Tuesday, June 14, 2011

KHIDMAT PAPISMA SEBAGAI PELUANG YANG TERHIDANG

(Biro IT)

Dalam kesibukan tugas sehari-hari, para doktor PAPISMA tidak seharusnya menjadikan ia sebagai alasan untuk melaksanakan aktiviti amal terhadap para pesakit. Ia merupakan suatu amal yang besar pahalanya. Tanggungjawab ini merupakan satu tugas yang perlu dilaksanakan kerana itulah salah satu bentuk 'ikrar' dalam PAPISMA yang termaktub di dalam perlembagaannya. Mereka yang bersedia untuk berada di dalam PAPISMA perlu sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka di dalam masyarakat. Tidak sayugia mereka hanya duduk bersenang-lenang di rumah, bermain dengan keluarga dan anak isteri kerana itu bukanlah ciri-ciri para amilin PAPISMA.

Mereka boleh mencipta alasan, tetapi Allah tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Mereka boleh mengatakan bahawa aktiviti PAPISMA tidak wajib, maka tidak perlulah mereka terpaksa atau 'dipaksa' untuk melakukan aktiviti yang non-profit seperti itu.

Dr. Arif dan Dr. Hazizul sedang melakukan pemeriksaan dalam
program house visit.

Sememangnya di dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan, terdapat ahli yang berkualiti dan kurang berkualiti. Ada yang hanya boleh memimpin tetapi tidak boleh melaksana, ada pula yang sebaliknya dan ada pula yang memiliki kedua-duanya. Begitu juga dengan PAPISMA. Oleh itu, tugas kepimpinan untuk memikirkan bagaimana mahu memotivasikan persatuannya agar ahli-ahlinya sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat dengan penuh ceria dan bersemangat.

Namun untuk mendapatkan orang benar-benar ikhlas bekerja, ianya sangat sukar. Sayidina Ali r.a pernah berkata : “Manusia itu sangat malas membaca, kalaupun ia membaca ia susah untuk faham, kalaupun ia faham ia susah untuk mengamalkan, kalaupun ia mengamalkan ia susah untuk ikhlas”.

Sesungguhnya ia bermula dengan hati yang ikhlas. Seseorang yang ikhlas, walau bagaimana beratpun kerjanya sehari-hari, ia tetap melihat bahawa di sana terdapat ganjaran yang besar sedang menantinya untuk tugas yang ditawarkan kepadanya oleh persatuan. Ia bersegera menyahut panggilan. Ia berusaha meluangkan masa yang sedikit lapang itu untuk berkhidmat. Ia melihat bahawa tugas yang tersedia di depan mata itu merupakan peluang yang belum tentu dapat diperolehinya buat kali kedua. Hebatnya memiliki sebuah hati yang ikhlas. Allah SWT berfirman : "Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan..."(An Nisa’:125)

Dr. Wan Mohd Razin sdang memeriksa tekanan darah seorang pesakit.

Diriwayatkan bahawa Imam Ghazali pernah bermimpi, dan dalam mimpinya beliau mendapatkan kabar bahwa amalan yang besar yang pernah beliau lakukan di antaranya adalah di saat beliau melihat ada seekor lalat yang masuk kedalam tempat tintanya, lalu beliau angkat lalat tersebut dengan hati-hati lalu dibersihkannya dan sampai akhirnya lalat itupun kembali terbang dengan sihat. Maka sekecil apapun sebuah amalan apabila kita kerjakan dengan sempurna dan benar-benar tiada harapan yang muncul selain pada Allah, maka akan menjadi amal yang sangat besar dihadapan Allah SWT.

Warga tua disantuni kerana upaya mereka perlukan bakti untuk
meneruskan hayat di bumi Ilahi.

Hidup berseorangan tanpa anak sebagai teman, kemudahan yang terhad
menyebabkan warga tua seolah-olah dipinggirkan.

Selagi usia masih tersisa, kesihatan perlu dijaga. Amanah Allah untuk
diri agar peluang sihat dapat diguna untuk beribadat.

Oleh itu, sebagai ahli PAPISMA yang dikuniakan Allah peluang untuk meraih ganjaran pahala yang besar, janganlah lepaskan peluang untuk berkhidmat kepada orang yang sakit. Sabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang muslimpun yang menziarahi orang muslim yang sedang sakit pada pagi hari kecuali ada 70,000 malaikat bersalawat kepadanya hingga petang, dan apabila ia menjenguk pada petang harinya mereka akan salawat kepadanya hingga pagi hari, dan akan diberikan kepadanya sebuah taman di syurga” HR. Tirmidzi.

Akhirnya marilah kita memahami bahawa peluang yang Allah kurniakan untuk kita ini rebutlah kerana barangkali ianya tidak muncul lagi pada masa akan datang. Sabda Rasulullah SAW:
" Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (HR al-Hakim dan al-Baihaqi).

1 comment:

Batu Burok said...

Marilah Sama-sama kita Merebut Peluang ini yang jarang-jarang diperolehi.....

Push-Up Arrow