Kuala Terengganu Bandaraya Pesisir Air, meskipun cukup gah dengan namanya yang indah, namun jangan lupa bahawa didalamnya cukup ramai yang hidup susah, miskin dan serba kekurangan. Tahap kesihatannya juga menyedihkan malah tidak keterlaluan jika dikatakan ianya menyamai daerah pedalaman seperti di Hulu Terengganu. Atas sebab inilah SMART PAPISMA membuat inisiatif untuk mengadakan Kempen 2K (Kesedaran Kesihatan) di sini pada kali ini.
Jumaat, 18 November 2011 merupakan hari yang bersejarah apabila PAPISMA Terengganu berjaya mengadakan program tersebut di tengah-tengah bandaraya ini iaitu di Jalan Nesan 4. Sebagaimana biasa, aktivitinya adalah ceramah kesihatan, pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma. Kali ini ditambah dengan Lawatan Bakti ke rumah pesakit yang uzur, sumbangan kepada fakir miskin dan cabutan bertuah.
Sepanduk Kempen 2K digantung awal untuk memberi makluman kepada orang ramai.
Seawal 8 pagi para petugas pendaftaran telah bersedia menyambut para pengunjung.
Pemeriksaan kesihatan terus dilakukan sebaik sahaja mereka mendaftarkan diri. Semua petugas SMART PAPISMA juga telah bersedia lebih awal.Program ini telah dihadiri oleh seramai 101 orang pengunjung (tidak termasuk petugas). Ia telah berlangsung dengan cukup meriah.
Kira-kira pukul 10 pagi, majlis ceramah dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan tazkirah oleh wakil penduduk, Ust. Ahmad Shah. Kehadiran YB Hj. Abdul Wahid juga kami manfaatkan untuk beliau memberikan sedikit amanat dan perangsang agar penduduk sentiasa cakna kesihatan diri sendiri. Ceramah 2K pula telah disampaikan oleh Dr. Suhazeli Abdullah, Pakar Perubatan Keluarga dengan tajuk "Penyakit Kronik Dalam Masyarakat". Ia cukup padat dengan maklumat dan mencuit hati.
Selepas itu, kami semua berpecah kepada 8 kumpulan dengan diwakili seorang doktor dan tiga orang penunjuk jalan. Alhamdulillah seramai 36 buah rumah pesakit yang miskin dan uzur telah berjaya dilawati dengan membawa sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan hidup mereka.
Kehidupan penduduk asal bandaraya ini cukup menyedihkan. Ada yang tinggal seperti di rumah setinggan, rumah yang kecil, gelap dan persekitaran yang kotor. Ada yang berpenyakit tetapi tidak dapat meneruskan rawatan hanya kerana tidak cukup duit untuk pergi ke hospital yang jaraknya tidak sampai 3 km dari rumahnya. Jadi, semua ini menggambarkan bahawa badan NGO seperti PAPISMA ini perlu menggandakan lagi usaha membantu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kesihatan agar mereka tidak memandang mudah penyakit yang mereka hadapi.
Banyak lagi susanan yang meruntun perasaan seperti ini tetapi tidak dapat dipaparkan di sini. Namun mudah-mudahan usaha kecil kami ini akan memberikan sokongan moral kepada mereka bahawa masih ada yang prihatin mengambil tahu dan menyelami masalah mereka.
Program Kempen 2K kali ini telah beakhir kira-kira pukul 12.30 tengahari. Terima kasih diucapkan kepada semua petugas SMART PAPISMA yang sempat meluangkan masa meskipun sibuk dengan tugas seharian. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada para petugas tempatan yang memberikan kerjasama dan persediaan yang cukup baik. Mudah-mudahan segala amal ini menjadi saham untuk kita tuai hasilnya di akhirat nanti.
2 comments:
Tahniah PAPISMA Terengganu. Teruskan khidmat bakti anda, semoga Allah memberikan setinggi-tinggi ganjaran kepada kalian semua. TERUS BERGERAK MAJU
Terima kasih Anon 7:38 PM.
Post a Comment