Dalam usaha mengembangkan sayap PAPISMA, Negeri Johor merupakan negeri yang perlu diberi tumpuan kerana potensi dan kesungguhan kepimpinan serta ahli-ahlinya. Oleh kerana fokus PAPISMA ialah melakukan gerakerja secara pro-aktif, maka usaha PAPISMA Johor itu perlu diberikan sokongan dan bantuan oleh PAPISMA cawangan-cawangan yang lain.
Baru-baru ini, tumpuan gerakerja PAPISMA adalah di kawasan-kawasan felda yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di samping budaya dan cara hidup yang harmoni. Jadi, sasaran perkhidmatan PAPISMA adalah lebih besar di kawasan ini.
PAPISMA Terengganu tidak ketinggalan dalam memberikan sokongan dan bantuan tenaga memandangkan kawasan tumpuan kali ini merupakan kawasan felda yang agak hampir dengan Terengganu dan Pahang. Maka keputusan telah diambil oleh PAPISMA Terengganu untuk turut serta dalam misi ini yang melibatkan 5 orang iaitu Mantan Presiden (Dr. Suhazeli Abdullah), Pengerusi PAPISMA Terengganu (Dr. Md. Arif Ibrahim), Dr. Husain Mohamad, Dr. Mat Noh Karim dan Dr. Roslan Yusof.
Perjalanan bermula pada 6 Januari 2011 dari rumah Dr. Md. Arif di Kg. Kijing, Marang tempat peserta-peserta misi berkumpul. Lebih kurang pukul 6.40 petang setelah semua persiapan dibawa, kami bertolak melalui jalan pantai ke Kemaman dengan menaiki kereta Nissan Serena milik Dr. Md. Arif, untuk mengambil seorang lagi peserta di sana iaitu Dr. Mat Noh Karim. Keadaan hujan yang lebat sejak pagi menyebabkan pemanduan agak perlahan. Kami sempat berhenti untuk bersolat jamak taqdim Maghrib dan Isyak di Rantau Abang, Dungun. Perjalanan semakin lambat apabila kami terperangkap dalam kesesakan lalulintas berhampiran Bukit Kuang, Kemaman selama lebih satu jam.
Kami sampai di Kemaman kira-kira pukul 9.40 malam. Kami sempat bertemu dengan bekas Pengerusi ISP pertama iaitu Dr. Azmi Samat dan beliau telah bermurah hati untuk membelanja kami makan malam di sebuah restoran di Kemaman.
Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke Segamat untuk menginap di kuarters seorang muslimat ahli Papisma yang telah disediakan di sana. Alhamdulillah, kira-kira pukul 2.35 pagi kami sampai di rumah penginapan tersebut dengan diiringi oleh dua orang petugas. Tanpa membuang masa, kami terus mandi dan tidur kerana keletihan menempuh jalan yang jauh.
Sebagaimana yang telah dirancang, kami keluar keesokannya kira-kira pukul 8.30 pagi, bersarapan di sebuah restoran di Segamat dan terus menuju ke Labis untuk diberikan sedikit taklimat. Kira-kira pukul 10.30 pagi kami sampai ke tempat yang dituju iaitu Felda Cemplak.
Kami terus dibahagikan kepada empat kumpulan. Walau bagaimanapun, kerana kami mempunyai lima orang pegawai perubatan, maka salah satu kumpulan telah dipecahkan kepada dua. Kira-kira pada pukul 11.00 pagi program kamipun bermula. Aktiviti kami adalah menziarahi rumah-rumah pesakit kerana ia lebih menepati sasaran berbanding rawatan statik. Kawasan ini mempunyai golongan warga emas yang ramai. Ramai yang mempunyai tahap kesihatan yang kurang memuaskan dan memerlukan rawatan serta pendidikan kesihatan.
Seorang warga emas yang menghidapi penyakit stroke sedang menerima rawatan.
"Makcik ni dah lama tak cek kencing manis. Ubat makan..." Mungkin itulah yang sedang diperkatan oleh seorang pesakit kepada doktor yang merawat.
"Makcik ni dah lama tak cek kencing manis. Ubat makan..." Mungkin itulah yang sedang diperkatan oleh seorang pesakit kepada doktor yang merawat.
Kira-kira pukul 12.45 tengahari kami berhenti rehat untuk menunaikan solat Jumaat. Sebelum itu kami dijemput untuk jamuan makan tengahari yang telahpun disediakan di rumah seorang petugas. Kami semua makan nasi bungkus menu Johor yang banyak sayur.
"Makan macam nilah sihat!" Rombongan PAPISMA sedang menikmati jamuan makan tengahari bersama ketua petugas iaitu Dr. Zul (Homeopati - membelakangkan kamera). Kelihatan dari kiri Mr. Husain, Dr. Roslan (terlindung), Dr. Md. Arif, Dr. Mat Noh dan Dr. Suhazeli.
Program rawatan kesihatan disambung semula pada pukul 2.30 petang dan tamat pada pukul 5.30 petang.
Misi hari pertama telah berjaya kami laksanakan. Sebanyak 46 buah rumah telah kami lawati di mana sekurang-kurangnya seorang pesakit terdapat di dalam rumah itu. Misi kami bukan sahaja memberikan rawatan, tetapi juga kaunseling kesihatan, mengenal pasti bantuan kesihatan yang boleh didapati dan diberikan kepada mereka kerana tidak sedikit di kalangan mereka itu yang kurang berkemampuan.
Selesai program kami dijamu dengan makan malam di sebuah restoran di Pekan Labis kira-kira pada pukul 6.45 petang.
"Ambik-ambik... habiskan semua ya!" Kelihatan Dr. Zul sedang mengambil tomyam. Kelihatan juga Mr. Husain Dr. Md. Arif dan Dr. Mat Noh sedang menikmati hidangan.
Malam ke-2 kami kembali semula ke Segamat. Sebelum itu kami sempat pergi ke rumah abang Dr. Mat Noh di Felda Gerdong yang berdekatan dengan Pekan Labis. Sampai di Segamat kira-kira pukul 9.30 malam. Kemudiannya Dr. Mat Noh terpaksa bertolak balik ke Terengganu dengan menaiki bas yang dijadualkan pada 11.15 malam.
Hari ke-2 kami bersiap lebih awal kerana jadual yang disusun lebih awal. Selepas solat fardhu Subuh berjemaah, kami bergegas turun ke tingkat bawah untuk 'update' ubat-ubatan yang telah habis.
"Haa... PCM cukup dah. Tinggal ubat tahan sakit..." Dr. Md. Arif dan Dr. Roslan sedang sibuk mengemaskini ubat-ubatan yang akan digunakan pada pagi ini.
Kira-kira pukul 7.45 pagi kami sudahpun keluar dari rumah penginapan itu dengan membawa beg dan pakaian kami kerana petang nanti kami tidak perlu lagi untuk singgah dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Kami bersarapan pagi di restoran yang sama di bandar Segamat itu. Sesudah itu kami terus bertolak ke tempat program untuk menyambung misi kami. Kira-kira pukul 9.20 am kami telahpun sampai dan kira pukul 9.30 pagi kami telahpun bergerak dalam empat kumpulan yang berlainan.
"Dah lama sakit makcik ni doktor... Hanya Allah yang tahu..." Dr. Roslan sedang memeriksa seorang pesakit yang dipercayai menghidapi penyakit barah usus.
"Makcik periksa kat luar rumah pun tak apa doktor..." Ni bukan melanggar etika ni... Makcik ni sedang menunggu anaknya pergi ke pasar, tiba-tiba teruja melihat rombongan kami dan meminta untuk diperiksa. Alhamdulillah, beliau sihat...
Pagi ini kami bertugas di Felda Cemplak dan Cemplak Barat. Berbagai penyakit kami temui. Berbagai ragam pesakit kami hadapi. Alhamdulillah pada kira-kira pukul 12.30 tengahari kami telah selesai menunaikan tugas kami. Sebanyak 22 buah rumah telah berjaya kami ziarahi.
Tengahari itu kami dijamu dengan nasi kandar lauk kampung ala Johor yang cukup istimewa. Ia telah disediakan oleh para petugas di sana.
Sempat mengambil gambar kenang-kenangan bersama En. Mazlan Aliman, Presiden Anak (T-Shirt merah) yang kebetulan berada di Labis ketika kami singgah untuk membeli tempe Johor yang cukup special.
Alhamdulillah, perjalanan pulang tidak terganggu sebarang masalah. Kami sampai di Kuala Terengganu kira-kira pukul 9.30 malam.
*Nota: Gambar pemeriksaan pesakit hanya diperolehi dari sumber Dr. Roslan.
No comments:
Post a Comment