Showing posts with label Mudahnya Merawat Penyakit. Show all posts
Showing posts with label Mudahnya Merawat Penyakit. Show all posts

Tuesday, August 21, 2012

PENJAGAAN MATA SEPANJANG HAYAT

(Biro Akademik) 

Mata adalah  satu dari lima pancaindera anugerah dari Allah yang  amat  penting. Organ yang  kecil ini telah mula terbentuk di alam rahim di peringkat awal pembentukan janin  iaitu pada minggu keempat kandungan. Pada masa itu biasanya ibu  belum lagi menyedari kehamilannya. Ia  berfungsi seperti kamera  yang sangat sempurna dan   menakjubkan yang membuktikan kebesaran dan  kebijaksanan Allah s.w.t. Dengan organ tersebut   dapatlah kita  mengetahui  perkara yang berlaku  di sekeliling   bagi  membantu  kita menjalankan dua  amanah yang besar  iaitu sebagai hamba yang perlu membuat amal ibadat dan  sebagai khalifah bagi membangun serta memakmurkan alam ini.

Struktur mata

Apabila  kita melihat sesuatu objek, melalui anak mata yang boleh menukar saiz untuk mengawal cahaya yang memasuki mata. Gelombang  cahaya  dari objek tersebut akan memasuki  bola mata dan akan  di fokus  ke retina  yang  akan  menukarkan cahaya  kepada bentuk  gelombang eletrik. Melalui saraf optik, signal  akan dihantar ke otak bagi proses pengecaman dan penterjemahan  serta memberi maklumat yang bermakna tentang objek yang dilihat. Proses yang sangat rumit ini berlaku dalam kadar lebih pantas dari sekelipan mata.
Organ kecil yang menakjubkan ini dibentuk oleh struktur   kornea, kanta, vitreous, saraf retina, choroid,  sclera dan saraf optik. Kerosakan dalam mana- mana struktur  ini akan menyebabkan masalah penglihatan dan bahkan boleh menyebabkan kebutaan. Sebagai contoh, bila  kanta mata yang pada asalnya jernih menjadi keruh terjadilah penyakit yang  disebut sebagai selaput (katarak). Dalam keadaan ini, cahaya tidak dapat memasuki mata  dan menyebabkan penglihatan terganggu atau kebutaan. Dalam kes kerosakan saraf retina seperti dalam  pesakit diabetis, cahaya yang memasuki mata tidak dapat ditukar ke bentuk gelombang eletrik. Oleh yang demikian tiada maklumat yang sampai ke otak. Dalam penyakit glaukoma, tekanan mata yang tinggi secara berpanjangan akan merosakkan saraf optik yang akan menghalang penghantaran  signal ke otak. Kebutaan disebabkan kerosakkan saraf optik adalah kekal iaini penglihatan tidak dapat dipulihkan  kembali walaupun setelah dirawat mahupun dibedah.

Katarak menghalang cahaya memasuki mata.
Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Mengikut kajian, 80% kebutaan di seluruh dunia sebenarnya boleh dicegah dan dirawat. Sebagai contoh, kebutaan yang disebabkan oleh katarak boleh dielakkan  sekiranya penyakit itu dikesan dan dirawat awal sebelum pesakit itu buta. Hilang penglihatan akibat diabetis dapat dielakkan sekiranya   kita mengamalkan gaya hidup sihat serta mengambil berat tentang penjagaan pemakanan dan berat badan  dari awal usia. Kebutaan kekal akibat glaukoma pula dapat dicegah sekiranya pesakit menjalani saringan mata bagi pengesanan awal. Begitu juga kebanyakkan kebutaan akibat   kecederaan dapat dielak dengan penggunaan alat pelindung mata dan pemakaian talipinggang keselamatan. 
Langkah dalam penjagaan mata sepanjang hayat

1.Banyakkan  makan sayur, buah buahan dan ikan
 
  Buah- buahan dan sayuran yang  berbagai warna kaya dengan antioxidant yang membantu mencegah kerosakan  kanta dan  saraf retina. Kajian membuktikan bahawa  pengambilan antioxidant dapat menghalang pembentukan katarak. Antara  antioxidant yang penting untuk mata ialah Lutein and zeaxanthin. Kedua dua caretinoid ini banyak terdapat dalam  sayuran  seperti bayam, brokoli, labu dan sawi. Bahan ini penting untuk menapis cahaya biru yang merbahaya  serta mengurangkan  kerosakan  sel sel oleh  radikal bebas. Pengambilan makanan yang kaya dengan lutein and zeaxanthin dapat menurunkan risiko katarak dan kerosakan makula (Age related macular degeneration). Omega -3 yang banyak terdapt dalam ikan juga sangat baik untuk retina dan boleh mengurangkan risiko kerosakan makula iaini kawasan  yang terpenting bagi ketajaman penglihatan dan warna .

2.Guna cermin mata pelindung.
 
Pancaran  ultravilet (UV) boleh menyebabkan katarak  dan kerosakan retina. Penggunaan  cermin  yang  mempunyai  pelindung UV dari usia muda dapat mengurangkan risiko penyakit  tersebut. Perlu diketahui bahawa cermin mata yang gelap  tidak semestinya dapat  memberi perlindungan yang sepatutnya. Oleh yang demikian adalah penting  untuk mendapat maklumat yang tepat dari optician atau optometrist  sebelum  membeli cermin mata..
 
3.Amalkan gaya hidup sihat dan kekalkan berat unggul anda. 

Amalan ini  penting untuk menghindar dari penyakit kronik seperti  diabetis, hypertensi dan hypercholestrol.  Bagi mereka yang  telah mengidap penyakit tersebut, pastikan ianya dikawal dengan baik untuk menghindar dari komplikasi seperti diabetik retinopathy dan katarak. Sekiranya mengalami obesiti   kurangkan  berat badan secara perlahan dengan menurunkan pengambilan kalori dan membuat senaman secara  teratur. Berhenti merokok kerana orang yang merokok lebih berisiko mendapat katarak dan kerosakkan retina. Sekiranya sukar, mohon bantuan dari doktor  untuk meninggalkan tabiat ini

4.Pemeriksaan mata.
 
 Pemeriksaan mata penting bagi memastikan penyakit di kesan dan dirawat awal. Ini penting kepada mereka yang mempunyai risiko kebutaan  seperti  pengidap diabetis, mempunyai ahli keluarga glaukoma, pernah mengalami kecederaan mata dan mereka yang mengambil ubat ubat  yang boleh mempunyai kesan ke mata  seperti steroid dan ubat tuberculosis (anti TB). Pengidap diabetis disarankan menjalani pemeriksaan mata sekurang kurangnya sekali setahun walaupun tidak mempunyai masalah penglihatan.
5. Kawal  penyakit . Bagi  yang   mengidap penyakit seperti diabetis, hypertension hypercholestrol,  pastikan  ianya dikawal dengan baik untuk menghindar dari komplikasi seperti diabetik retinopathy dan katarak. Jumpa doktor secara berkala dan ambil rawatan seperti yang dinasihatkan.
Kesimpulannya bagi mendapat penglihatan yang baik sepanjang hayat, banyakan pengambilan sayur, buah-buahan dan ikan. Guna cermin mata pelindung, amalkan cara hidup sihat dan selamat.

Dr Nor Higrayati bt Ahmad Kasah
Pakar Perunding Oftalmologi
Hospital Sultanah Nur Zahirah



Tuesday, June 19, 2012

RAWATAN AWAL PEMULIHAN KARDIOPULMONARI (CPR) - ANDA SEMUA MAMPU LAKUKANNYA !!!

(Biro Akademik) 

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi cemas, di mana kedapatan seseorang yang berhampiran dengan anda secara tiba-tiba jatuh dan pengsan. Mungkin ada yang pernah, dan mungkin ada yang tidak. Walaubagaimanapun, ianya tidak mustahil akan berlaku kepada anda, dan orang yang ber’masalah’ itu mungkin anda tidak kenali, atau mungkin juga di kalangan kaum kerabat dan sahabat handai yang dekat kepada anda.

Apakah kemungkinan yang berlaku - Serangan Jantung beserta rentak jantung yang abnormal (Heart Attack with Arrhythmia) atau Serangan Angin Ahmar (Stroke) ?. Kedua-duanya adalah suatu kemungkinan, dan boleh membawa kepada maut. Namun ada keadaannya, anda boleh melakukan sesuatu untuk ‘merubah’ keadaan.

Apakah yang mampu anda lakukan bila berhadapan dengan situasi tersebut? Panggil ambulan, boleh je, tapi berapa lamakah ianya akan tiba di tempat kejadian?. Panggil doktor yang berhampiran - nasib anda baik, adanya doktor di situ. Tapi kebanyakannya yang berlaku, anda sudah terlambat, di mana mangsa sudah menemui ajalnya di tempat kejadian.

Oleh itu, sebelum bantuan sebenar tiba, ANDALAH yang mesti lakukan sesuatu di peringkat awal untuk menolong mangsa tersebut. Sebelum anda berserah kepada takdir, anda sebenarnya mampu menjadi ‘penyelamat’ dengan cara lakukan CPR kepada mangsa. Ramai antara kita yang tidak tahu, atau pasti atau yakin untuk melakukan CPR. Bahkan yang ada sedikit pengetahuan pun, teragak-agak untuk lakukannya, lebih-lebih lagi memikirkan untuk melakukan adegan bantuan pernafasan ‘mulut ke mulut’. Jadi, apa yang patut anda lakukan?.

Artikel ini akan menerangkan kaedah terkini Rawatan Awal Pemulihan Kardio- pulmonari (CPR) untuk orang awam, semoga anda semua mampu menjadi ‘penyelamat’. Walaupun mempelajari langkah-langkah ini adalah sebenarnya mudah dan sangat murah kosnya, tetapi sumbangan yang mungkin akan anda berikanbila sampai masanya nanti, adalah sesuatu yang sangat besar, dan tidak ternilai dengan wang dan harta benda.

Apakah itu CPR?

CPR atau ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ adalah satu kaedah rawatan pemulihan sistem jantung (cardio) dan paru-paru / penafasan (pulmonary) dengan cara memastikan bekalan darah dan oksigen dapat diteruskan ke seluruh tubuh seseorang yang mengalami serangan jantung di mana ianya telah berhenti berdenyut dan berfungsi secara normal.

CPR boleh menyelamatkan nyawa dengan membantu penerusan bekalan oksigen ke otak, sehinggalah pesakit diberikan rawatan yang lebih spesifik ataupun sehingga pesakit sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Terdapat perbezaan anatara CPR untuk orang dewasa dan kanak-kanak, dan artikel hanya membincangkan CPR kepada pesakit dewasa. (CPR kanak-kanak akan dikeluarkan nanti).

Bilakah seseorang itu perlukan CPR anda?
Apabila terdapatnya seseorang yang secara tiba-tiba rebah dan pengsan, hendaklah anda terus menggoncang tubuhnya dan bertanya "Encik...Encik...Awak OK ke?". Sekiranya tiada respons, iaitu samada ianya sudah tidak bernafas atau bernafas secara abnormal, terus dapatkan bantuan seseorang menghubungi Talian Kecemasan 9-9-9. Kemudian, anda mulakan CPR kepada mangsa, tanpa lengah. Jadikanlah diri anda sebagai ‘penyelamat’.

Saya tak tahu CPR, macamana nak buat?

Jangan bimbang. CPR utk orang awam seperti anda tersangatlah mudah. Anda pasti boleh lakukannya walaupun tak pernah buat dan belajar sebelum ini. Apa yang ada perlu lakukan HANYALAH....... PRESS HARD AND FAST iaitu TEKAN KUAT DAN CEPAT di atas bahagian tengah dada mangsa. Lakukan je...walaupun anda tak tahu tujuannya.

Menekan dada dalam istilah perubatan dipanggil ‘chest compression’. Untuk melakukannya, pastikan mangsa dalam keadaan baring di permukaan yang keras dan rata. Berlututlah di sisi rusuk mangsa, dan tetapkan keadaan kedua tangan anda di mana kedua telapak tangan bertindan menghadap ke bawah, dan jari-jari menyelangi di antara satu sama lain (lihat rajah). Pastikan lengan anda lurus, dan letakkan serta tetapkan posisi dasar tapak tangan anda di tengah-tengah dada mangsa. Lakukan tekanan dada mangsa dengan menggunakan kekuatan berat badan anda, dan bukannya kekuatan tangan anda. Tekanan Dada yang anda lakukan itu sebenarnya akan menolong mengepam jantung mangsa yang telah berhenti, dan menggerakkan semula aliran darah. Tekanan yang berulang-ulang akan memastikan pergerakan darah berterusan.

Setiap kali membuat tekanan dada mangsa, pastikan ianya tertekan ke dalam sekurang- kurangnya 2 inci, dan di antara tekanan lepaskan semula daya yang dikenakan kepada dada supaya ianya kembali kepada kedudukan asal. Sasarkan sebanyak 100 kali tekanan dada dalam masa 1 minit.

Teruskan tekanan dada itu sehinggalah pertolongan sampai. Jangan bimbang tentang kemungkinan masalah pernafasan yang mungkin mangsa alami, dan tak perlu fikirkan yang lain melainkan ‘tekanan dada’ sahaja.

Adakah semua orang akan lakukan CPR dengan kaedah yang sama?


Tidak. Mereka yang terlatih dalam bidang perubatan biasanya melakukan CPR dengan kaedah yang agak berbeza daripada orang awam. Biasanya mereka akan memeriksa nadi tangan dahulu sebelum melakukan CPR. Kemudian ianya dituruti dengan 3 langkah yang mudah diingati iaitu semudah C-A-B :

"C"-  "Do Chest Compressions" - 30 tekanan dada dilakukan sebagaimana kaedah yang diterangkan di atas.

"A" -  "Check the Airway" - Saluran Udara akan diperiksa di mana kedudukan kepala dan rahang dipastikan sesuai untuk memudah perjalanan aliran udara. Kaedah "Dongakkan Kepala, dan Angkatkan Rahang" adalah kaedah yang biasa dilakukan bagi memudahkan saluran udara terbuka.

"B" - "Do rescue Breathing" - Di sini penyelamat akan memicit hidung mangsa hingga tertutup sepenuhnya, dan melakukan hembusan udara dari mulut ke mulut atau menggunakan alat yang khas. Kaedah ini membolehkan mangsa menerima lebih gas oksigen yang masuk ke paru-parunya. Penyelamat biasanya aka memberikan bantuan pernafasan ini sebanyak 2 kali sebelum mengulangi tataca ‘tekanan dada’ seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Kitaran ini akan berterusan iaitu 30 tekanan dada dan 2 kali hembusan nafas, sehinggalah bantuan ambulan sampai dan kakitangan yang telah dilengkapi dengan peralatan yang lebih sesuai mengambil alih tugas melaksanakan CPR tersebut.

Kesimpulan
Berdasarkan Garis Panduan CPR terkini (American Heart Association 2010), bagi mereka yang tidak biasa dan tidak tahu tentang CPR, hanya perlu melakukan kaedah ‘Tekanan Dada’ sahaja, dan tidak perlu bimbang memikirkan atau melakukan pertolongan pernafasan.

Kesimpulannya, masih ramai di kalangan anggota masyarakat kita ini agak asing dengan CPR, dan bagi mereka yang pernah belajar dan ada sedikit pengetahuan pun akan teragak-agak atau takut untuk melakukan CPR kerana memikirkan perlunya bantuan pernafasan dilakukan. Oleh itu, dengan sedikit perkongsian ilmu ini, LAKUKANLAH CPR dengan kaedah ‘HANDS-ONLY’ iaitu ‘TEKANAN DADA SAHAJA’ kerana ianya lebih mudah dan lebih selesa untuk dilaksanakan. Kaedah ini sangat penting untuk meneruskan bekalan darah bagi mereka yang mengalami serangan jantung yang menyebabkan jantungnya terhenti, dan ianya mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa.

"JUST DO CHEST COMPRESSION - IT IS BETTER THAN DO NOTHING AT ALL"

Dr. Wan Mohd Razin b. Wan Hasan
Pakar Perubatan

Wednesday, June 6, 2012

Berhenti merokok – untuk kesihatan kita bersama!

(Biro Akademik)


Inilah fakta!
Rokok merupakan penyebab utama penyakit dan kematian pada usia muda di negara-negara maju. Hampir separuh dari perokok meninggal akibat penyakit berkaitan rokok. Jika anda perokok tegar, pada puratanya, jangkahayat anda adalah kurang 10 tahun daripada orang yang tidak merokok. 

Kebanyakan kematian yang diakibatkan oleh rokok bukan kematian mengejut dan tiba-tiba. Sebaliknya penyakit seperti COPD menyebabkan anda hidup bertahun-tahun dengan kelelahan dan masalah pernafasan sebelum anda menghembuskan nafas terakhir. Terseksa bukan? 

Berkhidmat di pusat rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah memberikan peluang kepada saya untuk bertemu ramai perokok-perokok tegar ini yang kerap keluar masuk hospital disebabkan jangkitan kuman di paru-paru berpunca daripada penyakit bawaan rokok tersebut dan ada kalanya hingga menyebabkan kematian apabila kuman yang awalnya menyerang paru-paru telah merebak ke dalam darah dan organ badan yang lain menyebabkan kegagalan fungsi organ-organ tersebut.

Mungkin disebabkan itu jugalah para alim ulama telah meletakkan hukum merokok sebagai haram kerana ia boleh membawa seseorang itu bahkan orang di sekelilingnya kepada kebinasaan. Apatah lagi apabila anugerah Tuhan yang diberikan percuma berupa keupayaan untuk bernafas dengan baik kita sia-siakan dengan merokok sehingga akhirnya kita tercungap-cungap dan bertegang urat untuk bernafas apabila fungsi paru-paru yang kita miliki telah rosak akibat rokok.


Berita baik!
Berhenti merokok boleh membawa kesan yang sangat besar kepada kesihatan dan kehidupan anda. Pastinya anda belum terlambat untuk menikmati kesan baik ini. Contohnya, jika anda berhenti merokok pada usia pertengahan sebelum mendapat penyakit serius seperti barah, anda boleh mengelak daripada mendapat kebanyakan kesan bahaya merokok.

Ramai orang telah berjaya berhenti merokok dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika anda merasakan ia sesuatu yang sukar dan memerlukan bantuan, rujuklah doktor anda dan rujukan boleh dibuat ke klinik berhenti merokok yang terdapat di Unit Pesakit Luar HSNZ.


Kandungan rokok!
Nikotin adalah bahan kimia yang merangsang otak. Jika anda adalah seorang perokok, apabila kadar nikotin dalam darah berkurang, anda mula mengalami tanda-tanda ‘withdrawal’ sama seperti penghisap dadah, contohnya gian, keresahan, sakit kepala, mudah marah, lapar dan masalah konsentrasi. Anda akan berasa pulih semula apabila kembali menghisap rokok. Oleh kerana itulah perokok tegar perlu sentiasa menghisap rokok untuk kembali berasa ‘normal’.



Tar dalam rokok mengandungi lebih 4000 bahan kimia dan lebih 50 penyebab barah. Tar daripada rokok akan masuk terus ke dalam paru-paru dan seterusnya mengalir ke dalam salur darah anda ke bahagian lain tubuh anda. Dengan hanya sebatang rokok, anda menyeksa badan anda dengan menyebarkan racun merbahaya ke seluruh organ dalaman.

Karbon monoksida merosakkan kebolehan darah untuk membawa oksigen. Ini penting terutamanya kepada ibu mengandung kerana karbon monoksida akan mengurangkan kadar oksigen kepada bayi yang sedang mengembang dalam rahim ibu. Ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan jangka masa panjang dan kecacatan kepada bayi. Dan anda perlu ingat, karbon monoksida itu datang dari rokok yang anda sebagai bapa menghisap!

Melihat kepada kemudaratan-kemudaratan yang boleh dibawa oleh rokok, apa lagi alasan yang anda mahu berikan untuk tidak berhenti merokok?

Tips-tips berhenti merokok:
Bagi mereka yang sedar dan berazam untuk berhenti merokok, di sini saya berikan beberapa tips untuk anda mencuba.

1.      Tuliskan sebab mengapa anda mahu berhenti merokok, simpan tulisan tersebut untuk sentiasa bersama anda. Lihat kembali senarai tersebut apabila anda berasa berputus asa untuk berhenti merokok. Ini akan mengingatkan anda selalu dan mengembalikan semangat anda untuk berhenti merokok.

2.      Tentukan masa untuk anda berhenti merokok dan berhentilah serta merta. Ada yang berpendapat bahawa kita perlu berhenti merokok secara beransur-ansur, namun kajian menunjukkan bahawa dengan menghisap kurang bilangan rokok, menyebabkan anda akan menghisap dengan lebih kerap untuk setiap batang rokok menyebabkan kandungan nikotin yang disedut adalah sama. Justeru, berhentilah dengan serta merta.

3.      Beritahu semua bahawa anda mahu berhenti merokok. Ini penting agar mereka boleh memberi sokongan kepada anda dan tidak melakukan sesuatu yang boleh melemahkan semangat anda untuk berhenti merokok


4.      Jauhkan diri anda dari rokok dan semua yang berkaitan dengannya. Contohnya jika selama ini anda menghisap rokok bersama-sama rakan-rakan di kedai kopi, elakkan melepak di kedai kopi jika anda mahu berhenti merokok.

5.      Tandakan di kalendar setiap hari anda berhenti merokok. Dengan cara ini anda akan dapat melihat hari-hari anda tanpa rokok dan setiap kali anda berasa ingin merokok, cuba tanyakan diri anda sendiri adakah anda akan berjaya untuk tidak merokok lagi jika kembali merokok dan adakah anda ingin memulakannya kembali setelah berusaha bersungguh-sungguh sebelum ini.

6.      Fikirkan secara positif bahawa dengan berhenti merokok, anda akan mendapat kesihatan yang lebih baik, nafas anda akan lebih segar dan orang suka bergaul dengan anda.

7.      Makan! Ramai yang mengatakan bahawa apabila kita berhenti merokok, kita akan sentiasa lapar dan kerap mengambil makanan. Cuba kawal perasaan tersebut dengan mengambil makanan yang rendah lemak dan gula atau sentiasa mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah tanpa gula.

8.      Jangan sedih jika anda gagal. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan orang berjaya berhenti merokok selepas 3 hingga 4 kali percubaan untuk berhenti merokok. Justeru teruskan mencuba.

9.      Bersedia untuk menghadapi kesan-kesan sampingan daripada berhenti merokok. Seperti pengambilan ubat dan dadah yang lain juga, berhenti merokok akan menyebabkan anda mengalami keadaan yang dikenali sebagai ‘withdrawal symptom’ kerana badan anda telah biasa dengan keadaan bernikotin, dan ketiadaan nikotin memerlukan masa untuk penyesuaian kepada badan. Anda akan berasa loya, pening kepala, bimbang (berdebar-debar), ketagihan, berasa tidak sihat dan sebagainya. Anda akan mengalami keadaan ini selepas 12-24 jam berhenti merokok dan akan hilang secara beransur-ansur selepas 2-4 minggu.

10.  Bersedia untuk batuk. Seperti yang saya sebut sebelum ini, berhenti merokok akan menghidupkan kembali fungsi saluran pernafasan yang sepatutnya bertindak sebagai perisai kepada kita daripada kuman-kuman dan bakteria daripada sampai ke paru-paru. Perkara ini akan menyebabkan anda kerap batuk dan mungkin menjadi semakin teruk. Pastikan keadaan ini tidak mematahkan semangat anda untuk berhenti merokok.

Saudara, melihat kepada kebaikan yang akan diperoleh apabila kita berhenti merokok, maka adalah suatu tindakan yang wajar untuk kita memulakan langkah tersebut untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik, pergaulan yang lebih erat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dan menjadikan kita seorang yang lebih yakin dan hebat penampilannya.

Semoga tips-tips yang dibawakan ini akan membantu anda untuk mencapai matlamat tersebut.
HIDUP SIHAT TANPA ROKOK.

Ditulis oleh:
Dr Tengku Abdul Kadir b Tengku Zainal Abidin,
Pegawai Perubatan Jabatan Anesthesiologi.
Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Push-Up Arrow