Saturday, February 12, 2011

Kejayaan Rakyat Mesir Kejayaan Seluruh Umat!

(Biro IT)

Tunjuk perasaan yang merebak sehingga ke pesisir pantai Iskandariah. Semalam, 2 juta umat Islam bersolat Jumaat dengan satu imam di Kaherah buat pertama kali dalam sejarah.

Hosni Mubarak telah meninggalkan Mesir semalam menuju ke pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah dengan menaiki sebuah helikopter setelah meletakkan jawatan yang disandangnya selama tida dekad sejak tahun 1981. Kini pemerintahan Mesir diserahkan kepada pihak tentera setelah 18 hari rakyat berhimpun. Berita ini disambut dengan ucapan syukur dan tahniah kepada seluruh peserta demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Setelah mengorbankan lebih 150 syuhada' meskipun dalam demonstrasi aman, kini seluruh dunia mengharapkan Mesir akan kembali aman dan mendapat pemerintah yang adil untuk 'Mesir Baru'.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal 'Imraan 3: 26]

Mesir yang sejak berabad lamanya menjadi anjung dunia Islam dari sudut ilmu, menjadi tumpuan para penuntut ilmu dari seluruh dunia termasuk Malaysia. Semasa krisis meletus bermula 25 Januari lalu, seramai lebih 14,000 pelajar Malaysia berada di bumi anbiya' itu. Meskipun kerajaan Malaysia menjalankan Ops Piramid untuk membawa pulang lebih 11,000 para pelajarnya, masih ramai tidak mahu pulang barangkali yakin bahawa krisis yang berlaku tidak akan berlarutan.

Kita semua mengharapkan agar Mesir Baru akan membawa perubahan kepada seluruh dunia Islam. Kejayaan rakyat menggulingkan rejim zalim Hosni Mubarak yang hampir sama tarikhnya dengan syahidnya pengasas Ikhwan Muslimin Mesir, As-Syahid Hassan Al-Banna (12 Feb 1949) yang dibunuh oleh rejim pemerintahan Mesir juga, dan sama tarikh dengan kejayaan revolusi Islam Iran (11 Februari 1979) itu mudah-mudahan menjadi pembuka jalan kepada kejayaan para pejuang dan pendokong Islam dan keadilan untuk mencapai kejayaan di seluruh dunia.

Sekiranya campurtangan negara luar terutamanya Amerika Syarikat tidak berlaku, nescaya rakyat Mesir akan dapat menentukan kemakmuran negara mereka dengan cepat. Namun sekiranya campurtangan itu masih berlaku, sudah tentu perjuangan rakyatnya akan menjadi semakin panjang dan berliku. Apapun kita semua berdoa dan mengharapkan agar bumi Mesir kembali aman dengan pemerintahan Islam dan rakyatnya dapat menjalankan kehidupan dengan lebih baik. Bagi para penuntut samada penuntut tajaan atau persendirian dalam apa jua bidang, tentunya amat mengharapkan agar mereka semua dapat kembali semula ke bumi kinanah itu bagi menimba ilmu dan menyelesaikan pembelajaran mereka secepat mungkin.

Bagi pihak PAPISMA Terengganu kami sentiasa menyokong keadilan dan menentang kemungkaran walau dalam apa jua bentuknya. Kami merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga atas kejayaan rakyat Mesir dan mengharapkan agar rakyat Malaysia yang cintakan keadilan akan mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Mudah-mudahan Mesir akan kembali membuka laluan ke Gaza dan mengembalikan Palestin kepada yang berhak. Amin.

No comments:

Push-Up Arrow