Wednesday, June 29, 2011

Wajarkah Himpunan BERSIH 2 Dilaksanakan?

Biro IT

PAPISMA Terengganu menyokong Himpunan Bersih 2 diadakan jika ia untuk mengembalikan demokrasi di Malaysia sehingga menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kini kedudukan Malaysia pada tahun 2010 di tangga ke 71 (turun 3 anak tangga berbanding tahun sebelumnya) daripada 167 buah negara. Menurut Economist Intelligence Unit yang diumumkan itu, Malaysia telah mengalami penurunan dalam budaya politik dan kebebasan sivil. Berbanding dengan Indonesia yang melompat 9 anak tangga ke tangga ke 60 (dari tangga 69) sedangkan Indonesia sebuah negara yang besar dan dianggap lebih miskin dari Malaysia.

Oleh itu sebagai NGO yang memperjuangkan kepentingan hidup masyarakat, PAPISMA Terengganu sangat prihatin terhadap perkembangan sosiopolitik negara dan mengharapkan Malaysia akan menjadi negara yang makmur dan aman demi untuk membina generasi yang cemerlang melalui sistem demokrasi yang adil. Segala kepincangan yang berlaku perlu diubah segera tanpa mengira cadangan itu datangnya dari pihak kerajaan atau pembangkang. Parlimen perlu digunakan dengan sihat dalam memberi dan menerima teguran yang membina kerana Malaysia bukanlah milik individu tertentu atau parti tertentu tetapi Malaysia adalah milik seluruh rakyatnya. Parti politik yang memerintah merupakan parti yang diamanahkan untuk menjalankan pemerintahan dan tanggungjawab menjaga dan membangunkan negara dan seluruh rakyat Malaysia.

Demonstrasi Adalah Mulia Bagi Mengembalikan Keadilan Demokrasi
PAPISMA Terengganu menganggap bahawa demonstrasi Bersih 2 boleh dilihat sebagai bukti bahawa rakyat mahukan sistem pilihanraya dibersihkan dan menjadi lebih adil. Kami juga melihat dengan bukti yang jelas adanya penyelewengan yang berlaku dan dibiarkan. Ia dibicarakan di Parlimen, didedahkan di dalam suratkhabar dan internet. Namun sehingga kini, 16 pilihanraya kecil berlangsung sejak PRU12 tahun 2008, kami mendengar dan melihat masih berlaku kecacatan dan penyelewengan di mana-mana. Ianya belum dibaiki.

Penyelewengan dalam pilihanraya akan mencacatkan demokrasi. Apabila demokrasi cacat, pemerintahan negara akan cacat dan penyelewengan akan mudah berlaku. Oleh itu, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan pandangan positif dan menilai dengan saksama apakah tuntutan Bersih 2 itu wajar diterima dan dilaksanakan ataupun sebaliknya. Bukannya berusaha menghalang demonstrasi itu kerana demonstrasi aman merupakan hak kepada rakyat Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan. Mereka yang berdemonstrasi bukan dibayar, malah mereka akan menanggung segala kos dan kesusahan untuk hadir. Namun jika mereka tetap datang berdemonstrasi itu bermakna tuntutan mereka serius dan perlu diambil perhatian. Itulah indahnya demokrasi. Sebab itu SUHAKAM sendiri (yang terdiri dari pakar undang-undang dan dilantik oleh kerajaan) meminta kerajaan membenarkan perhimpunan aman itu berlangsung. Pihak Kementerian Dalam Negeri dan Polis bertanggungjawab menjaga keamanan semasa perhimpunan tersebut berlangsung biar berapa ramai sekalipun yang berhimpun kerana itu tugas dan tanggungjawab mereka. Oleh itu marilah kita melihat apakah tuntutan Bersih 2 itu.

Tuntutan Bersih 2
PAPISMA Terengganu melihat, tuntutan pihak Bersih sehingga menganjurkan demonstrasi kedua itu suatu yang perlu diambil perhatian. Ia tidak perlu dijadikan bahan pertengkaran. Jika tuntutan itu baik dilaksanakan demi kelangsungan sistem demokrasi yang adil di Malaysia, pihak kerajaan perlu melaksanakannya. Jika kebaikan itu ditolak, ia akan menggambarkan seolah-olah adanya pihak yang ingin mempertahankan penyelewengan. Ia boleh memalukan negara Malaysia di dalam era moden dan globalisasi ini. Berikut adalah tuntutan Bersih 2 untuk makluman kita semua:

1. Bersihkan senarai undi.
Adakah senarai pengundi sudah dibersihkan? Masih adakah senarai orang mati keluar mengundi sebagaimana pilihanraya yang lalu? Masih adakah pengundi asing yang menjadi pengundi sebagaimana bukti-bukti yang dinyatakan oleh pihak Bersih? Jika ianya tuntutan yang berasas, seharusnya kerajaan menerima tuntutan ini.

2. Mereformasi undi pos.
Apakah undi pos mempunyai kelemahan? Benarkah para tentera dan polis Malaysia tidak mengundi selama ini yang mana undi pos itu hanya dipangkah oleh wakil sahaja sebagaimana banyak pengakuan yang dibuat? Apakah patut mereka yang berada di kawasannya masih tidak dibenarkan mengundi hanya semata-mata profesionnya seorang polis atau tentera? Begitu juga dengan pegawai dan kakitangan SPR? Jika memang benar bukti yang dilaporkan itu, tidak sepatutnya pihak kerajaan membenarkan perkara ini terus berlaku kerana ia akan membawa ketidakadilan yang serius.

3. Penggunaan dakwat kekal
Apakah penggunaan dakwat kekal itu memang suatu keperluan? Apa tujuannya? Adakah ia berkesan menghalang seseorang mengundi lebih dari sekali? Jika sememangnya benar, maka pihak kerajaan seharusnya menerima tuntutan ini kerana tidak sepatutnya seseorang itu mengundi lebih dari sekali. Apa akan berlaku jika seseorang mengundi lebih sekali? Sudah tentu ia akan mempengaruhi keputusan pilihanraya. Maka ia adalah tuntutan yang baik dan wajar diterima.

4. Masa kempen minima 21 hari
Apakah masa kempen ini wajar dilanjutkan kepada 21 hari? Apakah pihak parti pemerintah dan parti pembangkang telahpun mendapat masa yang cukup untuk berkempen selama ini? (Sekarang masa kempen adalah 7 hari). Benarkah media massa seperti TV dan akhbar lebih berpihak kepada parti pemerintah? Jika benar, sudah tentu satu kewajaran untuk memanjangkan masa kempen kerana pihak pembangkang juga perlu menyebarkan maklumat dan manifestonya kepada masyarakat keseluruhannya. Jika tidak tentulah ia menjadi berat sebelah dan ini merupakan ketempangan sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

5. Akses media yang bebas dan adil
Apakah media selama ini adil dalam memberikan ruang kepada parti pemerintah dan parti pembangkang? Jika mesyuarat agong UMNO mendapat liputan di TV apakah Muktamar PAS ataupun perti pembangkang lain juga mendapat liputan yang sama? Kalau isi-isi ucapan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) mendapat liputan media, apakah isi-isi ucapan yang sama oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) juga mendapat liputan yang sama? Jika terdapat ketidakseimbangan itu, maka seharusnya pihak kerajaan perlu menerima tuntutan ini untuk menjadikan demokrasi lebih adil di Malaysia.

6. Kukuhkan institusi awam
Apakah selama ini institusi awam lemah? Terutama SPRM, SPR dan Badan Kehakiman? Apakah dengan tuntutan ini menyebabkan Malaysia menjadi semakin maju dan cemerlang? Jika ya, maka sangat wajar tuntutan ini diterima demi menjadikan Malaysia lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

7. Hentikan rasuah.
Apakah benar wujudnya rasuah dalam pentadbiran kerajaan? Apakah kesannya rasuah kepada negara? Bagaimanakah ancaman agama kepada perasuah dan mereka yang terlibat dengan rasuah? Jika memang benar rasuah itu wujud, ia jelas membawa keburukan kepada negara. Maka tuntutan ini perlu diterima dan Malaysia perlu dibebaskan dari amalan rasuan oleh sesiapa sahaja.

8. Hentikan politik kotor
Menggunakan teknologi moden untuk memfitnah? Menggunakan media untuk mencipta konspirasi yang tidak wujud? Mereka cerita yang bohong? Membeli pengundi dan mengugut pengundi? Menggunakan jentera kerajaan untuk kempen? Apakah semua ini berlaku? Jika ia sememangnya berlaku, bukankah sewajarnya ia dihentikan? Sekiranya ia belum berlaku, sewajarnya ia dihalang.

PAPISMA Terengganu melihat keseluruhan tuntutan Bersih 2 ini adalah suatu yang sangat positif bagi meningkatkan keadilan proses demokrasi dan ketelusan pentadbiran kerajaan. Oleh itu ia sangat wajar diterima.

No comments:

Push-Up Arrow