GP adalah singkatan kepada klinik swasta (General Practitioner). Kalau peminat lumba motorsikal atau lumba kereta, mereka guna GP juga, tapi ertinya Grand Prix.
Sesudah itu, tenggelam di dalam pelayaran kehidupan sebagai Medical Officer (MO) di Hospital Kota Bharu (sekarang HRPZ2) yang begitu sibuk, senarai GP untuk dijadikan karier masa depan telah tenggelam kerana ketika itu aku sentiasa didedahkan dengan berbagai bidang lanjutan kedoktoran yang begitu banyak samada di hospital, kesihatan awam atau di universiti-universiti.
Tamat 3rd posting, aku dan isteri ingin beralih angin. Maklumlah, Hospital Kota Bharu kami rasakan tidak sesuai untuk meneruskan karier ini memandangkan begitu banyak pengalaman luka dan duka di sana. Jadi, atas keprihatinan Pengarah Hospital ketika itu (Dr. Husin) yang kebetulan telah menjadi 'kawan' yang tidak disengajakan, telah memberi option kepada kami. Ke mana kami nak pergi, beliau akan uruskan. Kami memilih Kuala Berang, memandangkan ia di luar Kelantan dan dekat dengan hometown isteriku, Kuala Terengganu.
Tahun kedua aku di HHT, aku telah dilantik sebagai Pemangku Pengarah Hospital. Waktu itu krisis kekurangan MO sangat meruncing. Di HHT hanya ada 3 orang MO termasuk aku. Sebagai Pemangku Pengarah, tidak ada sebarang keistimewaan untukku dari segi tugas-tugas klinikal. Kerjaku bertambah berat dan masa rehatku terpaksa digunakan untuk memikirkan tentang KMK, QAP, pembangunan hospital, duit hospital yang masih banyak belum digunakan ketika itu(Pengarah yang cemerlang ialah yang berjaya menghabiskan duit yang diperuntukan - 'minda kapitalis' ke apa tak taulah...), masalah kakitangan hospital (yang kebetulan sedang ada krisis sesama ketua jabatan), masalah kuarters kakitangan dan asrama jururawat, masalah landskap dan kebersihan dan 1001 macam lagi... (Hangpa ingat senang jadi Pengarah ke...).
Sehinggalah pada suatu hari aku tak tahan dengan bebanan kerja sehingga aku tulis surat kepada Pengarah Kesihatan Negeri (Dr. Abd. Razak Kechik) melalui emailnya dan seterusnya berlakulah beberapa peristiwa yang menyebabkan aku melihat kembali GP ini sebagai karier masa depan. Akupun tak tahu samada mereka yang menjadi GP ni memang melalui suatu krisis dahulu baru jadi GP atau memang bidang pilihan yang dirancang. Tapi setahu aku isteriku tidak melalui krisis sebagaimana aku.
Setelah menjadi GP, aku dapat rasakan keseronokan yang berbeza. Meskipun bidang ini merupakan satu cabang profesional yang sangat tidak glamour, tapi ia memberikan kepuasan tersendiri. Bermula dari aku dan berakhir dengan aku. Kenyataan ini cukup memberikan gambaran lengkap bahawa pengurusan dan jatuh bangunnya GP ini adalah atas diri sendiri.
Meskipun bebanan kerja yang banyak dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul secara berseorangan, namun aku dapat mencipta formula ubatku sendiri untuk merawat pesakit tanpa gangguan orang lain. Aku dapat melakukan preskripsi ubat-ubat yang diperlukan oleh pesakit bukan ubat yang dikawal oleh pihak lain. Aku dapat follow-up secara personal pesakit-pesakit yang mendapat rawatanku dan merasai kegembiraan yang tidak tergambar apabila pesakit kembali sihat. Dan yang paling penting ialah aku boleh menetapkan masa kerjaku sendiri dan dapat melupakan dunia on-call yang cukup meruntun perasaanku suatu masa dahulu.
Dunia perniagaan yang aku ceburi ini amat banyak memberikan sumbangan dalam mendidik peribadi dan jiwaku. Apa yang paling ketara ialah sifat sabar dan skil komunikasi dengan pesakit. Kalau dulu aku cenderung untuk 'memaksa' pesakit dan hilang sabar apabila pesakit tidak mengikut apa yang aku suruh, tapi dengan dunia perniagaan ini telah mendidik aku agar bersabar dengan kerenah pesakit dan memberi mereka peluang dan ruang untuk mereka membuat keputusan sendiri. Kadangkala, aku dapat rasakan yang aku ni hanya seorang fasilitator dalam merawat pesakit. Tidak mengapa asalkan hakikatnya aku adalah boss kepada dunia perniagaanku.
Memang kesibukan sebagai GP yang setiap hari kerja sehingga malam meskipun tiada on-call, tetapi itu adalah sebahagian daripada cabaran kerja yang perlu aku sesuaikan dengan kehidupanku. Seperti cabaran perkahwinan juga. Dulu ke sana ke mari tidak perlu memikirkan orang lain, tapi setelah berumahtangga, terpaksa memikirkan isteri dan anak-anak. Tapi, dunia perkahwinan tetap memberikan kebahagiaan yang tersendiri. Itulah penyesuaian namanya. Akhirnya dengan sedikit penyesuaian, kehidupan itu menjadi seperti orang lain juga. Hanya jadual hidup yang sedikit berlainan. Anak-anak tidak pernah terbiar, masa yang ada bersama mereka menjadi cukup berkualiti dan setiap hari mereka menyambut kepulangan kami seolah-olah kami tidak berjumpa sebulan...
Bila merasakan keseronokan sebagai GP, aku ingin perkara ini dikongsi bersama kawan-kawan. Ada 3 orang kawan setakat ini yang tidak yakin dengan GP dan bertanyakan aku. Akhirnya mereka semua menjadi GP dan berpuas hati dengan kehidupan yang mereka bina. Seorang daripadanya di Bukit Payong. Setelah beberapa bulan bertugas sebagai GP, bila ditanya bagaimana dengan perniagaannya? Apa dia jawab? "Kalau aku tahu jadi GP macam ni, dah lama aku jadi GP!"
Inilah suatu bidang yang aku perhatikan sebagai bidang yang terpinggir tetapi mempunyai potensi yang cukup besar. Sewaktu ketika dulu aku sendiri selalu memikirkan bahawa bidang ini seperti bidang 'choice of exclusion' iaitu bidang yang dipilih bila dah tiada pilihan lain. Bidang yang tiada masa depan dan tiada kehidupan. Rumah ke klinik dan klinik ke rumah. Tiada kehidupan sosial seperti di hospital. Tapi anggapan itu ternyata meleset. Kalau nak sebut glamour, meskipun aku tidak glamour di kalangan masyarakat profesional, tapi aku cukup glamour di kalangan masyarakat setempat. Begitu juga dengan kehidupan sosial dan bermasyarakat. Oleh kerana aku bukan pakar, mereka jadi lebih mudah merapatkan diri denganku, apatah lagi kalau aku selalu melayan pertanyaan mereka dan memenuhi undangan-undangan mereka.
Jadi, kalau sahabat/iat tidak terfikir untuk menyambung pelajaran dalam bidang master, barangkali GP adalah suatu bidang yang sesuai. Kalau nak pencen awal, jadilah GP dan kalau tak mahu pencenpun jadilah GP...
No comments:
Post a Comment