Tuesday, June 28, 2011

Agenda Perjuangan Dalam Pengajaran Israk Dan Mikraj

Dr. Md Arif Ibrahim
Pengerusi PAPISMA Terengganu

Segala puji bagi Allah, Pentadbir seluruh alam, salawat dan salam ke atas junjungan besar, hambaNya dan pesuruhNya, Nabi Muhammad S.A.W. Nabi pembawa rahmat buat sekalian alam, ajarannya merupakan wahyu dari Allah yang tiada syak sedikit pun padanya, membawa kebajikan kepada seluruh makhluk.

Firman Allah yang mafhumNya:
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya(Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah Al Israa’:1)

Ayat ini sesungguhnya menjadi dalil tentang peristiwa Israa’ Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidiil Aqsa dengan roh dan jasadnya. Adapun tentang peristiwa Mi’raj itu ada disebutkan dalam Surah An-Najm.

Ujian Ke Atas Iman

Peristiwa ini telah menggemparkan masyarakat Mekah ketika itu. Itulah saat keimanan diuji. Golongan musyrik yang diketuai oleh Abu Jahal merasakan itulah peluang terbaik untuk digunakan bagi mendedahkan apa yang disifatkan sebagai pembohongan Muhammad SAW.

Mereka telah menghebohkannya di samping memperolok-olokkannya sehingga ada di kalangan individu yang mula sangsi tentang ajaran yang dibawa oleh Muhammad SAW, kerana bagi mereka peristiwa bersejarah itu adalah tidak lojik dan sangat jauh untuk diterima oleh akal fikiran. Berapa ramai manusia yang berpandukan kepada akal fikiran semata-mata tanpa ada keyakinan terhadap perutusan Rasulullah akhirnya menjadi sesat.

Namun akan ada insan yang tetap teguh imannya seperti Saidina Abu Bakar As Siddiq RA yang tanpa berfikir panjang dan tentunya tidak melakukan analisa berdasarkan lojik akal fikiran yang sangat terbatas. Beliau terus membenarkannya…bahkan jika ada yang lebih aneh lagi pun, beliau tetap akan membenarkannya. Sebenarnya inilah janji Allah…individu dan golongan ini akan tetap wujud di sepanjang zaman, iaitu golongan yang tetap teguh berpegang dengan semua ajaran dan kenyataan Ar Rasul SAW dengan tidak melakukan analisa di dalam perkara yang tidak dibenarkan.

Dari Masjidil Haram Ke Masjidil Aqsa

Ada hadith yang menyatakan bahawa rumah ibadah pertama yang didirikan ialah Baitullah di Mekah, dikuti dengan dengan rumah ibadah kedua iaitu Masjidil Aqsa yang terletak di Palestin.. Kedua-duanya merupakan bumi suci yang penuh dengan keberkatan. Beribadah di kedua-dua tempat ini selain dari Masjid Nabawi akan di berikan pahala yang berlipat-lipat kali ganda oleh Allah. Bahkan kedua-dua tempat itu merupakan sumber kekuatan, bukan setakat lambang kepada umat ini

Maka sudah pastilah ada hikmah mengapa peristiwa Israa’ ini berlaku melibatkan kedua tanah suci ini.. Perkaitan yang paling jelas tentunya kerana kedua-duanya merupakan rumah ibadah terawal yang wajib dipertahankan oleh umat Islam.

Ya…itulah antara hikmahnya. Kerana memahami hikmah inilah, maka Saidina Umar RA telah membebaskannya dalam peristiwa yang penuh bersejarah. Antara ucapan yang masyhur yang telah diucapkan oleh beliau yang wajib kita pegang ialah: “ Sesungguhnya kita adalah kaum yang telah diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam, maka barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari kemuliaan yang dikurniakan Allah, mereka akan mendapat kehinaan dari Allah”.

Firman Allah yang mafhumnya:
"Barangsiapa yang mencari selain dari Islam sebagai Din (cara hidup), maka tidak diterima sama sekali, dan dia di akhirat nanti akan termasuk di kalangan mereka yang kerugian”.

Kerana memahami hikmah inilah maka Salahuddin Al Ayubi berjihad bermatian-matian untuk membebaskan Al Quds. Kerana memahami hikmah inilah juga maka pejuang Islam di sepanjang zaman sehingga sekarang bangun mempertahankan bumi suci Al Aqsa. Mereka yang sebenarnya berjuang ialah mereka yang berjuang di atas nama kesucian Islam, bukannya di atas nama kebangsaan Arab yang akhirnya dipergunakan serta diperbodohkan oleh Zionis dan pakatannya.

Peranan Kita

Maka apakah peranan kita wahai sahabatku sekalian…

1. Saya yakin kita semua tergolong dalam golongan yang dikurniakan rezeki yang lebih dari cukup jika kita pandai membelanjakannya. Sebenarnya kita sedang berdepan dengan dua cabaran utama iaitu:

a. Orang kaya yang bakhil..mereka tidak mengetahui hak Allah dan hak orang lain ke atasnya menjadikan mereka bakhil dalam perkara yang wajib.

b. Orang kaya yang boros.. mereka ini gemar membazirkan harta dan tidak peduli ke arah mana harta itu dibelanjakan dengan tanpa had dan batas.

