(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP6)
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.
Segala puji bagi Allah yang telah memberikan nikmat iman dan kesempatan berada dalam keberkatan Ramadhan 1431H yang akan berakhir sekadar bberapa hari lagi. Hari ini bulan berkat itu telah beransur-ansur meninggalkan kita untuk kesekian kalinya. Perginya Ramadhan tentunya membawa seribu satu catatan amal-amal kita. Kini Syawal pula menjelang tiba untuk kita sambut dengan gembira sebagai menandakan kemenangan melawan hawa nafsu. Sesungguhnya kegembiraan kita di bulan Syawal ini juga merupakan suatu ibadah. Hanya yang kita harapkan ialah Allah menerima segala amal ibadah kita itu dan mengekalkannya menjadi ibadah yang layak menerima ganjarannya di akhirat nanti. Bersempena kemuliaan Syawal ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Dalam suasana kegembiraan Syawal ini, Kolum Presiden mengajak sidang PAPISMA sekalian untuk mencungkil natijah Ramadhan yang telah kita lalui bagi diolah dan digembleng untuk diterjemahkan ke dalam gerak kerja PAPISMA bagi tempoh sekurang-kurangnya setahun akan datang. Bukankah kita selalu mendengar bahawa tanda-tanda seseorang itu diterima Ramadhannya ialah amal perbuatannya akan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya? Maka kita ingin menagih bakti itu daripada semua ahli sebagai bukti bahawa kita semua telah berjaya menjalani ibadah Ramadhan.
JIHAD
Ramadhan adalah bulan jihad. Peperangan Badar Al-Kubra (2H) dan Fathul Makkah (10H) yang berlaku pada bulan ini menunjukkan bahawa Ramadhan adalah pemangkin jihad yang seharusnya mencetuskan semangat jihad kepada pergerakan kita. Oleh itu seharusnya tarbiyah Ramadhan menjadikan kita lebih bersedia untuk menginfakkan tenaga, masa dan wang ringgit kita kepada perjuangan. Kini perjuangan PAPISMA sudah diisytiharkan sebagai perjuangan 'autonomi' yang matlamat akhirnya adalah untuk kepentingan Islam. (Rujuk Visi dan Misi PAPISMA). Oleh itu, saya menyeru seluruh kepimpinan agar merancang program sendiri untuk membawa mesej kepada masyarakat bahawa hanya Islam yang mampu menangani segala masalah umat dan negara. Gunakan segala kreativiti dan kemampuan sahabat semua untuk tujuan itu...
Dalam suasana negara yang dilanda tsunami keruntuhan akhlak yang merupakan bala baru bagi umat ini, kita mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan. Saya merasakan sudah sampai masanya PAPISMA menerjah ke dalam masyarakat untuk menyedarkan mereka bahawa Islam yang ditinggalkan adalah puncanya dan mengembalikan masyarakat kepada Islam adalah penyelesaiannya. Bukankah segala kerosakan di muka bumi ini adalah akibat dari perbuatan maksiat manusia? Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan perbuatan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan (buruk) mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum: 41).
Begitu juga dengan 'kudis dan nanah' yang ditinggalkan oleh penyakit ini, memerlukan NGO seperti PAPISMA ini untuk menanganinya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jikalau sekiranya penduduk-penduduk sesebuah negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami limpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A'raf: 96).
Dalam hal ini Kolum Presiden menyeru kepada semua exco dan pimpinan di setiap peringkat agar melaksanakan program ke arah menangani tsunami keruntuhan akhlak ini secara proaktif.
Melalui penglibatan PAPISMA secara proaktif, bukan sahaja kita dapat menonjolkan PAPISMA pada mata masyarakat, tetapi yang lebih penting ialah kita menjadi wadah bagi menyelamatkan umat dan menghalang kemurkaan Allah SWT. Banyak peranan penting yang boleh dimainkan. Antaranya ialah melalui kempen-kempen kesedaran seperti ceramah-ceramah di sekolah dan jabatan kerajaan, program-program bersama remaja, ceramah kepada ahli-ahli jemaah masjid dan surau, menganjurkan aktiviti bersama badan-badan masyarakat, menulis dan mengedarkan risalah atau pamplet kesedaran dan sebagainya. Apatah lagi jika ia boleh dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri tertentu bagi mendapatkan liputan sasaran yang lebih luas. Jika kita bersatu hati, kita mampu melakukannya.
KOPERASI & JIHAD EKONOMI
Sidang PAPISMA sekelian. Satu lagi perkara besar yang telah kita lakukan bersama ialah menubuhkan Koperasi Amalmedik Sdn. Bhd. (KASB). Koperasi ini sangat berpotensi dan perlu dibangunkan dengan bersungguh-sungguh. Untuk membangunkan sebuah koperasi ia perlukan kerjasama kita semua kerana dana koperasi adalah melalui syer para ahi semua. Kini KASB sedang mengumpul dana bagi melakukan aktiviti ekonominya dengan selesa. Banyak projek berdaya maju yang boleh dilakukan sekiranya KASB mempunyai dana yang mencukupi.
