(http://alqasam.hadithuna.com)
Hadis أم زرع ini terkumpul dalam himpunan hadith-hadith dalam Kitab Syama’il Muhammadiah.[1] Alhamdulillah saya telah mendapat sanad[2] hadis ini semasa Daurah Kitab Syamail Muhammadiyah sebanyak dua kali menghadiri daurah kitab hadis tersebut semasa menuntut dahulu di Mesir dahulu.
Apabila Ustaz Hasrizal menyebut tentang kisah 11 Wanita Jahiliyyah dalam entri beliau yang terbaru bertajuk "Lebih Baik Dari Abu Zar’in" yang merupakan intipati salah satu hadis dalam Kitab Syamail Muhammadiyyah ini yang dikenali sebagai Hadis Ummi Zara’[3] dikalangan penuntut pengkhususan Hadis, membawa kepada simpanan saya iaitu ta’liq atau komentar yang detail oleh senior saya di Maahad Azhar, Penang.[4] Beliau telah mengamanahkan kepada saya sebagai moderator blog sekolah kami untuk dipost dan diedit tulisannya mana yang perlu.
Asalnya, komentar hadis ini dikongsi sebagai memberi sanad hadis ini[5] yang bersambung kepada sesiapa yang berminat. Namun oleh kerana saya telah menerima Sanad hadis ini dari ‘turuq rijal’ (Jalan perawi) yang lain, maka hadis ini menjadi khazanah bermanfaat buat perkongsian kita semua. Namun dengan rasa sungguh berbesar hati saya tetap bersyukur dapat menerima sanad hadis ini dari jalan yang berbeza. Dengan sedikit pengemaskinian, tambahan nota kaki dan pengajaran hadis saya berkongsi di laman ini.
Apakah Hadis Ummi Zar’a?
Hadis Ummi Zar’a adalah di antara hadis-hadis yang dinanti-nanti oleh pelajar-pelajar hadis. Ini adalah kerana hadis ini menceritakan mengenai pandangan sebelas orang wanita pada zaman jahiliyyah mengenai tabiat dan perangai suami-suami mereka.
Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim,Tirmizi di dalam kitab beliau Syamail Tirmizi dan ulamak hadis yang lain. Ulamak bersepakat bahawa bahagian terakhir hadis ini bersifat marfu’,dan mereka bercanggah pendapat sama ada bahagian penceritaan mengenai wanita-wanita itu bersifat marfu’ atau hanya sekadar athar dari Sayyidatina Aisyah r.a.
Hadis ini mempunyai banyak nama, tetapi lebih masyhur dengan nama Hadis Ummi Zara’. Ulamak hadis telah menulis kitab-kitab dan risalah-risalah yang berasingan semata-mata untuk mensyarahkan hadis yang unik ini, dan ahli-ahli bahasa sering menjadikan hadis ini sebagai topic perbincangan mereka.
Aisyah radiyallahu anha meririwayatkan : Telah berkumpul sebelas orang wanita lalu mereka telah bersetuju dan berjanji untuk tidak merahsiakan sesuatupun mengenai perihal suami-suami mereka.
Ulasan
Nama wanita-wanita ini tidak dipastikan di dalam mana-mana hadis sahih,walaupun beberapa nama ada disebut dalam beberapa riwayat. Wanita-wanita ini berasal dari Hijjaz atau Yaman. Beberapa ulamak berpendapat bahawa kejadian ini berlaku pada waktu malam, dan oleh kerana mereka berasa sunyi kerana ketiadaan suami mereka maka ahli kelab wanita ini cuba menghiburkan diri mereka dengan bergosip mengenai hal-ehwal rumah tangga mereka.
Syeikh kami yang mengajar hadis ini berpendapat bahawa amalan bergosip dan mengumpat secara berkumpulan bukanlah sesuatu yang baru, bahkan ianya sinonim dengan jiwa wanita sepanjang zaman. Oleh itu mana-mana lelaki yang bersifat sedemikian perlulah sedar bahawa mereka sebenarnya sudah tersalah memilh hobi.
BERKATALAH PEREMPUAN PERTAMA,
“ Suamiku seperti daging unta tidak berguna yg terletak di puncak sebuah gunung. Tidaklah gunung itu mudah untuk didaki, dan tidak pula daging berisi untuk diturunkan.”
Ulasan
Daging unta yang tidak berguna bermaksud si suami tidak membawa apa-apa faedah. Manakala puncak gunung menerangkan bahawa lelaki tersebut tidak gemar bergaul dengan keluarga mahupun orang ramai.
Unta adalah binatang tunggangan dan amat jarang dimakan melainkan dalam keadaan yang terdesak atau atas sebab-sebab ibadah dan kebajikan, tambah pula kalau unta itu tidak berguna dan dagingnya tidak mempunyai isi. Apabila unta tersebut adalah yang sedemikian, maka tiada gunanya untuk seseorang itu bersusah-payah untuk menurunkannya sekiranya ianya tersesat di puncak gunung. Jalan yang terbaik adalah dibiarkan sahaja unta itu dengan dunianya.
Secara ringkasnya : si suami adalah seorang yang tidak berguna,tidak suka bergaul dan susah untuk dinasihati.
BERKATALAH PEREMPUAN KE-2,
“Aku sama sekali tidak akan menyebarkan hal-ehwal suamiku. Aku takut tidak akan dapat melepaskannya. Sekiranya aku mula berkata-kata mengenainya, aku akan menceritakan segala hal dalaman dan luaran mengenainya.”
Ulasan
‘Aku takut tidak akan dapat melepaskannya’. Dhamir di sini mungkin kembali kepada si suami atau kepada khabar/hal-ehwal. Sekiranya yang dimaksudkan beliau adalah si suami,maknanya mereka sebenarnya dalam proses penceraian, dan wanita itu sangat amat ingin berpisah dari suaminya. Beliau berasa takut sekiranya umpatan beliau sampai ke telinga suaminya, maka lelaki itu akan membatalkan niatnya untuk menceraikan si isteri sebagai balasan ke atas umpatannya.
Dan sekiranya dhamir itu kembali kepada khabar/hal-ehwal, maka wanita itu ingin mengatakan bahawa terlalu banyak keburukan di dalam suaminya sehingga menyebabkan sukar untuk beliau berhenti menceritakan keburukan-keburukan yang ada pada si suami. Sekiranya hal ini berlaku, wanita itu berasa takut kalau-kalau ahli-ahli kelab wanita yang lain akan berasa bosan.
Sebahagian ulamak berpendapat bahawa wanita ini telah melanggar janjinya untuk tidak merahsiakan sesuatupun mengenai si suami. Tetapi hakikatnya ialah dia telah menceritakan segala keburukan si suami tanpa perlu mengulasnya dengan lebih panjang.
BERKATALAH PEREMPUAN KE-3,
“Suamiku adalah ‘asyannaq (sangat amat tinggi lampai). Sekiranya aku berkata sesuatu kepadanya maka aku pasti akan ditalaq. Dan sekiranya aku berdiam diri maka aku pasti tergantung (tanpa tali)”.
Ulasan
Amatlah popular di kalangan orang-orang arab dahulu bahawa ketinggian yang amat sangat adalah lambang kebodohan seseorang itu, kerana terlalu jauh jarak di antara otak dan hati sehingga menyebabkan reception yg lemah. Atau ianya membawa maksud bahawa seseorang itu panas baran,berperangai buruk dan hodoh.
Kenyataan si isteri ini menunjukkan bahawa si suami adalah seperti tiang yang sangat tinggi, dibina tanpa rekaan yang sesuai, dan kebodohan yang tidak dapat digambarkan lagi.
Sekiranya si isteri inginkan sesuatu lalu dikhabarkan kepada si suami, maka dia takut dia akan diceraikan. Tetapi sekiranya tidak diberitahu, tidaklah si suami peduli akan keperluan si isteri. Hendak dikatakan sudah berkahwin pun susah, hendak dikatakan bujangpun tidak boleh.
BERKATALAH PEREMPUAN KE-4,
“Suamiku seperti malam Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk. Tiada ketakutan mahupun kebosanan.
