Friday, October 1, 2010

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’ - Siri 3

Filed in Artikel - Makalah on Sep.28, 2010

Wahai Saudaraku! - Dulu khilaf Kini Ijmak

PADA suatu ketika dulu dunia umat Islam pernah gawat dengan isu perdebatan hukum rokok. Apapun, perdebatan yang berpanjangan itu tidak menokhtahkan resolusi muktamad sehingga timbul kecelaruan dalam fikiran saya apakah sesuai diistilahkan perdebatan rokok zaman dulu sebagai “kontroversi hukum rokok”! Namun diri saya cukup yakin bahawa perdebatan ulama didasari ketaqwaan dan dilatari etika bukan kedengkian. Mereka telah meninggalkan untuk kita warisan ilmu gemilang, moga Allah s.w.t merahmati ruh mereka- amin.

Kehangatan itu saya dapat dijiwai ketika menelaah kitab-kitab mazhab yang memperdebatkan hukum sigaret. Masing-masing mendirikan hujah, tetapi ternyata kesepakatan hukum tidak tercapai jua. Umat Islam terus dilema, asap rokok terus disedut dalam kekeliruan dan rokok terus dijual dalam kesangsian.

Namun, apakah pada saat ini yang sebegini canggih dengan penemuan atom, kanser, barah, pembedahan teknologi masih menyebabkan kita berada dalam kegelapan mencari-cari keputusan muktamad hukum sigaret seperti saudara kita yang hidup di zaman kapal layar. Sungguh malang! Oleh kerana Rasulullah s.a.w telah wafat, maka umat Islam barangkali menunggu turunnya nabi Isa a.s untuk memutuskan hukum rokok. Waktu itu barulah kita berpuashati dan menyakini bahawa rokok itu haram dan barulah segala usaha pembasmian dilaksanakan seikhlasnya.

Sebab itu saya pernah berhadapan dengan golongan yang tegar mempertahankan hukum rokok sebagai harus atau paling keras hukumnya makruh sahaja kerana diqiaskan dengan bauan yang kurang menyenangkan. Malah dalam situasi terganggunya konsentrasi dan terputusnya ilham menghisap rokok menjadi wajib. Saya percaya mereka juga terkeliru. Saya juga menyakini bahawa jika mereka diberi peluang melihat kesan rokok secara praktikal dan penunjukkan data-data kajian ilmiah nescaya mereka akan bersikap lebih bijaksana, profesional dan matang. Saya tetap bersabar menunggu detik-detik dimasukkan nur hidayat kebenaran Allah s.w.t ke dalam jiwa manusia.

Saudaraku yang budiman! apakah sebelum anda menanam tembakau atau membuka kilang tembakau atau menjual rokok atau menghisap rokok pernah membuat kajian nekad untuk mengetahui hukum rokok? Jika kajian hukum telah anda buat sudahkah anda pastikan kitab zaman mana yang anda rujuk dan sudahkan membuat perbandingan secara komprehensif? Jika belum membuat rujukan, bererti anda hanya bertanya ulama, tetapi ulama yang pakai kitab mana ia disandarkan. Ulama itu hisap rokok atau tidak! Jika semua di atas anda tidak lakukan maka anda terlibat dalam fenonema rokok berdasar ikut-ikutan atau terpengaruh dengan budaya yang membingungkan.

Sebelum saya membuka forum ini lebih jauh izinkan saya menyedut fatwa rokok negeri Kelantan zaman “Tok Kenali”. Alhamdulillah, keterlibatan langsung saya dalam pengeditan khazanah tak ternilai fatwa negeri Kelantan di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan saya fatwa rokok itu. Pertanyaan 202, jilid 1, berbunyi; “Tembakau jawa yang kelaziman orang melayu memakannya (menghisapnya) seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu. Adakah sekelian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?
Jawapan; “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti’malkan dia (digunakan) bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengan dia pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengan dia maka haram diisti’malkan dia (digunakan).

Jika kita mengkaji secara jujur necsaya kita menemui pangkal masalah yang kita perdebatkan ini. Hukum tembakau dan penggunaannya sebagai rokok bergantung kepada sejauh mana bencana kemudaratan pada akal dan badan manusia. Jika terbukti rokok mengancam kemaslahatan hidup maka hukumnya adalah haram. Dengan itu, saya ingin tegaskan bahawa ulama silam tidak menghalalkan rokok secara mutlak tetapi bersyarat bahawa tidak memudaratkan kemaslahatan hidup manusia. Maka sesiapa yang berhukum harus atau makruh merokok dengan menyandarkan pandangan ulama silam adalah sesuatu kekeliruan yang nyata.

Persoalannya, wajarkah sebagai seorang mukmin begitu rendah mutu penghayatan Islamnya dan tidak sudi memberikan kesungguhan mencari kebenaran. Tidakkah dihambat perasaan, dilingkungi ketakutan dan terasa sedikit bersalah sehingga mendorong kita nekad mencari sebuah kepastian. Soal halal haram makanan termasuk ibadat. Rasulullah s.a.w menyebut; “Tidak tumbuh suatu daging dari usaha yang haram melainkan neraka lah yang utama baginya” Dalam situasi yang lain, amalan dan doa kita tidak diterima oleh Allah s.w.t. Amalan itu walaupun sah kerana memenuhi rukun dan syaratnya tetapi tergantung-gantung tidak diangkat ke langit kerana beberapa asas lain tidak dipenuhi.

Saudaraku!, perdebatan dan perbincangan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabgh.” Manakala perbuatan merokok seringkali diistilah sebagai “al-tadkhin”. Untuk rujukan saudara, sila rujuk dalam Mausu’ah al-Fiqh al-Islami, jilid 12, halaman 65-70. Karya ini berjaya mencatatkan pandangan fuqaha serta aliran mazhab Islam mengenai hukum rokok berserta dengan inti pati pendalilan. Justeru, ruangan ini terlalu sempit untuk membentangkan pandangan tersebut secara rinci. Maka izinkan saya dalam ruangan ini hanya membincangkan dalam suasana semi ilmiah dengan menumpukan mesej dan rumusan yang diperolehi.

Sebelum seseorang berpegang kepada hukum rokok, ia perlu memahami secara jelas 4 senario kematangan ijtihad rokok. Pertama; Dr. Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam menyatakan menghisap rokok tidak wujud zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.
Senario kedua ialah keupayaan fuqaha menyimpulkan hukum rokok amat terhad kepada perumusan dalil-dalil syarak yang umum. Adapun fakta sainstifik mengenai kebaikan atau keburukan rokok tidak diperolehi kecuali dari pemerhatian umum bukan pengkajian. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia.
Senario ketiga ialah fokus ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang terkandung dihisap itu serta sejauh mana implikasinya kepada ekonomi dan sosial secara menyeluruh.

Berdasarkan 4 senario di atas, tabiat hukum rokok mengalami reformasi ijtihad kepada 3 peringkat perkembangannya. Peringkat pertama pada zaman permulaan kemasukan rokok ke bumi umat Islam pada tahun 1600. Peringkat kedua tercatat pada zaman pertengahan dan peringkat ketiga ialah zaman moden di mana alat-alat sains mula dicipta.

Sebagai pengetahuan, Dr. Abd al-Jalil Syalabi menjelaskan pada zaman permulaan ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara terperinci, ulama tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima sama ada harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum. Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.

Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya. Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk. Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.

Inilah beberapa senario ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan dari khilaf pemahaman nas-nas syarak, tetapi manifestasi kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu berada dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya ulama hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka tidak mempunyai maklumat mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Manakala pada peringkat pertengahan senario ijtihad mula menampakkan kematangan dengan penyokongan dalil dari saintifik. Namun secara umumnya metodologi penyimpulan hukum syarak masih bergerak secara peribadi. Seorang alim akan berijtihad bersendirian menurut keupayaan alat-alat ijtihad tanpa khidmat nasihat secara khusus dari pakar-pakar sains berkaitan. Contoh mantan Syeikh al-Azhar bernama Syaltut (1893-1963M) menghukum rokok pada kedudukan sama ada haram atau makruh. Beliau mengingatkan bahawa senario ijtihad rokok pada zaman permulaan kemunculannya sesuatu yang tidak jelas dan muktamad. Adapun hukum yang rajih pada zaman ini ialah sama ada haram atau makruh.

Kesedaran terhadap keterbatasan serta kesilapan hukum rokok mula menonjol setelah bukti demi bukti kemudaratan rokok secara saintifik dapat dibuktikan. Mufti Mesir, Dr. al-Syeikh Ahmad al-Tayyib menyebut perbincangan hukum rokok pada peringkat silam tidak sunyi sama ada haram, harus dan makruh bergantung sejauh mana kesan kemudaratan, pembaziran dan kejelekan baunya. Namun, mutakhir ini kajian ilmiah membuktikan kesan buruk, bahaya dan ancaman terhadap kesihatan dalam mana-mana jua keadaan. Persatuan Kesihatan Dunia dan Persatuan Kesihatan Islam telah menghantar dokumen kemudaratan rokok kepada Majlis Fatwa. Lantas, Majlis Fatwa al-Azhar mengeluarkan kenyataan bahawa jika sabit kemudaratan rokok keatas kesihatan dan kehidupannya maka hukum rokok adalah haram secara syarak.

No comments:

Push-Up Arrow