Sunday, March 22, 2009

Ucapan Salam - Sebarkanlah Sebagai Dakwah Dan Penyembuhan

(Cucu Tok Adam)

Sahabat saya banyak berurusan dengan pekerja-pekerja asing seperti Bangladesh dan Indonesia. Katanya kalau dibandingkan tiga negara antara Malaysia, Indonesia dan Bangladesh dalam hal memberi salam ini, ternyata jauh lebih baik Bangladesh. Boleh dikatakan setiap pekerja Bangladesh ketika masuk akan memberi salam, sedangkan pekerja Indonesia kalau dalam 100 orang hanya seorang yang beri salam. Pesakit Malaysia pula dalam 100, lebih kurang 20 orang yang beri salam.

Berkenaan salam ini mengingatkan saya ketika saya berkenalan dengan usrah sejak tingkatan empat dahulu. Ia menjadi satu perkara yang ditekankan kepada ahli-ahli usrah sebagai mempraktikkan amalan sunnah Rasulullah SAW sehingga ia menjadi akhlak dan budaya kami ketika itu. Tidak kira bertemu siapa, kami akan 'berlawan' siapa dahulu memberi salam. Tak kira berjumpa dengan kawan-kawan, abang-abang atau adik-adik. Apatah lagi ketika berjumpa dengan guru-guru.

Akhlak ini berterusan sehingga saya berada di universiti. Malangnya ketika di universiti, ucapan sunnah dan ucapan ahli syurga ini menjadi semakin asing apabila semakin sedikit mereka yang melazimkannya. Ianya seolah-olah menjadi milik orang-orang tertentu sahaja. Apa yang dapat diperhatikan, salam hanya diberikan kepada sesama ahli usrah. Kalau berjumpa orang lain, tiada salam diberikan. Bila berjumpa di mana-mana masing-masing cuba 'sedaya upaya' untuk mengalihkan pandangan ke arah lain agar mata tidak bertemu mata. Macam tak kenal. Salam pun 'tak sanggup' nak beri, tegur apatah lagi.

Bila ia tidak menjadi akhlak, maka ia menjadi satu paksaan untuk melaziminya. Ia sungguh berat dan 'memalukan'. Ucapan sunnah suatu yang memalukan?

Alangkah baiknya jika ucapan mulia ini diamalkan di hospital-hospital dengan didahulukan oleh doktor sendiri. Setiap pesakit yang dirawat, didahului dengan ucapan "assalaamu 'alaikum" bila bertemu ketika melakukan 'ward round'. Beratkah?

Abu Umammah RA meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda: ”Orang yang lebih dekat kepada Allah SWT adalah yang lebih dahulu memberi salam.” (Musnad Ahmad, Abu Dawud, dan At Tirmidzi).

Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan Bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Salam adalah salah satu Asma Allah SWT yang telah Allah turunkan ke bumi, maka tebarkanlah salam. Ketika seseorang memberi salam kepada yang lain, darjatnya ditinggikan di hadapan Allah. Jika jamaah suatu majlis tidak menjawab ucapan salamnya maka makhluk yang lebih baik dari merekalah (iaitu para malaikat) yang menjawab ucapan salam (itu).” (Musnad Al Bazar, Al Mu’jam Al Kabir oleh At Tabrani).

Selain ia merupakan doa yang akan memberikan keselamatan dan mudah-mudahan akan cepat menyembuhkan penderitaan dan sakit tersebut, ia juga sesuai bagi orang yang berdiri atau berjalan memberikan salam kepada mereka yang duduk atau baring. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Orang yang berkenderaan mengucapkan salam kepada yang berjalan kaki dan yang berjalan kepada orang yang duduk dan yang sedikit mengucapkan kepada yang ramai."� (Muttafaq alaih).

Bayangkanlah sekiranya ada 20 orang pesakit di dalam sesuatu wad itu, kita akan mendoakan 20 kali keselamatan kepada mereka, dan dengan sendirinya dan 20 kali darjatnya aakan ditinggikan oleh Allah SWT, subhanallah!