Walaupun kita tidak boleh menjadi sehebat Saidina Abu bakar RA yang meninfaqkan seluruh hartanya pada jalan Allah hinggalah yang tinggal padanya hanya Allah dan Rasul…atau tidak sehebat Saidina Umar RA yang menginfaqkan separuh dari hartanya untuk jihad Fi Sabilillah yang merupakan sifat keutamaan kerana mendahulukan kepentingan orang lain, tapi mustahil kita tidak boleh menginfaqkan sebahagian dari lebihan harta kita untuk Fi Sabilillah.

Sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Tidak ada sedekah kecuali dari orang yang kaya”.

Ini merupakan kenyataan, melainkan kita termasuk dalam dua golongan yang diterangkan sebelum ini. Jadi, marilah sama-sama kita infaqkan harta kita pada jalan Allan, termasuk untuk perjuangan untuk membebaskan Al Quds.

2. Doa dan qunut nazilah.

Sabda Nabi SAW, maksudnya:
"Barangsiapa yang tidak mengambil tahu urusan dikalangan Muslimin, maka mereka bukan dari kalangan mereka”.

Kita mungkin tidak mampu untuk terus berada di sana untuk berjihad secara langsung, tapi sekurang-kurangnya kita boleh menadah tangan berdoa dan berqunut nazilah supaya diberikan ketabahan dan kekuatan serta kemenangan Islam. Rasailah keperitan saudara-saudara kita di sana…sebenarnya saudaraku, tak dapatlah dibayangkan jika yang dibunuh itu ialah ibubapa kita sendiri, suami-isteri dan anak-anak kita di depan mata kita…air mata darah sekalipun tidak mampu menafsirkan kepiluan hati seorang anak, seorang ibu dan seorang abang atau kakak. Bukankah itu yang sepatutnya kita semua rasakan?!!

Ataupun adakah perasaan kita sudah terlalu jauh untuk merasai serta menjiwai satu perbandingan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW, bahawa hubungan saudara seaqidah itu adalah ibarat badan yang satu..Ya Allah..mengapa hati kita semakin jauh dari merasai keperitan itu.

3. Hidupkan kembali semangat untuk boikot barangan Israel dan sekutunya.

Prof Syeikh Yusof Al Qardhawi berkata:
“Sesungguhnya setiap riyal/dirham yang kita belanjakan untuk membeli barangan mereka, akan digunakan untuk membeli peluru dan senjata yang akan menembusi jantung anak-anak/ saudara kita di Palestin”.

Marilah kita tanamkan perasaan benci untuk membeli barangan mereka…tanamkan juga di fikiran anak-anak kita, sesungguhnya anakku, duit yang yang kita belanjakan untuk membeli barangan ini akan digunakan untuk membeli peluru untuk membunuh saudara seagama kita. Nah…apa perasaan mu wahai anakku, jika peluru itu menembusi tubuh ayah dan ibumu, menembusi tubuh abang, kakak dan adikmu juga saudara-saudaramu yang lain?!!.

Tribulasi Perjuangan

Peristiwa Israa’ dan Mi’raj banyak memberikan pengajaran betapa perjalanan hidup ini akan diuji dengan bermacam-macam ujian dan godaan. Cabaran- cabaran tersebut kadang-kadang boleh melalaikan dan melemahkan kita terutamanya kita yang bergelar profesional Muslim yang telah berada di jalan dakwah.

Marilah sama-sama kita menelaah Firman Allah yang mafhumNya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu dari mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya)”.(Surah Al Munafiqun:9)

Dalam konteks perjuangan kita… apakah cabaran utama yang sedang kita hadapi? Sudah tentulah ianya melibatkan faktor keluarga, kahwin dan kerja…Halangan dari keluarga, pasangan hidup yang tidak memahami kehendak perjuangan lantas menjadi penghalang untuk bergerak melaksanakan amal Islami, serta kesibukan kerja di samping cara pergaulan semasa bekerja semuanya boleh melalaikan kita semua.

Setiap Perbuatan Akan Dinilai Dan Dibalas Dengan Seadilnya

Peristiwa Mi’raj menjelaskan lagi bahawa sesungguhnya setiap perbuatan manusia, baik atau buruk akan dibalas dengan balasan yang setimpal dan ianya telah dipertontonkan kepada Nabi kita, Muhammad SAW. Nikmat syurga dan azabnya siksaan neraka sepatutnya menjadi pendorong yang paling kuat kepada kita untuk berusaha sekuat mungkin untuk melaksanakan segala suruhan Allah serta menjauhkan diri dari tegahanNya.

