tanpanya seseorang individu itu tidak akan dapat menggunakan keupayaan dirinya untuk memberi manfaat atau membawa perubahan yang berkesan kepada masyarakat. Presiden Amerika sekalipun, dengan keupayaannya berpidato semata-mata tidak akan dapat memerintahkan walau seorangpun budak pejabat untuk datang kepadanya. Tetapi dengan kekuatan sebuah organisasi, beliau disokong untuk menjadi orang yang sangat berkuasa yang berupaya menggerakkan tenteranya bagi menghancurkan negara Afghanistan, Iraq malah sesiapa sahaja hanya dengan perintah yang sama. Semua orang dan kumpulan hari ini berlumba-lumba untuk menubuhkan organisasi. Dari persatuan penarik beca, persatuan peniaga, persatuan kontraktor, persatuan guru, persatuan ibu tunggal hinggalah kepada persatuan peguam dan persatuan doktor.

Menyedari akan hakikat itu, maka pada pertengahan tahun 1995, Dr. Faizol Fazli yang dikenali sebagai Abang Yeop kerana beliau berasal dari negeri Perak, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Perubatan Swasta di Klinik Izani, Cabang Empat, Tumpat Kelantan telah mengumpulkan beberapa sahabat yang bekerja di Kota Bharu untuk menubuhkan alumni universiti-universiti bagi meneruskan kesinambungan ISP (Ikatan Siswa-Siswi Perubatan/Paramedik). Perjumpaan itu telah diadakan di rumah Dr. Abd. Razak Sulaiman (kini Prof. Madya), di Pasir Mas, Kelantan. Antara sahabat yang hadir ialah Dr. Abd. Razak b. Sulaiman sebagai tuan rumah, Dr. Arif b. Mohd. Nor, Dr. Wan Mohamad b. Gaberan, Dr. Kamal Yatiban, Dr. Roslan b. Yusof dan Dr. Faizol Fazli sendiri. Mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah organisasi yang akan meneruskan kesinambungan ISP bagi meneruskan cita-cita memperkukuhkan Islam di Malaysia dari sudut Kesihatan dan Perubatan. Maka tertubuhlah SPI (Siswazah Perubatan/Paramedik Islam) dengan menjemput Dr. Azmi Samat yang berada di Kemaman, Terengganu sebagai Pengerusi pertamanya. Setiausahanya pula ialah Abang Yeop sendiri. Pada ketika itu pemilihan nama SPI masih belum dilakukan lagi. Nama SPI telah diputuskan dalam mesyuarat agung yang pertama.

Aktiviti pertamanya ialah dengan memperkukuhkan ikatan melalui usrah secara berkala. Antara naqibnya ialah Ust. Nik Mohd Ammar b. Nik Abdullah. Yuran-yuran juga dikumpul bagi menguatkan dana untuk menampung aktivitinya dengan bendahari pertamanya ialah Dr. Wan Mohamad b. Gaberan yang ketika itu bertugas di Klinik Kesihatan Tumpat, Kelantan.

Organisasi ini terus berkembang dengan cepat kerana ianya didokong oleh ahli yang sememangnya telah bersedia untuk meneruskan aktiviti pasca universiti. Perhimpunan pertama telah diadakan di Perdana Beach Resort, Pantai Cahaya Bulan yang merupakan Hari Keluarga SPI dan Mesyuarat Agung Tahunan. Organisasi yang lebih tersusun dibentuk dengan membahagi-bahagikan kawasan mengikut zon iaitu Zon Kota Bharu, Zon Kuala Terengganu, Zon Kemaman, Zon Kuala Lumpur/Wilayah Persekutuan dan Zon Selatan. Jawatankuasa-jawatankuasa diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti bagi memperkasakan persatuan. Alhamdulillah, sehingga hari ini hampir setiap tahun Perhimpunan ini dilaksanakan. Berikut adalah senarai dan tarikh-tarikh perhimpunan tersebut:

1-Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, Kelantan (1996)
2-Irama Beach Resort, Bachok, Kelantan (1997)
3-Bay View Resort Cherating, Kuantan, Pahang (1-2 Mei 1998)
4-Gem Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu (25-26 Jun 1999)
5-Lembayung Resort, Tronoh, Perak (2002)
6-Batu Buruk Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu (31 Ogos 2003)
7-Agro Resort, Setiu, Terengganu (1-3 November 2004)
8-Gem Beach Resort, Kuala Terengganu, Terengganu (19-22 Ogos 2005)
9-Hotel Sri Malaysia, Taiping, Perak (18-20 Ogos 2006)
10-Selesa Resort, Bukit Tinggi, Pahang (17-19 Ogos 2007)
11-Sudara Beach Resort, Bachok, Kelantan (23-25 Mei 2008)
12-De Rhu Beach Resort, Kuantan, Pahang (29-31 Mei 2009)
13-Pantai Merdeka Beach Resort, Sg. Petani, Kedah (29-31 Mei 2010)
14-Bukit Keluang Beach Resort, Besut, Terengganu (29 April - 1 Mei 2010)

Selepas ditubuhkan melalui Mesyuarat Agungnya di Pasir Mas, Kelantan pada 11 Disember 2003 dan diluluskan pendaftarannya sebagai NGO pada 28 September 2004, PAPISMA terus mengorak langkah dengan lebih agresif. Barisan kepimpinannya bertukar ganti yang menggabungkan pelbagai peringkat usia dan kepakaran. Kini cawangan cawangan PAPISMA telah berada di seluruh Malaysia sehingga ke Sabah dan Sarawak. Keahliannya seramai 519 orang (data Disember 2010) yang telah didaftarkan dan ramai lagi masih menunggu didaftarkan. Nama PAPISMA terus harum dan meniti di bibir masyarakat apabila seringkali kelihatan berada di tengah-tengah masyarakat marhain bagi membantu mereka dalam merawat dan memberi nasihat soal-soal penyakit dan gejala hidup bebas yang merosakkan masyarakat.

Presiden-presidennya ialah Dr. Harmy b. Mohd Yusoff (2004 - 2008), Dr. Suhazeli b. Abdullah (2008 - 2010) dan Dr. Awisul Islah b. Ghazali (2010 sehingga kini).

Kejayaan PAPISMA sehingga kini ialah menubuhkan Koperasi Amalmedik, Agensi Takaful Amalmedik, penerbitan buku-buku perubatan, penerbitan majalah, penubuhan skuad kesihatan SMART PAPISMA di Terengganu, menyertai misi-misi keselamatan ke Pakistan, Filipina, China, Acheh, Kemboja dan Ghaza. Mudah-mudahan PAISMA akan terus berkembang maju selaras dengan kemajuan teknologi dalam mencari redha Allah untuk bekalan di negeri akhirat.

Tuesday, February 10, 2009

MB Nizar Memperjuangkan Perlembagaan Dan Institusi Istana

(Insider)

Tanpa mengira siapa, kita adalah sebagai salah satu entiti masyarakat yang perlu mempunyai minda yang bebas. Bebas bukan bererti tidak mempunyai pegangan, tetapi bebas dalam menilai dan membuat keputusan. Bebas dalam menyuarakan pendapat dan bebas dalam membuat pilihan.

Kekalutan politik negeri Perak masih perlu diperkatakan. Sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip keadilan, kita perlu menyebarluaskan apa saja maklumat demi memelihara sesuatu prinsip. Tanpa keadilan tidak akan ada kemakmuran, kesejahteraan dan sebagainya dalam sebuah kerajaan. Walau sehebat manapun seorang pemimpin, ia akan hancur tanpa adanya keadilan. Bukankah kerajaan Fir'aun dan Namrud telah menjadi buktinya? Begitu juga dengan kerajaan Rom dan Farsi? Banyak lagi negara dan kerajaan moden ini juga menempah perkara yang sama tanpa keadilan seperti Rusia dan kerajaan komunis yang lain.

