Friday, March 6, 2009

Hapuskan PPSMI Adalah Perjuangan Merentas Generasi

(Cucu Tok Adam)

Saya tak dapat nak mengulas dan menulis berkenaan PPSMI lantaran kesibukan. Meskipun tugasan itu telah dijadualkan. Namun, dalam 'sambutan' menghapuskan PPSMI esok, saya copy paste tulisan Roslan SMS di bawah sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi. Mudah-mudahan demi perjuangan generasi akan datang, usaha ini merupakan ibadah. Kepada sahabat-sahabat yang sanggup berkorban dan 'berjihad' untuk perhimpunan tersebut, kami ucapkan 'Selamat Berjuang'. Usaha kalian akan mendapat pahala, insyaAllah.

Rata-rata di kalangan kita yang mempunyai anak yang bersekolah amat merasai bebanan dan 'bencana' PPSMI. 6 tahun mereka bersabar. Kini peluang untuk menghapuskan PPSMI telah terbuka luas. Kalau Datuk A. Samad Said yang berjanggut putih dan mungkin tinggal cicitnya saja yang masih bersekolah...pun masih sanggup menyingsing tangan memimpin perjuangan, inikan kita yang anak sulungpun ada yang masih belum bersekolah.

Berikut adalah artikel tersebut:

PPSMI atau “Pembelajaran dan Pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris” telah diperkenalkan oleh kerajaan bawah pimpinan bekas PM Tun Dr Mahathir pada tahun 2003 lalu. Ia diperkenalkan dahulu kononnya untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan para pelajar. Bahasa Inggeris dikatakan bahasa dunia, dan gagal menguasainya dengan baik akan mengakibatkan anak-anak kita tercicir dalam mengejar ilmu dan kemajuan serta bersaing dengan dunia luar.

Ketika pelancarannya dahulu ramailah pak hangguk dan kaki ampu yang mengiakannya walaupun hakikatnya mereka tahu impaknya terlalu besar terhadap para pelajar khususnya anak-anak Melayu secara keseluruhannya. Kita tahu dahlah penguasaan matematik dan sains secara umumnya lemah dikalangan anak-anak Melayu, dan sepatutnya penguasaan ilmu inilah yang ditekankan, tetapi sebaliknya anak-anak Melayu yang sedia lemah itu dibebankan pula dengan kewajiban untuk menguasai bahasa Inggeris bagi memahami ilmu yang mereka sudah kebelakang itu.

Sementara itu segelintir anak-anak Melayu yang memang baik pemahaman mereka terhadap ilmu sains dan matematik turut juga terbantut semangatnya apabila mereka perlu pula menginggeriskan ilmu yang mereka kuasai itu. Masalah yang serupa juga ditanggung oleh anak-anak di sekolah Cina.

Kita akui menguasai bahasa Inggeris itu adalah penting. Bahkan kita ada subjek bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Mengapa tidak diperkukuhkan subjek ini. Jika perlu tambahkan jam pembelajarannya. Rombak dan pertingkatkan kurikulumnya. Sepatutnya begitu dan tidak dengan menginggeriskan subjek lain kononnya untuk memperkasakan bahasa ini, karut!

Kini sudah hampir enam tahun PPSMI ini djolokkan ke dalam tembolok anak-anak kita. Pengasasnya pun sudah bersara, penggantinya pun akan bersara dalam beberapa minggu, pengganti kepada penggantinya pula entah macam mana. Akhirnya nasib kita terkontang-kanting begitu.

Cukuplah kita melahirkan seribu-satu alasan. Yang pentingnya di sini PPSMI ini perlu dihapuskan, kembalikan status quo pra 2003. Kalau perlu sangat penguasaan bahasa Inggeris itu dipertingkatkan, cari cara lain.

Jika anda prihatin tentang perkara ini, jika anda rasa terpanggil untuk turut melibatkan diri dalam berusaha menghapuskan PPSMI ini, ayuh kita bersama melangkah ke Istana Negara esok Sabtu 7 Febuari 2009. Kita solat zohor bersama di Masjid Negara dan dari sana dengan badan GPM atau Gerakan Mansuhkan PPSMI kita berarak secara aman ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum rakyat kepada SPB Yang Dipertuan Agung, Raja dan penguasa yang mengawal dan memelihara adat-istiadat Melayu dan agama Islam.

