Wednesday, November 26, 2008
Lebih Baik Daripada Abu Zar’in
“Ruang tamu kita elok dicat dengan warna peach atau cappucino?” tanya Ummu Saif.
“Warna mana yang lambat nampak comot? Maklumlah budak-budak ni!”, saya menjawab dengan soalan.
“Lampu tangga nanti, elok yang lekat ke dinding atau yang cantik berjuntai?”, soal Ummu Saif lagi.
“Asalkan cukup terang nampak anak tangga, semua ok aje,” saya menjawab.
“Kabinet dapur tu lebih berseri kalau table top berwarna gelap. Biar kontras!” cadang Ummu Saif.
“Janji cukup kuat untuk kerat ayam dan belah durian,” saya ‘menyokong’.
SEMINGGU DUA INI
Seminggu dua ini ada juga terasa di kepala bagai didera. Dengan segala ilmu pengetahuan yang pernah saya pelajari seumur hidup, kali ini saya diminta mengeluarkan ‘fatwa’ tentang langsir, cat, lampu, kabinet, sofa dan serba serbi benda yang tidak pernah saya pedulikan selama ini.
“Warna langsir rumah kita sekarang ini pun abang tak perasan!” saya berterus terang.
Sudah banyak kali saya memberikan lesen kebebasan kepada Ummu Saif untuk memilih apa sahaja warna, rekaan, corak yang disukainya. Bagi saya, yang penting rumah kami nanti cukup pintunya, elok bumbungnya, dan buku saya tidak ditirikan ke dalam stor. Itu sahaja. Tetapi Ummu Saif tidak pernah jemu bertanyakan pandangan saya tentang ‘perkara-perkara kecil’ berkenaan rumah kami, walaupun banyak cadangan saya berakhir dengan K.I.V (Kept In View!)
Isteri memikirkan keserasian warna dan rupa.
Suami memikirkan fungsi dan praktikaliti penggunaannya.
Tetapi…
11 WANITA JAHILIYYAH
Dalam ketegangan fikiran saya itu jugalah, saya terkenang kembali perbualan Ummu al-Mu’mineen Aisyah radhiyallahu ‘anha bersama suaminya Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Mereka berdua berbual tentang kisah 11 wanita Jahiliah, cerita Aisyah sebagai santapan telinga suaminya.
Sebelas orang wanita telah bersepakat dan berjanji untuk menceritakan perihal suami mereka.
Wanita pertama berkata: Suamiku seperti daging unta yang busuk yang berada di puncak bukit yang tinggi yang tidak dapat untuk didaki. Beliau tidak berlemak dan mudah untuk bergerak.
Wanita kedua berkata: Aku tidak boleh menceritakan mengenai suamiku. Aku takut dan aku tidak boleh memberitahu mengenainya. Sekiranya aku memberitahu mengenainya, bermakna aku membuka aibnya.
Wanita ketiga berkata: Suamiku telah membuat syarat, sekiranya aku bercerita, aku akan diceraikan dan sekiranya aku diam, aku akan dikasihi.
Wanita keempat berkata: Suamiku seperti cuaca di daerah Tihamah, tidak panas dan tidak sejuk (sederhana), tidak menakutkan dan tidak menjemukan.
Wanita kelima berkata: Suamiku, ketika memasuki rumah seperti seekor harimau bintang (kerana banyak tidur dan malas bertanya), tetapi apabila beliau keluar seperti seekor singa. Beliau tidak akan bertanya perkara-perkara yang bukan urusannya.
Wanita keenam berkata: Suamiku apabila makan, beliau akan menghabiskan makanannya. Sekiranya beliau minum, beliau akan menghabiskan minumannya. Sekiranya beliau tidur, beliau akan berselimut dan tidak memasukkan telapak tangannya kerana beliau tahu akan kesusahannya.
Wanita ketujuh berkata: Suamiku adalah seorang yang lemah syahwat. Walaupun telah berubat tetapi belum juga sembuh. Di samping itu beliau mudah menjatuhkan tangannya.
Wanita kelapan berkata: Suamiku berbau seperti bau Zarnab (sejenis bauan) dan sentuhannya selembut sentuhan seekor arnab.
Wanita kesembilan berkata: Suamiku berkedudukan tinggi, seorang yang berjaya, dermawan dan rumahnya berhampiran dengan tempat permainan.