Jadi, setuju atau tidak, ringan atau berat, ia menjadi suatu kewajipan kepada yang berkemampuan melaksanakan apa saja agar keadilan dapat dipertahankan. Meruntuhkan keadilan dengan apa cara sekalipun dan dengan apa motif sekalipun adalah satu kemungkaran yang besar kepada umat. Mencegah kemungkaran seumpama ini menjadi satu tugas yang sangat-sangat diberatkan kepada setiap individu. Lihatlah perintah Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Imam Muslim, bahawa diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif (serendah-rendah) iman."

Dalam hal yang berkaitan, berikut adalah kenyataan YAB Dato' Seri Ir. Nizar, MB Perak (yang masih sah) yang perlu diberitahu kepada umum kerana tidak disiarkan oleh media massa milik pemerintah hari ini. Apa yang diharapkan dengan penjelasan melalui media-media seumpama ini akan membantu menunaikan amanah bagi mencegah kemungkaran demi menegakkan keadilan kepada masyarakat umum.

BismilahirRahmanirR ahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti.

Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat.

Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga.

Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini.

Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya.

Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

Datuk Seri Nizar Jamaludin

Sunday, February 8, 2009

Mentaati Sultan Dalam Melanggar Undang-Undang?

(Insider)

Undang-undang adalah suatu peraturan bertulis yang dikanunkan untuk dilaksanakan bagi menjaga keamanan, kenteraman, kemakmuran, keadilan dan lain-lain nilai murni untuk kehidupan di dalam masyarakat. Sekiranya sesuatu undang-undang itu dilanggar, pastinya perlanggaran itu akan menyebabkan satu atau kesemua nilai murni untuk masyarakat itu akan terancam atau binasa. Tidak ada pihak yang boleh melanggar undang-undang. Kerana undang-undang dicipta adalah untuk masyarakat. Mengapa harus melanggar undang-undang sekiranya undang-undang itu telah menjamin kehidupan yang aman makmur dan sejahtera?

Dalam isu yang melanda negeri Perak yang tidak tahu bilakah dan apakah kesudahannya ini, suatu yang tidak kena telah berlaku. Pihak PR menuduh UMNO/BN melanggar undang-undang dan pihak BN menuduh PR menderhaka kepada Sultan.

Kedua-dua tuduhan memang betul kerana UMNO/BN memang melanggar undang-undang kerana 'menculik' dan 'merasuah' ADUN PR sehingga 'memaksa' ADUN-ADUN tersebut berpihak mereka. Tujuannya satu iaitu untuk menumbangkan kerajaan PR Perak dan mengambil-alih pemerintahan kerajaan. Sedangkan tuduhan UMNO juga betul di mana PR derhaka kepada Sultan Perak kerana tidak mematuhi arahan sultan. Malah sesetengah pihak seperti DAP juga betul apabila mendakwa Sultan boleh disaman di mahkamah kerana melanggar undang-undang di mana Artikel 16 (6) dalam Sistem Raja Berperlembagaan Malaysia, kuasa Sultan hanya boleh melucutkan ahli exco sahaja, bukan boleh memecat MB.

Marilah kita lihat dengan saksama, bukan dengan emosi. Umpama kata-kata kumpulan nasyid Rabbani dalam lagu Iltizamnya iaitu, "emosi bukanlah penyelesaian". Dalam keadaan apapun, pastinya ada sesuatu yang boleh dan perlu dijadikan tempat rujukan. Di sini kita melihat ada beberapa tempat rujukan yang boleh menyelesaikan konflik. Pertama Sultan dan kedua Undang-Undang / Perlembagaan. Tempat rujukan mestilah pihak ketiga kerana hakim mestilah orang yang tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan. Maka di sini dengan sendirinya Sultan terpaksa diketepikan kerana dalam kes ini Sultan telah terlibat.