Semoga perjuangan kita ini beroleh kejayaan, insyallah.

Wednesday, March 4, 2009

Polis Di Raja Malaysia Atau Polis Raja Di Malaysia?

(Cucu Tok Adam)

Bila baca berita "Kugan mati di lokap akibat hentakan benda tumpul" (klik) di MStar pagi ni, aku jadi cukup sedih, benci dan geram. Aku sedih kerana rakyat Malaysia mati di dalam tahanan polis, sebuah agensi kerajaan. Aku sedih bila membayangkan bagaimana mungkin setiap hari dia kena pukul sehingga 45 kesan kecederaan termasuk yang cukup teruk. Bagaimana kuatnya pukulan tersebut sehingga ke hati, perut, buah pinggang dan tulang belakang. Subhanallah! Semasa aku mengendalikan kes kemalangan (MVA) di Hospital Kota Bharu dulu, kecederaan yang dialami pesakit yang melibatkan perut dan hati, tapi tak sampai buah pinggang dan tulang belakang sebab tempat tu kat belakang. Tetapi kecederaan yang membawa kematian kali ini melibatkan hampir semua bahagian depan dan belakang. Bayangkanlah bagaimana bentuk pukulan yang dilakukan dan kekuatannya!

Pada mulanya aku tidak tertarik dengan berita sebegini sebab bagi aku biarlah sebab dia tu 'jahat'. Tapi bila melihat keadaannya dalam inernet (gambar yang teruk tak ada dalam suratkhabar), hatiku jadi tersentuh. Lebih-lebih lagi si mati tu mempunyai badan yang besar. Kalau setakat polis-polis yang buat sekatan jalan yang selalu aku tengok tu tak akan dapat mengakibatkan kecederaan sebegitu. Bagaimana sakitnya dia meraung-raung minta dikasihani ketika pukulan pertama yang mencederakan, dalam keadaan tangannya yang mungkin terikat dan matanya tertutup. Tetapi pukulan yang tidak mengenal belas itu terus menghujani tubuh yang semakin lemah dan menggeletar menahan sakit itu diteruskan sehingga 45 kali. Allahu Akbar! Aku tidak sanggup membayangkan bagaimana siksanya pula di akhirat sana...

Apa yang mereka mahu sehingga menyiksa sebegitu teruk? Geram? Sakit hati? Mengapa harus begitu kejam melebihi had kemanusiaan? Bukankah mereka hanya menjalankan tugas untuk mendapatkan maklumat? Bertugas untuk menjaga orang kena tahan (OKT) itu agar diberi keperluan makan, sihat dan tidak lari sehinggalah prosedur seterusnya dijalankan? Dan pekerjaannya itu akan dibayar gaji pada akhir bulan oleh kerajaan? Sama seperti doktor yang menjalankan pekerjaannya sebagai pegawai kerajaan, dan penjawat-penjawat awan lain juga? Kenapa perlu melakukan di luar batasan?

'Jenayah' seperti ini menyebabkan aku terfikir apakah sebenarnya yang difikirkan oleh polis semasa mereka menyarung pakaian beruniform itu? Mereka fikir mereka lebih berkuasa kerana mereka ada senjata api? Mereka berkuasa kerana penjara itu berada di dalam jabatannya? Mereka rasa mereka sebagai pelaksana penguatkuasan undang-undang sehingga tak takut melanggar undang-undang?

Aku terfikir bagaimana seseorang yang ditahan polis kerana fitnah atau tersalah tangkap lalu dibelasah polis semata-mata kerana tidak mengaku bersalah dan mempertahankan prinsipnya? Apakah yang menghalang polis untuk melakukan 'jenayah' seperti itu demi mendapatkan satu pengakuan? Langsung tidak ada jaminan keselamatan lagi dalam tahanan polis! Ini bukan kes pertama kematian dalam tahanan. Pada Oktober 2003 Laporan Kementerian Dalam Negeri mencatatkan 23 orang maut di dalam lokap polis untuk tempoh 2002 hingga Julai 2003. Dalam tempoh sama, 425 orang banduan meninggal dunia di dalam penjara ketika menjalani tempoh hukuman. Berapa orang yang telah didakwa? Apakah mereka Polis Diraja Malaysia atau Polis Raja Di Malaysia? Kalau kes tidak seteruk ini, pastinya mereka boleh mencipta 1001 alasan sebab mereka sesama mereka yang buat kerja di dalam sana!