Untuk makluman semua, syer di dalam KASB adalah simpanan yang tidak hangus. Kita boleh mengambilnya semula pada bila-bila masa sekiranya kita memerlukannya. Cuba kita sama-sama fikirkan, apakah ruginya sekiranya duit-duit simpanan yang kita simpan di bank itu kita keluarkan beberapa peratus daripadanya dan laburkannya sebagai syer di dalam KASB? Tahukah saudara-saudari sekalian, sekiranya KASB mempunyai dana sebanyak RM1 juta, kita mampu menjana projek yang bernilai sehingga RM10 juta daripada dana Syarikat Koperasi Malaysia (SKM)? Masalahnya... mengapa masih ada halangan untuk mendapatkan dana sebanyak itu?
Cuba renungkan, sekiranya kita mengeluarkan beberapa peratus simpanan kita di bank, katakan dengan nilai RM2000 sahaja, dengan ahli PAPISMA seramai 500 orang, KASB telah mampu mengumpul dana sebanyak RM1 juta! Apakah tiap-tiap seorang daripada kita tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk disimpan di KASB? Dengan dana sebanyak itu KASB boleh melakukan projek pinjaman jangka pendek kepada ahli-ahlinya dengan caj yang sangat minimum. Dengan kemudahan pinjaman itu, ahli-ahli boleh membeli kereta, rumah dan apa saja keperluan menggunakan pinjaman dari KASB. KASB boleh melakukan projek hartanah kekal seperti membeli bangunan untuk disewakan. KASB boleh membantu ahli-ahli untuk membina rumah. Juga boleh melaksanakan projek perumahan komersial, projek-projek berkaitan pemborongan peralatan perubatan, buku-buku perubatan, dan banyak lagi. Semua peratusan keuntungan akan diedarkan semula kepada ahli-ahli sebagaimana yang dilakukan oleh bank. Dari segi risiko kerugian pula boleh dikatakan sangat minimum memandangkan syer-syer KASB adalah sebagai wang 'cagaran' sahaja untuk membolehkan SKM mengeluarkan dananya sebanyak RM14 juta (nilai maksimum untuk satu-satu koperasi) bagi projek-projek ekonomi yang akan dilaksanakan oleh KASB.
Oleh itu, madrasah Ramadhan yang telah mentarbiyah kita ini, mempunyai hikmat yang besar untuk kita memajukan KASB yang akan menjadi kebanggaan PAPISMA suatu masa nanti. Saya cukup yakin, jika pada hari ini kita berpendapat bahawa kewajipan menyertai KASB apabila menjadi ahli PAPISMA adalah suatu yang memberatkan, suatu hari nanti KASB adalah pemangkin pula kepada mereka untuk menyertai PAPISMA. Oleh itu, Kolum Presiden kali ini ingin mensasarkan pengutipan dana sebanyak RM1 juta menjelang Ramadhan 1432H, tahun depan.
HOSPITAL ISLAM DAN ERTI PENGORBANAN..
Sidang PAPISMA yang dihormati sekelian. Pengorbanan adalah suatu yang sangat sukar untuk dilakukan oleh mereka yang lemah imannya. Bagi kita yang beriman ini, ganjaran akhirat merupakan motivasi unggul untuk melakukan pengorbanan. Lebih-lebih lagi kehadiran Ramadhan memberikan suntikan tambahan untuk kita menambahkan lagi tahap pengorbanan itu. Kolum Presiden ini juga ingin menarik perhatian seluruh ahli PAPISMA terhadap Hospital Islam yang kita rindukan... Ya! Isu sensitif yang dulunya adalah suatu entiti yang menyatukan kita di dalam gerakan pelajar, ISP.
Bagi saya, semangat untuk melihat hospital ini wujud yang didokongi oleh pertubuhan kita tidak pernah surut. Sebab ianya sebagai lambang dan mercu tanda kepada gerakan ini yang didokongi oleh kumpulan profesional kesihatan yang unik. Hospital Islam juga sebagai lambang bahawa PAPISMA mampu memimpin dan mengurus. Bukan badan sukarela semata-mata malah bukan juga gerakan tempelan yang hanya muncul untuk memanaskan isu. Dengan kesedaran dan semangat itu, pimpinan PAPISMA telah memulakan usaha untuk memotivasikan kita ke arah menjayakan impian itu dengan menziarahi dan membawa contoh kejayaan gerakan Islam di Bangladesh. Sedarkah sadara-saudari semua dengan melihat kejayaan sahabat kita di sana, bererti matlamat untuk melihat kewujudan hospital Islam itu memerlukan pengorbanan dari seluruh ahli PAPISMA. Bukan dari sudut modal (fizikal) sahaja, tetapi juga melibatkan emosional dan spiritual juga. Meskipun mereka yang terlibat untuk mengoperasikan hospital tersebut hanyalah sebahagian sahaja daripada kita namun seluruh ahli PAPISMA perlu bekerjasama.
