Saturday, May 28, 2011

SMART PAPISMA Kembali Berkhidmat

Biro IT

Alhamdulillah, setelah 4 bulan berlalu pergi dengan penuh kesibukan dan kenangan, tahun 2011 kembali diceriakan dengan program SMART PAPISMA melalui kempen 2K-nya. Kali ini SMART PAPISMA mengadakan program dengan kerjasama Khairunnisa' Terengganu memandangkan di perkampungan ini, persatuan ini sangat aktif dalam membuat program-program untuk remaja dan ibubapa dalam membantu dan meningkatkan prestasi hidup mereka.

Selama lebih kurang 2 minggu persiapan dilakukan, akhirnya pada pagi 27 Mei 2011, seramai lima orang ahli PAPISMA Terengganu bertolak menuju ke Kg. Pengkalan Star, Marang dalam keadaan hujan renyai-renyai. Tapak program yang jaraknya kira-kira 10 km dari bandar Kuala Terengganu ini masih agak sunyi dibalut kedinginan suasana sejuk akibat hujan di awal pagi lagi.

Sesampainya rombongan kami di sana hujan telahpun berhenti. Sepanduk telahpun digantung di bahagian luar pagar bagi memberitahu penduduk tapak program yang akan diadakan.

Sepanduk SMART PAPISMA yang sentiasa menemani ke mana saja SMART pergi.

Pihak Khairunnisa' juga menyediakan sepanduk yang berasingan.

Suasana pukul 9.00 pagi yang masih sejuk. Berlatarbelakangkan sungai dan pokok nipah yang indah dan menyejukkan mata memandang. Kelihatan beberapa orang ahli jawatankuasa Khairunnisa' setia menunggu kehadiran penduduk kampung.

Tanpa melengahkan masa, persiapan menyediakan peralatan multimedia terus dilakukan.

Kira-kira pukul 10 pagi, majlis dimulakan dengan dipengerusikan oleh Ketua Khairunnisa'.

"Kami sangat mengalu-alukan kehadiran para doktor dan tetamu sekalian. Apa yang penting kita dapat mengetahui tentang maklumat kesihatan dan tahap kesihatan selepas ini..." Tn. Haji Yahya mewakili penduduk kampung menyampaikan ucapan.

Seterusnya ceramah 2K disampaikan oleh Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md Arif.

Sebahagian penduduk yang hadir memberikan tumpuan kepada ceramah 2K yang disampaikan.

Para doktor PAPISMA juga tidak ketinggalan memberikan perhatian kepada ceramah yang disampaikan kerana berbagai-bagai isu baru yang cukup menarik telah disentuh.

"Inilah akibatnya kalau hidup tidak dipandu dengan iman. Bayi yang tidak berdosa dibuang tanpa belas kasihan. Hukuman akhirat tidak diendahkan..." Begitu lantang dan bermotivasi sekali Dr. Md Arif memberikan ceramahnya.

Selepas ucapan dan ceramah yang mengambil masa kira-kira 50 minit, pemeriksaan kesihatan percuma terus dilakukan. Beberapa ubat penting juga dibawa bagi diberikan kepada penduduk yang memerlukan ubat dengan segera seperti darah tinggi.

Kelihatan para petugas SMART PAPISMA sedang sibuk menjalankan pemeriksaan. Dari kiri (memakai vest) Dr. Norhaizi, Dr. Roslan dan Dr. Md Arif.

Para penduduk sedang setia menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan.

"Bukan senang nak dapat doktor datang ke kampung kita ni..." Mungkin itu yang sedang difikirkan dan diperkatakan oleh mereka.

"Janganlah aku ada darah tinggi pulak... lama tak cek ni..." Pakcik-pakcik juga sabar menanti giliran.

"Gula dalam darah kakak normal. Kakak tak perlulah berpantang sangat ye..." Dr. Norhasimah sedang menasihati seorang penduduk.

"Meter ni tak berapa nampak la... gerok ke dok ni?" Serius sekali Dr. Arif menjalankan tugasnya.

"Jap kak ye... Nak kena cek sekali lagi ni..." Kak Han juga tak menang tangan nampaknya.

"Darah abang tinggi sikit ni. Nanti saya cek gula dalam darah pulak ye." Abang Lan sedang melakukan ujian untuk mengetahui tahap gula dalam darah.

Pn. Hjh. Zarani, Ketua Khairunnisa' (belakang) sedang memerhatikan pemeriksaan yang sedang berjalan bagi memastikan perjalanannya lancar.

"Terima kasih semua... harap sudi datang lagi buat program di sini." Masing-masing sedang mengemaskan barang-barang setelah progam selesai.

Berakhirlah sudah khidmat SMART PAPISMA yang dijalankan pada kali ini. 65 orang penduduk telah menjalani pemeriksaan dan kaunseling. Berbagai penyakit baru telah dikesan dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan susulan dari klinik berhampiran atau terus ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan akan memberikan manfaat kepada penduduk dalam mengubah persepsi terhadap masalah yang berlaku di sekeliling mereka apatah lagi yang melibatkan remaja. Apa yang penting, mereka faham bahawa usaha tepenting yang dapat mengatasi masalah yang berlaku ialah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah iaitu dengan memberikan kefahaman agama selengkap yang mungkin kepada anak-anak. Itulah penyelesaian yang terbaik untuk umat.

1 comment:

Push-Up Arrow