Sudah tidak ada lagi prinsip keadilan sejagat "one is innocent until proven guilty" sebagaimana yang ditekankan oleh Islam sebagaimana Rasulullah SAW bersabda; "Beban membawa bukti adalah oleh pendakwa, dan sumpah penafian adalah ke atas yang tertuduh”. Hadis ini menerangkan bahawa hukum asal seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent) kerana si pendakwa perlu membawa bukti untuk membuktikan bahawa si tertuduh itu bersalah. Ternyata penyalahgunaan kuasa sudah terlalu banyak di Malaysia

Inilah yang menyebabkan aku jadi sedih, geram dan benci dengan salah satu di antara 1001 kepincangan yang berlaku dalam negaraku sendiri.

Tuesday, March 3, 2009

Daulat Tuanku! Patik Tetap Bersama Rakyat

(Insider)

Berikut adalah tulisan yang baik dari blog RPK (Malaysia Today) dalam surat terbukanya kepada YAB Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin. Di bawah tulisan ini pula adalah terjemahannya dalam BM.

Datuk Seri,

I am going to make this short and sweet. No more cheong hei article from me.

They can lock the Perak State Assembly building if they want. The building is not important. If the building is inaccessible -- say like there is a flood or an earthquake brings it down -- does this mean the State Assembly can’t meet?

Of course it can. It can meet anywhere, not necessarily in that particular meeting.

Go find another meeting place, tonight, now itself, and hold the meeting there tomorrow. Pass a vote of confidence to support you as the Menteri Besar. Then pass all the other motions, including the motion to dissolve the Perak State Assembly. Then drive up to Bukit Chandan as soon as possible and inform Tuanku of the State Assembly’s decision.

If Tuanku refuses to comply with what is clearly lawful, then challenge him and, if necessary, trigger a Constitutional Crisis like never before seen in the 52-year history of this nation.

The people are ready. The next ‘revolution’ is not going to be a race riot a la May 13. It is going to be a class struggle. And I am with the Rakyat on this, never mind my so-called Royal background.

I speak as a Royal but speak for the Rakyat. And rest assured there are many other Royals who share my view. Don’t allow a handful of those who sit on the throne intimidate you into thinking that you are alone, representing the Rakyat, against the Monarchy. No, we are with you, as are many other Royals.

Grab the bull by the horns and bring it to its knees. And if this bull wears a crown so be it. The Rakyat have spoken. Don’t back down now. Go all the way or forever lose that advantage. And if you fail to go all the way, the Rakyat will never forgive you and you will lose our support till the end of time.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Patek yang hina sembah Tuanku dan memohon perkenan agar Tuanku jangan kecewakan Rakyat. Hasrat Rakyat ialah untuk mencari kebenaran dan keadilan. Biarlah ini juga menjadi hasrat Tuanku.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

(Terjemahan)

Datuk Seri,

Saya akan menulis secara ringkas dan manis. Tak ada lagi artikel cheong hei daripada saya.

Sudah tentu mereka dapat mengunci bangunan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, jika itu yang mereka mahu. Bangunan itu tidak penting. Jika bangunan itu tidak dapat digunakan — umpamanya, jika bagunan itu musnah akibat banjir atau gempa — adakah bermakna sidang Dewan Undangan juga tidak dapat diadakan [di tempat lain - penterjemah]?

Tentu saja boleh. Sidang boleh diadakan di mana saja, tidak semestinya di dalam dewan tersebut.

Malam ini, sekarang, pergilah cari tempat lain supaya sidang Dewan Undangan Negeri esok dapat dijalankan. Luluskan undi percaya terhadap kepimpinan anda sebagai Menteri Besar. Luluskan segala usul lain, termasuk usul untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Kemudian, segeralah memandu ke Bukit Chandan dan persembahkan kepada baginda Tuanku akan keputusan sidang Dewan Undangan Negeri itu.