Mungkin soalan pertama yang perlu dijawab ialah, sanggupkah kita semua untuk membuat akujanji bagi mengeluarkan sedikit pendapatan kita untuk memperjuangkan hospital Islam itu? Jika ya, bermakna kita telah bersedia untuk melihat wujudnya hospital itu. Sebaliknya jika tidak, maka kita masih perlu menunggu lagi. Mungkin para exco boleh membuat tinjauan menyeluruh tentang perkara ini. Mengapa saya menyatakan sedemikian? Kerana hanya dengan keadilan melalui 'kesamarataan' yang membolehkan kita memperolehi tenaga kerja dari kalangan ahli-ahli kita. Untuk mendapatkan tenaga dari kalangan kita, tidak dapat tidak tentunya pendapatan menjadi faktor sandaran yang utama. Rasionalnya mudah, tanyakan diri kita... sanggupkah kita mengorbankan kelulusan dan kepakaran yang kita ada hanya untuk mendapat pendapatan dan kemudahan yang kurang berbanding sahabat-sahabat lain sedangkan kita yang berkorban untuk menjayakan Hospital Islam itu? Kita tidak mahu para petugas kita yang berkhidmat di Hospital Islam itu mempunyai pendapatan dan kemudahan yang kurang berbanding dengan mereka yang bertugas di luar. Oleh itu, untuk menjadikan pendapatan dan kemudahan lain yang diterimanya 'setara', ia memerlukan kerjasama kita semua.
Nah, di sini kita juga menyebut tentang pengorbanan, namun faktor keadilan dan kesamarataan tidak kita abaikan dan inilah dasar pengorbanan yang kita perjuangkan. Mereka telah berkorban untuk mengoperasikan hospital Islam, maka kita semua seharusnya sanggup berkorban untuk membantu dari segi kewangan. Namun, ini hanyalah untuk peringkat permulaan. Apabila hospital Islam telah mampu berdiri sendiri, tentunya pengorbanan seperti ini sudah tidak diperlukan lagi. InsyaAllah, semua pengorbanan itu akan ada ganjarannya di sisi Allah di akhirat nanti. Sebab itu saya melihat sahabat di Bangladesh sana berjaya dalam membina hospital, farmasi, kilang ubat dan sebagainya. Bukankah di zaman Nabi SAW juga banyak contoh kerjasama yang dapat diambil? Bagaimana kaum Ansar menawarkan rumah, harta, malah isteri sendiri untuk melihat kaum Muhajirin yang telah melakukan pengorbanan itu mendapat penghidupan yang setara dengan mereka. Maka, inilah yang kita tagih bagi menterjemahkan hasil didikan Ramadhan itu.
GENERASI TARBIYYAH
Akhirnya, sekali lagi saya ingin mengulangi komitmen kita untuk menjadikan ahli-ahli PAPISMA sebagai generasi tarbiyah sebagaimana moto kita "Hangatkan Kembali Kedinginan Tarbiyah". Sempena Ramadhan yang telah kita lalui, yang mengajar dan melatih kita untuk menjadi insan yang kuat berjuang di medan jihad, maka Kolum Presiden kali ini ingin menyeru seluruh ahli agar dapat melaksanakan 7 perkara asas bagi membangunkan kualiti diri kita sebagai insan tarbiyah dan pejuang Islam yang berbeza dengan insan lain iaitu:
1. Sebarkanlah salam dalam setiap pertemuan.
2. Peliharalah solat berjemaah 5 waktu di masjid atau di mana sahaja jika tidak berkesempatan.
3. Peliharalah solat rawatib yang muakkadah iaitu qabliyah Subuh, qabliyah dan ba'diyah Zohor, ba'diyah Maghrib dan ba'diyah Isyak.
4. Bacalah sekurang-kurangnya satu mukasurat Al-Quran setiap hari.
5. Lazimi membaca Al-Ma'thurat sekurang-kurangya sekali sehari di waktu pagi.
6. Lazimkan diri dengan Solat Tahajjud kerana ia adalah amalan para nabi, mujahidin dan solehin.
7. Libatkan diri dengan usrah di tempat kalian.
Marilah kita sama-sama melakukannya dengan bersungguh-sungguh sebagai persediaan bagi menghadapi cabaran dalam perjuangan yang lebih besar yang pastinya akan kita lalui. Semoga Syawal 1431H ini akan menjadi titik tolak yang akan menjadikan gerakan kita ini suatu gerakan yang relevan untuk Islam dan umat di Malaysia ini.
`HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH”
Al Faqir Ilallah
A.I Ghazali
Presiden Papisma 2010-2012
No comments:
Post a Comment