Monday, August 29, 2011

Muhasabahlah Di Aidil Fitri

(PENGERUSI PAPISMA TERENGGANU)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, nabi akhir zaman yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Pada penghujung bulan Ramadhan yang mulia ini, sudah tentulah telah banyak dan kerap juga kita mengengar ceramah, syarahan dan tazkirah sepanjang bulan, yang menerangkan kelebihan-kelebihan yang banyak yang dikurniakan Allah. Pendek kata bulan ini mungkin boleh kita ibaratkan seperti gedung membeli-belah yang sangat besar, yang menawarkan tawaran-tawaran yang sangat istimewa kepada pengunjung-pengunjungnya, maka sebagai pengunjung yang cerdik sudah tentulah kita akan menggunakan peluang keemasan ini untuk merebut sebanyak mungkin tawaran yang telah ditawarkan.

Saya sekali lagi mahu mengingatkan sahabat-sahabat sekalian akan hadith yang masyhur yang selalu diperkatakan: “Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya adalah pelepasan dari api neraka”. Bahkan hadith juga menyebut bahawa dibulan ini para syaitan dirantai dan pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya. Ringkasnya, jika diibaratkan sebagai laluan atau jalan, ianya seumpama suatu lebuhraya besar yang jalannya lurus tanpa ada gangguan dan sekatan yang akan membantutkan perjalanan ke destinasi yang hendak dituju. Maka dalam bulan ini, destinasi yang hendak dituju cukup jelas, iaitu TAKWA.

Marilah kita sama-sama melakukan muhasabah diri di akhir Ramadhan, sejauh manakah penghayatan kita pada peluang yang telah dijanjikan Allah ini. Adakah kita merasakan yang sudah cukup mujahadah kita di bulan yang para syaitan dirantai, untuk lebih giat beramal ibadah kepadaNya? Ataupun kita tidak merasa apa-apa perbezaan…maka sebenarnya apakah ada halangan lain yang membantutkan usaha untuk mencapai takwa itu. Ya…sebenarnya halangan terbesar adalah diri kita sendiri, yang masih dibelenggu oleh nafsu ammarah yang sentiasa menyediakan laluan mudah kearah kejahatan…

Maka kita seharusnya sentiasa memohon ampun daripadaNya diatas kelalaian diri yang sentiasa alpa sehingga terlalai dan lupa diri. Oleh yang demikian, kita juga mestilah sentiasa mengharapkan rahmat dari Allah, yang rahmatNya meliputi langit dan bumi, dari timur hingga ke barat, rahmatNya tidak terkira luasnya. Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan kita diberi peluang seterusnya untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang dengan tekad untuk membaiki segala kelemahan yang berlaku. Apa yang jelas, harapan kita agar mujahadah sepanjang bulan yang mulia ini akan lebih melonjakkan semangat kita untuk terus melaksanakan misi dakwah melalui PAPISMA.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian. Saya juga bersama keluarga ingin memohon berbanyak kemaafan di atas apa saja kelemahan, kealpaan, serta kesalahan yang telah kami lakukan samada secara sengaja atau tidak, secara terang atau tersembunyi. Saya juga tidak sabar untuk menunggu perjumpaan seterusnya yang diadakan sempena hari raya ini..Insya Allah.

No comments:

Push-Up Arrow