Andainya Tuanku enggan memberi perkenan terhadap suatu yang secara terang adalah sejajar dengan undang-undang, cabarlah baginda, jika perlu, cetuskan Krisis Perlembagaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah 52 tahun negara ini.

Rakyat telah bersedia. ‘Revolusi’ seterusnya ini tidak akan menjadi rusuhan kaum ala 13 Mei. Ia akan menjadi satu Perjuangan Kelas. Dan saya bersama Rakyat dalam perjuangan ini, jangan pedulikan latarbelakang kerabat Di-Raja saya itu.

Saya bercakap sebagai raja tetapi bersuara untuk Rakyat. Percayalah, terdapat ramai anggota kerabat yang sependapat dengan saya. Jangan biarkan beberapa orang yang duduk di tampuk kuasa itu mengertak dan menakut-nakutkan anda sehingga anda fikir anda keseorangan, mewakili Rakyat, menghadapi Kesultanan. Tidak sama sekali, kami semua bersama dengan anda, begitu juga anggota kerabat yang lain.

Tangkaplah seladang itu melalui tanduknya dan jatuhkan ia dengan menarik tanduknya sehingga ke bawah kakinya. Walaupun telah ditakdirkan seladang itu memakai mahkota. Rakyat telah bangkit. Jangan sesekali mengaku kalah. Bersungguh-sungguhlah meneruskan perjuangan atau selamanya peluang itu akan hilang. Dan jika anda gagal bersungguh-sungguh meneruskan perjuangan ini, ingatlah bahawa Rakyat tidak akan memaafkan dan anda akan kehilangan kepercayaan kami buat selamanya.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

Patik yang hina sembah Tuanku dan memohon perkenan agar Tuanku jangan kecewakan Rakyat. Hasrat Rakyat ialah untuk mencari kebenaran dan keadilan. Biarlah ini juga menjadi hasrat Tuanku.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.

[Terjemahan bebas arifabdull)

Monday, March 2, 2009

Baitul Muslim - Masihkah Menolak Rahmat Allah?

(Kaki Kayu)

Baitul Muslim masih merupakan isu yang tidak begitu diberi perhatian serius di kalangan kita. Banyak kedapatan soal pertemuan dan jodoh itu hanya dijadikan milik peribadi ataupun hanya milik ibu dan ayah saja terutama bagi pihak perempuan. Jadi, apalah ada pada sesuatu usaha untuk menyentuh hal-hal sebegini sekiranya pegangan seperti ini masih kukuh.

Masih ramai di kalangan kita yang masih tidak begitu memerhatikan saranan Rasulullah SAW agar si lelaki mengutamakan perempuan yang solehah dan si perempuan mengutamakan lelaki yang soleh dalam memilih pasangan. Barangkali kita lupa bahawa matlamat sebuah perkahwinan itu adalah untuk akhirat. Ingin mendapatkan kedamaian dalam rumahtangga, memberikan ketenangan dalam beribadat, memberi peringatan yang baik dalam melayari kehidupan, melahirkan zuriat yang soleh dan solehah dan sebagainya itu semuanya adalah untuk kepentingan dan maslahat akhirat.

Sebab itu Rasulullah SAW sangat menekankan agar kita membuat pilihan berdasarkan panduan yang Islam berikan. Kepada para lelaki Rasulullah telah memberikan panduannya sebagaimana sabdanya:
“Perempuan itu dikahwini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Untuk para wanita pula, Rasulullah telah memberikan dua syarat pilihan iaitu lelaki yang beragama dan berakhlak mulia. Rasulullah SAW bersabda :
“Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”

Bagi yang masih bujang di kalangan kita, baik lelaki maupun perempuan, berhati-hatilah ketika kalian membuat pilihan. Kalian di kalangan doktor dan paramedik ini merasakan bahawa kalian mempunyai banyak pilihan kerana kalian berada di dalam posisi yang baik dalam pekerjaan. Ingatlah, urusan perkahwinan merupakan urusan kehidupan secara keseluruhan, malah sehingga ke akhirat, jika pada ketika ini kalian tidak menggunakan kayu ukur mengikut kayu ukur Rasulullah SAW, kalian boleh menyesal di kemudian hari.