Ulasan
Tihamah adalah tempat miqat bagi mereka-mereka yang dating dari arah Yaman. Ketika musim panas, tempat idaman bagi setiap orang arab adalah Tihamah,kerana udaranya pada waktu malam yang menyegarkan, ditambah pula keadaan di situ yang aman damai. Cuaca seumama itu amat mendamaikan fikiran, dan tidak mungkin mana-mana manusia boleh berasa bosan dengan suasana yang sedemikian.
Si isteri merasakan bahawa suaminya adalah seorang yang mempunyai perwatakan menarik. Tidaklah panas baran dan tidak pula bersikap tidak mengambil tahu. Kalaulah dia marah sekalipun tiada apa yang perlu ditakutkan kerana dia sama sekali tidak akan hilang pertimbangan. Dan sikapnya yang selalu perihatin membuatkan dirinya amat disenangi.
Dikatakan bahawa nama wanita ini ialah Mahd bint Abi Harumah.
BERKATALAH PEREMPUAN KE-5,
“Suamiku seperti harimau bintang apabila masuk ke dalam rumah,seperti singa apabila berada di luar, dan beliau langsung tidak bertanya mengenai tanggungjawabnya”.
Ulasan
Dikatakan wanita ini bernama Kabshah. Terdapat percanggahan di kalangan ulamak sama ada beliau memuji atau mengkritik suami beliau kerana perkatan beliau ini boleh membawa kedua-dua maksud tersebut. Namun begitu jumhur berpendapat bahawa zahir perkataan beliau lebih kepada pujian.
Harimau bintang terkenal dengan dua sifat : 1. Pemalu/lembut dan 2. Pemalas/tidak peduli. Singa pula terkenal dengan ketegasan/kepimpinan dan keganasan.
Sekiranya beliau bermaksud untuk mengkritik, maka maknaya ialah si suami seorang yang pemalas, tidak suka mengambil tahu perkembangan keluarga sendiri. Apabila berada di dalam rumah, dia langsung tidak menghiraukan keadaan di dalamnya. Dan apabila keluar sahaja dari rumah, maka dialah orang yang paling berlagak dan suka bercakap besar sambil cuba memimpin orang ramai seolah-olah dialah yang paling banyak membantu mereka, sedangkan sebenarnya dia langsung tidak peduli mengenai hal-ehwal dalam rumah mahupun di luarnya. Dia seoarang yang suka bercakap dan memberi pandangan tetapi langsung tidak suka membuat kerja.
Dan sekiranya ini adalah pujian, maksud perkataan beliau ialah si suami seorang yang pendiam,tidak banyak bercakap, tidak banyak mengadu, menerima sahaja keadaan di dalam rumah seadanya. Dan apabila berada di luar rumah, beliau sangat tegas, tidak suka berdiam diri apabila melihat perkara-perkara yang tidak disenangi dan menjadi contoh dan tokoh kepada masyarakat. Apa sahaja yang disediakan di dalam rumah sama ada dari segi makan minum atau pengurusan rumahtangga tidak menjadi masalah kepada beliau kerana dia sangat mempercayai cara pengurusan si isteri terhadap wang perbelanjaan yang diberikan.
BERKATALAH PEREMPUAN KE-6:
“Suamiku ketika makan akan menghabiskan kesemuanya. Apabila minum dia tidak akan meninggalkan walau setitis pun. Apabila tidur dia akan menyelimutkan dirinya. Dan dia pernah memasukkan tangannya untuk mengetahui berita”.
Ulasan
Kenyataan ini juga boleh membawa maksud pujian dan kritikan, dan jumhur berpendapat bahawa ianya lebih kepada kritikan.
Sekiranya yang dimaksudkan adalah pujian, maksud wanita ke-enam ini ialah si suami tidak pernah mengadu apa-apa pun mengenai hidangan di hadapan mata, baik dari segi makanan mahupun minuman. Semua diterima seadanya. Beliau tidak juga kedekut apabila membelanjakan duit untuk makanan. Apabila beliau tidur, maka beliau tidak akan membawa masalah luar rumah ke atas katil beliau. Dan dia tidak suka menjaga tepi kain orang lain, itulah yang dimaksudkan dengan tidak memasukkan tangan untuk mengetahui berita-berita terkini. Dan tidak pula beliau suka mencari kesalahan orang lain.
Dari segi kritikan pula perkataan-perkataan ini bermaksud si suami apabila makan lupa segala-galanya sehinggakan semua makanan dihabiskan dan langsung tidak meninggalkan kepada ahli keluarga yang lain. Apabila minum,tidak ada satu titisan airpun dibiarkan untuk orang lain. Apabila tidur dia langsung tidak menyentuh si isteri, kerana dia lebih gemar tidur seorang diri dan apabila bersama dia langsung tidak memulakannya dengan peluk cium. Dan dia langsung tidak pernah menjaga perasaan si isteri atau mempedulikan kehendak si isteri.
BERKATALAH PULA PEREMPUAN KE-7:
“Suamiku amat lemah kelakiannya, sesat lagi menyesatkan dan tidak pandai bersetubuh atau lembap pemikirannya sehingga mengganggu pertuturannya. Semua penyakit/keburukan (yang ada dalam dunia) terdapat dalam dirinya. Dia (suka) memukul kepalamu atau bandanmu atau dia dia akan melakukan keduanya sekali.”
BERKATALAH PEREMPUAN KE-8:
“Suamiku sentuhannya seperti arnab dan buanya seperti zarnab.”
Ulasan
Zarnab bermakna za’faran atau mana-mana haruman. Dikatakan bahawa nama wanita ini ialah Naashirah bint Aws. Sentuhan arnab membawa erti si suami sangat lemah lembut orangnya, tidak kasar dan amat disenangi. Di samping itu dia juga seorang yang menitikberatkan soal kebersihan dan sering mengenakan wangian ke atas tubuh dan pakaiannya. Beliau mempunyai segenap tubuh yang menyebabkan si isteri selalu ingin mendakapnya.
Dalam beberapa riwayat lain ada menyebut bahawa wanita ini menyambung : “Aku mengawalnya dan dia mengawal orang lain. Tidaklah aku mengawalnya kerana sifat rendah dirinya, tetapi aku mengawalnya kerana cintaku yang mendalam terhadapnya.
PEREMPUAN KE-9 BERKATA:
“Suamiku sangat tinggi tiangnya, banyak abu (di rumahnya), panjang lembingnya atau tinggi tubuhnya serta dekat pula rumahnya Dewan Parlimen”.
Ulasan
Di sini wanita ini menyebut beberapa pujian yang tinggi mengenai si suami.
Tiang rumah yang tinggi boleh membawa dua maksud. Pertamanya ialah mereka tinggal di mahligai yang sangat besar,menunjukkan bahawa si suami adalah seorang pemimpin yang sangat kaya. Maksud yang kedua pula ialah rumah mereka berada di atas bukit yang tinggi supaya sekiranya ada musafir yang melalui kawasan itu pada waktu malam, maka bolehlah mereka datang menginap di sana. Dan ini membawa maksud bahawa si suami adalah pemurah dan mempunyai sikap suka membantu musafir atau mereka yang berada di dalam kesempitan.Sebahagian pula berpendapat bahawa ketinggian tiang rumah adalah kiasan untuk mereka-mereka yang berasal dari keturunan bangsawan.
Sangat banyak abu di rumah adalah kinayah untuk seseorang yang suka menjamu dan memberi makan kepada orang ramai. Ini adalah antara sifat yang amat dibanggai oleh orang-orang arab dari dulu sehingga kini. Abu yang banyak adalah disebabkan terlalu banyak kayu api yang digunakan untuk tujuan memasak.
Tubuh yang tinggi atau lembing yang panjang bermakna si suami adalah seorang pahlawan yang gagah perkasa. Manakala rumah yang dekat dengan parlimen bermaksud orang ramai sehingga para pemimpinpun datang kepada beliau untuk mendapatkan nasihat.
BERKATA PULA PEREMPUAN KE-10:
“Suamiku bernama Malik, dan apakah pujian yang boleh aku tujukan kepada Malik? Malik adalah jauh lebih baik dari segala pujian itu. Dia mempunyai unta-unta yang yang menghabiskan masa dengan tinggal di dalam ladang dan amat jarang dibawa keluar berjalan. Apabila unta-unta ini mendengar sahaja bunyi asahan pisau, maka yakinlah mereka yang mereka akan disembelih.”
Ulasan
Wanita ini bernama Kabshah bint Malik. Di sini beliau memuji si suami yang sangat pemurah dan sangat suka melakukan kebajikan. Unta-unta ternakan mereka jarang dibawa keluar berjalan kerana sekiranya ada tetamu datang, terlalu banyak masa dihabiskan untuk menunggu unta itu pulang, yang mana ini akan menyebabkan kelewatan terhadap penyediaan hidangan, oleh itu baiklah sekiranya unta-unta itu dibiarkan sahaja di dalam ladang. Perlu diketahui bahawa biasanya unta hanya menjadi hidangan sekiranya keadaan betul-betul mendesak atau atas tujuan kebajikan kerana unta pada zaman itu adalah seperti kereta mewah pada zaman ini. Dan di sini wanita ini mengatakan bahawa si suami selalu menjamu tetamu dengan daging unta, oleh itu dia juga ingin memberitahu bahawa si suami bukan sahaja suka menjamu, tetapi makanan dan layanan suaminya juga bertaraf lima bintang.
BERKATA PEREMPUAN KE-11:
“Suamiku bernama Abu Zara’, dan apakah pujian yang boleh aku tujkan kepada Abu Zara’? Dia telah memberatkan kedua-dua telingaku dengan hiasan serta memenuhkan kedua pinggulku dengan lemak. Dia telah memuliakanku sehingga aku sendiri berasa mulia. Dia menemuiku di kalangan pengembala kambing yang berada dalam kesempitan, lalu dijadikanku di kalangan pemilik kuda-kuda,unta-unta dan lembu-lembu dan ladang-ladang.
“Apabila aku membuka mulut di sisinya tidak pernah sekalipun dia mengkejiku, aku tidur dan hanya bangun lewat pada lewat pagi, dan aku minum sehingga kenyangpun masih banyak lagi sisa-sia makanan yang tinggal.
“Ibu Abu Zara’ (ibu mertuaku), dan apakah pujian yang boleh aku katakana kepada ibu Abu Zara’? Bijana-bijananya(stor simpanan makanannya) sentiasa penuh (kerana sifat murah hatinya yang selalu menjamu orang ramai) dan rumah/tanahnya sangatlah luas (menunjukkan bahawa terlalu ramai orang yang dijamu).
“Anak lelaki Abu Zara’, apakah pujian yang boleh aku tujukan pada anak lelaki Abu Zara’? Tempat tidurnya adalah ranting pokok/tulang risuknya sehalus ranting dan kaki sebahagian dari kaki anak kambingpun cukup untuk mengenyangkannya”.
Ulasan
Menjadi adat orang arab untuk berbangga sekiranya mereka mempunyai anak lelaki yang kurus, memakan makanan yang sederhana dan tidurpun dengan penuh kesederhanaan, kerana ini menunjukkan bahawa lelaki itu adalah seorang pahlawan dan tidak mempunyai banyak karenah dan tidak pula cerewet.
“Anak perempuan Abu Zara’, apakah pujian yang boleh aku tujukan untuk anak perempuan Abu Zara’? Sangatlah taat kepada ibubapa, memenuhi pakaiannya (sangatlah ketat pakaiannya kerana dia mempunyai tubuh yang sangat gemuk) dan amat dicemburui oleh jiran-jiran sebayanya.”
Ulasan
Sekiranya orang-orang arab terdahulu bangga dengan lelaki bertubuh kurus, mereka juga berbangga sekiranya mempunyai isteri atau anak perempuan yang bertubuh besar, berbeza dengan penerimaan manusia hari ini yang lebih menyukai wanita-wanita yang bertubuh kurus dan
“Hamba perempuan Abu Zara’, apakah pujian yang boleh aku tujukan kepada hamba perempuan Abu Zara’? Dia langsung tidak menyebarkan atau bergosip mengenai rumah tangga kami kepada orang luar, tidak pula dia menggunakan makanan kami tanpa kebenaran, dan tidak langsung mengotorkan rumah kami dengan sebarang kotoran (bermaksud tidak menconteng arang di muka kami dengan berzina).”