Apabila tempat rujukan adalah Undang-Undang / Perlembagaan, maka kita perlu membuka dan meneliti apakah yang termaktub dalam Perlembagaan. Jadi jelas bahawa satu pihak mesti betul dan satu pihak mesti mengaku bersalah. Tidak mungkin kedua-duanya betul. Dalam kes ini, UMNO/BN tidak boleh bersandar kepada Sultan kerana ia telah melanggar Perlembagaan. Jika perkara ini dibiarkan, ia akan memusnahkan institusi Kesultanan Melayu dan sistem perundangan di Malaysia tak kira apa jenis perundangan sekalipun.

Seorang Sultan tidak boleh mengajar rakyat untuk melanggar undang-undang. Baginda perlu akur bahawa dalam kes ini baginda perlu kembali kepada peranannya sebagai payung kepada rakyat yang menegakkan keadilan. Baginda bukan maksum. Setiap manusia ada melakukan kesilapan samada kecil ataupun besar. Jika baginda meneruskan niat untuk mengiktiraf kerajaan UMNO/BN, maka baginda telah memberi lampu hijau kepada rakyat untuk melanggar undang-undang. Bila undang-undang telah dipijak-pijak, negara akan musnah! Kalau seorang ayah menyuruh anaknya merompak, maka menderhaka kepada bapa itu adalah suatu kemuliaan di sisi Allah. Meskipun ayah wajib ditaati, iaitu ketaatan keempat setelah Allah, Rasul dan ibu, namun dalam perlanggaran kepada larangan Allah, ia suatu yang menjadi wajib diingkari. Begitu juga dalam kes ini, mengingkari perintah Sultan adalah suatu yang wajib demi menjaga kedaulatan perlembagaan. Kerana, selagi perlembagaan dipelihara, selagi itulah kesejahteraan negara akan terpelihara. Perlanggaran kepada undang-undang dan perlembagaan adalah suatu penderhakaan kepada Allah kerana menyebabkan institusi masyarakat akan rosak dan binasa. Sesungguhnya ketegasan seorang pemimpin seperti MB Nizar untuk berpegang kepada perlembagaan merupakan sikap terpuji dan ketegasan inilah yang sebenarnya akan menyelamatkan masyarakat dan generasi akan datang.

Beberapa buku sejarah menceritakan pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri.

Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada diantaranya ada yang menyanggahi kebenaran. Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.

Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”. Kemudian ‘Umar bin Hubairah bertanya kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”. Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”. “Aku mahu pendapatmu”, tegas gabenor itu.

Kata al-Hasan al-Basri: “Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Jika engkau bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Allah akan serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah.

Saturday, February 7, 2009

Gurindam Pejuang

(Insider)

Dalam kesedihan dan kemarahan yang belum reda. Aku tercari-cari penawar yang mampu menyejukkan hatiku... Aku mencari keheningan di celah jiwa yang memberontak dan bergelora. Aku terus berdoa dan berdoa... Qunut nazilah entah berapa kali ku baca dalam sehari semoga Allah berkenan menghancurkan musuh yang telah melakukan kezaliman yang melampaui batas. Tiba-tiba aku terbaca sajak yang ditulis oleh pejuang terkenal, anak seorang ulama besar di Malaysia... Ust. Nik Abduh. Aku menghayatinya... Perlahan-lahan dadaku menjadi sebak. Mataku berkaca. Ada semacam angin lembut menyapa kalbuku... sejuk mengelus relung hati... sehingga kemarahanku sedikit reda lalu bertukar menjadi kekuatan sambil menikmati ujian Allah dengan penuh redha. Subhanallah... renungilah..

(Dengan sedikit ubahsuai)

Parti Islam!

Di masa susah kaulah kawan

Di mana susah kaulah di depan

Untuk yang lemah kaulah sandaran yang gagah

Untuk yang duka kaulah penawar dan penenang

Dalam ribut dan taufan kaulah tunjang

Dalam gelora dan gelap kaulah menara dan cahaya

Tiada dagang bersamamu

Tiada cemas di belakangmu

Dirimu ada kekuatan

Dirimu adalah kekuatan

Kekuatan jadi mulia bersamamu

Kelemahan jadi bacul di hadapanmu

Parti Islam!