Mungkin hari ini, dengan network yang ada, anda mampu mengumpulkan 2-3 calon sekaligus di depan mata, anda boleh kelabu mata untuk memilih 'dunia' jika iman anda tidak kuat! Mungkin kita ingat bahawa kita dah baik, tentu Allah akan menjodohkan dengan pasangan yang baik, sebab Allah ada berfirman dalam Al-Quran; "Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki baik, laki-laki baik untuk perempuan-perempuan baik pula..." (An-Nur: 26), namun ulasan daripada ayat ini tetap menyatakan bahawa kita tetap perlu berusaha. Sebab itu dalam sesetengah hal, menyerahkan pilihan kepada ibubapa untuk menentukan jodoh adalah tidak tepat kerana barangkali ibubapa bukan mereka yang cukup soleh dan mengambil berat saranan Rasulullah SAW.

Ada juga di kalangan kita yang salah menilai masalah sekufu. Sebagai sedikit panduan, mari kita lihat erti kufu. Para fuqaha telah berbahas panjang lebar tentang isu ini. Perkataan kufu pada asalnya bermaksud 'sama'. Dalam hal ini, banyak fuqaha berpandangan bahawa tidak harus seorang wali mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang tidak sekufu, kecualilah jika si anak itu bersetuju. Namun, kita sering melihat kufu pada gaji, pekerjaan, keturunan, ijazah dan yang seumpamanya. Maka, jika si anak dara balik dari luar negara, maka kalau boleh biarlah si teruna paling ‘koman’ pun ada ijazah dari universiti tempatan. Kalau setakat diploma, “Minta maaflah ya, anak saya belum sedia untuk dilangsungkan!”, begitulah helah yang mungkin diberikan. Hakikatnya, kufu bukan sahaja dilihat pada harta benda, malah ia juga dilihat dari segi agama, iffah, keturunan, ketaqwaan kepada Allah s.w.t, akhlak dan lain-lain.

Kufu dari segi agama: kedua-duanya sama seagama.

Kufu dari segi iffah (terpelihara dari segala amalan yang haram dalam pergaulan harian): kedua-duanya berakhlak mulia dan dari keluarga yang baik (maksudnya, mengambil berat tentang agama).

Kufu dari segi keturunan: sama sebangsa.

Kufu yang terutama adalah dari segi ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Ini kerana ketaatan dan ketaqwaanlah yang akan menjamin rumahtangga bahagia di dunia dan akhirat.

Lihatlah bagaimana janji Allah yang akan menolong mereka yang mengutamakan ketakwaan dalam memilih jodoh, "Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan hamba sahaya lelaki dan perempuan yang soleh. Kalau mereka miskin, nanti Allah akan memberikannya kekayaan dari kemurahanNya dan Allah itu luas pemberiannya dan Maha Mengetahui." (An-Nur: 32)

Oleh itu, apa yang diharapkan ialah, kita perlu berlapang dada sebelum menerima atau menolak seseorang untuk dijadikan teman hidup. Firman Allah :’…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah :216). Solat istikharah tidak boleh diketepikan sama sekali. Ia sebagai langkah terbaik dalam membuat sebarang pilihan terutama dalam hal memilih pasangan hidup ini.

Shahih Bukhari : Ganjaran Sakit

(Biro IT)

Ikuti siri terjemahan hadith berkaitan Penyakit & Kesihatan...

Shahih Bukhari

Dari Aisyah r.a, isteri Nabi saw, katanya: Rasulullah saw bersabda: “Setiap kali orang Islam mendapat mala petaka, Allah mengampuni dosanya kerana malapetaka itu, bahkan yang disebabkan oleh terkena duri.”


Shahih Bukhari

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya: Saya masuk ke tempat Rasulullah saw ketika beliau sedang menderita sakit. Beliau saya raba dengan tangan saya, lalu saya berkata: “Ya Rasulullah, penyakit Anda amat berat.” Rasulullah saw menjawab: “Benar, penyakit saya sama dengan penyakit dua orang di antara kamu.” Saya berkata: Demikian itu kerana Anda mendapat pahala dua kali lipat.” Rasul menjawab: “Benar!” Setelah itu beliau berkata: “Setiap orang Islam yang mendapat bencana penyakit dan lain-lain, maka Tuhan menggugurkan (mengampuni) kesalahan-kesalahannya, sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya.”

*************************************************************************************
Push-Up Arrow