(Dari Emel)
Saya cukup gelihati bilamana masih ada lagi menteri yang mengatakan bahawa Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) ini di dalangi oleh pihak pembangkang, oleh itu pihak kerajaan tak perlu layan. Oleh kerana isunya adalah 'dalang' maka isu PPSMI boleh masuk tong sampah. Apakah mereka tidak nampak adanya unsur menjahanamkan bahasa ibunda di situ selain menjahanamkan anak-anak bangsa Melayu dan masyarakat luar bandar? Ataupun sebenarnya Pak-Pak Menteri inilah sebagai dalang yang mahu menghancurkan bahasa ibundanya?
Saya hairan, apa yang mereka dapat dengan penguatkuasaan ini? Biasanya puak-puak mereka akan dapat projek-projek besar dengan sesuatu penguatkuasaan. Tapi yang ini macam 'plain-plain' projek nak runtuhkan bahasa. Barangkali dengan cara ini rakyat akan berjaya terus menjadi bodoh. Bukankah dengan kebodohan itu akan mengekalkan kuasa mereka?
Apa yang lebih menghairankan ialah, mereka tahu bahawa rakyat akan bangkit dan menentang. Maksudnya ini sesuatu yang tidak baik untuk undi mereka, tetapi bukan mereka nak respon terhadap desakan itu, malah mengutuk dan mengguris hati orang-orang besar negara yang ikhlas dan banyak berjasa seperti sasterawan negara Pak Samad. Ertinya para pemimpin itu benar-benar dan sesungguh hati mahu melaksanakan projek yang akan menjadikan rakyat Malaysia ini bodoh.
Tidak pernah saya menyangka dalam usia sebegini, orang seperti Pak Samad ini sanggup turun ke jalanraya demi kepentingan rakyat. Sedangkan apa lagi yang beliau inginkan dalam hidup. Beliau telah berada di zon yang selesa. Namun apa yang dapat disimpulkan ialah kerana kebencian kepada apa yang berlaku dan si pelaku itulah yang memberi kudrat kepada beliau untuk mengambil risiko terkena gas pemedih mata dan water canon. Kalaulah ditakdirkan UMNO dan BN yang membuat perarakan itu, sudah tentu beliau juga turun bersama-sama rakyat. Tapi UMNO bukanlah mereka yang boleh diharapkan, dan ternyata orang sepertinya yang berjuang dengan ikhlas itu hanya menjadi sasaran para pemimpin UMNO yang telah hilang kewarasan dan pertimbangan.
Hayati kenyataan Datuk A Samad Said ini, seorang yang non-partisan:
1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu menguncupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.
2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.
3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua.
Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.
4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.
5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.
6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir ini agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan.
Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan.
Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak.
7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat.
Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini.
(Intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.)
1 comment:
Kesal. Kerajaan tidak bertindak tegas memartabatkan bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris kini digunakan secara berleluasa. Kenapa jadi begini.Kuasailah bahasa Inggeris tetapi tidak bererti meminggirkan bahasa kebangsaan. Ini dah melampau. PPSMI menerukkan lagi keadaan bahasa kebangsaan.
Post a Comment