Monday, August 22, 2011

Salam Akhir Ramadhan: Hidupkan Perjuangan, Muhasabah Diri Mendekatkan Kejayaan

(Biro IT)

Dipetik dari KPP:16

Salam akhir Ramadhan kepada sidang PAPISMA yang dihormati,
Sedar tak sedar kita telah berada di penghujung Ramadhan 1432H. Rasanya seperti baru sebulan kita meninggalkan Ramadhan yang lalu, kini Ramadhan hampir meninggalkan kita lagi. Sayunya hati, pilunya kalbu dan menyesalnya akan diri yang mensesiakan masa pada Ramadhan kali ini tidak dapat digantikan dengan apa juapun, melainkan rahmat dan keampunan Allah yang kita harapkan. Marilah kita pertingkatkan amalan dan terus berusaha mencari malam yang lebih baik dari seribu bulan yang dijanjikan Allah, Lailatulqadar.

Sebelum itu izinkan saya mengimbas kembali seruan saya pada Syawal tahun lalu iaitu melalui KPP-6 (Kolum Presiden Ke-6) yang masih jelas di ingatan saya. Apakah seruan itu tidak bersambut dan tidak dipedulikan? Tepuk dada tanyalah iman. Saya melihat hanya koperasi sahaja yang bertungkus-lumus merealisasikan kutipan dananya meskipun ahli-ahli PAPISMA terus membiarkan mereka (AJK Koperasi) sepi seolah-olah kita semua tidak ada kena-mengena dengannya. Keahlian Koperasi pun hanya beberapa orang saja bertambah! Seruan saya berhubung Hospital Islam dan pengorbanan juga masih terbiar sepi tanpa jawapan...

AQIDAH ADALAH ASAS KOMITMEN

Saya merasakan bahawa ahli-ahli PAPISMA semua masih belum memberikan komitmen yang sebenarnya. Tanpa komitmen, apalah ada pada matlamat yang ingin kita capai. Saya yakin ahli-ahli PAPISMA mampu memberikan momentum yang besar kerana kita semua adalah orang-orang yang faham erti perjuangan dan pengorbanan dalam Islam. Sebagai individu yang beriman, matlamat utama yang ingin kita capai ialah syurga Allah yang maha nikmat dan indah, untuk kehidupan kita selama-lamanya. Tidak ada orang yang percaya akan perkara ini kecuali orang yang beriman seperti kita. Ya, itulah asas komitmen. Iaitu aqidah kita kepada janji-janji Allah. Syurga adalah benar dan neraka adalah benar. Bukankah salah satu amalan yang tidak akan putus pahalanya sehingga hari kiamat ialah amal jariah? (Maksud hadis). Oleh itu, apa lagi yang kita tunggu?

Selama lebih setahun saya menerajui PAPISMA, Alhamdulillah telah banyak perkara yang kita lakukan. Berbagai perkara yang kita telah rancangkan dan kita laksanakan. Banyak yang berjaya meskipun masih ada lagi yang masih belum berjaya. Namun kita pasti akan meneruskan perjuangan ini dengan segala kemampuan yang kita ada. Persoalannya, adakah kita berpuas hati dengan sumbangan kita terhadap PAPISMA? Sesungguhnya Allah SWT tidak bertanya kenapa kamu tidak berjaya tetapi Allah bertanya apakah kamu telah berusaha melakukannya? Jika kita melihat kejayaan PAPISMA, tanyakan diri kita di manakah aku? Begitu juga apabila kita melihat kegagalan PAPISMA, tanyakan diri kita di manakah aku? Apakah aku terlibat dengan kejayaan PAPISMA itu atau sebaliknya? Apakah aku akan terlepas dari persoalan Allah di akhirat nanti sebagai ahli yang telah melaksanakan amanah dan janji? Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Sempurnakanlah janji-janjimu". (Al-Maidah: 1)

KOMITMEN ADALAH AMANAH

Saya suka mengingatkan kepada diri saya dan sahabat sidang PAPISMA sekalian. Sesungguhnya kita semua akan ditanya akan amanah dan janji kita di akhirat nanti. Oleh itu marilah kita ungkap kembali apakah amanah dan janji kita kepada PAPISMA. Pertama ialah membayar yuran sama ada sekaligus ataupun setiap tahun. Masih adakah yang gagal pada peringkat ini? Kedua taat akan arahan kepimpinan. Di sini kita semua perlu mempersoalkan diri kita tentangnya. Setakat manakah aku melaksanakan arahan kepimpinan? Setakat manakah aku mengorbankan masa dan tenagaku dalam melakukan aktiviti sebagaimana yang diputuskan? Setakat manakah aku melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadaku?

