Saturday, April 11, 2009

Hari Keluarga Papisma Terengganu Berjaya!

(Biro IT)

10 April, 2009 - Hari Keluarga Papisma Terengganu buat pertama kalinya telah berjaya diadakan hari ini bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Ia telah diadakan di Angulia Beach resort, kira-kira 2 km dari Bandar Marang. Hari keluarga ini telah disertai oleh 93 peserta daripada lebih 30 keluarga dan individu Papisma. Sebahagian daripada mereka yang tinggal jauh seperti Dr. Wan Zulkhalid dan keluarga (Kemaman), Dr. Termizy dan keluarga (Machang, Kelantan) dan Dr. Wazi (Kubang Kerian, Kelantan - isterinya pharmacist Kuala Terengganu) juga tidak melepaskan peluang untuk hadir. Malah, Presiden Papisma Pusat (Dr. Suhazeli) dan keluarga yang secara 'senyap-senyap' telah menyewa chalet di situ sehari sebelumnya, telah mengejutkan pihak urusetia kerana telah berada di tempat program sejak dari awal pagi lagi.

Hari keluarga ini telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran Naqib Usrah (Muslimin) iaitu Ust. Burhanuddin Abdullah yang datang pada sebelah petang bersama keluarga dan Ust. Mohd. Khalil TG Hj. Abdul Hadi. Naqib Usrah Umum (Ust. Ismail Dagang) dan Naqibah Usrah Muslimat tidak dapat hadir kerana keuzuran.

Tambah berseri lagi apabila Hari Keluarga ini yang telah dirasmikan oleh Presiden Papisma Pusat itu, juga telah dihadiri oleh Ahli Kehormat Papisma iaitu YB Dr. Alias Abdul Razak yang memberikan sedikit ucapan dan motivasi kepada para peserta semua. Program yang dibuat secara santai itu telah diisi dengan tazkirah pagi oleh Dr. Salman (MD Cairo), sukaneka, pertandingan mewarna, pertandingan teka silangkata dan pada petangnya pula telah diisi dengan acara barbeque dan persembahan 'tunjuk bakat' oleh peserta dan anak-anak peserta. Akhirnya program Hari Keluarga ini telah diakhiri dengan penyampaian hadiah dan saguhati kepada para peserta dan pemenang.

Pengarah program, Dr. Md. Arif Ibrahim melahirkan rasa terharu dan gembira dengan sambutan yang sungguh di luar jangkaan. Meskipun kepenatan dalam mengendalikan program ini dari awal hingga ke akhir, namun semuanya hilang apabila melihat sambutan dari para peserta dan kemeriahannya. Program kali ini juga telah berjaya mengumpulkan sahabat-sahabat yang telah lama tidak berjumpa serta berjaya mendaftarkan beberapa ahli baru Papisma. InsyaAllah, program seumpama ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

Berita bergambar akan menyusul kemudian.

No comments:

Push-Up Arrow