(Biro Akademik)
Inilah
fakta!
Rokok merupakan penyebab utama penyakit
dan kematian pada usia muda di negara-negara maju. Hampir separuh dari perokok
meninggal akibat penyakit berkaitan rokok. Jika anda perokok tegar, pada
puratanya, jangkahayat anda adalah kurang 10 tahun daripada orang yang tidak
merokok.
Kebanyakan kematian yang diakibatkan
oleh rokok bukan kematian mengejut dan tiba-tiba. Sebaliknya penyakit seperti
COPD menyebabkan anda hidup bertahun-tahun dengan kelelahan dan masalah
pernafasan sebelum anda menghembuskan nafas terakhir. Terseksa bukan?
Berkhidmat di pusat rawatan rapi (ICU)
di Hospital Sultanah Nur Zahirah memberikan peluang kepada saya untuk bertemu
ramai perokok-perokok tegar ini yang kerap keluar masuk hospital disebabkan
jangkitan kuman di paru-paru berpunca daripada penyakit bawaan rokok tersebut
dan ada kalanya hingga menyebabkan kematian apabila kuman yang awalnya
menyerang paru-paru telah merebak ke dalam darah dan organ badan yang lain menyebabkan
kegagalan fungsi organ-organ tersebut.
Mungkin disebabkan itu jugalah para alim
ulama telah meletakkan hukum merokok sebagai haram kerana ia boleh membawa
seseorang itu bahkan orang di sekelilingnya kepada kebinasaan. Apatah lagi
apabila anugerah Tuhan yang diberikan percuma berupa keupayaan untuk bernafas
dengan baik kita sia-siakan dengan merokok sehingga akhirnya kita
tercungap-cungap dan bertegang urat untuk bernafas apabila fungsi paru-paru
yang kita miliki telah rosak akibat rokok.
Berita
baik!
Berhenti merokok boleh membawa kesan
yang sangat besar kepada kesihatan dan kehidupan anda. Pastinya anda belum
terlambat untuk menikmati kesan baik ini. Contohnya, jika anda berhenti merokok
pada usia pertengahan sebelum mendapat penyakit serius seperti barah, anda
boleh mengelak daripada mendapat kebanyakan kesan bahaya merokok.
Ramai orang telah berjaya berhenti
merokok dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika anda merasakan ia sesuatu yang
sukar dan memerlukan bantuan, rujuklah doktor anda dan rujukan boleh dibuat ke
klinik berhenti merokok yang terdapat di Unit Pesakit Luar HSNZ.
Kandungan
rokok!
Nikotin adalah bahan kimia yang
merangsang otak. Jika anda adalah seorang perokok, apabila kadar nikotin dalam
darah berkurang, anda mula mengalami tanda-tanda ‘withdrawal’ sama seperti
penghisap dadah, contohnya gian, keresahan, sakit kepala, mudah marah, lapar
dan masalah konsentrasi. Anda akan berasa pulih semula apabila kembali
menghisap rokok. Oleh kerana itulah perokok tegar perlu sentiasa menghisap
rokok untuk kembali berasa ‘normal’.
Tar dalam rokok mengandungi lebih 4000
bahan kimia dan lebih 50 penyebab barah. Tar daripada rokok akan masuk terus ke
dalam paru-paru dan seterusnya mengalir ke dalam salur darah anda ke bahagian
lain tubuh anda. Dengan hanya sebatang rokok, anda menyeksa badan anda dengan
menyebarkan racun merbahaya ke seluruh organ dalaman.
Karbon monoksida merosakkan kebolehan
darah untuk membawa oksigen. Ini penting terutamanya kepada ibu mengandung
kerana karbon monoksida akan mengurangkan kadar oksigen kepada bayi yang sedang
mengembang dalam rahim ibu. Ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan
jangka masa panjang dan kecacatan kepada bayi. Dan anda perlu ingat, karbon
monoksida itu datang dari rokok yang anda sebagai bapa menghisap!
Melihat kepada kemudaratan-kemudaratan yang boleh
dibawa oleh rokok, apa lagi alasan yang anda mahu berikan untuk tidak berhenti
merokok?
Tips-tips
berhenti merokok:
Bagi mereka yang sedar dan berazam untuk berhenti
merokok, di sini saya berikan beberapa tips untuk anda mencuba.
1.
Tuliskan
sebab mengapa anda mahu berhenti merokok, simpan
tulisan tersebut untuk sentiasa bersama anda. Lihat kembali senarai tersebut
apabila anda berasa berputus asa untuk berhenti merokok. Ini akan mengingatkan anda
selalu dan mengembalikan semangat anda untuk berhenti merokok.
2.
Tentukan
masa untuk anda berhenti merokok dan berhentilah serta merta. Ada yang
berpendapat bahawa kita perlu berhenti merokok secara beransur-ansur, namun
kajian menunjukkan bahawa dengan menghisap kurang bilangan rokok, menyebabkan
anda akan menghisap dengan lebih kerap untuk setiap batang rokok menyebabkan
kandungan nikotin yang disedut adalah sama. Justeru, berhentilah dengan serta
merta.
3.
Beritahu
semua bahawa anda mahu berhenti merokok. Ini penting
agar mereka boleh memberi sokongan kepada anda dan tidak melakukan sesuatu yang
boleh melemahkan semangat anda untuk berhenti merokok
4. Jauhkan
diri anda dari rokok dan semua yang berkaitan dengannya. Contohnya jika selama ini anda menghisap rokok
bersama-sama rakan-rakan di kedai kopi, elakkan melepak di kedai kopi jika anda
mahu berhenti merokok.
5. Tandakan
di kalendar setiap hari anda berhenti merokok. Dengan cara ini anda akan dapat melihat hari-hari
anda tanpa rokok dan setiap kali anda berasa ingin merokok, cuba tanyakan diri
anda sendiri adakah anda akan berjaya untuk tidak merokok lagi jika kembali
merokok dan adakah anda ingin memulakannya kembali setelah berusaha
bersungguh-sungguh sebelum ini.
6. Fikirkan
secara positif bahawa dengan berhenti
merokok, anda akan mendapat kesihatan yang lebih baik, nafas anda akan lebih
segar dan orang suka bergaul dengan anda.
7. Makan! Ramai yang mengatakan bahawa apabila kita berhenti
merokok, kita akan sentiasa lapar dan kerap mengambil makanan. Cuba kawal
perasaan tersebut dengan mengambil makanan yang rendah lemak dan gula atau
sentiasa mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah tanpa gula.
8. Jangan
sedih jika anda gagal. Kajian
menunjukkan bahawa kebanyakan orang berjaya berhenti merokok selepas 3 hingga 4
kali percubaan untuk berhenti merokok. Justeru teruskan mencuba.
9. Bersedia
untuk menghadapi kesan-kesan sampingan daripada berhenti merokok. Seperti pengambilan ubat dan dadah yang lain juga,
berhenti merokok akan menyebabkan anda mengalami keadaan yang dikenali sebagai
‘withdrawal symptom’ kerana badan anda telah biasa dengan keadaan bernikotin,
dan ketiadaan nikotin memerlukan masa untuk penyesuaian kepada badan. Anda akan
berasa loya, pening kepala, bimbang (berdebar-debar), ketagihan, berasa tidak
sihat dan sebagainya. Anda akan mengalami keadaan ini selepas 12-24 jam
berhenti merokok dan akan hilang secara beransur-ansur selepas 2-4 minggu.
10. Bersedia
untuk batuk. Seperti
yang saya sebut sebelum ini, berhenti merokok akan menghidupkan kembali fungsi
saluran pernafasan yang sepatutnya bertindak sebagai perisai kepada kita
daripada kuman-kuman dan bakteria daripada sampai ke paru-paru. Perkara ini
akan menyebabkan anda kerap batuk dan mungkin menjadi semakin teruk. Pastikan
keadaan ini tidak mematahkan semangat anda untuk berhenti merokok.
Saudara, melihat kepada kebaikan yang akan
diperoleh apabila kita berhenti merokok, maka adalah suatu tindakan yang wajar
untuk kita memulakan langkah tersebut untuk mendapatkan kesihatan yang lebih
baik, pergaulan yang lebih erat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dan
menjadikan kita seorang yang lebih yakin dan hebat penampilannya.
Semoga tips-tips yang dibawakan ini akan membantu
anda untuk mencapai matlamat tersebut.
HIDUP SIHAT TANPA ROKOK.
Ditulis oleh:
Dr Tengku Abdul Kadir b Tengku Zainal Abidin,
Pegawai Perubatan Jabatan Anesthesiologi.
Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Dr Tengku Abdul Kadir b Tengku Zainal Abidin,
Pegawai Perubatan Jabatan Anesthesiologi.
Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
2 comments:
saya tetap sehat walalupun sudha merokok 45tahun
Perokok tegar, walaupun kamu sihat sekarang belum tentu kamu hidup selama lamanya.
Post a Comment