Musuh tidak nampak kecualimu

Musuh tidak marah kecualimu

Musuh tidak takut kecualimu

Keranamu kebatilan menjadi lebur

Keranamu kezaliman menjadi berantakan

Keranamu kejahilan menjadi hilang

Kaulah kelibat di medan

Kaulah syakhsiyah dalam kembara

Kaulah figura keramaian

Kawan dan musuh menakjubimu

Dia dan mereka menyanjungimu

Aku dan kami mencintaimu

Parti Islam!

Beginikah Allah memuliakanmu?

Friday, February 6, 2009

MB Nizar Tidak Derhaka, Sepatutnya Begini Langkah Badan Berkuasa

(Insider)
Kalau ditanya generasi sekarang antara tindakan Hang Jebat dan Hang Tuah, hampir tidak ada orang yang menyokong tindakan Hang Tuah, kecuali orang-orang tua yang tidak berpelajaran. Kalau adalah sistem perundangan yang adil pada ketika itu, Hang Tuah mempunyai hujah yang kuat untuk melanggar perintah Sultan. Tetapi setelah 5 kurun berlalu, barulah masyarakat mula celik dan faham apa itu kezaliman dan keadilan. Keadilan bukan kerana mematuhi perintah orang yang berkuasa semata-mata, tetapi keadilan itu adalah mengembalikan hak kepada yang empunya diri. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesalahan kecuali nabi, sebab itu menuruti manusia itu perlu di atas dasar keadilan. Seringkali manusia yang lemah imannya akan menjadikan hawa nafsu memimpin dirinya. Akibatnya, masyarakat akan musnah binasa dan kezaliman bermaharaja lela. Sedangkan Sayidina Abu Bakar (r.a) sendiri berpesan, (mafhumnya) bantulah aku jika aku benar dan perbaikilah aku jika aku salah.

Kini Malaysia merupakan kerajaan berperlembagaan. Ertinya kerajaan yang ada undang-undang. Pemimpin dan rakyat akan dipelihara melalui undang-undang. Tidak ada hawa nafsu pemimpin yang dapat menzalimi rakyat. Sudah lebih 50 tahun Malaysia merdeka dan mengamalkan undang-undang, tetapi adalah malang apabila tindakan pihak berkuasa masih mengikuti hawa nafsu seperti zaman Hang Tuah. Benarlah kata-kata 'keramat' Hang Jebat, "Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah". Kata-kata ini bukanlah kata-kata penderhaka, tetapi kata-kata yang menasihati agar segala tindakan perlulah berlandaskan undang-undang.

Menyentuh isu yang berlaku di Perak, manusia normal mana yang tidak tersentuh hatinya. Sepatutnya isu ini dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pihak berkuasa bersedia menuruti perlembagaan. Ia akan menjadi semakin panas dan merendahkan tahap demokrasi di Malaysia yang semakin merudum saat ini. Ia menggambarkan bagaimana mentaliti pemimpin yang menuruti hawa nafsu ingin berkuasa, dan pihak-pihak yang memberikan sokongan secara membuta-tuli. Lalu memberikan label bahawa siapa yang tidak memberikan sokongan adalah penderhaka... Lebih kurang sama seperti mentaliti manusia kurun ke-15.

Bagi saya ada beberapa cara untuk mengatasi kemelut ini supaya ianya berakhir dengan baik. Badan yang berkuasa seperti Institusi Kesultanan dan SPR sepatutnya menggunakan budi bicara dan kearifan mereka berdasarkan undang-undang dan perlembagaan yang ada bagi mengatasi masalah ini.

Antara cara yang terbaik ialah :-

1) Membubarkan DUN berdasarkan kuasa Sultan atas nasihat Menteri Besar.

