Thursday, May 19, 2011

Martabatkan Amal Islami Dalam Dunia Kesihatan

Biro IT

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP11)

Martabatkan Amal Islami Dalam Dunia Kesihatan

Assalamualaikum Wbt

Sahabat-sahabiah semua,

Maksud Firman Allah SWT:

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.- `Al Baqarah 262’-

Salah-satu berita gembira yang baru sahaja kita semua lalui dan masih lagi kita terasa kehangatannya ialah Pelancaran buku sulung PAPISMA terbitan PTS berjudul Fikah Perubatan. Walaupun pada waktu dan ketika ini hanya ada sebuah sahaja buku tersebut yang benar-benar telah dicetak dan yang selainnya sedang menunggu giliran, kita telah menerima khabar gembira kerana tempahan dalaman daripada ahli-ahli PAPISMA sahaja sudah menghampiri 400 buah. Juga pelbagai pertanyaan datang dari segenap jurusan perubatan dan kesihatan bersekutu dari seluruh dunia termasuklah Indonesia, United Kingdom, Mesir, Jordan, Ukraine dan lain-lain bertanyakan khabar.

Semua ahli ternanti-nantikan buku ini dan pelbagai perancangan awal telah difikirkan oleh ahli. Ada yang merancang untuk meletakkan buku tersebut di perpustakaan-perpustakaan awam, ada yang merancang untuk meletakkannya di wad-wad hospital, ada yang merancang untuk menjadikannya sebagai hadiah dan cenderamata istimewa pada kawan-kawan serta pelbagai rancangan lagi telah difikirkan oleh kita terhadap buku tersebut.

Tahniah dan terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada empat tenaga utama yang telah bersungguh-sungguh menjayakan penulisan dan penerbitan buku tersebut sehingga akhirnya tertunailah harapan dan cita-cita yang telah begitu lama kita pendamkan. Penulisan dan penerbitan buku ini adalah unik kerana ianya ditulis dan digarap oleh dua orang pakar perubatan dan dua orang pakar dalam bidang syariah. Lebih unik kerana ia melibatkan gabungan jantina yang lengkap, seorang pakar perubatan muslim, seorang pakar syariah muslim, seorang pakar perubatan muslimah dan seorang pakar syariah muslimah. Satu gabungan yang sukar dicari, saling lengkap-melengkapi, meng`ulama’kan profesional, memprofesionalkan ulama’, mungkin boleh dijadikan satu kiasan mudah.

Buku tersebut yang selama ini begitu ditunggu-tunggu oleh adik-adik pelajar perubatan khususnya kerana bakal memberi jawaban terhadap kemusykilan-kemusykilan yang timbul semasa mempraktikkan ilmu perubatan moden sangat wajar di bincang, di usrahkan serta dijadikan bahan wacana ilmiah. Buku ini yang ditulis dalam bahasa yang agak mudah, bukan sahaja khusus untuk bacaan tenaga kesihatan tetapi adalah untuk semua umat mengambil menafaat daripadanya. Ia bukan khusus untuk umat Islam sahaja tetapi ia perlu disebar luaskan di kalangan kawan-kawan kita yang tidak beragama Islam supaya mereka lebih memahami akan maslahah-maslahah dan kepentingan serta keperluan umat Islam di dalam melaksanakan amalan Islam di dalam kehidupan seharian. Sekiranya keperluan penganut-penganut `Jehovah Witnesses’ selalu di war-warkan di dalam buku-buku perubatan dan sangat dihormati, maka adalah sangat wajar kita selaku tenaga perubatan Islam membantu di dalam memartabatkan amal Islami di dalam dunia kesihatan yang pesat berkembang ini.

Suatu ketika dahulu, isu pakaian petugas kesihatan wanita adalah isu utama yang menjadi perbincangan ummah. Lalu kesesuaiannya dengan syariah telah diperjuangkan oleh jemaah Islam sama ada melalui pentas NGO atau pentas politik. Kesan daripada usaha yang bersungguh-sungguh dan istiqamah itu telah menimbulkan keputusan yang begitu baik sekali. Salah satu daripada pakaian petugas kesihatan wanita yang sopan dan mengikuti ciri-ciri yang dipesankan oleh Baginda SAW hari ini adalah pakaian petugas kesihatan wanita di negara kita.

Oleh itu usaha untuk memartabatkan amal Islami di dalam dunia kesihatan ini perlu dijalankan secara berterusan, bersungguh-sungguh dan istiqamah sepanjang zaman. Pada masa-masa yang tertentu perlu ada momentum baru untuk melonjakkan kembali gegaran dan laungan memartabatkan amal Islami di dalam dunia kesihatan hari ini. Penulisan dan penerbitan buku Fikah Perubatan ini sangat wajar kita jadikan sebagai suatu momentum baru bagi melonjakkan kembali laungan dan gegaran MEMARTABATKAN AMAL ISLAMI di dalam dunia kesihatan hari ini.

Sesungguhnya buku edisi pertama ini sudah pastilah mempunyai beberapa kekurangan tertentu dan bukanlah sebuah teks yang lengkap sepenuhnya. Ianya masih memerlukan tambahan-tambahan dan suntingan dari semasa ke semasa untuk menjadikannya sebuah teks yang lebih lengkap. Kita menyeru dan menunggu agar akan ada di kalangan pembaca sekalian yang akan memberikan komen-komen membina ke arah menghasilkan sebuah buku Fikah Perubatan yang lebih lengkap dan kontemporari sifatnya pada masa yang akan datang.

Semoga rahmat dan ihsan Allah bersama kita.

Wassalam.

Al-Faqir Ilallah

A.I Ghazali

Presiden PAPISMA 2010-2012

No comments:

Push-Up Arrow