Monday, July 26, 2010

Mengimarahkan Sya'aban Pada Nisfunya?

(Biro IT)

(Artikel ini telah dikeluarkan pada 10/8/2008 dalam blog ini hasil tulisan Cucu Tok Adam)

"Jangan lupa malam ni tu... bawa kuih sekali deh!" Rahmat mengingatkan kawannya.
"Ada apa malam ni?" Zuki bertanya kerana memang dia terlupa.
"Laa... malam ni kan nisfu Sya'ban. Lepas Maghrib kek gi ada baca Yaasin." Jelas Rahmat lagi dengan loghat kedaerahannya. Zuki mengangguk-angguk kecil sambil berlalu.

Rahmat adalah seorang buruh yang bekerja sebagai tukang rumah. Dia seorang 'kaki masjid'. Meskipun kerjanya menyebabkan pakaiannya berlumuran debu dan peluh, dia jarang meninggalkan sembahyang berjamaah. Dia akan membawa pakaian 'spare'untuk sembahyang. Manakala Zuki seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dia selalu berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Berbeza dengan Rahmat, dia jarang pergi ke masjid. Pada waktu malam, dia hanya akan berehat di rumah. Menghilangkan penat menguruskan perniagaannya.

Zuki dan Rahmat adalah kawan baik dari bengku sekolah lagi. Meskipun dari segi taraf hidup yang berbeza sekarang, tapi persahabatan mereka tetap utuh.

Sebagai sebahagian masyarakat kampung yang akan meraikan nisfu Sya'aban, malam itu sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia, mereka akan membaca Yaasin selepas sembahyang Maghrib sebanyak 3 kali. Yaasin yang pertama adalah untuk memohon keampunan, Yaasin kedua untuk murah rezeki dan Yaasin yang ketiga adalah untuk panjang umur.

Di sini, saya ingin mengajak sahabat/iat berbincang tentang amalan nisfu Sya'aban ini. Persoalan pertama ialah kenapa perlu membaca Yaasin tiga kali? Kenapa tidak hanya sekali sahaja dan memohon kepada Allah untuk keampunan, murah rezeki dan panjang umur? Persoalan kedua ialah kenapa membaca Yaasin? Kenapa tidak surah-surah lain? Persoalan ketiga ialah bagaimana jika berdoa sahaja tanpa membaca Yaasin? Persoalan keempat ialah apakah penetapan amalan ini mengikut sunnah Rasulullah SAW?

Hari Rabu lepas, saya telah menghadiri satu kuliah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Kamaruzaman Abdullah, ulama' muda lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang selalu menggantikan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang di Rusila, telah menyampaikan kuliah tentang nisfu Sya'aban. Antara perkara yang disentuh ialah tentang kelebihan bulan Sya'aban yang dinyatakan dalam hadis daripada Usamah bin Zaid katanya:
"Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa." (HR Al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan oleh Khuzaimah)

Menurut Ust. Kamaruzaman, inilah satu-satunya hadis sahih yang boleh dijadikan pegangan tentang kelebihan bulan Sya'aban. Tiada sebarang penetapan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat kita dalam mengisi Sya'aban bagi mendapat kelebihannya. Dalam menyentuh banyaknya baginda berpuasa, beliau menyebut bahawa Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa Sya'aban melebihi 16 hari. Meskipun terdapat hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah pernah berpuasa penuh, namun yang jelas Aisyah r.ha. menerangkan bahawa "Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan." (HR Al-Nasaai)

Seterusnya beliau mengingatkan tentang bahaya bid'ah dalam masyarakat Melayu terutama dalam hal nisfu Sya'aban. Beliau banyak mengkaji dan meneliti hadis-hadis tentang bulan Sya'aban, malangnya tidak ada hadis yang menetapkan supaya membaca Yaasin tiga kali pada malam nisfu Sya'aban ini. Malah sekiranya seseorang itu tidak pernah datang ke masjid dan surau pada malam-malam lain, tetapi datang untuk membaca Yaasin agar dapat keampunan, panjang umur dan murah rezeki dengan i'tiqad itulah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW boleh membawa kepada syirik. Kenapa? Kerana ia menyamai agama Kristian, Budha Hindu dan lain-lain di mana mereka mengi'tiqadkan bahawa Tuhan ada pada ketika-ketika tertentu dan pada masa-masa tertentu sahaja.

Sebagaimana amalan yang sahih daripada Rasulullah SAW dalam bulan Sya'aban ialah berpuasa sebagaimana hadis di atas. Oleh itu, marilah kita memperbanyakan melakukan amalan sebagaimana amalan Rasulullah SAW, iaitu berpuasa dan menggandakan amalan lain yang telah sayugia kita amalkan selama ini kerana bab ibadat ini tidak seperti amalan lain. Ia mestilah mempunyai nas. Ia tidak boleh direkacipta sesuka hati kerana rekaan dalam hal ibadat seolah-olah menyatakan bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu tidak lengkap dan sempurna. Sebagaimana dinyatakan oleh Asy-Syaukaniy:
"Maka, sungguh apabila Allah SWT telah menyempurnakan agama-Nya sebelum mematikan Nabi-Nya Muhammad SAW, bagaimana dengan pendapat orang yang mengada-adakan setelah Allah SWT menyempurnakan agama-Nya?! Seandainya sesuatu yang mereka ada-adakan termasuk dalam urusan agama menurut keyakinan mereka, bererti belum sempurna agama ini kecuali dengan pendapat mereka, ini bererti mereka telah menolak Al-Qur`an. Dan jika apa yang mereka ada-adakan bukan termasuk dari urusan agama, maka apa faedahnya menyibukkan diri dengan sesuatu yang bukan dari urusan agama??

Sunday, July 25, 2010

SMART PAPISMA Menerjah Masyarakat Seberang Takir

(Biro IT)

Alhamdulillah, setelah dua minggu bertungkus-lumus mencari lokasi, menetapkan tarikh dan membuat persiapan, akhirnya SMART PAPISMA berjaya meneruskan siri Kempen 2K ke Seberang Takir dengan kerjasama aktivis masyarakat di situ.

Program SMART PAPISMA kali ini telah diadakan pada 23 Julai 2010, Jumaat, bermula kira-kira pukul 9.00 - 11.45 pagi di hadapan Pasar Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Seramai 7 orang sukarelawan PAPISMA telah menginfakkan tenaga dan masa mereka untuk bersama menjayakan program kali ini yang di ketuai oleh Pengerusinya, Dr. Md. Arif Ibrahim.

"Kempen Kesedaran Kesihatan"

Pasar Teluk Ketapang merupakan pasar yang sibuk setiap tibanya hari Jumaat. Pengunjungnya sangat ramai dari serata pelusuk kawasan Seberang Takir dan sekitarnya. Mereka menjadikan hari ini seperti hari keramaian, sejak turun-temurun. Pemilihan tempat ini merupakan idea sukarelawan tempatan bagi mendapatkan jumlah pengunjung yang terbaik dalam menyampaikan mesej Islam yang lengkap termasuk di bidang kesihatan.

Antara aktiviti yang diadakan pada kali ini ialah Ceramah Kesedaran & Kesihatan (2K), saringan darah tinggi, saringan kencing manis, kaunseling kesihatan dan cabutan bertuah. Ceramah yang menggunakan pembesar suara itu dapat didengari di seluruh kawasan pasar dengan pengunjung yang melebihi 2000 orang itu telah berjaya menarik lebih dari 120 orang penduduk tempatan untuk mendapatkan khidmat dari pasukan SMART PAPISMA yang bertugas pada hari itu.

Dr. Roslan sedang memulakan majlis dengan Al-Fatihah dan ucapan aluan ringkas.

Seterusnya wakil masyarakat Seberang Takir yang sangat sinonim dengan aktiviti kemasyarakatan di sini, Ust. Zakaria Dagang menyampaikan ucapan.

