Thursday, August 7, 2008

Solat Berjamaah: Kewajiban Atau Kelebihan Ganjaran?

(Cucu Tok Adam)

"Jom kita sembahyang! Dah azan tu..." Ajak Ramli.
"Tak pe... engkau pergi dulu. Aku sembahyang kat rumah." Jawab Azman.
"Eh... kerja tu boleh sambung nanti. Sekejap je kita pergi. Sembahyang kat rumah dapat satu, kat masjid dapat 27..." Ramli terus mengajak kawannya agar pergi bersama-samanya ke masjid.
"Bagi aku tunai kewajiban itu cukuplah. Allah nak masukkan kita ke dalam syurga bukan atas banyaknya pahala, tapi atas rahmat-Nya." Balas Azman lagi mempertahankan pendiriannya.

Dialog di atas merupakan satu daripada seribu satu alasan untuk tidak bersembahyang jamaah. Pokoknya bukan kerja atau kesibukan yang menghalangi, tetapi kemahuan dan kefahaman tentang sembahyang berjamaah itu sendiri. Memang benar pendapat Azman itu, namun sunnah Rasulullah SAW berkenaan sembahyang berjamaah yang diringan-ringankan ini akan menjurus kepada sembahyang di akhir waktu. Bagaimana kalau tidak sempat melakukannya? Sedangkan sembahyang di awal waktu adalah terlalu besar ganjarannya apatah lagi jika dilakukan dengan berjamaah. Sebagaimana dinukilkan oleh TG Nik Abd. Aziz Nik Mat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada manusia yang mendirikan solat di hujung waktu tetapi tidaklah sampai luput, padahal kalaulah dia tahu bahawa solat pada awal waktu ganjarannyalebih mahal daripada dunia dan seisinya, nescaya dia tidak akan melengah-lengahkannya."

Apa yang saya ingin kongsikan ialah berkenaan sembahyang berjamaah. Bukan sembahyang sendirian. Meskipun kewajipan sudah tertunai dengan mendirikan sembahyang secara bersendirian, namun kita tidak mendapat 'perhatian' Allah kerana tidak menyahut apa yang disukai olehRasul-Nya. Mengapa kita 'memperlekehkan' ganjaran yang Allah tawarkan? Apakah jaminan kita untuk mendapat rahmat Allah hanya dengan menunaikan kewajipan secara 'ala kadar' itu?

Sembahyang berjemaah di masjid adalah sangat-sangat dituntut. Ini berpandukan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, ingin kiranya aku memerintahkan orang-orang untuk mengumpulkan kayu bakar, kemudian aku perintahkan mereka untuk menegakkan solat yang telah dikumandangkan azannya, lalu aku memerintahkan salah seorang untuk menjadi imam, lalu aku menuju orang-orang yang tidak mengikuti solat jamaah, kemudian aku bakar rumah-rumah mereka.” (HR Bukhari)

Walaupun hadis di atas tidak menunjukkan sembahyang berjamaah di masjid itu wajib dan meninggalkannya berdosa (lihat perbahasannya di sini), namun penting dan utamanya sembahyang berjamaah itu cukup besar sehingga begitu sekali ancaman Rasulullah SAW kepada mereka yang tidak mendirikan sembahyang berjamaah. Begitu juga dengan pandangan Dr. Wahbah al-Zuhaili yang mengatakan bahawa sembahyang berjamaah itu adalah sunat tetapi ia lebih utama diikuti (muakkad). Khususnya pada zaman sekarang ini di mana keadaan semakin sibuk dan ramai orang yang terikat dengan jadual-jadual kerja tertentu. Jika seseorang mendapati kelapangan untuk menyertai sembahyang berjamaah, maka wajiblah ke atasnya untuk memastikan syiar-syiar Islam tertegak. (Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaili, vol. 2)

Seandainya kita tidak berkesempatan untuk berjamaah di masjid atau surau kerana lewat atau uzur syar'ie, maka carilah jamaah dengan mengajak kawan-kawan untuk berjamaah, atau pergi ke surau atau masjid terdekat kalau-kalau ada lagi ahli jamaah yang masih belum menunaikan sembahyang untuk diajak sembahyang bersama-sama (berjamaah).

