(Kaki Kayu)
Baitul Muslim masih merupakan isu yang tidak begitu diberi perhatian serius di kalangan kita. Banyak kedapatan soal pertemuan dan jodoh itu hanya dijadikan milik peribadi ataupun hanya milik ibu dan ayah saja terutama bagi pihak perempuan. Jadi, apalah ada pada sesuatu usaha untuk menyentuh hal-hal sebegini sekiranya pegangan seperti ini masih kukuh.
Masih ramai di kalangan kita yang masih tidak begitu memerhatikan saranan Rasulullah SAW agar si lelaki mengutamakan perempuan yang solehah dan si perempuan mengutamakan lelaki yang soleh dalam memilih pasangan. Barangkali kita lupa bahawa matlamat sebuah perkahwinan itu adalah untuk akhirat. Ingin mendapatkan kedamaian dalam rumahtangga, memberikan ketenangan dalam beribadat, memberi peringatan yang baik dalam melayari kehidupan, melahirkan zuriat yang soleh dan solehah dan sebagainya itu semuanya adalah untuk kepentingan dan maslahat akhirat.
Sebab itu Rasulullah SAW sangat menekankan agar kita membuat pilihan berdasarkan panduan yang Islam berikan. Kepada para lelaki Rasulullah telah memberikan panduannya sebagaimana sabdanya:
“Perempuan itu dikahwini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Untuk para wanita pula, Rasulullah telah memberikan dua syarat pilihan iaitu lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Rasulullah SAW bersabda :
“Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”
Bagi yang masih bujang di kalangan kita, baik lelaki maupun perempuan, berhati-hatilah ketika kalian membuat pilihan. Kalian di kalangan doktor dan paramedik ini merasakan bahawa kalian mempunyai banyak pilihan kerana kalian berada di dalam posisi yang baik dalam pekerjaan. Ingatlah, urusan perkahwinan merupakan urusan kehidupan secara keseluruhan, malah sehingga ke akhirat, jika pada ketika ini kalian tidak menggunakan kayu ukur mengikut kayu ukur Rasulullah SAW, kalian boleh menyesal di kemudian hari.
Mungkin hari ini, dengan network yang ada, anda mampu mengumpulkan 2-3 calon sekaligus di depan mata, anda boleh kelabu mata untuk memilih 'dunia' jika iman anda tidak kuat! Mungkin kita ingat bahawa kita dah baik, tentu Allah akan menjodohkan dengan pasangan yang baik, sebab Allah ada berfirman dalam Al-Quran; "Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula..." (An-Nur: 26), namun ulasan daripada ayat ini tetap menyatakan bahawa kita tetap perlu berusaha. Sebab itu dalam sesetengah hal, menyerahkan pilihan kepada ibubapa untuk menentukan jodoh adalah tidak tepat kerana barangkali ibubapa bukan mereka yang cukup soleh dan mengambil berat saranan Rasulullah SAW.
Ada juga di kalangan kita yang salah menilai masalah sekufu. Sebagai sedikit panduan, mari kita lihat erti kufu. Para fuqaha telah berbahas panjang lebar tentang isu ini. Perkataan kufu pada asalnya bermaksud 'sama'. Dalam hal ini, banyak fuqaha berpandangan bahawa tidak harus seorang wali mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang tidak sekufu, kecualilah jika si anak itu bersetuju. Namun, kita sering melihat kufu pada gaji, pekerjaan, keturunan, ijazah dan yang seumpamanya. Maka, jika si anak dara balik dari luar negara, maka kalau boleh biarlah si teruna paling ‘koman’ pun ada ijazah dari universiti tempatan. Kalau setakat diploma, “Minta maaflah ya, anak saya belum sedia untuk dilangsungkan!”, begitulah helah yang mungkin diberikan. Hakikatnya, kufu bukan sahaja dilihat pada harta benda, malah ia juga dilihat dari segi agama, iffah, keturunan, ketaqwaan kepada Allah s.w.t, akhlak dan lain-lain.
Kufu dari segi agama: kedua-duanya sama seagama.
Kufu dari segi iffah (terpelihara dari segala amalan yang haram dalam pergaulan harian): kedua-duanya berakhlak mulia dan dari keluarga yang baik (maksudnya, mengambil berat tentang agama).
Kufu dari segi keturunan: sama sebangsa.
Kufu yang terutama adalah dari segi ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ini kerana ketaatan dan ketaqwaanlah yang akan menjamin rumahtangga bahagia di dunia dan akhirat.
Lihatlah bagaimana janji Allah yang akan menolong mereka yang mengutamakan ketakwaan dalam memilih jodoh, "Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan hamba sahaya lelaki dan perempuan yang soleh. Kalau mereka miskin, nanti Allah akan memberikannya kekayaan dari kemurahanNya dan Allah itu luas pemberiannya dan Maha Mengetahui." (An-Nur: 32)
Oleh itu, apa yang diharapkan ialah, kita perlu berlapang dada sebelum menerima atau menolak seseorang untuk dijadikan teman hidup. Firman Allah :’…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah :216). Solat istikharah tidak boleh diketepikan sama sekali. Ia sebagai langkah terbaik dalam membuat sebarang pilihan terutama dalam hal memilih pasangan hidup ini.
No comments:
Post a Comment