Alhamdulillah, setelah dua minggu bertungkus-lumus mencari lokasi, menetapkan tarikh dan membuat persiapan, akhirnya SMART PAPISMA berjaya meneruskan siri Kempen 2K ke Seberang Takir dengan kerjasama aktivis masyarakat di situ.
Program SMART PAPISMA kali ini telah diadakan pada 23 Julai 2010, Jumaat, bermula kira-kira pukul 9.00 - 11.45 pagi di hadapan Pasar Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Seramai 7 orang sukarelawan PAPISMA telah menginfakkan tenaga dan masa mereka untuk bersama menjayakan program kali ini yang di ketuai oleh Pengerusinya, Dr. Md. Arif Ibrahim.
Pasar Teluk Ketapang merupakan pasar yang sibuk setiap tibanya hari Jumaat. Pengunjungnya sangat ramai dari serata pelusuk kawasan Seberang Takir dan sekitarnya. Mereka menjadikan hari ini seperti hari keramaian, sejak turun-temurun. Pemilihan tempat ini merupakan idea sukarelawan tempatan bagi mendapatkan jumlah pengunjung yang terbaik dalam menyampaikan mesej Islam yang lengkap termasuk di bidang kesihatan.
Antara aktiviti yang diadakan pada kali ini ialah Ceramah Kesedaran & Kesihatan (2K), saringan darah tinggi, saringan kencing manis, kaunseling kesihatan dan cabutan bertuah. Ceramah yang menggunakan pembesar suara itu dapat didengari di seluruh kawasan pasar dengan pengunjung yang melebihi 2000 orang itu telah berjaya menarik lebih dari 120 orang penduduk tempatan untuk mendapatkan khidmat dari pasukan SMART PAPISMA yang bertugas pada hari itu.
Sebaik selesai ceramah, para petugas PAPISMA diserbu 'peminat' bagi mendapatkan pemeriksaan percuma. Biarpun tiada ubat, namun kepuasan itu jelas terpancar apabila dapat berjumpa dengan para doktor dan mendapat penjelasan mereka tentang masalah yang mereka hadapi.
Selesai pemeriksaan kesihatan dijalankan, para petugas PAPISMA telah dijemput ke jamuan makan tengahari di rumah seorang sukarelawan yang telahpun menyediakan makanan untuk mereka semua. Gembira dan sukacitanya mereka dengan kehadiran para petugas dan doktor PAPISMA hanya Allah saja yang tahu. Maklumlah, bukan mudah untuk menerima tetamu seperti hari itu. Mereka tidak melepaskan peluang untuk membuat amal kebajikan. Fastabiqul khairaat...
Selesailah sudah program SMART PAPISMA yang ke-4 dengan penuh ceria dan bersejarah. Apa yang penting, PAPISMA ingin menyampaikan kepada masyarakat bahawa Islam itu cara hidup yang lengkap. Ia telah terbukti melalui sejarah dan kajian ilmiah. Tidak kira kajian sosial atau kajian saintifik. Semuanya telah dibuktikan dan telah termaktub di dalam Al-Quran. Segala sabdaan Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda semuanya benar... tidak tersasar walau sedikitpun. Oleh yang demikian, maka seharusnya seluruh masyarakat, tidak kira kecil ataupun besar, tua ataupun muda, masyarakat kampung ataupun profesional, rakyat ataupun pemerintah perlu melihat dan kembali kepada Islam bagi menyelamatkan generasi akan datang yang kian rosak dimamah gejala mungkar yang kian berleluasa. Telah puas teknik dicari, telah habis tenaga dan pemikiran diperah, telah sekian banyak wang dilaburkan... namun penyakit masyarakat ini tidak mahu surut juga. Maka, jelaslah bahawa Islam tidak lagi boleh dipinggirkan kerana Islam adalah sebenarnya penyelamat umat.
1 comment:
Well done, teruskan PAPISMA Terengganu, MOVING FORWARD..
Post a Comment