Ini juga akan membezakan kita sebagai doktor Islam sebenar dengan mereka yang lain. Ia akan menjadikan suasana kasih-sayang berlaku di dalam wad dan merapatkan hubungan antara doktor-pesakit-kakitangan dan kerja-kerja bebanan kerja seharian menjadi ringan dan kerja menjadi suatu yang menggembirakan. Ini merupakan suatu janji dari Rasulullah SAW sendiri. Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Kalian tak akan masuk syurga sampai kalian beriman dan saling mencintai. Maukah aku tunjukkan satu amalan bila dilakukan akan membuat kalian saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR Muslim dari Abi Hurairah).

Bila salam disebarkan, dengan sendiri perasaan dan hati-hati mereka disatukan. Akan tumbuh perasaan bahagia dan lapang dada. Malah mereka yang berselisihan dan tidak bertegur sapapun akan cair perasaan mereka dengan ucapan salam. Firman Allah yang bermaksud:
"Apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami itu datang kepadamu, maka katakanlah: “Salaamun alaikum". Tuhanmu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang, (iaitu) bahwasanya barang siapa yang berbuat kejahatan di antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."(Al An’aam : 54)

Oleh itu, marilah kita kembali kepada fitrah Islam, kembali kepada sunnah yang cukup mudah dengan menjadikan ucapan salam itu berada dibibir-bibir kita ketika bertemu, mudah-mudahan ia akan menjadi satu cara dakwah yang terbaik untuk mengembalikan mereka kepada Islam. Janganlah sampai kerana 'ego' kita mengharapkan orang lain yang mendahulukan salam sehingga ucapan kebahagiaan ahli syurga itu mati bersama hilangnya segala janji Allah terhadap manfaat dari ucapan salam itu sendiri. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Orang kikir yang sebenar-benarnya kikir ialah orang yang kikir dalam menyebarkan salam.”

Sekiranya kita ingin mendapatkan lebih ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT, ucapkanlah salam dengan ucapan yang sebaik-baiknya iaitu "assalaamu 'alaikum warahmatullahi wabarokaatuh". Berdasarkan hadith dari Imran ibn Hussin r.a. yang berkata; "Telah datang seorang sahabat lelaki kepada Nabi SAW lalu memberi salam dengan berkata : "Assalamualaikum"; maka dijawab oleh baginda lalu sahabat itu pun duduk dalam majlis baginda maka bersabdalah Nabi SAW : “Sepuluh” . Kemudian datang lagi sahabat yang lain lalu memberi salam : "Assalamualaikum warahmatullah" maka dijawab salam tersebut sambil baginda bersabda : “Dua puluh” . Kemudian datang lagi sahabat yang lain lalu memberi salam: "Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh" lalu dibalas salamnya oleh baginda sambil bersabda : “Tiga puluh iaitu ganjaran pahala sebanyak tiga puluh kali ganda” (HR Abu Daud dan Tirmidzi dengan sanad yang sahih).

Meskipun memberi salam itu sunat sahaja hukumnya, namun kerana fadilat dan manfaatnya sangat besar sehingga sesiapa yang mendengar wajib untuk menjawabnya, maka rebutlah peluang yang Allah sediakan itu dalam usaha kita melengkapkan diri sebagai seorang da'i di jalan Allah.

2 comments:

Anonymous said...

salam abe lan,
mohon kebenaran utk copy paste dlm blog....bagus article ni....kita lebih senanng mengucapkan bai instead of assalamualaikum..semoga ALLAH merahmati kita semua..

Salammualaik..

Anonymous said...

Walaikumussalam wbt.

Damitri, ahlan wa sahlan. Semoga lebih ramai yang membacanya akan membawa lebih banyak manfaat.

Terima kasih atas kesudian itu.

Push-Up Arrow