Sunday, July 27, 2008

Dilarang Merokok - Di Mana Keutamaan Larangannya.

(Dari emel)

Beberapa bulan yang lalu sebuah klinik swasta telah menerima sepucuk surat dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang 'memerintahkan' agar klinik-klinik swasta diwajibkan memasang signboard "Dilarang Merokok". Dalam surat arahan itu menyebut tentang size dan di mana harus diletakkan signboard itu. Ia juga memberitahu mana-mana klinik yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan.

Kawan saya itu memberitahu tentang ketidak-puasan hatinya yang dirasakan perlu dikongsi bersama.

Pertama ialah berkaitan dengan Akta Hospital Dan Klink Swasta (AHKS). Bermula pada awal tahun 2007, semua klinik swasta perlu selesai membayar lesen di bawah akta tersebut yang baru dikuatkuasakan. Dalam dialog yang diadakan di Batu Buruk Beach Resort pada pertengahan tahun 2006, Kementerian Kesihatan (KKM) yang diwakili oleh Dr. Anis memberitahu bahawa KKM telah menetapkan penguatkuasaan tersebut tanpa memberitahu apakah hasilnya bayaran lesen tersebut kepada klinik-klinik swasta. Biasanya apabila lesen dibayar, pastilah ada perkhidmatan yang diberikan selepas itu. Namun benefitnya setakat ini tidak ada. Apa yang jelas penguatkuasaan AHKS adalah untuk 'menghukum' klinik swasta yang beroperasi secara haram. Ya, kita akui bahawa akta yang baik akan dapat membendung dari berlakunya kerosakan. Tetapi, sekiranya seseorang doktor itu telah mempunyai APC (Annual Practice Certificate) yang sah, maka KKM tidak perlu lagi 'menyusahkan' dengan arahan-arahan yang membebankan. Kerana klinik adalah entiti perniagaan di mana operasinya hanya perlukan kelulusan dari PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). Sedangkan KKM boleh memantau kredibiliti seseorang doktor itu melalui penguatkuasaan APC.

Setahun berlalu dengan tenang. Bermula tahun 2008, KKM telah mula memberikan tekanan-tekanan dengan melakukan operasi pemeriksaan ke atas klinik-klinik swasta bagi memastikan kelengkapan yang ditetapkan oleh KKM dipenuhi. Jika tidak, amaran dan tindakan akan dikenakan. Termasuklah menampalkan signboard "Dilarang Merokok". Saya tidak mahu menyebut tentang kelengkapan dan keperluan yang ditetapkan oleh KKM dalam tulisan ini. Mungkin jika ada kelapangan, akan disentuh dalam tulisan akan datang.

Dalam hal larangan merokok ini, sepatutnya KKM tidak memberikan tekanan kepada Klinik Swasta. Walaupun menyediakan signboard ini suatu yang kecil, tetapi dengan arahan dan amaran itu adalah satu yang tidak menjana suasana profesionalisme di antara masyarakat profesional sedangkan keutamaan arahan itu sepatutnya adalah ke atas premis menjual makanan seperti warung, kedai makan, restoran dan sebagainya. Saya bekerja telah melebihi 10 tahun. Belum pernah lagi pesakit atau keluarga pesakit yang merokok di dalam klinik. Apa yang berlaku ialah masyarakat menghisap rokok di premis-premis menjual makanan. Tetapi, premis ini tidak adapun tertera signboard "Dilarang Merokok" itu. Kalau adapun amat sedikit. Apakah KKM terlepas pandang? Sekiranya pihak KKM memang yakin bahawa kempen seperti itu memang berkesan, ia perlu mendahulukan premis-premis ini sebagai target operasi.

Keduanya saya nak menyentuh sedikit tentang lesen dan penguatkuasaan. Saya melihat lesen yang dikuatkuasakan itu adalah suatu ruang untuk membolehkan KKM mengenakan tindakan. Tanpa mengira tindakan apa, tetapi dengan penguakuasaan ini, maka KKM mempunyai suatu kuasa yang dahulunya merupakan budibicara. Sekiranya penguatkuasaan itu dilakukan dengan betul dan profesional, saya amat mengalu-alukannya. Tapi setakat ini, beberapa kes yang kurang profesional telah berlaku seperti kes Dr. Basmullah (Klinik Hilal) pada bulan Februari lalu yang penuh kontroversi dan penganiayaan. Sekarang, saya bimbang langkah-langkah yang diambil oleh KKM seakan-akan lebih cenderung untuk mengenakan tindakan.

Sebagai profesional, kita perlu mendahulukan etika dan kepercayaan kepada profesionalisme yang dimiliki oleh seseorang. Jika seseorang doktor itu telah diberikan APC iaitu suatu lesen praktis oleh KKM sendiri, maka mengapa kita perlu mencurigainya pula selepas mereka berdikari dengan membuka klinik sendiri? Memang tidak dapat dinafikan adanya kes-kes negatif yang berlaku, tetapi ia terlalu sedikit dan ia perlu ditangani case by case. Oleh itu, saya amat mengharapkan agar arahan, amaran dan tindakan ke atas perkara yang remeh-temeh dapat dielakkan bagi mewujudkan suasana harmoni di kalangan profesional di samping dapat menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku dalam masyarakat Malaysia hari ini.


No comments: