Assalamualaikum Wbt
Sahabat-sahabiah sekalian,

Kita semua berharap, segala penat lelah, pengorbanan masa dan tenaga serta keberaniannya akan diganjari oleh Allah dengan ganjaran jihad. Kita menyedari bukan suatu perkara yang mudah untuk meninggalkan keluarga dan orang yang tersayang untuk pergi ke Gaza, Palestin kerana pemergiannya belum tentu akan kembali lagi. Namun, ketaatan kepada keputusan kepimpinan PAPISMA untuk menjadi wakil kita ke sana sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh beliau adalah satu contoh yang cukup luar biasa dan perlu diteladani. Hanya semangat, keyakinan dan kecintaan kepada ganjaran jihad dan syahid sahaja yang mampu meruntuhkan segala halangan sehingga mampu sampai ke bumi suci Palestin yang dihujani bedilan meriam dan peluru yang mampu meragut nyawa siapa saja.
Bagi mereka-mereka yang telah menaja dan membantu perjalanan beliau dalam apa sahaja bentuk bantuan, terutama kewangan, sokongan moral serta doa, mudah-mudahan semuanya akan turut sama mendapat ganjaran jihad itu. Bukankah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang membekali seorang mujahid untuk berperang di jalan Allah maka sungguh ia telah ikut berperang, dan barangsiapa yang menjadi penanggungjawab yang baik (terhadap harta dan keluarga mujahid) maka sungguh ia telah ikut berperang" (Muttafaq 'alaih).
Pada hari ini, saya menyeru seluruh ahli agar terus membantu untuk menghidupkan semangat perjuangan rakyat Palestin di bumi anbiya' itu dengan sumbangan kewangan dan doa yang berterusan. Seterusnya menjadikan teladan akan keberanian dan ketaatan wira kita yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan ini untuk membentuk momentum baru perjuangan kita. Kita merupakan gerakan profesional yang bersifat Islami dan nasional, sudah sampai masanya untuk kita mengubah `mindset’ kita agar berani ke depan, berani mencuba dan tidak takut akan kegagalan. Kesenangan yang kita cari seharusnya bukan kesenangan untuk diri sendiri, tetapi kesenangan untuk seluruh umat. Kebahagiaan yang kita cari seharusnya adalah kebahagiaan di Akhirat sana, iaitu dengan mengorbankan apa yang kita miliki demi membahagiakan seluruh umat. InsyaAllah, dengan semangat juang dan perubahan cara berfikir ini, tidak ada yang mampu menghalang kita untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Mudah-mudahan selepas ini kita akan dapat melahirkan lebih ramai wira yang bukan sahaja sanggup berjihad ke bumi Palestin tetapi juga menjadi wira di tanahair kita sendiri dengan kejayaan-kejayaan yang menjadi kebanggaan umat dan kita semua. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment