Sunday, January 9, 2011

Tingkatkan Ibadah, Wujudkan Ikon PAPISMA

Biro IT

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP5)

Asm Wbt,

Saudara-saudari ahli-ahli Papisma sekalian.

Sempena ketibaan Ramadhan yang kita nanti-nantikan saban tahun, marilah kita menjengah sedikit tentang kelebihan orang yang berpuasa.

Keutamaan Berpuasa

"Diriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk seorangpun kecuali mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya" [Bukhari-Muslim]

"Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun" [Bukhari-Muslim]

Marilah kita menghayati kelebihan dan keutamaan yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang berpuasa dan marilah kita dengan penuh semangat mengisi Ramadhan kali ini dengan amal-ibadah yang ikhlas sebagai hiasan-hiasan yang indah untuk Ramadhan kita kali ini.

Marilah juga kita perbanyakkan sedeqah dan sumbangan untuk mereka yang memerlukan dan marilah kita sama-sama memenuhkan TABUNG EHSAN RAMADHAN kelolaan Papisma pada tahun ini. Mudah-mudahan Persatuan kita dapat turut membantu di dalam menyelesaikan tanggungjawab sosial orang yang lebih berada terhadap orang yang memerlukan.

Kolum Presiden kali ini tidak berhasrat untuk bercerita panjang lebar tentang kelebihan dan keutamaan Ramadhan kerana pengisian Ramadhan akan lebih terasa sekiranya kita perolehi ianya daripada surau-surau atau masjid-masjid di dalam program tazkirah atau program ilmu sepanjang Ramadhan daripada hanya membacanya di dalam internet.

Kolum Presiden kali ini mengambil peluang yang ada ini bagi membicarakan pentingnya PAPISMA mewujudkan IKON-IKON dan `public figure’ di kalangan ahli-ahli Papisma yang berketerampilan.

Kenapa perlukan IKON atau Public Figure?

Soalan yang mungkin agak sukar untuk di jawab dan mungkin jawaban yang diberikan pula akan mendapat hujah sanggahan, namun jika kita memerhati sekeliling, kita akan mendapati banyak badan-badan perniagaan, badan-badan politik, badan-badan NGO, badan-badan sukan, badan-badan komersial dan lain-lainnya menggunakan kaedah menampilkan IKON atau `public figure’ ini dalam usaha menonjolkan kewujudan dan keterampilan mereka di dalam masyarakat tanpa sempadan hari ini.

Lihat sahaja air berkarbonat Pepsi misalnya, mereka menampilkan pemain-pemain bola terkemuka masa kini sebagai IKON mereka. Begitu juga dengan syarikat-syarikat pengeluar kereta, mereka menggunakan pelumba-pelumba F1 sebagai IKON mereka. Itu badan perniagaan, badan-badan politik demikian juga. Parti Demokrat di Amerika memaparkan Barack Obama sebagai IKON yang kononnya mereka tidak lagi diselubungi sentimen warna kulit. Demikian juga di Filipina, anak bekas Presiden Beniqno Aquino yang mati dibunuh dijadikan IKON untuk menonjolkan parti mereka sebagai pro-rakyat, pro-keadilan dan anti rasuah.

Demikian keadaannya di luar negara. Bagaimana dengan keadaan di dalam negara pula? Tidak banyak bezanya jika kita perhatikan secara saksama. Badan perniagaan seperti Ali Café menggunakan pelakon Rosham Nor sebagai IKON dan duta produk mereka. Gudang perniagaan The Store menggunakan Adibah Nor sebagai IKON mereka. Demikian juga produk-produk IKS atau produk menggunakan agen, produk Tok Guru Sebenar menggunakan Ustaz Nik Abduh sebagai IKON perniagaan. Azmil Mustafa juga muncul sebagai duta atau IKON salah satu produk susu kambing.

NGO-NGO juga berusaha untuk menampilkan IKON atau duta kepada pertubuhan mereka. Cikgu Azmi misalnya, adalah sinonim namanya dengan Persatuan Teras Pengupayaan Melayu, Ibrahim Ali disinonimkan dengan Pertubuhan PERKASA yang kontroversi, Dr Harlina Siraj sinonim dengan nama JIM satu masa dahulu, demikian juga nama Dr Daniel.

IKON atau duta kepada satu persatuan adalah ibarat bendera yang berkibar dan diletakkan di tempat yang tinggi di tempat yang strategik di dalam persatuan. Tidak semestinya IKON atau duta itu memegang jawatan penting di dalam persatuan tetapi yang paling penting ialah ia mampu menonjolkan satu perlambangan yang mampu dilihat dari jauh dan dibanggakan oleh ahli-ahli persatuan. Ibarat sebuah kapal yang hendak berlabuh dari jauh, kibaran bendera di puncak kapal telah pun dapat dilihat orang dari jauh dan dapat menimbulkan kesan psikologi bahawa sebuah kapal kepunyaan sebuah persatuan hendak berlabuh, walaupun mungkin anak-anak kapalnya tidaklah terlalu ramai, ataupun mungkin anak-anak kapalnya sebenarnya sedang keletihan…

Bagaimana Mewujudkan IKON dalam Papisma?

Asalkan kita para ahli semua sanggup memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli yang kita rasa wajar dijadikan IKON atau `bendera’ persatuan, maka usaha untuk menonjolkan dan meletakkan mereka di tempat yang mudah dilihat adalah satu keperluan yang tuntas. Pihak yang hendak dijadikan IKON pula perlulah melapangkan masa, menambahkan ilmu dan kemahiran dalam dada serta memahirkan skil-skil komunikasi.

Papisma mempunyai cawangan yang berkembang di seluruh Malaysia dan sambutan di serata pelosok dunia juga adalah memberangsangkan. Seandainya semua cawangan yang ada membantu menonjolkan dan meletakkan IKON kita di tempat yang mudah dilihat maka insya-Allah dalam tempoh yang munasabah IKON atau `bendera’ persatuan ini akan dapat dinaikkan.

Pimpinan-pimpinan Papisma diperingkat cawangan perlu membantu menggunakan medium-medium peringkat nasional untuk menaikkan nama dan kredibiliti IKON persatuan kita. Tujuan kita menaikkan nama IKON ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu meningkatkan usaha dakwah dan meninggikan kalimah Allah di dalam bidang kesihatan dan tidak bermaksud yang lain daripada itu.

Siapakah Yang Wajar Dijadikan IKON?

Sudah tentulah mereka yang mempunyai kredibiliti dan kelebihan tertentu yang wajar kita jadikan IKON. Kolum ini berpendapat kita perlu menonjolkan kebolehan ahli-ahli kita di dalam bidang Fiqh Perubatan, Hospital Mesra Syariah, Hospital Mesra Ibadah dan bidang Kesihatan Wanita. Sebahagian daripada ahli-ahli Papisma memang mempunyai `talent’ untuk ditonjolkan di dalam bidang ini hatta hingga ke peringkat nasional pun.

Kolum ini berdoa dan berharap agar Papisma akan benar-benar dapat membentuk IKON-IKON pilihan di dalam tempoh masa yang munasabah pada masa hadapan.

Salam Ramadhan.

Wassalam.

"HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH"

A.I Ghazali

Presiden Papisma 2010-2012

No comments:

Push-Up Arrow