Firman Allah, mafhumNya:
"Barangsiapa yang melakukan walau seberat zarah amal kebaikan, nescaya ianya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya), dan barangsiapa yang melakukan walau sebesar zarah amal kejahatan, nescaya ianya akan diperlihatkan (dalam suratan amalnya)”.

Dalam kitab Riyadhus Salihin, karangan Imam Nawawi, banyak di ceritakan akhlak dan adab- adab yang diajar oleh Nabi SAW, termasuklah dalam perkara yang mungkin dipandang remeh seperti adab memakai sepatu...makruh jika hanya memakai hanya sebelah sepatu dengan tiada sebab yang diizinkan, adab dalam mencukur rambut bahkan ada hadith yang mengajar kita supaya memastikan api yang sedang menyala atau lampu hendaklah dipadamkan sebelum tidur…sudah tentunya sebagai langkah keselamatan penghuni rumah tersebut.

Nah…jika sekiranya dalam perkara yang sekecil itu pun diajar oleh Rasulullah, yang terpakai di dalamnya hukum haram, halal, sunat, makruh dan harus, maka amatlah mustahil jika Nabi tidak mengajar kita dalam perkara yang lebih besar seperti pendidikan, sosial, ekonomi dan pemerintahan. Maka sudah pastinya semua perkara ini juga akan dicatit dalam suratan amal dan akan diperlihatkan semasa hisab nanti.

Alhamdulillah, segala puji bagi Mu Ya Allah…yang telah mempertautkan hati-hati kami dalam wadah ini...sepatutnya inilah wadah yang perlu kita gunakan sebaik mungkin untuk melakukan tugas amal ma’ruf dan nahi mungkar, yang kita doakan agar ianya diterima sebagai amal soleh dan mudah-mudahan kesilapan dan dosa yang telah kita lakukan mendapat keampunanNya... Amin.

Untuk pengetahuan sahabat-sahabat Papisma Terengganu, SMART Papisma sekarang dalam rangka untuk menubuhkan sebuah Yayasan SMART…yang sudah tentu akan menjadi sebuah yayasan yang tersusun dan berstrategik dalam melakukan tugas ini. Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan urusan berkaitannya dipermudahkan oleh Allah SWT…amin.

Anugerah Langsung Dari Allah Iaitu Solat

Betapa besarnya ibadah ini sehingga ianya diberikan secara langsung oleh Allah kepada Rasulullah SAW di malam Mi’raj. Alangkah hebatnya ibadah ini, alangkah bahagianya hati insan yang bertakwa disaat menghadirkan diri untuk mengadap Allah…bahkan mereka tidak sabar-sabar pula untuk menunggu waktu seterusnya untuk mengadap Yang Maha Pencipta!.

Sesunggunya solat adalah kunci kesabaran, ianya adalah antara punca ketenangan, ianya adalah sumber kekuatan..masa untuk mengadu segala keluh kesah kita... dan solat merupakan benteng yang paling kuat untuk menahan diri dari melakukan maksiat kepada Allah. Maka wajiblah bagi kita menjaga solat kita dan keutamaan sudah tentunya solat secara berjemaah.

Bukan setakat itu sebenarnya… sepatutnya kita juga perlu perkuatkan jiwa kita dengan solat-solat sunat dan melazimi diri bertahajud. Tidakkah kita suka jika kita dapat beramal dengan amalan yang disifatkan oleh Allah sebagai Ibadur Rahman iaitu antara lain firman Allah yang mafhumnya:
"Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri”. (Surah Al Furqan:64)

Dalam satu hadith yan panjang, Al Imam Ahmad melaporkan dari Ibnu Mas’ud..menerangkan perihal dua golongan.

i. Pertama ialah golongan yang sanggup meninggalkan tempat tidur untuk mengerjakan solat sunat semata-mata untuk mencari redhaNya pada waktu sepertiga malam.

ii. Kedua adalah golongan yang berjuang dijalan Allah hingga ke akhir hayatnya. Apabila dia melihat rakan-rakannya kalah dalam medan perang, maka dia hendak berundur, tetapi dia tahu akibatnya sekiranya dia melarikan diri dari medan perang. Oleh itu dia pun kembali bangkit bertempur sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Kedua-dua golongan ini mengharapkan pahala di sisi Allah dan takut kepada seksaanNya. Sesungguhnya Allah akan memuji mereka di hadapan para Malaikat. Alangkah bahagianya diri jika tergolong dalam dua golongan tersebut.

Penutup

Sesungguhnya Peristiwa Israa’ dan Mi’raj mengajar kita banyak perkara. Ianya bukan setakat peristiwa yang hanya disambut sebagai satu acara untuk memenuhi jadual tahunan, tetapi ianya lebih daripada itu. Amatlah rugi jika jika tidak dapat mengambil pengajaran daripadanya…maka samalah kita dengan mereka yang merayakan majlis sambutan peristiwa tersebut sebagai adat sahaja.

Wallahu A’lam

No comments:

Push-Up Arrow