KETAATAN ADALAH KOMITMEN

Sahabat yang dikasihi semua, kalau masalah pertama masih berlaku, saya percaya bukan masalah komitmen semata-mata kerana apalah sangat RM20 yuran pendaftaran dan RM60 yuran tahunan sedangkan apabila tiba 'masa menderma', berpuluh ribu dapat dikutip dalam 'sekelip mata'. Saya percaya mungkin masih ada kelemahan dari sudut perhubungan yang perlu diperbaiki. Oleh itu, berikanlah alternatif yang terbaik untuk kita mengatasi masalah ini. Pasti kecanggihan teknologi masa kini mampu membantu kita semua dalam menyelesaikan masalah perhubungan yang agak kritikal ini.

Masalah kedua pula adalah masalah yang perlu diberi perhatian segera oleh semua ahli. Ia bukan sahaja berlaku di peringkat cawangan, malah di peringkat pusat pun demikian. Buktinya ialah hanya beberapa orang sahaja dari kalangan ahli-ahli yang terlibat dengan aktiviti PAPISMA. Orang kata "asyik muka yang sama saja". Perkara ini perlu diselesaikan segera dengan bantuan dari seluruh jentera kepimpinan. Jika perlu, brainstorming adalah jalan terbaik untuk membincangkan masalah pokok ini. Ia adalah masalah ketaatan, ia adalah masalah aqidah perjuangan.

Masalah inilah yang akan membantutkan perjalanan kita untuk mencapai matlamat yang kita gariskan. Kerja kita terlalu banyak di hadapan dan harapan Islam di Malaysia kepada kita sangat besar. Kita mempunyai Koperasi Amalmedik yang perlu diperkasakan, kita mempunyai agenda Hospital Islam yang masih jauh dari jangkauan, kita ingin membina ikon kebangsaan yang masih belum direalitikan, kita akan membina Pusat Perlindungan Wanita yang akan kita usahakan, di samping kerja-kerja amal berkala kita dalam membantu masyarakat yang dhaif dan memerlukan serta banyak lagi perkara yang tidak tersebut di sini. Semuanya menuntut pengorbanan tenaga dan masa yang besar dari ahli PAPISMA. Kita adalah satu-satunya yang mampu memikul tugas dan tanggungjawab ini. Oleh itu, menegakkan sudut ini adalah tugas, amanah dan kefardhuan kita. Untuk menegakkannya memerlukan sokongan dan dokongan dari semua ahli. Sokongan perlukan ketaatan. Tanpanya, PAPISMA tidak akan dapat mewujudkan satu kumpulan yang dapat memberi manfaat yang optimum kepada masyarakat. Ketaatan kepada kepimpinan PAPISMA sama pentingnya dengan ketaatan kepada kepimpinan jamaah yang lebih besar. Ia bukan perkara main-main jika kita ingin melihat kejayaan dan kesyumulan Islam. Mudah-mudahan di akhirnya nanti kita dapat melihat tempat yang indah di syurga hasil gerakerja melalui PAPISMA ini.

MUHASABAH

Perlu ditekankan bahawa ketaatan kepada kepimpinan PAPISMA bukan bererti ketaatan kepada saya secara peribadi, tetapi adalah ketaatan kepada pertubuhan NGO Islam yang saya diamanahkan memimpinnya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan, “kami dengar, dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (An-Nur: 51).

Lihatlah seruan As-Syahid Hassan Al-Banna kepada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin:
"Wahai ikhwan yang tulus! Rukun bai'at kita ada sepuluh, hafalkanlah: fahm (pemahaman), ikhlas,amal (aktiviti), jihad, tadhiyah (pengorbanan), taat (kepatuhan), tsabat (keteguhan), tajarrud (kemurnian), ukhuwah, dan tsiqah (kepercayaan)."

Oleh itu sahabatku sidang PAPISMA sekalian, sempena akhir Ramadhan dan Syawal yang akan menjelang ini kita perlu bermuhasabah. Setiap pemimpin perlu bermuhasabah akan keberkesanan amanah kepimpinan yang dipikulnya. Manakala setiap ahli perlu bermuhasabah akan ketaatan mereka kepada kepimpinan. Kita juga perlu bermuhasabah setakat mana ikhlasnya kita dalam memikul perjuangan melalui PAPISMA ini. Saya sendiri adalah pemimpin dan saya juga adalah ahli. Saya perlu taat kepada keputusan mesyuarat dan saya perlu ikhlas membawa PAPISMA pada jalan yang ditentukan oleh kita semua. Kita adalah di kalangan profesional yang seharusnya hadam akan akidah perjuangan agar ketaatan kita kepada pertubuhan Islam ini tidak berbelah bahagi. Ia adalah ketaatan kepada yang satu, iaitu jamaah yang satu dan perjuangan yang satu bagi mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. Itulah harapan saya dan saya percaya harapan kita semua juga. Sesungguhnya ketaatan adalah komitmen yang dituntut oleh Allah bagi menjayakan perjuangan Islam ini.

‘HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH’
Al faqir Ilallah
Awisul Islah Ghazali, Presiden 2010-12

No comments:

Push-Up Arrow