Dr. Md. Arif Ibrahim memulakan ceramah 2K dengan penuh semangat dengan menggunakan bantuan audio-visual terkini.

"Remaja Dan Gejala Sosial" Tajuk ceramah 2K yang sangat relevan dengan masalah keruntuhan akhlak remaja masa kini. Masalah besar yang perlu dirawat segera, kerana masalah ini bukan saja meruntuhkan institusi keluarga, malah akan meruntuhkan masyarakat dan negara. PAPISMA datang dengan membawa mesej bahawa hanya Islam yang mampu menanganinya.

Dengan hujah yang kemas, Dr. Md. Arif berjaya membentangkan kajian dan data bagi membuka minda para pengunjung dan pendengar.

Sebahagian pengunjung yang mendengar dengan khusyuk dan penuh minat.

Sambil ceramah diteruskan, pendaftaran terus dibuka bagi memberi peluang kepada seramai mungkin pengunjung mendapatkan pemeriksaan percuma dan kaunseling kesihatan. Kelihatan di seberang jalan sebahagian daripada suasana pasar pagi yang sedang berlangsung.

Sebaik selesai ceramah, para petugas PAPISMA diserbu 'peminat' bagi mendapatkan pemeriksaan percuma. Biarpun tiada ubat, namun kepuasan itu jelas terpancar apabila dapat berjumpa dengan para doktor dan mendapat penjelasan mereka tentang masalah yang mereka hadapi.

Sebahagian suasana yang masih sempat dirakam setelah pengunjung agak surut dan jurugambar yang juga petugas PAPISMA mendapat kesempatan merakamkan suasana manis itu.

Dr. Zaihan (Kak Han) sedang dikerumuni pengunjung yang menunggu giliran mereka.

"Tekanan darah Abang ni agak tinggi ni! Kurangkan masin dalam makanan ye..." Mungkin itulah nasihat yang diberikan oleh Dr. Md. Arif.

"Debor doh belum apa-apa lagi ni makcik. Rileks la makcik deh... Nanti darah jadi tinggi." Dr. Che Faridah (Kak Long) sedang menenangkan seorang pengunjung yang menjalani pemeriksaan.

"Sampai tak sempat nak duduk doktor?" Barangkali itulah yang ditanyakan oleh pengunjung kepada Dr. Nor Higrayati (Kak Acun) Pakar di HSNZ yang turut meringankan tulang menjayakan program SMART PAPISMA kali ini.

"Molek tekanan darah pakcik ni. Pakcik makan apa?" Kadang-kadang doktorpun kena pandai korek rahsia pesakitnya sambil memuji secara tak langsung agar pesakit berasa selesa. Dr. Salman sedang memberi tumpuan memeriksa tekanan darah seorang pengunjung.

"Tak delah bang... saya single lagi.." Mungkin itulah jawapan Dr. Tuan Mohd. Fairuz dengan usikan pengunjungnya. Sekali-sekala si pengunjungpun pandai mengusik doktor ye...

Selesai pemeriksaan kesihatan dijalankan, para petugas PAPISMA telah dijemput ke jamuan makan tengahari di rumah seorang sukarelawan yang telahpun menyediakan makanan untuk mereka semua. Gembira dan sukacitanya mereka dengan kehadiran para petugas dan doktor PAPISMA hanya Allah saja yang tahu. Maklumlah, bukan mudah untuk menerima tetamu seperti hari itu. Mereka tidak melepaskan peluang untuk membuat amal kebajikan. Fastabiqul khairaat...

Sambil menjamu selera sambil berkenal-kenalan. Maklumlah, ada di antara mereka belum pernah bertemu. Meskipun bertemu, belum sempat bertanya khabar dan berkenalan. Itulah kemanisan dalam persaudaraan Islam. Kelihatan dalam kamera dari kiri: Isteri Ust. Zakaria (berkacamata), Pn. Jamaliah (tudung hijau - setiausaha program), Dr. Zaihan (tudung merah jambu), Dr. Che Faridah (tudung putih) dan D. Nor Higrayati (tudung coklat bercorak). Dua orang lagi yang tidak disebut adalah petugas tempatan.


"Alhamdulillah... dapat cenderahati pulak..." Itulah adat bertamu, datangnya disambut, perginya diraikan dengan buah tangan dan doa. Mudah-mudahan pertemuan dan perpisahan kerana Allah itu akan mendapat rahmat dan perlindungan Allah di Mahsyar nanti.

Selesailah sudah program SMART PAPISMA yang ke-4 dengan penuh ceria dan bersejarah. Apa yang penting, PAPISMA ingin menyampaikan kepada masyarakat bahawa Islam itu cara hidup yang lengkap. Ia telah terbukti melalui sejarah dan kajian ilmiah. Tidak kira kajian sosial atau kajian saintifik. Semuanya telah dibuktikan dan telah termaktub di dalam Al-Quran. Segala sabdaan Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda semuanya benar... tidak tersasar walau sedikitpun. Oleh yang demikian, maka seharusnya seluruh masyarakat, tidak kira kecil ataupun besar, tua ataupun muda, masyarakat kampung ataupun profesional, rakyat ataupun pemerintah perlu melihat dan kembali kepada Islam bagi menyelamatkan generasi akan datang yang kian rosak dimamah gejala mungkar yang kian berleluasa. Telah puas teknik dicari, telah habis tenaga dan pemikiran diperah, telah sekian banyak wang dilaburkan... namun penyakit masyarakat ini tidak mahu surut juga. Maka, jelaslah bahawa Islam tidak lagi boleh dipinggirkan kerana Islam adalah sebenarnya penyelamat umat.

Tuesday, July 20, 2010

Bukit Keluang Yang Indah

(Biro IT)

Hari ini merupakan cuti Hari Keputeraan Sultan Terengganu. Saya berkesempatan merayau-rayau di sekitar negeri Terengganu bagi menikmati keindahan alam ciptaan Allah di bumi yang bertuah ini.

Dua hari lepas, kepimpinan PAPISMA Terengganu telah memutuskan untuk mengadakan Hari Keluarga PAPISMA Terengganu di Bukit Keluang Beach Resort, Besut pada 1 - 2 Oktober 2010. Jadi kesempatan yang terluang ini saya ambil untuk pergi ke sana.

Bukit Keluang Beach Resort (BKBR) terletak kira-kira 140 km dari Kuala Terengganu (KT). Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 2 jam dari sini dan dijangkakan hanya kira-kira 1 jam dari Kota Bharu. Perjalanan melalui Jalan Pantai yang dulunya sepi, kini dipenuhi dengan pemandangan yang indah. Jalan itu kini telah menjadi jalan pilihan bagi mereka yang ingin ke Kota Bharu melalui Tok Bali, Bachok yang jaraknya lebih dekat dari jarak melalui Pasir Puteh.

Sesampainya saya di sana, saya terpegun seketika dengan kecantikan rekabentuk BKBR yang dipadankan dengan warna yang menjadi kegemaran saya. Bermula dengan reception, lounge, dewan makan, dewan seminar dan bilik-biliknya yang cantik dan selesa. Apatah lagi dengan swimming poolnya yang besar.

Suasana resortnya yang menghadap Pantai Bukit Keluang menjadikan udara segar dan pemandangan yang indah sentiasa dapat dinikmati oleh sesiapa saja yang berkunjung ke sana. Nak pergi ke pantai? Hanya memerlukan 4-5 minit berjalan kaki melalui pintu belakang. Malah boleh bermain air di pergigian pantai serta berjogging di waktu pagi yang hening bagi sesiapa yang mahu.

Saya mencari-cari tempat yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti sukaneka hari keluarga. Ia tidak menjadi masalah kerana BKBR sudahpun menghidu tujuan para pengunjungnya yang antara lain adalah untuk hari keluarga. Di sana terdapat 20 jenis peralatan sukaneka yang boleh di sewa dengan harga hanya RM30. Ertinya, pihak penganjur hanya perlu bersedia dengan jawatankuasa saja. Semua telah tersedia! Ia boleh diadakan di atas tanah berpasir bersebelahan restoran Kampung Keluang.

Kemudian saya meninjau-ninjau ke tempat yang sangat digemari oleh anak-anak iaitu kolam renang. Ya! Kolam renang di BKBR sangat cantik rekabentuknya. Terdapat beberapa buah kolam renang yang disediakan dan sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa. Saya rasa kalaulah diberi pilihan, anak-anak sudah tentu memilih untuk menghuni kolam ini daripada bersukaneka. Barangkali pihak AJK Hari Keluarga kali ini perlu memikirkan untuk mengadakan sukan air untuk mereka.

Tiga kategori kolam renang disediakan. Untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Bagi anak-anak yang belum pandai berenang, ibubapa tentunya selesa membiarkan mereka bermain di kolam yang sebelah atas tu sambil berehat di bangku yang disediakan dan berbual-bual sesama sendiri.

Satu lagi kolam renang khusus untuk kaum muslimat... hehe.. Kena bawak langsirlah pulak ye.

Seterusnya saya pergi ke dewan seminar. Sekali lagi saya terpegun dengan Dewan Siti Zaharah yang luas dan elegant. Lantas terbayang alangkah hebatnya jika dapat berseminar, beraktiviti (indoor activity) dan bermesyuarat agung di dalamnya yang boleh memuatkan sehingga 600 peserta dalam susunan theatre style itu. Keluasan yang tentunya cukup untuk menampung peserta Konvensyen Kebangsaan PAPISMA. Terdapat sebuah lagi dewan seminar iaitu Dewan Zabedah yang agak kecil yang boleh menampung kira 200 orang peserta (theatre style). Boleh pilih mana yang sesuai dengan kapasiti kita. Saya rasa dewan ini adalah lebih sesuai jika diperlukan oleh PAPISMA Terengganu.

Dewan Siti Zaharah. Di atas sana Pengerusi PAPISMA Terengganu akan berucap mengalu-alukan ahli panel bagi tajuk forum "Perubatan Moden Dari Sudut Fiqh"- mungkin sesuatu yang boleh dilaksanakan.

Presiden PAPISMA pula akan menyampaikan Ucapan Dasar dalam KKP-8 pada tahun 2011...InsyaAllah.

Para peserta FD PAPISMA Terengganu dan KKP-8 sedang memberikan tumpuan kepada acara yang sedang berlangsung. Semuanya hanyalah imaginasi yang akan terlaksana jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh....Amiin.

Ini pula adalah Dewan Zabedah yang boleh memuatkan 200 peserta (theatre style).

Di BKBR juga disediakan surau yang agak luas dan selesa. InsyaAllah boleh memuatkan sehingga 250 jemaah dalam satu-satu masa. Keluasan ini sudah cukup selesa untuk penganjur Hari Keluarga mengadakan aktiviti seperti kuliah subuh, qiamullail dan sebagainya.

Surau yang luas dan selesa.

Jamuan makan pula boleh diadakan di dua restoran yang luas, cantik dan selesa. Kedua-duanya hanya sebelah-menyebelah. Restoran Shaz yang boleh memuatkan 200 orang peserta, dan restoran Kampung Keluang yang lebih terbuka boleh menampung seramai 800 orang peserta!

Restoran Syaz - seperti hotel mewah suasananya.

Restoran Kampung Keluang pula, sambil menjamu boleh menikmati hembusan bayu laut yang bersih dan nyaman.