2) Menunggu keputusan Mahkamah terhadap kes yang difailkan oleh Speaker DUN Perak yang memberikan notis bahawa kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah kosong. Selepas kes ini diputuskan mahkamah barulah keputusan samada mengadakan Pilihanraya Kecil atau perlantikan Menteri Besar dari BN dilakukan. Mahkamah boleh bersidang secepat mungkin kerana ini adalah kes yang melibatkan kepentingan rakyat.

Bagaimanakah seorang Sultan boleh mengisytiharkan BN untuk memerintah negeri dengan mudah sedangkan kalau diambil satu elemen demokrasi sahaja pun sekarang ialah PR 28, BN 28 dan Bebas 3 kerusi? Fikir-fikirkanlah...

Monday, February 2, 2009

Islam Sepatutnya Lebih Mampu Melahirkan Generasi Genius

(Insider)

Tulisan di bawah tiada kena mengena tentang sokongan terhadap Yahudi Laknatullah. Namun sebagai umat Islam, "kebijaksanaan itu adalah mutiara yang hilang dari kaum muslimin", maka di mana terdapat ilmu yang bermanfaat, maka umat Islam seharusnya berusaha sedaya-upaya untuk mengambilnya.

Tulisan di bawah adalah ringkasan tesis yang ditulis oleh seorang doktor perubatan.

Mengapa Yahudi Bijak?

Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital di sana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu "Mengapa Yahudi Bijak?". Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, kejuruteraan, muzik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya.

Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?

Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin.

Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, agama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data-data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang si ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, si ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku matematik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, "ya, ini untuk anak saya yang masih di dalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga dia menjadi genius apabila dewasa kelak" Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenuh beliau membuat latihan matematik sehingga beliau melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan kurma bersama susu, dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang Yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu-ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yang sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.

Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah-buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah-buahan, ini akan menyebabkan kita merasa mengantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo (pantang), apabila anda diundang makan di rumah Yahudi, jangan sekali-kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dan merokok di luar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada gen, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak (bodoh atau lembab). Suatu penemuan yang dahsyat ditemui oleh saintis yang mendalami bidang gen dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironinya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah mereka sendiri!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka. Pemakanan anak-anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah-buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever). Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata-rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain muzik dan memahami nota-notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak-kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.

Ini menurut saintis Yahudi, gegaran muzik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius muzik terdiri daripada kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak-anak Yahudi akan diajar matematik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak-anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun ke belakang!! !. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yang diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari. Menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara di samping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) di sini murid-murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan kejuruteraan, idea itu akan dibawa ke institut tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yang diberi keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Di akhir tahun di universiti, para penuntut di bidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktikkanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda (10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ½ perniagaan di dunia! Siapakah yang mencipta design Levis yang terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen di kepala, banyak agama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang-orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yang pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yang berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yang bernas, jawatankuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatankuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yang perniagaan mereka menurut landasan yang betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell Computer, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yang bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika si ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan matematik yang mudah tetapi konsisten di samping mendengar muzik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yang elok dan berkhasiat yang baik untuk otak, menghayati muzik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak-kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak-anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yang memerlukan konsentrasi yang tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.

Merokok menjanjikan generasi yang moron (goblok) dan sudah tentu gen bodoh akan mengikut ke generasi si perokok. Lawatan saya ke Singapura pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, di sini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 !!! Ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapura dan menkjubkan sekali!!! Dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupun hakikatnya negeri Singapura hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!!

Anda mungkin musykil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, dimana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! Dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyakkah universiti terdapat di sana? Hasil apakah yang dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka dipertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal agama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Firaun hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yang ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita dapat melahirkan generasi yang bijak seperti Yahudi? Jawabanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yang telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis karangan sepanjang 5 muka surat penuh. Karangannya hanyalah mengenai "Mengapa saya gemarkan tomato!".

Selamat sejahtera dan semoga kita dapat melahirkan manusia yang bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Dr. Stephen Carr Leon
Push-Up Arrow