Namun begitu, perintah Rasulullah SAW untuk berjemaah di masjid/surau itu tidak termasuk kepada wanita sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Janganlah kalian melarang wanita-wanita kalian (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka” (HR Ibnu Khuzaimah)

Berkata Imam Asy Syaukani r.h. ketika menjelaskan lafaz “rumah-rumah mereka lebih utama bagi mereka“, maksudnya adalah “sembahyang-sembahyang mereka (wanita) di rumahnya itu lebih utama bagi mereka dibandingkan dengan sembahyangnya di masjid.

Hari ini kita melihat ramai di antara kita yang meringan-ringankan sembahyang berjamaah. Meskipun tidak mempunyai uzur syar'ie, namun mereka tetap malas untuk ke masjid atau surau. Pada waktu Maghrib, mereka akan melakukan urusan-urusan mereka sehingga betul-betul azan dikumandangkan. Selepas itu mereka akan mengatakan tidak sempat dan sebagainya. Bukankah syaitan itu lebih pandai memperdaya?

Pada waktu Zohor pula, mereka sibuk dengan makan tengahari. Keluar pejabat awal, tetapi bersembang di kedai-kedai makan, atau buat urusan lain dahulu dan apabila azan dikumandangkan mereka akan mengatakan "ahh... terlewat. Sembahyang kat rumahlah..." Kadangkala kerana urusan, mereka terpaksa rehat agak lewat yang menghampiri masuknya waktu. Apa salahnya tunggu sebentar untuk sembahyang, selepas itu baru makan. Bagi mereka yang agak 'sensitif', seperti tidak boleh menahan lapar kerana akan aggravate penyakit 'gastrik'nya atau terganggu kekhusukannya apabila lapar, mungkin mereka ini boleh dikategorikan sebagai uzur syar'ie.

Pada waktu Asar, mereka sibuk keluar awal kerana bimbang terperangkap dalam kesesakan lalulintas (jam). Akhirnya semasa azan berkumandang, mereka masih di atas kenderaan. Ada pula yang sibuk nak bermain atau urusan-urusan lain. Oleh kerana takut terlewat, mereka sembahyang di rumah kerana ia lebih cepat.

Bagaimana dengan sembahyang Isyak dan Subuh? Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik
adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak. (HR Bukhari dan Muslim).

"Mendatanginya dengan merangkak" bermaksud hadir ke tempat solat berjamaah yang akan didirikan dengan merangkak. Hari ini, mereka boleh berlari... tetapi tetap tidak hadir untuk berjamaah. Apakah alasannya untuk tidak hadir berjamaah Subuh? Sibuk bekerja? Takut jalan jam? Tempat kerja jauh...kena keluar rumah awal? Ternyata semua alasan itu adalah kerana mementingkan perkara lain lebih utama dari sembahyang berjamaah.

Bagaimana jika sembahyang berjamaah di rumah dengan isteri dan anak-anak? Atau di pejabat bersama sahabat-sahabat? Lihat jawapannya di sini.

Sebagai umat jamaah yang sama-sama rindukan syurga Allah dan kelebihan yang ditawarkan oleh Allah melalui Rasulullah SAW, marilah kita tegakkan sembahyang dengan cara yang sebaik-baiknya iaitu berjamaah bagi lelaki yang tiada keuzuran syar'ie. Semoga dengan itu akan lebih terserlah lagi keindahan sifat anggota jamaah yang beramal dengan sunnah dan lebih kukuh persatuan umat Islam bermula dengan mengutamakan solat berjamaah.

1 comment:

Anonymous said...

'benchmark' didalam perjuangan ini adalah solat subuh berjemaah secara istiqamah samada disurau atau masjid.

Push-Up Arrow