Setelah melihat segala kemudahan dan suasana di sini, saya membuat kesimpulan bahawa BKBR adalah sangat baik dan sesuai untuk PAPISMA Terengganu mengadakan Hari Keluarga Ke-2 sebagaimana tarikh yang ditetapkan. Meskipun perjalanannya memakan masa sedikit, namun sangat berbaloi dengan harganya yang sangat murah. Mengikut Sales Officer, sekiranya penganjur menempah minimun 20 bilik, harga sebuah bilik hanyalah RM150.00.

Tiba-tiba... "Doktor ada patient!" Alamak! Tak sempat nak berenang... kena balik lah pulak... Sayapun menutup komputer saya... (Jangan marah ye... lawatan saya sebenarnya hanyalah melalui ruang maya...)

Monday, July 19, 2010

Lawatan Kerja Presiden PAPISMA

(Biro IT)

Kuala Terengganu, 18 Julai 2010 - Hari ini, Presiden PAPISMA Pusat, Dr. Awisul Islah b. Ghazali diiringi oleh Setiausaha Agung, Dr. Ahmad Rostam b. Mohd. Zain serta Bendahari Agung, Dr. Azniza bt. Mohd. Radzi telah melakukan lawatan kerja selama 5 jam ke Kuala Terengganu. Beliau telah berkesempatan bertemu dengan Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md. Arif Ibrahim, mantan Bendahari Agung, Dr. Zaihan dan Mantan Pengerusi PAPISMA Terengganu Dr. Roslan Yusof.

Bergambar kenangan di depan Waterfront, Pulau Kambing selepas minum petang. Dari kiri: Dr. Ahmad Rostam, Dr. Awisul dan Dr. Roslan.

Dalam kunjungan itu, mereka sempat berbincang beberapa perkara bagi meningkatkan prestasi kerja masing-masing. Beberapa cadangan telah berjaya dihasilkan yang insyaAllah akan cuba dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Dari kiri: Dr. Ahmad Rostam, Dr. Awisul dan Dr. Md. Arif.

Dalam pada itu juga, mereka sempat berkunjung ke rumah Dr. Roslan/Dr. Zaihan yang terletak kira-kira 8 km dari sini. Sekali lagi mereka dijamu. Kali ini dengan jamuan sate ayam paling lazat dan terkenal di Kuala Terengganu.

Bergambar atas jambatan terpendek di dunia... hehe...

Sehingga pukul 7 malam mereka berada di sini sebelum berpisah untuk ke rumah Mantan Presiden, Dr. Suhazeli Abdullah di Kuala Berang untuk makan malam di sana pula. Mudah-mudahan perjalanan mereka dipermudahkan dan pertemuan mereka akan mendapat rahmat Allah SWT. Antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah ketika tiada lagi naungan kecuali naungan-Nya ialah bertemu dan berpisah kerana Allah. (Maksud hadis riwayat Bukhari Muslim).

Friday, July 2, 2010

Kempen 2K SMART PAPISMA Ke Hulu Terengganu

(Bito IT)

Kuala Terengganu, 25 Jun 2010 (Jumaat) - PAPISMA Terengganu melalui Biro SMART PAPISMA telah berjaya mengadakan Kempen Kesedaran Kesihatan (2K) di perkarangan Masjid Kg. Durian Badur, Hulu Terengganu kira-kira 45 km dari sini. Program yang dianjurkan bersama antara PAPISMA Terengganu dan AJK Masjid Kg. Durian Badur itu telah berjaya menarik kehadiran kira-kira 200 orang penduduk tempatan termasuk Pengerusi dan Setiausaha JKKK Kg. Durian Badur serta tokoh-tokoh masyarakat.

Program Kempen 2K itu telah bermula kira-kira pukul 9.30 pagi dengan format biasa iaitu Ceramah Kesedaran Kesihatan dan pemeriksaan kesihatan (saringan darah tinggi dan kencing manis). Kempen 2K kali ini tiada saringan BMI memandangkan kehadiran yang ramai dan masa yang suntuk.

2K bermatlamatkan dua perkara. Pertama memberi kesedaran kepada masyarakat umum akan perkara yang berlaku di persekitaran mereka dari sudut kesihatan seperti zina dan gejala pembuangan bayi luar nikah yang ramai, gejala penagihan dadah, keruntuhan akhlak dan sebagainya serta cara-cara menanganinya iaitu kembali kepada Islam sebagai penyelamat. Kedua ialah membuat saringan dan khidmat nasihat dari sudut penjagaan dan rawatan. Berikut adalah sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakamkan untuk tatapan bersama.

Sepanduk Kempen 2K yang di pasang di luar pagar masjid lebih kurang 3 hari sebelum program berlangsung.

Dr. Wan Mohd. Razin, Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu yang merupakan Senior Physician (Pakar Perubatan Senior) sedang mempengerusikan majlis.

"Ya Allah! Berkatilah majlis ini dan jadikanlah ianya bermanfaat untuk kami dunia dan akhirat." Doa dibacakan oleh Dr. Wan Mohd Razin sendiri.

Ceramah 2K disampaikan oleh Dr. Md. Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu dengan menggunakan tayangan LCD.

Orang ramai khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan. Kelihatan ada yang berdiri dan duduk di atas motorsikal kerana tidak cukup kerusi.

Tidak berganjak sehinggalah ceramah kira-kira 30 minit itu selesai disampaikan.

Petugas-petugas juga tidak ketinggalan menimba ilmu dan maklumat dari apa yang disampaikan. Kelihatan duduk dari kiri Dr. Ilham, Dr. Hazizul dan Dr. Tuan Mohd. Fairuz.

En. Ghazali, Pengerusi JKK Kg. Durian Badur (t-shirt biru tidak berkopiah) turut sama mendengar ceramah sehingga selesai.

Kelihatan petugas-petugas PAPISMA berada bersama-sama penduduk bagi turut sama mendengar Ceramah 2K yang disampaikan.

Serbu! Selesai ceramah, para petugas PAPISMA diserbu! Kelihatan Dr. Zaihan (tudung biru), di sebelahnya Dr. Aisyah (tudung coklat berbunga), Dr. Hashimah (Pemangku Ketua SMART) - bertudung coklat, membelakangkan kamera dan Dr. Rosniza (tudung hitam).

Dr. Rosniza yang ditemani ahli PAPISMA cilik... anaknya sendiri, sedang memeriksa seorang pengunjung.

"Cek tekanan darah sikit makcik..." Dr. Zaihan sedang melakukan saringan darah tinggi.

"Eh... tekanan darah tak dapat dikesan ni!" Mungkin itulah yang difikirkan oleh Dr. Tuan Mohd. Fairuz, yang juga sebagai Pengerusi GMP Pusat.

"Kita tengok tahap gula pakcik pulak ye... takut ada kencing manis.." Dr. Hazizul Helmy (Bendahari PAPISMA Terengganu) turut serta dalam program kali ini.

Menunggu giliran... Kelihatan Dr. Md. Arif, Dr. Hazizul dan Dr. Ilham sedang dikerumuni oleh para hadirin yang ingin membuat pemeriksaan.

"En. Ghazali jangan bimbang... program akan berakhir sebelum solat Jumaat." Mungkin itulah yang sedang diperkatakan oleh Dr. Wan Razin dengan Pengerusi JKK itu.

"Adik kena makan sayur secukupnya ye... biar tak sembelit lagi." Pn. Siti Nuraini (tudung hijau) juga tidak kurang sibuknya memberikan nasihat pemakanan yang dirujukkan kepada beliau.

"Tak pe pakcik... gula tu taklah tinggi sangat. " Dr. Roslan sedang memberikan nasihat kepada pengunjung selepas membuat saringan kencing manis.

"Kampung kena jaga, kesihatan kena jaga jugak ye!" En. Ghazali juga mengambil kesempatan untuk menjalani pemeriksaan.

Sementara itu, sesi lawatan ke rumah juga dijalankan memandangkan terdapat beberapa orang penduduk kampung yang kurang sihat untuk hadir.

"Makcik lama dah kena angin doktor... bolehlah jalan sikit-sikit." Dr. Wan Mohd. Razin sedang melakukan pemeriksaan kepada seorang pesakit yang menghidapi angin ahmar sejak beberapa tahun yang lalu.

"Tekanan darah kakak ni ok. Sakit lutut tu perlu rawatan yang berterusan..." Mungkin itulah yang sedang dinasihatkan oleh Dr. Wan Mohd. Razin kepada seorang pesakit yang kurang sihat.

Antara dua generasi! Ayah (kiri) yang telah berusia 93 tahun bersama anaknya yang berusia 60 tahun. Kelihatan si ayah masih sihat, bebas dari darah tinggi dan kencing manis, malah masih boleh bekerja. Usia yang agak jarang ditemui di kota dengan tahap kesihatan yang sesihat itu.

Ust. Kamaruzaman, sempat membuat pemeriksaan kesihatan sebelum menyampaikan khutbah di masjid tersebut tengahari itu. Kelihatan Dr. Muhaimin sedang memeriksa tekanan darah beliau.

"Nak daftar kak?" Itulah barangkali yang ditanyakan oleh dua orang anak ahli kariah yang membantu dalam membuat pendaftaran.

"Posing sikit ye!" Sempat bergambar kenangan dengan Ust. Kamaruzzaman yang juga penceramah yang sering dijemput untuk membuat pengisian di Hospital Sultanah Nur Zahirah itu.

Setelah program selesai, para petugas dijamu dengan minuman pagi bagi menghilangkan lelah sebelum dipersilakan untuk makan tengahari pula.

Gambar kenangan. Para petugas PAPISMA yang telah meringankan tulang membantu menjayakan program Kempen 2K kali ini. Duduk dari kiri: Dr. Ilham, Dr. Tuan Mohd. Fairuz, Tuan Imam, Dr. Md. Arif, AJK Masjid, Ust. Kamaruzaman, Setiausaha JKKK, Dr. Roslan dan Dr. Muhaimin.
Berdiri tengah dari kiri: Dr. Rosniza, Pn. Siti Nurain, Dr. Aisyah, isteri Ust. Kamaruzaman, AJK Program, Dr. Hashimah dan Dr. Zaihan.
Berdiri di belakang, memakai vest dari kiri: Dr. Wan Mohd. Razin dan Dr. Hazizul Helmy.

Sesudah itu, semua petugas PAPISMA diraikan dengan jamuan makan tengahari yang telah disediakan sejak awal pagi.

Menyelerakan... Menu kampung seperti gulai ayam kampung, kerabu, gulai nangka, tomyam, ikan kering, tempoyak, budu, sambal belacan, petai dan jering yang tentunya jarang-jarang ditemui di Kuala Terengganu.

Bersedia untuk menjamu selera.

Dr. Hashimah, Dr. Aisyah dan Pn. Siti Nuraini sedang bersedia untuk menjamu selera.

"Lain kali, bertandanglah lagi ke sini ye... nanti kami jamu lagi dengan menu kampung ni." Itulah harapan makcik-makcik, pakcik-pakcik serta seluruh penduduk kampung yang peramah dan masih kuat mengamalkan tradisi tolong-menolong antara mereka. Ya! begitu juga harapan kami. Mudah-mudahan datangnya kami ke sini akan mencetuskan suatu yang akan mengubah pemikiran kalian bahawa kehidupan tanpa kesihatan adalah kehidupan yang tiada nikmatnya dan kesihatan yang hakiki akan dapat dicapai hanya apabila kita semua kembali kepada Islam dalam kehidupan keluarga dan masyarakat. Marilah kita kembali kepada Islam. PAPISMA akan terus memperjuangkan KESEDARAN dan KESIHATAN untuk kalian dan umat dalam membantu melengkapkan sistem yang sedia bagi manfaat semua.
Push-Up Arrow