Wednesday, November 23, 2011

HIJRAH DAN PENGORBANAN

(Pengerusi PAPISMA Terengganu)
Dr. Md Arif Ibrahim

Assalamualaikum
Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam, salawat dan salam ke atas rasul, ahli bait, para sahabat dan para penjunjung ajarannya yang setia sepanjang zaman.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,
Kita sekarang berada di akhir bulan Zulhijjah yang sinonim dengan Hari Raya Aidil Adha dan bulan bagi umat Islam yang mampu untuk menunaikan rukun Islam ke lima, iaitu menunaikan haji di Mekah. Sesungguhnya bahang dari peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. masih dihayati dan dirasai hingga kini dan selama-lamanya. Bulan Zulhijjah sentiasa mengingatkan kita semua tentang pengorbanan yang sebesar-besarnya iaitu mengorbankan anak kesayangan semata-mata mematuhi perintah Allah.

Kita juga semakin merapati bulan Muharam, iatu bulan yang sinonim dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah selepas melalui satu tribulasi perjuangan yang amat memeritkan. Sirah nabi juga banyak mengajar kita pahit getir dalam perjuangan untuk menegakkan agama sebelum akhirnya Allah memerintahkan RasulNya untuk berhijrah ke bumi yang telah bersedia untuk melaksanakan seluruh tuntutan Islam.

Bila kita halusi betul-betul, kita akan dapati pertalian yang erat antara dua bulan dalam kalendar Islam ini. Ini adalah kerana tidak akan berlaku hijrah sebelum ada pengorbanan dan hijrah itu sendiri berlaku hanya dengan pengorbanan.

Kenyataannya, sekarang ini memang tiada lagi hijrah seperti hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.hm, tetapi hijrah dalam konteks kini adalah hijrah dari suatu keadaan yang buruk kepada yang baik dan dari keadaan yang baik kepada keadaan yang lebih baik.

Setibanya bulan Muharam, akan kedengaranlah rata-rata yang bergelar muslim membulatkan tekad untuk mencapai satu matlamat atau cita-cita. Dengan kata lain, ramai muslim yang membuat satu kenyataan terbuka untuk berhijrah demi mencapai cita-cita tertentu. Tetapi setakat manakah pengorbanan yang sanggup dilakukan untuk mencapai maksud hjrah itu???

Mari kita lihat dan bahagikan skopnya seperti berikut:
1. Pengorbanan untuk berhijrah: lakukan islah kepada diri sendiri
2. Pengorbanan untuk berhijrah: lakukan islah kepada keluarga
3. Pengorbanan untuk berhijrah: lakukan islah kepada masyarakat

Sudah tentulah hijrah terbaik yang kita semua mahukan ialah hijrah dari jahiliyah kepada Islam, dari semua segi, samada dari sudut ibadah, kekeluargaan, muamalat dan siasah. Ini semua memerlukan kepada ilmu dan maklumat serta penyebarannya secara meluas.

Dalam konteks kita dalam PAPISMA, di samping kita memperbaharui azam untuk melakukan islah dalam diri dan keluarga, kita juga mempunyai peluang terbuka untuk bersama bagi melakukan islah dalam masyrakat. Sudah tentu kita boleh menyumbangkan sesuatu dalam aktiviti berkaitan khidmat sosial dan ini juga memang memerlukan sedikit pengorbanan dari segi masa, tenaga hatta wang ringgit.

Mari kita perhatikan, paling banyak masa yang kita peruntukkan untuk terjun dan bersama dalam melakukan islah dalam masyarakat hanyalah 4 jam seminggu iaitu pada hari Jumaat. Maknanya kita cuma memperuntukkan 0.02% dari keseluruhan masa yang ada dalam seminggu!!!. Sangat sedikit!.

Galakan juga selalu diberikan kepada sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian untuk infaq sedikit dari lebihan belanja bagi tujuan aktiviti kebajikan ini, iaitu RM20.00 sebulan. Sekali lagi mari kita halusi, dengan anggaran gaji RM5000.00 hingga RM10 000.00 sebulan, sebenarnya kita cuma menginfaqkan 0.004% hingga 0.002% dari pendapatan bulanan kita untuk tujuan tersebut. Sekali lagi, ianya jumlah yang sangat kecil, bukankah begitu?

Jadi sekali lagi, marilah sama-sama kita tegaskan bahawa untuk melakukan Hijrah dengan maksud untuk melakukan islah dalam skop yang telah dinyatakan, ianya memang memerlukan pengorbanan. Yang pasti nisbah pengorbanan yang telah ditunjukkan di atas adalah sangat kecil.
Kita juga mestilah menginsafi, bahawa diantara faktor kejayaan hijrah itu ialah ISTIQAMAH, dengan maksud melakukan sesuatu kebaikan itu secara berterusan, walaupun perkara itu agak sedikit pada pandangan kita. Jangalah pula kita cuma bersemangat di peringkat awal sahaja, namun akhirnya kita kembali semula ke titik asal sebelum hijrah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ma’al Hijrah kepada seluruh sahabat PAPISMA Terengganu dan marilah sama-sama kita perbaharui azam masing-masing untuk meningkatkan pengorbanan didalam menunaikan makna hijrah secara Istiqamah.

Wassalam.

No comments:

Push-Up Arrow