Wednesday, February 18, 2009

Krisis Perak - Apa Pelajaran Yang Anda Dapat?

(Insider)

Di negeri Perak yang sedang berkrisis sekarang, anda hanya perlu menilai dan membezakan di antara tiga perkara. Apakah yang benar dan bagaimana kebenaran itu dijulang pejuangnya. Anda tak boleh dan jangan sesekali mengenal kebenaran melalui orang. Kenali orang melalui kebenaran yang telah anda kenali.

Ertinya, anda perlu melihat kepada tiga. Pertama - kebenaran, kedua - pejuangnya dan ketiga - bagaimana ia dibawa.

Jika kebenaran ditemui bersama UMNO, UMNOlah sedang memperjuang kebenaran. Bagaimana ia memperjuangkannya, itu soal ketiga yang tidak akan merosakkan yang pertama walaupun ia boleh memberi kesan kepada yang kedua.

Jika kebenaran ditemui bersama PAS, PASlah pejuang kebenaran. Bagaimana ia diperjuangkan, itu soal ketiga yang terpisah yang tidak akan mengganggu kebenaran.

Jangan nilai kebenaran pada tindakan memboikot majlis angkat sumpah atau tindakan bertahan di rumah MB atau berdemo dan berbaringan di atas jalan raya. Itu cara menjunjung kebenaran. Itu mungkin betul dan mungkin salah caranya. Ia mungkin menambah manis atau mungkin menambah masin. Ia tetap gulai kambing untuk santapan.

Jangan pula menilai kebenaran pada upacara gilang - gemilang di istana yang dipancar langsung di kaca tv atau diulas manis 24 jam. Itu cara menjunjung kebenaran yang didakwa. Ia tetap batil jika ianya sah batil.

Telanjangkanlah kebenaran atau pakaikannya dengan emas berlian, ia adalah kebenaran yang tidak memerlukan apa - apa pun untuk ia kekal benar. Kenapa? Kebenaran itu daripada Allah. Ia tunjang dan neraca di bumi dan dengannya bumi kekal bergerak dan berlayar di peredaran masa.

Adapun pejuangnya, ia adalah perlakuan manusia dan makhluk. Jika gagah makhluk itu, kentallah ia mendakap kebenaran dan cantiklah ia membawa kebenaran.

Ia bukan soal PAS atau UMNO. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam neraca syariah dan agama. PAS sudah terbukti benar dan UMNO sudah terbukti batil dalam nerana kemanusian dan keadilan. Di Perak, ia bukan soal PAS atau UMNO.

Ia soal siapa berhak memerintah dan mentadbir negeri Perak daripada sudut kesahihan undang - undang yang termaktub. Kalau BN, BNlah. Kalau PR, Prlah. Jangan anda membodoh diri dengan neraca sendiri yang salah.

PAS dan UMNO bukan krisis di Perak yang telah bermula. PAS dan UMNO adalah krisis negara. Ia telah lama dan matahari kebenaran telah pun tegak di atas kepala.

Semua tahu kerajaan PR adalah sah semasa ia mengangkat sumpah memerintah negeri Perak selepas menang dalam pilihan raya umum tahun lepas. Hari ini, hak itu telah ditarik dan dilucutkan. Malangnya, ia berlaku secara luar tabi’ie dan penuh kekeliruan. Ia dibayangi komplot politik murahan dan jelik. YAB Nizar dihalau dari pejabatnya. Krisis berlaku. Kedua - dua pihak yang bertentangan masing - masing mendakwa kebenaran.

Itulah krisis yang perlu difahami. Krisis yang sentiasa akan berlaku. Dunia ini memang tempat krisis. Di syurga tak ada krisis lagi. Di neraka, krisis antara penghuninya akan tamat dengan masing-masing disimbah azab panas yang bertambah-tambah. Adapun di dunia ini, krisis sentiasa berlaku dan ia sebahagian kehidupan. Kehidupan berlangsung dengan wujudnya krisis.

Jika tangan manusia tidak melakukannya, tangan Allah pula melakukannya. Krisis kemarau, krisis banjir dan tanah runtuh, malah krisis berbagai-bagai wabak penyakit yang di luar tangan manusia. Kita dihidupkan dengan krisis dan dipaksa berkrisis.

Jika kita memahami ini, kita sebagai seorang muslim pastinya akan lebih mudah menerima hakikat bahawa dalam krisis itu ada hikmat. Ada jawaban yang kita perlukan dalam kehidupan ini. Justeru kita tidak boleh menempelak krisis itu sebagai buruk atau membelakanginya demi kesucian diri. Allah menciptakannya dan setiap ciptaan Allah penuh dengan hikmah dan kebenaran yang tersembunyi dan nyata.

Catatan - Nik Abduh (dengan sedikit pembetulan ayat).Justify Full

1 comment:

AZIZAN & HAFIZAH said...

...hafizah nie..dapat tak saya punye promosi???tiada paksaan dalam islam..hehe....terpulang pada dr la....ni blog saya...http://www.hafizahazizan.blogspot.com/....baru lg blog ni.....