Tuesday, February 15, 2011

KUNCI TARBIYAH ADALAH ISTIQAMAH

Biro IT

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP7)

KUNCI TARBIYAH ADALAH ISTIQAMAH

(Posting sempena 15 Syawal 1431H)

Selamat hari raya saya ucapkan kepada seluruh warga Papisma. Semoga hariraya yang kita sambut ini mendatangkan keinsafan yang mendalam kepada diri kita. Saya juga mengharapkan diri saya dan sahabat sekelian lulus dengan cemerlang dari universiti Ramadhan. Mudah-mudahan pangkat yang akan kita perolehi dari Universiti Ramadhan sebulan yang lalu adalah muttaqin.

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Diantara asas penting bagi menjamin survival iman adalah senantiasa istiqamah melakukan sesuatu. Walaupun sekecil mana amalan yang kita buat tetapi ianya berterusan dilakukan dalam apa jua keadaan. Ini adalah kerana ianya akan dikira oleh Allah SWT sebagai satu amalan yang mulia. Allah jua akan memberi ganjaran setimpal dengan amalan kita itu.

Diantara tanda-tanda kita berjaya dari universiti Ramadhan adalah kita mengekalkan amalan yang kita biasa amalkan semasa sebulan Ramadhan. Sebagai contohnya kita mengekalkan solat witir seminima 3 rekaat. Jangan diantara kita beranggapan bahawa witir adalah khas untuk bulan Ramadhan sahaja. Diantara solat sunat yang tidak pernah Rasulullah meninggalkannya adalah solat witir. Rasulullah sentiasa melaziminya walaupun bermusafir. Begitu juga amalan sunat yang lain. Sebagai tanda kita telah terlatih dari sebulan Ramadhan adalah kita istiqamah dalam melakukan amalan seperti itu. Diantara amalan yang kita melaziminya sepanjang Ramadhan yang lalu adalah solat sunat rawatib, bersedekah, berpesan-pesan kepada kebaikan, menjaga mulut, mata dan hati dari perkara maksiat. Kekalkan amalan tersebut bagi menjamin sijil dari universiti Ramadhan benar-benar bermutu dan dengan izinNya jua akan dikira sabagai amalan berguna semasa menghadapi sakaratul maut, semasa alam barzakh dan semasa di Padang Mahsyar nanti.

Sahabat sekalian,

Di antara asas survival bagi sesebuah organisasi adalah juga istiqamah dalam melakukan sesuatu aktiviti. Sepanjang perjalanan Papisma, kita banyak menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Akan tetapi kebanyakannya jua adalah bersifat reaktif. Program reaktif ini biasanya tidak istiqamah. Justeru kita selalu juga menyebut program sedemikian adalah program berkala. Jarang sekali program yang kita buat atas aturan dari kita sendiri. Program aturan sendiri inilah kita sebut program proaktif. Program proaktif biasanya bersifat berterusan kerana kita yang mengatur jadual perjalanan organisasi kita. Saya mendoakan agar dengan semangat taqwa ramadhan kita lebih bersifat proaktif. Kebanyakan jua amalan sepanjang sebulan ramadhan adalah kita lakukan secara proaktif. Contohnya kita menunaikan zakat fitrah kerana kita proaktif. Kita mencari nafkah dengan bekerja sehari-seharian bagi mencari rezeki yang halal. Kemudian kita mencari amil dengan usaha kita bagi menunaikan zakat fitrah. Diantara amalan lain yang kita buat secara proaktif adalah kita menghidupkan malam-malam ramadhan dengan qiamullail. Kita mengerjakannya dengan usaha kita bagi mencapai tahap taqwa itu.

Sahabat sekalian,

Organisasi yang pesimis adalah organisasi yang mengikut arus semasa, tanpa perancangan tersendiri. Manakala organisasi yang optimis adalah organisasi yang berperancangan. Bekerja menuju matlamat perancangan yang di sasarkan. Marilah kita bersama-sama membina Papisma ini dengan semangat istiqamah melalui Ramadhan yang kita lalui sebulan yang lalu. Banyak perancangan yang kita sasarkan untuk dilaksanakan selama dua tahun mendatang. Tanpa sokongan dan dokongan dari sahabat sekalian, siapalah saya. Ibarat seorang perwira berada dimedan juang tetapi tidak dibekalkan pedang dan perisai. Pemikiran saya ligat memikirkan strategi akan datang tetapi pendokong dan perlaksana strategi itu tiada untuk membantu saya. Andalah ibarat pedang dan perisai itu.

Sekian

`Hangatkan Kembali Kedinginan Tarbiyyah'

A.I Ghazali
Presiden Papisma 2010-12

No comments:

Push-Up Arrow