Wanita kesepuluh berkata: Suamiku seorang pembesar dan banyak memiliki harta, sebahagian dari hartanya, beliau memiliki banyak unta. Sebahagian besar unta-untanya pula dibiarkan di halaman rumah, kerana itulah untanya yang hamil sedikit sahaja. Sekiranya unta-unta itu mendengar tiupan seruling mereka mengetahui bahawa mereka akan disembelih.
Wanita kesebelas berkata: Suamiku bernama Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah Abu Zar’in? Beliaulah yang memberikan aku anting-anting pada sepasang telingaku. Beliaulah yang memberiku makanan-makanan berzat sehingga aku kelihatan sihat. beliau suka memuji aku, beliau mengambil aku dari keluarga susah dan menjadikan aku salah seorang anggota keluarga yang kaya. Beliau tidak pernah mencaci aku, sehinggakan aku dapat tidur dengan nyenyak sampai ke pagi dan aku dapat minum dengan tenang.
Selepas itu bagaimana pula bonda Abu Zar’in. Tahukah kamu siapa bonda Abu Zar’in? Beliau memiliki harta simpanan dan rumahnya sangat luas.
Maka bagaimana pula anak lelaki Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak lelaki Abu Zar’in. Tempat tidurnya seperti pelepah tamar. Beliau merasa kenyang dengan makan sebelah kaki kambing.
Maka bagaimana pula anak perempuan Abu Zar’in. Tahukah kamu siapakah anak perempuan Abu Zar’in beliau sangat mentaati kedua orang tuanya. Tubuhnya montel dan sering menjadi kecemburuan jirannya.
Maka bagaimana pula Jariah Abu Zar’in, tahukah kamu siapakah Jariah Abu Zar’in? Beliau tidak pernah menyebarkan rahsia kami dan sangat jujur sekalipun dalam soal makanan. Beliau tidak pernah membiarkan rumahku kotor.
Setelah itu beliau berkata: Satu hari Abu Zar’in keluar dengan membawa satu bekas daripada kulit yang diisi dengan susu. Beliau bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak. Kedua anaknya itu seperti dua ekor harimau kumbang. Mereka bermain dengan dua biji buah delima di bawah pinggang ibunya. Maka beliau menceraikan aku dan mengahwini wanita itu.
Setelah itu aku berkahwin dengan seorang lelaki yang baik dan kaya. Tunggangannya adalah seekor kuda terpilih. Beliau membawa aku ke kandang yang penuh dengan binatang ternakan. Kemudian dia berkata: Makanlah wahai Ummu Zar’in dan berehatlah supaya hilang penat lelah. Beliau berkata: Sekiranya aku kumpulkan pemberiannya dengan pemberian Abu Zar’in, nescaya pemberiannya tidak akan sama dengan pemberian Abu Zar’in yang paling sedikit.
Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda kepadaku: Perhubungan aku denganmu seperti Abu Zar’in dengan Ummu Zar’in.
Aisyah radhiyallahu ‘anha membalas: Bahkan engkau lebih baik dari Abu Zar’in.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab: Benar! Abu Zar’in menceraikan Ummu Zar’in sedangkan aku tidak menceraikan engkau”
[Riwayat al-Tirmidhi]
HEBATNYA RASULULLAH S.A.W
Subhanallah!
Sabarnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendengar celoteh isterinya Aisyah! Dalam kesibukan dan kegentingan pelbagai isu ummah, sabarnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam melayan kisah 11 perempuan Jahiliyyah yang entah di mana faedahnya itu! Tidak langsung diperlekeh kisah Aisyah. Tidak langsung dimuncungkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mulutnya dengan kisah panjaaaaang lebar isteri kesayangannya itu.
Bahkan setelah berakhirnya kisah 11 wanita Jahiliyyah itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengulas dengan komen yang paling bersahaja lagi romantik, sebagai seorang suami yang terbaik kepada ahli keluarganya.
Maafkan daku sayang. Diri ini tidak sehebat Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, tetapi aku ini pasti lebih baik dari Abu Zar’in kerana sepanjang mana pun celotehmu tentang benda remeh temeh berkaitan rumah kita, dikau tetap menjadi pojaaan hatiku!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment