Saturday, November 26, 2011

PROGRAM BERKHATAN DI HULU TERENGGANU 2011

(Biro IT)

26 Nov. 2011, Jumaat - Hujan yang turun mencurah-curah membasahi bumi tidak menghalang 4 team PAPISMA Terengganu untuk khidmat berkhatan di Madrasah Al-Ansar, Kg. Basong, Hulu Terengganu, kira-kira 50 km dari Kuala Terengganu. 8.30 pagi masa yang telah dipersetujui oleh pihak PAPISMA Terengganu dan pihak penganjur perlu ditepati. Maklumlah, hari Jumaat. Tahun ini, bilangan yang mendaftar tidak dapat dipastikan oleh pihak penganjur. Ada sesetengah ibubapa sudah berjanji tetapi borang pendaftaran tidak diserahkan. Ditambah pula cuaca yang tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun, kami tetap bersedia sebaiknya.

Pukul 7.35 pagi, pemangku ketua team berkhatan kali ini, Dr. Roslan Yusof telah bertolak dari rumahnya. Beliau mengambil jalan singkat melalui jalan Kuala Telemong - Kg. Matang - Kg. Basong. Perjalanan dengan kelajuan 80 km/j dijangkan akan mengambil masa kira-kira 40 minit untuk sampai. Jadi, agak selesa untuk membuat persediaan sebelum bermulanya program.

Namun, tiba di Kg. Bukit Tadok pada pukul 7.55 am, kira-kira 4 km dari Kg. Matang, jalan tersekat oleh banjir. Lautan kuning pekat air banjir di depan mata melimpah di atas jalan dan di celah-celah kelapa sawit. Kawasan itu merupakan kawasan kelapa sawit. Rumah penduduk tidak kelihatan. Beliau terpaksa berpatah balik ke Kuala Telemong.

Satu lagi jalan singkat ke tempat program ialah melalui jalan Kuala Telemong - Kg. Tajin - Kg. Basong. Namun kerana dikhuatiri jalan ini juga dinaiki air, beliau terpaksa melalui jalan biasa namun jalan pintas melalui Kuala Telemong - Kg. Bukit Gemuruh (melalui lebuhraya) - Kg. Sg. Tong - Kg. Bukit Nenas - Kg. Basong. Alhamdulillah beliau sempat sampai pada pukul 8.40 pagi, 30 minit terlewat dari jangkaan. petugas-petugas lain tidak mengalami sebarang masalah.

Sebaik sahaja sampai, persiapan terus dilakukan dan program dimulakan selepas taklimat ringkas dan doa dibacakan.

Team 1 dianggotai oleh Dr. Salehuddin (kanan) dan pembantunya Dr. Johari sedang mengkhatankan seorang kanak-kanak.

Team 2 - Dr. Fauzan (kanan) dan pembantunya Dr. Sulaiman begitu berhati-hati melakukan procedure berkhatan.

Dr. Md Arif pun ada... sedang membantu Dr. Wan Zulkhalid (kanan- otai Kemaman) sedang mengkhatankan seorang kanak-kanak. Mereka dalam team 4.

"Saya minat menternak ayam sebagai aktiviti sampingan ustaz." Dr. Md Arif sedangberbual dengan Ust. Kamaruzaman (Mudir Madrasah Al-Ansar - berserban) sambil menikmati minum pagi setelah selesai program.

"Terima kasihlah semua kerana sanggup datang jauh, dalam hujan dan banjir pula... InsyaAllah, tahun depan kita akan book lagi team ni..." Mungkin itulah yang sedang diperkatakan oleh Ust. Kamaruzaman sebagai penutup perbualan.

Mana team 3? Team 3 tak masuk sebab beliau terpaksa ambil gambar. Team 3 dianggotai oleh Dr. Roslan seorang....

Alhamdulillah, program berjaya disempurnakan kira-kira pada pukul 11 pagi. Seramai 15 orang berjaya dikhatankan pada pagi ini. Kami meninggalkan Madrasah Al-Ansar kira-kira pada pukul 11.35 pagi dalam keadaan hujan renyai-renyai.

P/S: Selain Dr. Roslan, Dr. Md Arif dan Dr. Wan Zulkhalid, mereka adalah MA. Panggilan Dr. tu adalah panggilan penduduk di sini kepada tenaga-tenaga PAPISMA.

No comments:

Push-Up Arrow