(Biro IT)
PAPISMA Terengganu memandang berat terhadap Islamic Fashion Festival (IFF) yang dikatakan antara penganjurnya adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sendiri yang diadakan di Monte Carlo, Perancis pada bulan Ogos 2010 baru-baru ini. Acara ini telah banyak diperkatakan dan mengundang berbagai reaksi di kalangan umat Islam, sehingga banyak demonstrasi aman telah diadakan bagi membantah program yang dikatakan melampaui batas dan tidak menepati etika Islam itu.
Bagi pihak PAPISMA Terengganu setelah menonton video dan melihat gambar-gambar aksi yang diambil berpendapat bahawa acara ini merupakan suatu kekeliruan terhadap Islam kerana pakaian yang diperagakan adalah tidak menggambarkan pakaian menutup aurat sama sekali. Islam telah menggariskan cara menutup aurat yang mudah difahami melalui Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Malah Akhbar Sinar Harian telah memaparkan panduan menutup aurat pada 1 Oktober 2010 di ruangan Rehal yang memberi fokus kepada Pakaian & Wanita Islam sebagaimana kami paparkan di bawah:
Sebagai sebuah NGO Islam, PAPISMA sentiasa menyeru masyarakat agar mengamalkan cara hidup Islam yang murni. Di antaranya ialah pakaian wanita Islam. Pakaian wanita Islam boleh menjaga keharmonian dan kesejahteraan di dalam masyarakat. Ia dapat mencegah pelbagai perkara negatif seperti rogol dan zina yang membawa kepada sindrom buang bayi, AIDS dan sebagainya.
Islam sangat mengambil berat akan umatnya. Malah terhadap seluruh manusia. Apabila Islam diikuti, masyarakat akan menjadi aman dan sejahtera. Hadis Nabi SAW ada menyebut yang bermaksud:
"Pasti Allah akan menyempurnakan urusan ini (dakwah Islam) sehingga pengendara kuda berjalan dari San’a ke Hadhramaut (di Yaman) tidak takut kecuali hanya kepada Allah dan terhadap serigala atas kambingnya" (HR Bukhari).
Umumnya perjalanan sejauh itu yang melalui padang pasir pula tentunya banyak penyamun dan perompak. Namun, dengan kesempurnaan Islam, golongan manusia tidak lagi menjadi gangguan dan ancaman kepada manusia lain.
Berpakaian Tapi Telanjang Tidak Masuk Syurga Dan Tidak Mencium Baunya
Bagi PAPISMA Terengganu, fesyen yang telah dipertontonkan itu tidak menepati cara menutup aurat dalam Islam kerana masih tidak menutup bahagian yang sepatutnya ditutup dan menampakkan susuk badan wanita. Oleh itu, dengan semangat persaudaraan sesama Islam PAPISMA Terengganu ingin memperingatkan pihak penganjur akan ancaman Rasulullah SAW berhubung pakaian yang tidak menutup aurat:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
"Sabda Rasulullah SAW; dua golongan ahli neraka, saya tidak akan memandang mereka iaitu satu kaum bersama mereka cemeti seumpama ekor-ekor lembu mereka memukul orang ramai dengannya, dan wanita-wanita yang berpakaian tapi bertelanjang, meliuk-lintukkan (badan), menggoyangkan (bahu), kepala mereka seumpama bonggol-bonggol unta yang bergoyang. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga sedangkan baunya dapat dicium dari jarak perjalanan yang sangat jauh.”(HR Muslim)
Mudah-mudahan kita semua akan lebih berhati-hati memilih tema bukan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan, tetapi kesannya juga perlu diambil kira terhadap masyarakat, agama dan negara.
Sekian terima kasih.
PAPISMA Terengganu
No comments:
Post a Comment