Ummu Zara’ menyambung: “Pada suatu pagi, Abu Zara’ keluar ketikamana susu diperah, dan dalam perjalanannya dia menemui seorang perempuan bersama dua anak yang menyerupai harimau bintang, kedua-duanya bermain di bawah pinggulnya dengan buah delima (kinayah untuk buah dada ataupun bermaksud perempuan berkenaan sedang baring terlentang, kedua-dua anaknya berada di kiri dan kanannya, dan mereka bermain dengan buah delima di celah-celah ‘terowong’ yang terhasil di bawah pinggang ibu mereka. Lalu diapun menceraikanku dan menikahi perempuan itu.
“Maka aku berkahwin selepas itu dengan seorang pahlawan/bangsawan yang juga seorang penunggang kuda(yang hebat) dan juga seorang pemimpin. Dia memberikanku hadiah yang sangat banyak, dan dari setiap binatang dia berikan aku pasangannya. Dan dikatakan kepadaku:
“Makanlah wahai Ummu Zara’, dan berilah (sebanyaknya) kepada keluargamu”.
“Kalaulah aku kumpulkan kesemua nikmat yang diberikannya kepadaku, tidaklah ianya menyamai bijana yang paling kecil milik Abu zara’.”
Sayyidatina Aisyah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda; “ Aku melayanmu (wahai Aisyah) sepertimana Abu Zara’ melayan Ummu Zara’ (di hari-hari bahagia mereka).
Ulasan
Di dalam riwayat lain ada menyebut Baginda s.a.w menambah “Cuma aku tidak menceraikanmu”. Ada disebut di dalam Tabarani bahawa Aisyah r.a berkata: “Apa yang ada pada Abu Zara’? Ibu dan bapaku menjadi korban untukmu! Tuan lebih bermakna untuk saya (daripada kasih Ummu Zara’ kepada Abu Zara’
Semoga Allah ta’ala menganugerahkan taufiq dan hidayahNya kepada semua mukminin untuk mengikut jejak-langkah Baginda s.a.w yang mulia. Aameen.
Pengajaran Hadis
1) Sebahagian ulamak berpendapat bahawa wanita-wanita ini telah bersalah kerana mengumpat, tetapi hakikatnya ialah selagi seseorang itu tidak menyebut nama atau mengkhususkan sesuatu yang boleh menyebabkannya dikenali, maka ianya tidaklah dikira sebagai umpatan. Sekiranya kisah ini bersifat marfu’, maka ianya dalil yang menykong pendapat ini.
2) Pengajaran lain yang disebut Ulama’ dalam menyebut berkenaaan pengajaran Hadis adalah tentang seni Nabi saw melayan isteri Baginda dalam kesukaan mereka berbual. Seni yang ditunjukkan adalah kemahiran berkomunikasi dalam perhubungan yang ditunjukkan oleh Nabi saw.
3) Hikmah disebalik Hadis ini juga ialah menyentuh tentang keperluaan seorang suami berbuat baik dengan isterinya kerana menurut Hadis Sohih yang sudah maklum di kalangan kita ” Yang paling baik dikalangan kamu ialah yang paling lembut dengan ahlinya (Isterinya). Riwayah Muslim. Jesteru, perlulah bagi suami yang cinta kepada Nabi saw mengambil iktibar dari kisah-kisah suami di atas dan menjauhi sikap-sikap yang kurang baik dalam melayari rumahtangga. Sikap malas membantu dan meletakkan semua tanggungjawab hanya kepada wanita bukanlah apa yang telah dipamerkan oleh Nabi saw.
4) Menurut pengupas yang memberi komentar Hadis ini, Saudara Abdul Latif Subky, keindahan Hadis ini hanya akan dapat dirasai dan difahami bagi mereka yang belajar dengan Adeeb dan bukan hanya Ustadzul Adib. Maknanya, guru yang benar-benar beradab dan bukan hanya mengajar tentang adab. Analoginya, perlu dipelajar dengan mereka yang benar-benar memahami kiasan dalam kaum Arab dan teknik bahasa Arab yang dalam dan tinggi maknanya. Bukan sekadar membaca sendiri atau belajar dari literal @ zohiri dan secara tekstual sahaja.
_________________
1] Dikenali juga sebagai Syamail Tarmidzi. Di karang oleh Imaam Abi ‘Isa Muhammad bin ‘Eesah bin Sorah At-Tirmidhi R.A.(209-279A.H.)
[2] Apakah keperluan Sanad? . Ibnu Mubarak telah berkata “ Isnad adalah sebahgian dari agama. Sekiranya tiada Isnad (Sanad) maka sesiapa sahaja akan berkata apa sahaja yang dikeluarkannya.” Sanad merupakan perkara penting untuk memastikan kesahihan sesuatu ilmu. Ahli salaf dan khalaf telah sepakat mengatakan bahawa ilmu agama bukanlah diambil melalui bacaan kitab-kitab atau pengkajian semata-mata, tetapi ia diambil melalui kaedah pembelajaran. Iaitu dengan mempelajari sesuatu ilmu daripada seorang arif yang dipercayai, yang telah mengambil ilmu tersebut daripada orang yang sepertinya juga hingga sampai kepada sahabat dan terus kepada riwayah awal kepada Rasulullah s.a.w.
[3] Dibolehkan membaca Zar’a atau Zar’in. Zar’in kerana ianya mudhofun ‘ilaih sedang Zar’a kerana ijtima’ sakinain (berkumpulanya dua tanda mati) iaitu pada huruf ع dan ز maka lahjah arab dan ilmu sorof akan mematikan salah satunya sebagai meringankannya pada sebutan lidah.
[4] Beliau ialah Abdul Latif Subky anak kepada Subky Latif merupakan bekas penuntut di Darul Ulum Zakarriya Deoband.
[5] Sanad dari Syeikh Syabbir dari ‘Allamah Yusuf Bennouri dari Shah Anwar Kasymiri dari Syeikhul Hind dari Maulana Qasim nanotwi dari Syeikh Abdul Ghani Almujaddidi dari Shah Ishaq dari Shah Abdul Aziz dari Shah Waliyyullah Muhaddith Ad-Dahlawi.
Rujukan
Ibn Hajar Al-Asqalani, Fathul Bari Syarah Sohih Bukhari.
Usthmani, Taqi, Takmilah Fathil Mulhim Syarah Muslim.
Tarmidzi, Abi Isa Muhammad, Syarah Sohih Muslim.
Tarmidzi, Abi Isa Muhammad, Syamail Muhammadiyah
2 comments:
Salam Dr Roslan. MashAllah, bagusnya dah dipost. Terima kasih kerana meluangkan masa Dr Roslan yang sibuk dengan pelbagai aktiviti khatanaton untuk buat post baru.:)
Cuma ada sedikit cadangan, apa pendapat Dr Roslan, kalau kita bahagikan Entri SaifulIslam satu entri dan Komentar satu entry. Sekadar cadangan.
Lagi satu, kalau Dr Roslan dan Kak Han atau sesiapa nak diturunkan sanad ni agar mendapat berkah dan layak menyambungkan sanad ni kepada yang lain, bagitahu ana ya.
Ana inshAllah diberi Ijazah Sanad Hadis ini dari jalan perawi yang lain. Juga Saudara Subky Latif juga memberi sanad dan memberi amanah untuk sesiapa yang inginkan sanad ini. Sanad melalui internet, di kira seperti amalan sanad bilkitabah atau dengan surat atau tulisan pada zaman Salaf dulu. Inshallah boleh, cuma tidak sama seperti muwajahah atau berdepan berkahnya.
At least something better than nothing. InshAllah.
Alhamdulillah...masih diberi kesempatan. Asalkan ianya bermanfaat untuk tatapan semua, kesibukan masa tetap boleh diluangkan masanya.
Cadangan telah dilaksanakan. insyaAllah ianya bermanfaat.
Untuk tujuan menyebarkan sanad ini, InsyaAllah akan dimajukan.
Post a Comment