Bila baca berita "Kugan mati di lokap akibat hentakan benda tumpul" (klik) di MStar pagi ni, aku jadi cukup sedih, benci dan geram. Aku sedih kerana rakyat Malaysia mati di dalam tahanan polis, sebuah agensi kerajaan. Aku sedih bila membayangkan bagaimana mungkin setiap hari dia kena pukul sehingga 45 kesan kecederaan termasuk yang cukup teruk. Bagaimana kuatnya pukulan tersebut sehingga ke hati, perut, buah pinggang dan tulang belakang. Subhanallah! Semasa aku mengendalikan kes kemalangan (MVA) di Hospital Kota Bharu dulu, kecederaan yang dialami pesakit yang melibatkan perut dan hati, tapi tak sampai buah pinggang dan tulang belakang sebab tempat tu kat belakang. Tetapi kecederaan yang membawa kematian kali ini melibatkan hampir semua bahagian depan dan belakang. Bayangkanlah bagaimana bentuk pukulan yang dilakukan dan kekuatannya!

Apa yang mereka mahu sehingga menyiksa sebegitu teruk? Geram? Sakit hati? Mengapa harus begitu kejam melebihi had kemanusiaan? Bukankah mereka hanya menjalankan tugas untuk mendapatkan maklumat? Bertugas untuk menjaga orang kena tahan (OKT) itu agar diberi keperluan makan, sihat dan tidak lari sehinggalah prosedur seterusnya dijalankan? Dan pekerjaannya itu akan dibayar gaji pada akhir bulan oleh kerajaan? Sama seperti doktor yang menjalankan pekerjaannya sebagai pegawai kerajaan, dan penjawat-penjawat awan lain juga? Kenapa perlu melakukan di luar batasan?
'Jenayah' seperti ini menyebabkan aku terfikir apakah sebenarnya yang difikirkan oleh polis semasa mereka menyarung pakaian beruniform itu? Mereka fikir mereka lebih berkuasa kerana mereka ada senjata api? Mereka berkuasa kerana penjara itu berada di dalam jabatannya? Mereka rasa mereka sebagai pelaksana penguatkuasan undang-undang sehingga tak takut melanggar undang-undang?
Aku terfikir bagaimana seseorang yang ditahan polis kerana fitnah atau tersalah tangkap lalu dibelasah polis semata-mata kerana tidak mengaku bersalah dan mempertahankan prinsipnya?
Sudah tidak ada lagi prinsip keadilan sejagat "one is innocent until proven guilty" sebagaimana yang ditekankan oleh Islam sebagaimana Rasulullah SAW bersabda; "Beban membawa bukti adalah oleh pendakwa, dan sumpah penafian adalah ke atas yang tertuduh”. Hadis ini menerangkan bahawa hukum asal seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent) kerana si pendakwa perlu membawa bukti untuk membuktikan bahawa si tertuduh itu bersalah. Ternyata penyalahgunaan kuasa sudah terlalu banyak di Malaysia
Inilah yang menyebabkan aku jadi sedih, geram dan benci dengan salah satu di antara 1001 kepincangan yang berlaku dalam negaraku sendiri.
No comments:
Post a Comment